Showing posts with label Kisah dulu-dulu. Show all posts
Showing posts with label Kisah dulu-dulu. Show all posts

Friday, April 3, 2015

Anzalna atau Abtadiul

Bunga St Paulina
Bunga wangi
Bunga pokok menjalar
Bunga betik
Bunga pokok berduri

Dulu-dulu kalau dah masuk sekolah menengah oang akan panggil anak dara. Waktu kenduri kendara mereka ni jadi penyeri majlis. Anak dara peneman pengantin ketika majlis berinai, khatam al Quran dan jadi kendarat. Jadi satu kerisauan kalau mereka tak pandai mengaji dan baca berzanji apalagi kalau dah nak masuk 20an. Malu sangat ketika kitab berzanji disuakan untuk dibaca terpaksa ditolak pada orang sebelah. Anak-anak dara kena belajar agar bacaan lancar, biar nafas panjang tidak semput. Suara boleh di dengar separuh kampung sebab biasanya majlis ni ada guna pembesar suara.

Dan aku juga buat persediaan dan selalu mengikut mak Usuku belajar melagukan bacaan berzanji. Kami berkumpul di rumah nenek sebulan sebelum ada kenduri kawin di kampung. Yang mana tak lancar kena ulang kaji, kalau tak kena lagu kena repair. Lama-lama akupun pandai tapi taklalh duduk dekat  dengan pengantin. Duduk jauh sikit iaitu di tempat tak strategik bersama yang kurang bersuara merdu dan keyakinan diri.

Majlis khatam Al Quran adalah satu kemestian bagi pengantin perempuan. Semua wanita yang hadir duduk di anjung rumah tapi hanya anak-anak dara dan guru ngaji atau ustazah bersama pengantin. Pengantin kena membaca surah-surah terakhir dalam juz amma. barulah tau pengantin ni lancar dan fasih ke bacaannya, sedap ke suaranya. Kesian kalau kena yang berdarah gemuruh, tentu hampir nak menangis si pengantin. Selepas khatam al Quran dan doa barulah ada bacaan berzanji. Masa yang mencemaskan bagi anak-anak dara pengapit pengantin dan orang yang paling hampir.  Mereka kena baca  dahulu. 

Ramai yang ingin membaca sebab nak tingkatkan saham. Ramai pula membaca tersekat sebab pancit dan tak cucup nafas. Maklumlah tak pernah dengar suara sendiri dalam mikofon. Majlis hampir tamat bila ada bacaan beramai-ramai selawat sambil berdiri. Hati berdetik dan berbisik......seronoknya majllis ni kerana tak ada selfie, kesibukan ambil gambar dan video hingga mengganggu keindahan dan ketenangannya.




Monday, March 23, 2015

Susahnya Jadi Ibu


Bunga melur
 Bunga susun  kelapa
 Bunga ros
 Bunga raya

Bunga putih

Selepas solat Isya' biasanya nenek akan mengasah pisau yang akan digunakan untuk menoreh getah pada waktu subuh esok. Dia akan duduk mengadap sebuah pelita minyak kecil, semangkuk air untuk membasahkan pisau dan sebungkah batu asah. Kata nenek dia sedang mengasah pensil, secara bersenda menggelar dirinya cikgu kepada murid yang bernama pokok getah. Aku setia menunggu nenek membuat kerjanya. Di malam seperti ini nenek suka membuka cerita tentang kisah silamnya.


Suami nenek, iaitu bapa emakku meniggal dunia sewaktu anaknya yang sulung berumur empat belas tahun dan anak bungsu baru berumur 5 bulan. Dia meninggalkan lima orang anak iaitu emakku dan kembar lelakinya (yang sulung), dua orang anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan.

Kata nenek datuk bekerja sebagai pemandu kapal korek dan ada sebuah motorsikal. Hidup nenek susah selepas ditinggalkan datuk kerana terpaksa menyara lima orang anak yang masih kecil. Anak yang berumur lima bulan terpaksa dibawa ke kebun getah, sama ada diikat dengan kain batik di belakang badan atau dimasukkan ke dalam buaian kain yang digantung di antara pokok getah.

Walau pun sudah berkahwin nenek tetap tinggal dengan moyang dan juga setelah dia kehilangan suaminya. Nenek dan moyang tinggal di tanah seluas 3 ekar yang ditinggalkan oleh datuk dan menoreh getah di kebun tersebut. Namun begitu semua adik beradik emak dapat belajar ke sekolah walaupun hingga ke darjah enam sahaja.

