Showing posts with label Sabda Junjungan. Show all posts
Showing posts with label Sabda Junjungan. Show all posts

Sunday, April 5, 2015

Jangan Abaikan Keluarga


Rasulullah saw bersabda: Seutama-utama dinar yang dibelanjakan oleh seseorang ialah dinar yang dibelanjakan untuk keluarganya, juga dinar untuk keenderaan dalam perjuangan fisabilillah dan dinar yang dibelanjakan untuk membantu kawan-kawan seperjuangan fisabilillah. (HR Muslim).

Rasulullah saw bersabda: Hendaknya tiap dua orang dalam satu keluarga, keluar seorang dan seorang tinggal menjaga keluarganya, kemudian pahalanya terbahagi sama rata antara keduanya. (HR Muslim).

Rasulullah saw bersabda: Kamu sekelian pemimpin dan kamu masing-masing akan ditanya tentang rakyatnya. Raja pemimpin dan suami pemimpin pada keluarganya dan isteri memimpin rumahtangga suaminya dan anak-anaknya. Maka kamu sekelian memimpin dan akan bertanggungjawab atas pimpinan rakyatnya. (HR Bukhari).

Thursday, April 2, 2015

Suka Bertemu Allah

1. Aisyah rha berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Siapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah pun suka bertemu dengannya dan siapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah tidak suka bertemu dengannya. Aisyah bertanya: Apakah itu bermakna tidak suka mati, ya Rasulullah? Sebab kami semua tidak suka mati.

Jawab Nabi: Bukan demikian, tetapi seorang mukmin jika menerima khabar baik tentang rahmat dan keredhaan Allah maka dia ingin bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka bertemu dengannya. Dan orang kafir jika mendapat khabar seksa Allah dan murkaNya, maka enggan (tidak suka) bertemu dengan Allah, maka Allah juga tidak suka bertemu denganNya. (HR Muslim)
2. Ibnu Umar ra berkata bahawa bersabda Rasulullah saw: Apabila Allah menurunkan seksa pada suatu kaum, maka seksa itu merata terkena semua yang ada di situ, tetapi kemudian mereka dibangkitkan menurut amal perbuatan masing-masing. (HR Bukhari, Muslim)

Monday, April 14, 2014

Kepimpinan dan Sedekah


1. Ibnu Umar ra berkata bahawa Raulullah saw bersabda: Kamu sekelian pemimpin dan setiap kamu akan akan ditanya tentang rakyatnya. Raja pemimpin, dan suami pemimpin pada keluarganya, dan isteri pemimpin rumahtangga suaminya dan anak-anaknya. Maka kamu sekelian memimpin dan dan akan bertanggung jawab atas pimpinan terhadap rakyatnya. (HR Bukhari, Muslim)

2. Abu Hurairah ra berkata: Seorang datang kepada Nabi bertanya: Ya Rasulullah, sedekah yang manakah yang lebih besar pahalanya? Jawab Nabi: Bersedekah dalam keadaan sihat, dan amat sayang kepada harta, masih takut miskin dan mengharapkan kekayaan. Dan jangan menunda-nunda sehingga apabila roh (nyawa) sudah sampai di tenggorokan (hampir mati) lalu berwasiat: Untuk fulan sekian, untuk fulan sekian, padahal waktu itu kekayaan sudah menjadi hak ahli waris. (HR Bukhari, Muslim)

Sunday, April 6, 2014

Tiga Masjid Diutamakan


1. Allah swt berfirman dalam hadis Qudsi: Barangsiapa yang menziarahiKu dengan berkunjung ke Kaabah (Masjid Al Haram) atau di masjid Rasulullah saw (Masjid Nabi) atau di Baitul Maqdis, lalu meninggal dunia (pada waktu itu) maka ia mati dengan mati syahid.


2. Rasulullah saw bersabda: Jangan kamu bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali kepada tiga masjid, iaitu masjidku ini (Masjid Nabawi), Masjid Al Haram, dan Masjid Al Aqsa. (Al Hadis)


3. Rasulullah saw bersabda: Solat di dalam Masjid Al Haram sama dengan seratus ribu kali solat. Solat di dalam masjidku sama dengan seribu kali dan di dalam Baitul Maqdis sama dengan lima ratus kali solat. (HR Baihaqi, Jabir)

Thursday, March 20, 2014

Makanan Yang Berkat


1. Jabir ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Jika jatuh suapan salah seorang dari kamu hendaklah diambil dan dibersihkan kekotoran yang melekat padanya. Kemudian dimakan (makanan itu) dan jangan dibiarkan dimakan oleh syaitan. Dan jangan terburu-buru membersihkan tangannya dengan saputangan hinggalah telah dibersihkan betul-betul yang melekat dijari-jarinya kerana dia tidak mengetahui dari bahagian manakah makanan itu yang ada berkat. (HR Muslim) 


2. Anas ra berkata bahawa Rasulullah saw jika sudah selesai makan lalu menjilat ketiga jari baginda sambil bersabda: Apabila jatuh makanan salah seorang dari kamu, hendaklah diambil dan dibersihkan kekotorannya, kemudian dimakan dan jangan dibiarkan untuk syaitan. Dan Nabi saw menyuruh kami membersihkan pinggan bekas makanan sambil bersabda: Kamu tidak mengetahui di bahagian manakah dari makananmu yang ada berkat. (HR Muslim)

Sunday, February 23, 2014

Di Sekeliling Syurga dan Neraka

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Setelah Allah saw menciptakan syurga dan neraka, Allah mengutus Jibril as ke syurga dengan berfirman: 'Pergilah lihatlah syurga dan semua kelengkapan yang disediakan bagi orang-orang yang akan memasukinya.' 

