Thursday, September 15, 2011

Bunga Tasbih

Daun lebar dan hijau
Bunga oren cerah
Bunga warna pink
Bunga kuning dan oren
Buah pokok bunga tasbih

Aku kenal pokok bunga ini sebagai Canna kerana Mrs Singam kata namanya begitu. Jadi banyak bunga tempatan yang digunakan dalam kelas biologi kami sebut spiderlilly, ixora, hibiscus, balsam dan sebagainya. Kalau di kampung selalunya bunga ditanam ikut dann atau minat, tak payah tahu namanya. Cuma mak bidan, bomoh atau pengamal herba tradisional yang hafal dan arif nama serta kegunaan tumbuhan yang ditanam di sekeliling rumah. Ketika di sekolah rendah lagi aku lebih suka tanam orkid jengking dan orkid tulang walaupun kerja rutinku ialah menyiram berbelas pasu pokok bunga kertas dan kaktus kepunyaan Mak Usu.

Rupanya pokok bunga Canna di atas dikenali juga sebagai bunga tasbih. Selain itu ada yang menggelarnya ganyung hutan atau kembang gendang manakala nama saintifiknya Canna indica L, berasal dari India Timur dan Selatan Amerika. Pembiakan tumbuhan ini melalui rhizom atau umbi di bawah tanah. Di Australia umbinya diproses untuk dijadikan tepung (arrow root flour) dan namun biasanya pokok ini ditanam sebagai tanaman hiasan.

Khasiat bunga tasbih terletak pada bunga, akar dan batangnya, samaada yang masih segar atau telah dikeringkan. Ia dipercayai boleh mengubat penyakit darah tinggi, sakit kuning, keputihan, batuk berdarah dan menurunkan suhu panas dalam badan. Ia juga dapat menghentikan pengaliran darah akibat luka, radang kulit bernanah dan merawat masalah jerawat. Caranya ialah dengan melumatkan akar pokok bunga tasbih dengan sedikit tepung pulut dan air lalu ditampalkan pada tempat yang luka atau sakit. Amalan meminum air rebusan pokok tasbih pula mampu meredakan buasir.

0 comments:

Post a Comment