Ketika aku baru masuk darjah tiga kami terpaksa pindah ke kampung lain kerana adik-adik arwah datuk ingin menjual tanah yang kami duduki itu. Aku melihat moyang, nenek dan mak menangis bila rumah yang telah dihuni sekian lama terpaksa dirobohkan.

Sunday, June 8, 2014

Biarlah Berlaku Adil

Kaktus
Kaktus
Kaktus
Bukan sayur, pokok hiasan
Bunga kekwa

Aku teringat wanita empat puluhan yang kami panggil Wak Isam, rumahnya lebih kurang 500m dari rumah nenek. Walaupun kisah ini telah berlalu namun aku kagum dengan cara nenek dan wak berkongsi. Kalau datang bertamu dia akan duduk di pintu dapur dan menegur budak-budak perempuan dengan pangilan 'galoh kacil' atau little miss. Dia pandai memuji dan kami suka padanya walau dia berpakaian lusuh dan nampak tak terurus. Kata nenek dia telah ditinggalkan suami dan anak-anak bujangnya, lalu dia sangat kecewa dan hampir hilang ingatan. Kesian betul kata nenek.

Sesekali aku ke rumahnya. Rumah tu cuma ada dua ruang, ruang tamu yang luas lantai papan. ruang dapur juga luas, lantai simen dan ada pangkin papan. Yang peliknya seluruh ruang tamu penuh dengan pelbagai barang dan bungkusan kain baju. Pangkin dapur pula bersepah dengan bakul mengkuang, pinggan mangkuk dan periuk belanga. Bagiku betul misteri kat mana  agaknya orang tua ni tidur. Untuk hidup dia menoreh di kebun getah di belakang rumahnya.

Dia selalu minta nenek belikan barang dapur secara berkongsi. Lepas ke kedai nenek dan wak akan duduk di depan pintu dapur menghadap sehelai kertas. Di atasnya di longgok kopi, gula dan tepung, kemudian setiap longgok dibahagi dua. Satu untuk wak dan satu untuk nenek. Kalau beli minyak masak, minyak dituang ke dalam dua gelas, disukat dan dibanding agar sama banyak. 

Kemudian wak dan nenek akan berkata 'kita sama-sama halalkan yang terlebih dan terkurang' sebelum mengambil hak masing-masing. Beginilah selalunya Wak akan tersenyum puashati dengan barang-barangnya. Sebelum pulang memuji kami secara berlebihan kerana telah dijamu oleh Mak cik dengan air kopi dan jemput pisang. 

Friday, May 16, 2014

Bila Kenal Tv

Daun keladi (nurseri)
Daun keladi (nurseri)
Daun keladi (nurseri)
Daun keladi kampong
Daun keladi 'Rosebud'

Pertama kali aku tengok tv ialah bila diajak abah ke rumah kawannya di bandar Batu Pahat. Yang teringat cuma bintik-bintik, garis hitam putih yang bergerak ketika tuan rumah nak tunjuk sesuatu pada kami. Lama berlalu, baru abah mampu beli tv tapi ada tv saja tak cukup, mesti ada letrik (kampong di zaman gelap). Jadi kalau nak tengok tv kena ada yang nak ke pekan untuk cas bateri. Selalunya Pak Jon yang tolong kami. Dia berbasikal sejauh 5 km dengan membawa bateri diikat di carrier belakang basikal.

Dengan kos 3 ringgit bolehlah menonton tv selama tiga atau empat malam kalau berjimat. Yang paling seronok tengok filem Melayu dan bintang RTM. Biasanya rumah yang ada tv tak boleh tutup pintu sambil menonton sekeluarga. Kena ajak jiran tetangga menonton sama. Lagi meriah bila cuti sekolah kerna kami ramai-ramai kumpul duit upah kutip getah beku, cari sayur kampong atau cabut ubi untuk cas bateri.


Sebelum ada tv di rumah kena pergi ke rumah orang lain bila nak menonton. Naik basikal dekat 2 km pada setiap malam Jumaat dan malam Sabtu hanya nak tonton filem Melayu. Waktu itu tv hanya ada dua saluran saja iaitu RTM Satu dan RTM Dua. Jenuh nak tunggu seminggu penuh baru dapat tengok P Ramlee berlakon. Saluran Dua hanya ada filem Inggeris tapi tak diminati sebab sekampung buta kayu tak faham cakap orang putih. 

