Friday, August 20, 2010

Pokok Ulam Raja

Pokok ulam raja
Daun ulam raja
Bunga ulam raja

Gambar dimbil di rumah jiran dan di kebun Pak Andak. Nama saintifik pokok ulam raja atau pelampung ialah Cosmos caudatus kanth. Di kampung tumbuhan ini sering dijadikan jambangan di halaman rumah kerana ia mudah tumbuh di kawasan lapang dan mengeluarkan bunga yang menarik. Ia sesuai juga ditanam di dalam pasu tetapi jangan terlalu padat agar ia lebih subur.

Batang pokok ulam raja tumbuh tegak dan banyak cabang, mengeluarkan bunga yang berwarna pink, putih atau kuning. D
aunnya bergerigi dan mempunyai aroma yang sedap bila dicium manakala pucuknya berwarna hijau muda, lembut dan mudah dipatahkan.

Khasiat pokok ini terletak pada pucuknya yang dimakan mentah sebagai ulam atau kerabu pembuka selera. Daun ini mengandungi kalsium dan vitamin A yang tinggi dan dalam perubatan tradisional ia digunakan untuk membersihkan darah dan menguatkan tulang. Selain itu ia juga berupaya meningkatkan kandungan oksigen dalam darah yang memberi kesegaran pada badan dan ketegangan pada kulit.

Bila Hati Terbius

Selepas solat tarawih seseorang berkata padaku, sedar tak sedar dah malam yang ke lapan belas ya. Aku mengangguk, sebanyak itu siang dan malam yang dinamakan 'offer terbesar dalam setahun' telah ku lalui tapi kenapa macam sama aje, yang lain sikit cuma ada tarawih dan sedikit tadarus. Nak kata kejar tidak juga, bersungguh-sungguh pun bukan dan nak kata pulun jauh sekali.........

Mungkin aku juga terpenjara dengan banyak keburukan yang berlaku di sekeililing hingga jadi tak sedar. Dalam 'comfort zone' cukup makan dan pakai, yakin esok sesempurna hari ini. Manusia ini tabiatnya ia akan terbiasa dengan suatu peristiwa mula-mula dirasa janggal. Kalau dulu buang bayi sesuatu yang luarbiasa tapi dah hari-hari dilapurkan ia hanya cerita di dada akhbar. Kes curi setokin di asrama biasalah kata orang, lama-lama mencuri dari surau dan masjid, merompak hak rakyat dan harta negara semakin kerap didengar.

Adakah kita akan melihat keburukan sahaja dan tidak nampak keindahan lagi sepanjang hidup ini? Bahayanya hati yang terbius akan menjadi keras dan tidak mahu mendengar nasihat dan tidak ada merasa malu. Sedangkan malu merupakan sebahagian dari iman yang menghindarkan kita dari berbuat sesuatu yang merosakkan.

Oleh itu terpulang pada kita untuk membiasakan dengan yang baik agar mempunyai hati yang sensitif pada keburukan untuk menolaknya, pada ilmu untuk mencarinya dan pada agama untuk mempertahankan dan mengamalkannya.

The Road Not Taken

Ke jalan raya
Yang mana satu?
Ke Empangan


The Road Not Taken

Two roads diverged in a yellow wood
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth

Then took the other, as just as far
And having perhaps the better claim

Because it was grassy and wanted wear

Though as for that the passing there

Had worn them really about the same

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black
Oh, I kept the first for another day!

Yet knowing how way leads on to way

I doubted if I should ever come back
I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:

Two roads diverged in a wood and I-

I took the one less traveled by

And that has made all the difference.
(R Frost)


Dua gambar diambil di Perlis. Perjalanan waktu pagi yang mendung dan singgah sebentar di gerai tepi jalan untuk membeli ikan pekasam. Ada dua gerai si situ; satu di mana pak cik sedang menyiang ikan dan isterinya menjual dua besen ikan pekasam yang sudah dibungkus. Di satu gerai satu lagi sipenjual sedang tawar menawar dengan seorang China yang ingin membeli sekor ikan belida sepanjang setengah meter, lupa nak ambil gambarnya

Di belakang kedai ada jalan tar hanya untuk pejalan kaki atau menaiki motosikal ke tepi tasik. Di kanan jalan terdapat kebun-kebun sayur kecil menanam kacang bendir dan terung. Aku tidak ke tepi tasik kerana kerana terpaksa meneruskan perjalanan dan ketika itu hujan turun renyai-renyai.