Tayangan filem ni lambat bermula, kira-kira pukul 11 malam setelah habis rancangan berita dan peristiwa serta iklan yang berjela-jela. Bila tengok tv menumpang di rumah orang kena duduk atas tikar baik-baik. Mana ada makan minum atau ke dapur dan ke tandas. Begitulah setianya menanti. Dan semua orang mula membetulkan sila dan boleh menarik nafas lega bila jeng, jeng, jengggggg.......'Marilah sama-sama kita saksikan  filem 'Batu Belah Batu Bertangkup''. Hati berdetik dan berbisik......betullah, penantian satu siksa.

Monday, April 14, 2014

Musabaqah Dulu-dulu

Celosia /
 Bunga balung ayam
Bunga kalanchoe
Bunga siantan
Jacobinia / King's Crown
Kemboja


Akulah paling rajin ulang alik pergi ke kedai yang terletak dimuara kampongku. Menunggang basikal botak yang tak ada mud guard. Kedai ni lebihkurang 1.5 km dari rumah nenek dan melalui beberapa rumah yang besar dan cantik. Salah satu rumah ni tiangnya banyak dan tinggi manakala tingkapnya panjang hingga ke lantai. Daun tingkap dan pintu berukir cantk dan bumbungnya dari kepingan kayu nipis. Kalau aku melintas waktu petang akan terdengar suara orang mengaji Al Quran, merdu dan mersik. Dia duduk di tepi tingkap dengan tekunnya. Dia anak Tok Imam kampong kami.

Ketika itu Si Aminah nilah yang berpotensi untuk jadi wakil qariah dari kampong kami. Kebetulan juara musabaqah peringkat antarbangsa tahun itu ialah Puan Hjh Rahmah dari Seri Gading, Batu Pahat Johor. Kampong beliau dekat dengan kampongku dan kekadang dijemput jika ada majlis. Nama qari dan qariah lain seperti Tuan Hj Ismail Hashim, Hjh Rogayah bt Sulong, Hjh Faridah bt Mat Saman dan Rodiah bt Abdul Rahman sangat terkenal. Maklumlah mereka menjadi juara musabaqah antarabangsa bukan sekali tapi ada yang lebih dari tiga kali.

Di sekolah agama setiap tahun cikgu akan cari bakat yang jadi wakil qari dan qariah. Aku pun dipilih tapi tewas disaringan pertama. Cikgu kata aku hanya layak masuk kumpulan nasyid sahaja (backup di barisan belakang). Tapi puas hati kerana dapat pakai kain songket dan baju kurung serta selendang renda putih bila ada persembahan.
 
Di bulan Ramadhan lepas terawih kami ramai-ramai bentang tikar di halaman rumah Pak Marlan Kontrakor (paling kaya di kampong) hanya untuk dengar musabaqah Al Quran. Tv 24 inci diletak di tingkap agar semua orang boleh menonton. Walau gambar hitam putih tapi sekampong datang. Aku ingat itulah zaman musabaqah yang aku setia tonton setiap malam dengan khusyuk dan bersemangat. Hati berdetik dan berbisik...........sekarang ini dah ada tv depan mata tapi lain pula jadinya....

Thursday, March 20, 2014

Lembu Dan Sanggul Keria


Jejaka pendiam
Paling hensem

Best pose
Relaks
Boring, rumput kering je


Wak Jembari besan nenekku dan rumahnya tak jauh dari rumah kecil kami. Selain menoreh getah, Wak seorang peraih getah keping dan beku yang diangkutnya dengan basikal berbakul besar di belakang. Aku kata bau getah semuanya busuk tapi nenek jawab duitnya kan wangi (semua gambar di atas diambil di Agrofest, Sg Siput Perak).

Aku akan ke rumahnya kalau nak makan buah-buahan kerana dia pemurah; nak makan buah cuma minta izin dan jolok elok-elok. Di waktu petang dia pakai seluar paras lutut, tak berbaju dan selalu sibuk; mencantas dahan dan membaja pokok, bagi makan lembu atau sabit rumput.

Tidak dibenarkan kami  membazir iaitu apa yang di petik mesti makan sampai habis. Ada jambu air dan jambu batu, limau manis, ciku, durian belanda dan rambutan. Kadangkala aku tolong dia bersihkan kandang lembunya atau bakar rumput kering untuk halau nyamuk dan agas. Hanya dia yang ada lembu di kampungku dan dia memanggil lembunya bah! bah! bah! sambil menyuakan segenggam rumput.

Isterinya selalu bersanggul berbentuk doughnut berhias bunga tanjung berkarang atau diselit bunga cempaka. Senyumannya manis dan bergemerlapan kerana semua giginya bersalut emas. Kata nenek itu tanda orang sugih (kaya dalam bahasa Banjar) dan banyak duit. Biasanya aku pergi terus mengambil buah atau ke kandang lembu sahaja kerana takut terserempak dengannya.