Dalam memilih di antara dua jalan yang berlum pernah dilalui tentu ada gerak hati mana satukah yang akan diredah. Jika hendak yang mudah ikut sahaja apa yang di telah dilalui oleh ramai orang. Namun tidak kurang yang ingin cari yang mencabar dan berharap untuk menemui sesuatu yang baru serta lebih bermakna.

Desert Rose

Desert rose, maroon
Desert rose, putih
Desert rose, pink
Desert rose, scarletPokok desert rose

Gambar diambil di duan nursery bunga. Pokok dengan bunga cantik ni nama saintifiknya ialah Adenium obesum dan berasal dari selatan gurun Sahara. Ia juga dikenali dengan nama Sabi Star dan Kudu. Bunganya berbentuk corong berwarna pink, merah, putih dan yang terbaru ialah maroon.

Pokok ini boleh tumbuh hingga setinggi 3 meter, berbatang keras dan berhampiran dengan akarnya batangnya kembung. Pokok ini tidak perlu disiram kerana ia seperti kaktus yang perlu sedikit air sahaja. Pokok ini sangat sesuai untuk dijadikan bonsai kerana batangnya yang unik dan mudah berbunga.

Pokok ini mudah mengeluarkan getah apabila daun dan tangkai bunganya terpatah. Salah satu spesis pokok Adenium mempunyai getah yang sangat beracun. Racun ini ialah untuk menyalut hujung panah yang digunakan ketika berburu.

Vanda Miss Joaquim

Vanda Miss Joaquim
Miss Joaquim, close up
Daun jenis terete

Gambar diambil di Agrofest 2010. Orkid ini tergolong dalam Vanda jenis daun terete atau daun berbentuk silinder seperti pensil. Daunnya panjang antara 4 hingga 6 inci samada dengan hujung tajam atau tumpul. Orkid ini orang kampung panggil orkid tulang.

Sekarang orkid ini telah dikacuk untuk mendapatkan bunga yang pelbagai shade warna tetapi mengekalkan warna asalnya iaitu pink keunguan. Bunga yang berwarna pucat adalah kacukan antara orkid ini dengan jenis alba atau putih.

Orkid ini adalah orkid yang paling awal aku kenali selain orkid jengking (Arachnis), orkid pinang (Spathoglottis), orkid belukar (Arundina) dan orkid bulan yang banyak tumbuh di dahan pokok getah. Orkid ni ditanam oleh mak tunang pakcikku di halaman rumahnya di Felda dan pokok orkid paling subur yang aku pernah tengok.

Ada empat atau lima baris orkid tulang dan orkid jengking ditanam dekat dengan ampaian kain. Bunganya memang banyak dan bila nak balik ke kampung aku diberi hampir lima belas tangkai. Jenuh juga menjaganya agar tak patah remuk di langgar orang yang berhimpit dalam bas awan dalam perjalanan jauh ke kampungku.

Friday, August 13, 2010

Hidup Dengan Pisang

Rumpun pisang
 Jantung dan bunga
 Warna pink, menarik
Jantung, close up
 Buah, kecil dan ke atas


Pagi, tengahari, petang dan malam dengan pisang, ada pisang semua boleh jadi. Pagi makan lempeng pisang, tengah hari gulai pisang, petang goreng pisang (pisang goreng?) malam sediakan lepat pisang untuk esok. Ketika baby makan pisang bakar lenyek, bila usia tua makan pisang rebus kerana sudah hilang selera nak makan nasi dan lauk ikan. Hidup di kampung kena suka makan pisang kerana ia murah, senang dapat dan boleh dijadikan pelbagai juadah.

Ketika banjir cari batang pisang untuk buat rakit, jika ada kematian, mayat diletak di atas sesusun batang pisang ketika dimandikan. Di kampung kalau dia seorang yang rajin dia akan menanam ubi dan keladi. Kalau kurang viamin r......, tanam pisang sahaja sebab tak perlu susah payah membaja dan merumput.
Ada bermacam jenis pisang yang jadi favorit untuk di makan fresh. Biasanya cari isi yang halus, manis dan wangi seperti pisang rastali, embun, berangan, emas dan lemak manis.

Kalau nak mengoreng cari pisang raja, nangka, tanduk, nipah (abu), awak dan lilin. Rakit pula elok dibuat dari batang pisang nipah atau kapas sementara kerepek yang sedap ialah dari pisang tanduk atau pisang nipah. Tiga pisang ni dan pisang awak serta nangka sedap buat pengat. Gulai lemak pisang kapas dan pisang emas dengan ikan bilis tumbuk memang terkenal di kampongku.

Rule of thumb: kalau pisang buahnya manis jika masak, jantung tak boleh rebus buat ulam sebab pahit.
Pisang kapas biasanya dijadikan pisang salai sebab tak larat makan fresh. Pisang jenis memang prolific kerana rumpunnya besar, kekadang sampai tiga empat pokok berbuah sekali gus dan tandannya panjang. Mungkin ada sepuluh hingga dua belas sikat. Makan pisang masa dulu-dulu bukan kerana ianya banyak vitamin, karbohidrat, kalori atau pottassium dan sebagainya, tapi kerana nak isi perut.

Sunday, August 8, 2010

Kebun Dan Sungai Mengalir

Arah ke hulu sungai
Dekat jeti rafting
Ke arah hilir sungai
Close up

Gambar diambil di Sungai Jahang dekat Gopeng. Rasanya ramai yang simpan harapan nak ada kebun dan taman di bawahnya mengalir sungai-sungai. Kalau tak ada kebun setakat dapat melawat sekali sekala pun sudah memadai. Orang yang bertuah sahaja yang mempunyai harta yang menjadi idaman ramai orang.

Aku cepat teruja tengok sungai macam ni sebab di kampungku dulu air sungainya merah kehitaman dan kelat kerana mengalir di kawasan tanah gambut. Tidak ada batu-batu sebab tebing dan dasarnya selalu dikorek untuk diluaskan untuk menghalang banjir. Dan sungai ini tegak lurus merentas kampung-kampung dan di sungai inilah juga mak cikku mati lemas.

Sungai tempat menyeberang untuk pergi ke estet getah tempat ibubapaku tinggal
dulu pula lebih luas dan dalam. Di tebingnya penuh dengan pokok bakau dan jika air surut ianya berselut hingga ke gigi air. Orang kata kedalaman airnya melebihi 3 meter dan alhamdulillah kami tak pernah dengar ada orang dibaham buaya walaupun kelibatnya pernah kelihatan.

Disaat Membaca Al Quran

Membaca Al Quran samada dilakukan oleh orang yang faham maknanya secara keseluruhan atau hanya beberapa ayat dan juga oleh orang yang tidak faham tetaplah mendapat ganjaran dari Allah swt. Semua itu merupakan satu ibabdah akan tetapi ada perbezaan antara ganjaran yang diberikan kerana ia bergantung pada sifat dan adab pembacanya.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan bacalah Al Quran itu dengan tartil (perlahan-lahan)." (Al Muzzammil: 73). Amalan ini diperintahkan kerana membaca dengan perlahan dan sambil mempraktikkan akhlaknya akan mendatangkan kesan yang besar. Kesannya ialah pada jiwa melalui adanya ketenangan hati dan menambah kagum kepada Allah swt yang mencipta dan menguasai sekelian alam.

Pahala yang paling banyak ialah untuk orang yang membaca Al Quran dengan niat kerana mahu mengetahui apakah perintah Allah swt yang terkandung dalam kitab itu. Dia berusaha untuk memahami dan menghayati makna yang tersirat dalam kalimah Allah swt tersebut. Al Quran tidak akan mencurahkan perbendaharaan dan mukjizatnya kecuali seseorang itu membaca dengan persediaan roh dan jiwanya.

Kemudian dia mencuba pula mengamalkan perintah-perintah itu dalam dirinya, keluarganya dan masyarakatnya kerana dia tahu bahawa itulah jalan kehidupan yang dipilih dan diredhai oleh Allah swt untuknya di bumi ini.
Hanya Al Quran yang boleh memandu manusia pada kehidupan yang selamat dan tenteram.

Saturday, August 7, 2010

Orkid Liparis latifolia

Liparis latifolia
Liparis latifolia, close-up

Dua gambar di atas diambil sewaktu pameran orkid Agrofest 2010. Orkid dengan bunga oren ni cantik dan lain sikit dari orkid biasa, dan nama saitifiknya ialah Liparis latifolia. Ia sejenis orkid tanah selalu di temui di hutan Pulau Hainan (China), Thailand hingga ke New Guinea.

Pokoknya ada pseudobulb dan dari sini tumbuh sehelai daun panjang yang agak tebal dan lembut. Pseudobulb yang matang akan mengeluarkan tangkai bunga yang tegak atau melengkung sepanjang 30 sm dan kuntum-kuntum kecil yang banyak.