Bila nampak aku dia mesti ajak duduk di beranda lalu cepat-cepat ambil sikat dan cermin kecil dari dalam rumah. Lepas tu disuruhnya aku membuka lilitan sanggul, melepas serta menyikatkan rambutnya serta mencari uban di celah-celah rambut yang terurai. Aku benar-benar terseksa duduk di belakangnya dan dibebaskan untuk bermain sekurang-kurangnya selepas satu jam kemudian.

Thursday, February 6, 2014

Bunga Bernama Mums


 Warna merah
Bunga warna oren
Bunga kecil
Kelopak berlapis
 Bunga purple/putih

Gambar diambil di nursery bunga. Entri sesuai lepas Chinese New Year. Chrysanthemums ingatkan aku tentang arwah Mak Usu, Amoi dan jambangan bunga kekwa di meja. Aku minat tumbuhan mungkin kerana terikut-ikut Mak Usu yang sangat suka pokok bunga. Dalam hal ini dia memang bossy, apa yang dikatanya mesti jadi dan mesti dapat.  Kerjanya cari pokok, biji benih atau keratan batang sekeliling kampung (mana ada nurseri bunga). Akulah yang kena menanamnya. Kemudian halaman mesti tip top bersih, tak ada daun getah dan bawah rumah disapu licin (rumah kayu dengan tiang).  Aku juga yang jadi kuli. Salah satu bunga yang digilakannya ialah  'mums' aka kekwa di kampungku. Agaknya dia tengok gambar kekwa menghiasi kalender yang kami dapat dari kedai runcit di setiap akhir tahun.

Dulu nak dapat benih bukan mudah kerana yang menanam hanya orang China. Kebetulan di kampungku ada tiga keluarga China yang jadi peraih getah keping. Mereka ada garden kecil di hadapan rumah dan menanam pokok delima serta pelbagai jenis pokok herba. Kebanyakan bunga dipetik untuk diletak di depan tokong. Anak China yang aku gelar Amoi selalu naik bas untuk ke sekolah dengan aku walaupun sekolah kami berlainan. Kami jarang bertegur hanya pakai angguk dan senyum-senyum saja. Dia tak fasih BM, aku tak tau BC dan nak berBI lagi malu.

Akhirnya Mak Usu dapat anak pokok mums setelah dia mengajar Amoi mengait alas meja dari benang bulu. Ketika itu hanya ada mums berwarna kuning dan bunganya sebesar duit syiling 50 sen. Aku yang kena menanam pokok tu tak pernah lupa bau daun pokok mums tersebut. Bila dapat sedikit bunga Mak Usu nak pula jambangan bunga di atas meja. Aku juga yang kena menyusunnya bersama daun paku berdaun halus dalam botol jem. Hati berdetik dan berbisik.........senangnya nak dapat mums sekarang ni tapi tak tergerak pula hati nak membeli walau seikat kerana sebak mengingat kenangan lama.

Monday, February 27, 2012

Ke KL Dulu-dulu

Tol Jalan Duta
Ampang
Ampang
DUKE
Muzium Negara

Lawatan ke KL ketika di sekolah rendah memang membawa banyak kenangan kerana itulah kali pertama aku pergi ke tempat yang jauh. Melihat bangunan tinggi dan kenderaan yang banyak di dalam kota. Kami sempat singgah di Pedas, NS untuk melihat kolam air panas. Dengan berhati-hati kami sua tangan ke dalam air kolam dan kehairanan macamana air boleh jadi panas? Lebih pelik bila ada pengunjung lain cuba merebus telur ayam dalam kolam tersebut.


Kami tiba di KL sebelum tengah hari dan bas melalui jalan di hadapan bangunan Parlimen. Wah, tingginya dan kami dah diberitahu ia lebih empat puluh tingkat. Setelah melawat Tugu Negara kami dibawa ke Lake Garden. Masing-masing pilih tempat nak buka bekal makan tengahari, ada yang di bawah pokok, tepi rumpun buluh atau pinggir tasik. Bukan apa sangat bekal yang dibawa sekadar nasi putih, telur masak kicap dan tempe goreng. Yang berada sedikit adalah bawa lauk ayam. Tak ada tupperware atau polystyrene kerana semua dibungkus dengan daun upih atau daun pisang.