Orkid ni belum begitu dikenali di negara kita dan dalam pameran tersebut hanya ada satu entry saja. Mungkin setelah mengetahui dan menikmati keindahannya semakin ramai pula yang akan menanamnya. Di negara sejuk orkid ini khabarnya popular dan sesuai untuk dijadikan 'house plant' kerana ia senang dijaga.

Menelan Kembali Muntah

1. Ibnu Abbas ra berkata bahawa Nabi saw bersabda: Orang yang mengambil kembali pemberiannya adalah seperti anjing yang memakan muntahnya. (HR Bukhari, Muslim)

2. Umar bin Al Khatthab ra berkata: Aku telah membelikan seekor kuda untuk orang yang berjihad fisabilillah maka kuda itu telah disia-siakan oleh orang tersebut. Maka saya ingin membelinya semula dengan sangkaan bahawa dia akan menjualnya dengan harga yang murah. Lalu aku bertanya kepada Nabi saw, maka Nabi saw bersabda: Jangan kau beli dan jangan kau ambil kembali sedekahmu walaupun dia akan memberikan kepadamu dengan harga satu dirham kerana orang yang mengambil kembali sedekahnya itu bagaikan orang yang menelan kembali muntahnya. (HR Bukhari, Muslim)

Manis Tapi Susah

Ketika orang sekarang berebut menempah kuih sebelum bulan puasa orang dulu sibuk buat persediaan hendak membuat kuih. Membeli kacang dan pulut, menumbuk dan mengayaknya menjadi tepung. Mencari dan membasuh acuan kueh bahulu, putu dan lesung. Namun salah satu benda yang seingat aku cerewet nak membuatnya ialah halwa betik dan terong.

Di bulan Syaaban nenek dah kena cari betik yang perfect. Tak terlalu muda hingga isinya putih dan tak berwarna, tak terlalu tua hingga halwa jadi benyai. Yang terbaik ialah yang berwarna kekuningan atau kemerahan bila dikupas dan dihiris tipis memanjang. Hirisan ini direndam dalam air garam hingga lembut dan toreh beberapa garisan secara memanjang tapi tak terputus. Kemudian baru dianyam dan direndam pula dalam air kapur untuk menjadikannya keras dan rangup.

Bila sudah dibasuh beberapa kali dengan air bersih dan ditoskan betik beranyam ni di masukkan ke dalam campuran air gula pasir dan gula batu yang telah sejuk. Setiap hari betik dikeluarkan dan air gulanya dimasak semula. Setelah sejuk baru masukkan betik hingga semakin hari air gula bertambah likat dan wangi. Air gula pun biar sejuk betul kalau tidak halwa jadi masam dan berbuih dan balang kena jaga elok agar tak dihurung semut.

Selain betik nenek juga buat halwa terong asam atau terong bulu yang besaiz bola pingpong. Kerjanya rumit kerana aku yang kena basuh terong ni hingga licin dan buang bijinya dengan membelah terong dari hujung lalu memicitnya hingga kosong. Terong ni juga direndam dengan air garam untuk hilangkan pedar dan air kapur agar ia rangup. Proses keluar masuk dari air gula sama seperti di atas dan kedua halwa ini tidak dicampur.

Aku yang protes buat halwa ni kena banyak betul susah payah tapi bila dihidangkan ia jadi juadah yang paling cantik. Selain halwanya sedap air gula ni boleh buat cicah dengan roti bengali, roti jala, ubi rebus atau lempeng kelapa.

Bunga Alamanda

Bunga alamanda
Daun pokok alamanda

Gambar bunga diambil di halaman rumah jiran. Nama saintifik pokok ini ialah Alamanda cathartica dan di negara ini ia digelar bunga corong atau bunga kuning. Ia jenis tanaman memanjat dan boleh mencapai ketinggian 6 meter dan ditanam untuk dijadikan hiasan atau pagar. Bunganya yang berwarna kuning cerah lebih mudah ditemui dari yang berwarna perang atau ungu.

Daun bunga corong berguna untuk mengubati penyakit luaran seperti kurap dan bisul. Caranya dengan menumbuk daun yang tua
sehingga lumat dan menampal pes tersebut pada tempat yang berpenyakit.

Getah tumbuhan ini beracun dan elakkan kanak-kanak dari terkena getah yang mudah mengalir apabila bunga atau daunnya dipetik. Namun begitu getah ini boleh digunakan untuk membunuh jentik-jentik yang hidup dalam air yang bertakung.

Masanya Bertadarus

Kalau ibu bapa sejuk hati tengok anak-anak ngaji Al Quran, sekarang aku pun sejuk hati tengok para makcik di tempatku pagi-pagi lagi dah pergi ke surau hendak bertadarus. Dengan suara ceria mereka menyapa dan memberi salam, yang berbasikal, bermotor atau berkereta kepada mereka yang berjalan kaki beriringan berdua atau bertiga.

Teringat mak di kampung yang juga bertadarus di rumah kawan-kawannya. Mak membawa Al Quran saiz XXL sebesar kertas lukisan kerana katanya tulisan di Al Quran kecil tak berapa jelas dan mata cepat letih membaca. Pada hari biasa mak akan membaca Al Quran selepas solat maghrib dan subuh sekurang-kurangnya dua mukasurat.

Bila anak cucu datang mak akan minta bacaannya disemak, katanya nak uji izhar dan idgham, mad dan dengung. Aduh mereka kata, lambatnya mak tok baca,........ngantok tunggu. Tapi mereka duduk juga sambil memegang Al Quran sebesar tapak tangan, mendengar dan menyemak. Sesekali mereka menegur; bukan macam tu mak tok, shad, dhad, ghain....itu stail orang Banjar!

Tetapi para makcik di tempatku ni ramai yang baca laju dan tajwidnya tepat. One sitting dapat baca dua juz secara bergilir hingga orang lebih muda pun tak terkejar. Mereka cukup arif dengan tajwid jadi mudahlah nak tumpang check bacaan. Mereka juga tekun membetulkan setiap kesalahan.

Terimakasih aku pada Minah, Mai, SHSM kerana dapat sesama ngaji selama ini, walaupun seminggu sekali. Aku dapat rasa bacaanku bersama para makcik di surau lebih baik dan bermakna dari tahun-tahun lepas. Alhamdulillah kerana dengan bertadarus kami dapat memulakan hari ke sepuluh Ramadhan ini dengan Surah Al Kahfi....

Lost

Rumpun buluh
Batang buluh
Daun buluh


Lost

Stand still
The trees ahead and bushes beside you
Are not lost
Wherever you are is called Here

And you must treat it as powerful stranger
Must ask permission to know it and be known

The forest breathes.
Listen. It answers,
I have made this place around you
If you leave it you may come back again, saying Here

No two trees are the same to Raven
No two branches are the same to Wren
If what a tree or a bush does is lost on you

You are surely lost. Stand still. The forest knows
Where you are. You must let it find you
(David Wagoner)

Semua gambar diambil di tebing Sungai Jahang. Betul ke buluh dan aur ni pokok yang sama? Atau aku saja yang tak tau tapi tak teringat pula nak tanya atau mencari jawapannya. Mengikut logikku buluh tumbuh dalam hutan atau kebun (tak kira saiz batang pokok) dan aur di tebing sungai. Peribahasa pun ada mengatakan; seperti aur dengan tebing.

Sewaktu melalui lebuhraya dan melihat ke kiri kanan semak samun dan hutan kecil atau ladang di malam hari pernah hati berdetik dan berbisik; kalaulah aku sesat di situ waktu malam bagaimana agaknya? Nun jauh di sana ada satu-satunya cahaya pelita, tentulah aku akan menuju ke sana.....

Apa yang aku jumpa agaknya? Tersesat.... kalau terjadi waktu siang mungkin panik tetapi masih boleh berfikir lagi. Tetapi kalau di malam dan gelap tentu keadaan pun telah bertukar.... tabik pada orang yang sesat dan jumpa jalan pulang.

Friday, August 6, 2010

Oh Pondok Durian

Di tebing Sg Jahang
Di tebing Sg Jahang
Di kebun Pak Kholil
Jiran Kebun Pak Kholil

Semua gambar diambil di Gopeng, Perak. Tebing kanan Sungai Jahang dipenuhi dengan kebun-kebun durian dan di sebelah kirinya pula berselang seli di antara kebun durian dan getah serta perkampungan Melayu. Yang menariknya di dalam kebun tersebut terdapat banyak pondok-pondok kecil dengan pelbagai bentuk yang comel dan asli.

Di musim durian boleh dibayangkan timbunan buah durian di bawah pondok, asap dari tempat pembakaran sampah di hadapan pondok dan seorang dua yang sedang berlegar memungut durian gugur. Kadangkala kelihatan sekeluarga sedang sibuk menjamu selera di bawah pokok. Namun ketika ketiadaan durian pondok-pondok tersebut hanya tempat persinggahan yang sepi.