Kemudian barulah kami ke Masjid Negara dan melawat Muzium Negara. Dalam muzium kami jalan mundar mandir melihat barang-barang lama yang dipamerkan tetapi yang paling manarik ialah haiwan-haiwan yang telah diawetkan.
Akhir sekali kami pergi ke kilang membuat minuman F&N, dan untuk kesekian kalinya pelik melihat mesin membuat beratus-ratus botol plastik dalam seminit dan bagaimana air oren dibotolkan. Lewat petang baru kami bertolak balik dan tiba di kampung hampir subuh. Sebulan bersiap untuk pergi dan sesudah itu sebulan pula barulah cerita seronok lawatan ke KL padam. Hati berdetik dan berbisik........ sampai sekarang pun aku yang di ulu ni masih teruja bila sesekali berada di KL,....... melihat ibu negara katakan.

Friday, December 3, 2010

Selamat Pengantin Baru

 Bunga balong ayam
 Penyeri kampong
 Merah menyala
 Ramai yang suka
 Mudah di tanam
 
Aku tak lupa rumah Pak Gurabak dan andartunya Lamak yang berambut mengerbang melepasi bahu. Rumah mereka terletak di antara jeti buruk tempat menyeberang sungai dengan perumahan estet. Jika dari jeti, rumah usang itu terletak di sebelah kanan jalan. Untuk ke rumah itu terpaksa meniti jambatan papan reput di hadapan rumah tersebut kerana ia menyeberang sungai. Walaupun sungai itu hanya 3 m luas namun kedua tebingnya berlumpur dan di tumbuhi semak samun jadi jambatan dibina panjang.

Sesekali aku dan mak ke rumah Lamak untuk membeli jambu batu. Setengah baldi jambu cuma 30 sen. Lamak, mukanya masam bila diminta mengait jambu di keliling rumahnya. Jambu kampung kecil saiznya dan berbau harum kalau masak ranum. Namun jarang orang berani pergi ke rumah usang tersebut dan dua beranak itu juga kurang bercampur dengan masyarakat dari perumahan estet. Ada yang kata Pak Gurabak garang dan tak boleh bertolak ansur sebab itu Lamak tidak akan disunting orang.

Ramai orang yang meramal bahawa Lamak tidak akan berkahwin. Tekaan mereka salah kerana akhirnya dia diperisterikan oleh bujang terlajak yang tinggal berhadapan dengan rumah abah setelah jejaka itu selesai membuat kenduri kahwin adik perempuannya yang ke empat. Alhamdulillah, selamat pengantin baru dan semoga mereka berbahagia kata orang yang mendengar berita itu.

Monday, November 15, 2010

Berniaga Cara Kampung

 Limau kasturi
 Limau purut
 Kacang tanah
Pegaga dun bulat
 Pegaga kampung

Ketika kebun getah seluas 2.5 ekar ditebang Nenek dan Moyang tidak boleh menoreh lagi. Untuk tambah pendapatan mereka berniaga hasil petanian di bandar P. Setiap petang kalau tak ke sekolah aku bantu cabut ubi, keladi dan cari sayuran kampung yang ditanam di kebun tersebut.

Aku selalunya disuruh memetik cili api kerana kerjanya ringan tapi rumit. Aku akan bentang kain batik lusuh di bawah pokok dan gunting cili sebiji-sebiji. Bila dah banyak baru masukkan ke dalam raga. Pokok cili api atau burung ni dipetik ketika hijau ataupun hampir masak. yang berwarna merah dan matang hanya tinggal separuh kerana telah dimakan burung.

Kerja lain ialah petik terong belanda, pungut pucuk paku, daun meranti dan pegaga. Sayuran kena buat seikat-seikat dan mesti diletakkan di atas para di luar rumah pada waktu malam agar kena embun dan tetap segar hingga esok subuh. Setelah itu emuanya akan dimasukkan ke dalam guni bekas gula untuk di bawa ke pasar.
Kalau ada pisang aku akan susun setiap sisir ke dalam tempayan yang dialas kain buruk untuk diperam. Ketika tu kami gunakan karbaid agar pisang masak sekata. Setelah sehari semalam diperam pisang akan berwarna kuning keemasan.....cantik. Ubi dan keladi semuanya disusun ke dalam guni untuk menjimatkan raung dan agar ubi kayu tidak patah.

Nenek dan Moyang akan keluar rumah pada pukul 5 pagi dan bawa barang jualan dengan basikal ke jalan besar untuk menunggu teksi sewa (cuma Moyang yang ke bandar). Kadangkala kami jual jagung dan mempelam jika ada bekalan dari orang kampung.

Aku paling seronok bila Moyang balik lewat tengahari dan aku dapat ikut serta mengira duit hasil jualan pada hari itu.