Aku yang tak ada kebun durian ni teringin sangat nak tinggal di pondok menunggu durian di malam hari. Menungggu bunyi bok! bok! bok! bersahut-sahutan dari sekeliling pondok. Mungkin membuka pintu
perlahan-lahan, menyuluh persekitaran dengan lampu picit dan menuruni tangga menuju ke arah bunyi yang didengar tadi. Ohhh...mestilah ada yang teman kerana aku ni bukan berani sangat.

Tengok Phalaenopsis

Phalaenopsis valentinii
Phal valentinii
Phal. cornu cervi
alba

Phal. cornu cervi alba

Semua gambar diambil sewaktu pameran. Selalunya bila disebut phaleonopsis maka terbayanglah bunga orkid sebesar tapak tangan berbentuk butterfly. Di mana-mana pameran orkid ianya menjadi tumpuan kerana keindahan bunganya. Sudah tentu yang menggemari orkid ini pun ramai pula.

Dua phalaeonpsis di atas menyerlah bukan kerana warna atau bentuk bunganya. Akan tetapi tangkai bunganya panjang dan terjuntai ke bawah terutama Phal cornu cervi alba yang tangkainya itu berbentuk lipan. Di hujungnya terdapat hingga 3 kuntum bunga yang berwarna kuning cerah.

Sebenarnya daun orkid ni seperti daun phalaenopsis biasa. Kalau nak dijadikan focal point orkid ni boleh dibiarkan tumbuh hingga beberapa batang pokok dalam satu pasu. Gantungkan pasu dan dengan pemberian baja yang sesuai pokok akan berbunga sepanjang masa. Search: Phalaenopsis

Thursday, August 5, 2010

Pokok Kari

Daun pokok kari
Bunga pokok kari

Gambar daun dan bunga pokok kari diambil di belakang rumahku. Pokok kari atau nama saintifiknya Bergera koengi ditanam kerana daunnya merupakan bahan yang memberi aroma unik dalam masakan. Ia mudah tumbuh dari anak yang bercambah melalui akar, mudah dijaga dan tidak terlalu besar.

Daun kari yang muda yang paling sesuai untuk dicampurkan ke dalam masakan. Di setengah tempat daun kari yang telah dikeringkan dan ditumbuk halus dijadikan bahan untuk membekalkan vitamin tambahan dengan cara dibancuh dengan air dan diminum.

Serbuk ini jika diminum bersama air dipercayai dapat mengekalkan kehitaman rambut terutama bagi orang yang telah berumur. Namun ianya mesti diminum setiap hari berturut-turut selama 45 hari.


Daun kari yang diletakkan di meja makan boleh menjauhkan lalat dari hinggap dan mencemarkan makanan. Bunga pokok kari pula boleh dijadikan ulam dan dipercayai dapat mengekalkan ketegangan kulit dan menjadikannya licin.

Kena Hantu Di Estet

Bila kami berpindah ke salah satu unit di rumah sederet di estet itu ramai penduduk yang lega kerana tidak memilih unit ynag di sebelah kiri. Unit kosong ini dilabelkan 'keras' dan orang-orang yang pernah tinggal di situ khabarnya telah melihat penunggunya yang bermata merah di dapur. Mak dan aku yang terpengaruh dengan cerita ini cukup seram setiap kali mendengar bunyi yang mencurigakan dari rumah sebelah yang hanya dipisahkan oleh dinding papan.

Kami paling takut jika abah balik lewat senja dan kami akan duduk diam-diam menghadap lampu pelita minyak di sebelah Mak. Sewaktu Mak solat aku dan adik duduk di belakangnya sambil melihat bayang-bayangnya di dinding. Bilalah nak siap.......lambatnya. Di estet tidak ada lampu letrik dan semua kanak-kanak mesti masuk ke dalam rumah sebelum senja. Tutup tingkap, pintu dan jangan buat bising atau berkeliaran di halaman.

Pada satu petang aku dan kekawan pergi ke perumahan tempat kami mengambil jambu China dulu. Di sana kami lihat orang berkerumun di dalam sebuah rumah. Orang-orang cuba memegang dan menenangkan seorang wanita yang menjerit-jerit dan ingin melarikan diri.

Bila wanita itu telah terbaring ibu jari kakinya telah dipicit dengan bawang putih dan lada hitam oleh seorang lelaki tua. Kali ini wanita dan orang tua itu bersoal jawab dengan kuat dan berulang-ulang: Aku nak balik..aku nak balik .kata wanita itu....Siapa tuan engkau? Siapa tuan engkau? tanya orang tua tersebut.

Akhirnya wanita itu kalah setelah orang tua itu mengipaskan daun durian belanda ke badan wanita itu dan bertakbir. Dan daun tersebut hanyutkan ke tengah sungai. Orang di estet kata wanita itu terkena hantu pelesit dari belalang. Mendengar itu kami cabut lari balik ke rumah dan terpahat dalam kepala: Jangan tangkap belalang hijau berbentuk daun kerana hantu pelesit menumpang di situ. Search: Estet

Tuesday, August 3, 2010

Yesterday Is History

Bermula dari kuntum
Bunga yang mekar
Sehabis mekarHampir layu

Yesterday is History

'Tis so far away
Yesterday is poetry
'Tis philosophy

Yesterday is mystery

Where is today

While we shrewdly speculate

Flutter both away
(E Dickinson)


Gambar diambil semasa pameran Agrofest 2010. Bunga yang bermula dari kuntum akan mekar dan kemudian menjadi layu. Begitu juga sesuatu yang baru akan menjadi lama. Masa sekarang akan berlalu menjadi semalam dan ditinggalkan semakin jauh. Walau pun masih ada sedikit saat yang masih diingati namun kebanyakannya dibiarkan berlalu atau terpaksa dilupakan.

Tiba-tiba petang ni ku dengar khabar bahawa seorang tua yang dihormati ramai kerana ilmu dan jasanya telah dimasukkan ke hospital dan dalam keadaan kritikal. Teringat aku cerita kekawan bahawa ustaz ni dari muda hingga mencapai umur lanjut ni sentiasa menyebarkan ilmu dengan ikhlas terhadap murid-muridnya serta prihatin terhadap masyarakat.

Sudah menjadi ketetapkan Allah swt walau bagai mana cara perjalanan hidup seseorang itu dia tetap akan pergi suatu hari nanti. Beruntunglah orang-orang yang telah berada di jalan yang lurus kerana mereka telah meninggalkan suatu yang baik untuk manusia dan mendapat balasan kebaikan yang banyak di akhirat kelak.

Dalam aku merakam gambar mawar terserlah satu kenyataan hidup yang mesti diambil iktibar......bahawa sesutu yang hidup akan mati, segala sesuatu akan binasa.

Bodoh Cerdik Pencinta Orkid

Aduhai, selama enam bulan aku tunggu expo ni, semata-mata nak tengok orkid. Tercapai jugalah hasrat hati untuk merakam gambar dan melihat apa yang baru dalam pameran orkid kali ini. Mula-mula pergi dengan kekawan tetapi kerana mereka bertugas maka aku terus melangkah ke tempat pameran dan jualan orkid seorang diri.

Di muka pintu gerai pameran ditunjukkan tiga orkid terbaik dalam pertandingan. Ramai yang mencatat namanya kot-kot anak pokok atau benih orkid ni ada dijual di gerai jualan. Siapa tak terlior tengok bunga-bunga mekar yang lebat ditangkai. Termimpi macamana nak dapat pokok orkid awesome macam tu.....guna baja, medium, arang atau sabut, racun kulat atau semut, air atau loving care aka TLC?

Lama juga aku di gerai pameran mengklik sana dan mengklik sini. Banyak orkid yang cantik tapi aku tak berapa puas hati amabil gambar sebab cahaya di dalam gerai sedikit gelap dan di luar pula cerah. Bertambah susah bila kebanyakan bunga mengadap ke dalam. Terpaksa selalu guna flash. Satu lagi masaalah ialah nak mencatat nama setiap orkid. Bila sudah nak balik baru kawanku kata, lepas ambil satu gambar snaplah label namanya pula. Iye tak ye juga... bodohnya aku.

Oleh kerana tujuan utama datang nak ambil gambar jadi aku tak banyak meronda ke gerai jualan orkid. Ada le membeli tetapi tak seperti dahulu. Kali ni aku beli brasicca, brassocattleya dan cattleya sahaja. Semuanya tak sampai RM 80.00. Sampai di rumah K menegur: Sikitnya membeli? Aku menjawab sambil menunjuk ke kamera: Apa yang dihajat dan dimimpi semua ada dalam ni, jimat..... kan?

Pisang Lemak Manis

Tiga tandan pisang
Pisang muda

Buah cukup matang
Rumpun pisang

Gambar diambil di belakang rumahku. Pokok pisang yang aku tanam bersama Haq, aku yang gali lubang dan dia tolong letakkan pokok saja. Dah tiga kali berbuah, kali ini tiga tandan sekali gus. Pokok ni rendah dan kecil sepadan dengan buahnya yang comel dan bilangan sisir yang sedikit.

Rasanya tak ada masaalah nak makan buah pisang ni kerana saiznya lebih kecil dari buah pisang emas. Buahnya boleh dimakan walau masih ada warna kehijauan pada kulitnya. Tetapi jantung pokok pisang ni tidak boleh dibuat ulam kerana dari pengalaman sendiri ia berasa pahit setelah direbus.

Memori pokok pisang ni ialah benih pokok dibawa oleh arwah abah dari kampung untuk ditanam di belakang rumahku. Bila hendak bertolak balik dari kampung dan kebetulan jika ada pisang yang sedang masak abah akan bekalkan. Katanya biar semua orang kenyang.

Aku letak di tepi seat hadapan kereta dan sememangnya demand untuk pisang ni sewaktu dalam perjalanan sangat tinggi. Ada saja yang hulurkan tangan meminta. Untuk perjalanan sejauh 500km kami sekeluarga boleh habiskan satu tandan pisang lemak manis, bukan banyak cuma kira-kira 50 biji saja.

Hasad Dan Takabbur

Syaitan selalu menyuruh manusia agar mengerjakan perkara-perkara yang dibenci Allah swt hingga menyebabkan mereka diancam dengan balasan neraka. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan maka sesungguhnya syaitan menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Sekiranya tidaklah kurnia Allah dan RahmatNya kepada kamu sekelian nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan tersebut) selama-lamanya tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (An Nuur: 21)

Oleh itu seseorang yang ingin mensucikan jiwanya mestilah mengetahui langkah-langkah itu dan seterusnya menjauhkan diri dari mengikutinya. Langkah syaitan yang pertama ialah hasad dan takabbur kerana dia merasa dengki kepada Adam as.yang dimuliakan walau pun dijadikan dari tanah. Iblis enggan bersujud kepadanya.

Adapun sifat dengki iblis itu telah menjerumuskannya kepada tiga kesalahan besar iaitu mendahulukan pendapatnya di atas ketetapan Allah swt, memilih hawa nafsu dengan menentang perintah Alah swt dan menyombongkan unsur yang menjadi asal penciptaannya. Dengan adanya sifat-sifat ini iblis akan tetap menyesatkan ramai manusia kecuali orang-orang yang dipelihara Allah swt.

The Best Orchids

BEST ORCHIDS
Dendrobium Euobi Purple

Rhynchostylis gigantica x
Rhynchostylis retusa

LAIN-LAIN

Cattleya Lucky Strike
Phalaenopsis
Cattleya percivaliana

Sebahagian dari gambar orkid yang sempat aku rakam ketika Agrofest di Infoternak Sungai Siput pada 5-8hb Ogos 2010 yang lalu. Aku hanya pergi ke tempat pameran dan jualan orkid, nursery menjual pokok bunga, tanaman hiasan dan booth JPV Perak. Sebab nak cepat dan kamera pun yang jenis biasa-biasa saja jadi gambar yang diambil tak semuanya memuaskan hati.

Insyallah aku akan upload banyak gambar lagi untuk label orchid di masa akan datang. Di pameran tu ada orkid yang jarang aku nampak dan yang tak pernah nampak dengan bentuk yang unik. Nama orkid pun terlampau banyak dan bermacam-macam hingga nak mencatatnya jadi satu masaalah pula.

Salah satu orkid yang mendapat tempat istimewa sebuah meja di tengah ruang pameran ialah Papiopadillum. Ada 6 pasu dengan berlainan jenis bunga, semuanya cantik, menarik dan awesome. Selain itu ada juga Bulbophyllum, Arundina, Dendrochillum, Liparis, Rodriguezia dan orkid-orkid lain yang namanya biasa didengar.

Yang mendapat gelaran orkid paling best ialah Dendrobium, Rhyanchostylis dan Catasetum. Sayangnya si Catasetum bunganya sudah kecut jadi tak dapat nak menilai kecantikan atau mengambil gambarnya. Begitulah bunga, bila sudah jadi ratu
ia tetap dipamer walaupun layu dan pudar warna. Namun begitu tiada sseorang pun yang mempedulikannya.....