Jibril as pergi melihat syurga dengan kelengkapannya lalu kembali kepada Allah swt dan berkata: 'Demi KemuliaanMu, siapa saja yang mendengar tentang syurga akan akan masuk syurga.' Kemudian Allah swt perintahkan agar syurga itu dilingkari dengan hal-hal yang dibenci oleh manusia. 

Lalu Jibril as diperintahkan melihat segala hal yang melingkari syurga itu. Jibril as kembali kepada Allah swt dan berkata: 'Demi KemuliaanMu, aku khuatir tidak seorang manusia pun yang akan dapat memasuki syurga itu.'

Kemudian Jibril dutus Allah swt untuk melihat neraka dengan berkata: 'Pergilah lihat neraka dengan segala kelengkapan yang ada di dalamnya yang disediakan bagi orang-orang yang akan masuk neraka itu.' 

Jibril as pun pergi melihat neraka. Didapatinya neraka itu berderam-deram. Lalu dia kembali kepada Allah swt dan berkata: 'Demi Kebesaran dan KemuliaanMu, tidak siapapun yang mendengar tentang neraka itu akan masuk neraka itu.' Lalu Allah swt perintahkan agar neraka dilingkari dengan hal-hal yang menarik hati manusia. 

Kemudian Allah swt berkata kepada Jibril as: 'Pergilah lihat neraka dengan segala hal yang ada di sekelilingnya. Jibril as pergi melihat neraka dan sekitarnya lalu kembali kepada Allah swt dan berkata: 'Aku khuatir tidak seorang manusia pun yang terlepas dari neraka itu.' (HR At Termizi)

Wednesday, February 5, 2014

Memuji Allah Serta Selawat

1. Fadhalah bin Ubaid ra berakata bahawa Rasulullah saw mendengar seseorang berdoa dalam solat dengan tidak terlebih dahulu memuji Allah dan membaca selawat atas Nabi saw, maka Nabi saw bersabda: Terburu-buru orang itu. Kemudian Nabi memanggilnya dan bersabda: Jika solat salah seorang kamu hendaklah ia memuji Allah, kemudian membaca selawat Nabi saw, kemudian berdoa mengikut kehendaknya. (HR Abu Dawud, At Termizi)

2. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Sungguh rendah dan hina, akan kecewa orang yang mendengar namaku dahulu lalu dia tidak membaca selawat kepadaku. (HR At Termizi)

3. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Jangan kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan, dan bacakan selawat untukku, maka bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada. (HR Abu Dawud)

Wednesday, April 25, 2012

Terbaik Dalam Islam

1. Abdullah bin Amru bin Al Ash ra berkata: Seorang bertanya kepada Nabi saw: Apakah yang terbaik dalam Islam? Jawab Nabi: Memberi makanan dan memberi salam terhadap orang yang kau kenal atau tidak kenal. (HR Bukhari, Muslim)

2. Abu Imarah (Al Barra') bin Azib ra berkata: Rasulullah menyuruh kami dengan tujuh perkara: Menziarahi orang sakit, menghantarkan jenazah, mendoakan orang yang bersin yang membaca Alhamdulillah, menolong orang yang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarkan salam dan melaksanakan sumpah. (HR Bukhari, Muslim)

3. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman hingga berkasih sayang kepada sesamamu. Sukakah aku tunjukkan sesuatu jika kamu kerjakan timbul kasih sayang di antara kamu? Sebarkanlah salam di antara kamu. (HR Muslim)

Monday, March 5, 2012

Mereka Bertanya, Bagaimana?

Setiap Muslim wajib bersedekah. Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Rasulallah saw menjawab, "Bekerja dengan kepandaian tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu bersedekah." Mereka bertanya lagi, "Bagaimana kalau dia tidak mampu?" Baginda menjawab, "Menolong orang yang memerlukan dan teraniaya." Mereka bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak berdaya melakukanya?" Rasulullah saw menjawab, "Menyuruh berbuat maaruf." Mereka bertanya lagi, "Bagaimana kalau dia tidak melakukannnya?" Baginda menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah." (HR Bukhari, Muslim).

Satu dirham mendahului seratus ribu dirham. Lalu para sahabat bertanya, "Bagaimana itu?" Rasulullah saw menjawab " Seorang memiliki (hanya) dua dirham, dia mengambil satu dirham dan bersedekah dengannya dan seorang lagi memiliki harta yang banyak, dia mengambil seratus dirham untuk disedekahkan. " (HR An Nasai).

Friday, January 20, 2012

Masa dan Segera Beramal

1. Rasulullah saw bersabda: Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Satu tahun seperti satu bulan. Satu minggu seperti satu hari. Satu hari seperti satu jam. Satu jam seperti lamanya membakar daun kurma." (HR Ahmad)

2. Rasulullah saw bersabda: Segeralah beramal kebaikan sebelum datangnya tujuh perkara. Apakah yang kamu namakan selain kemiskinan yang akan melupakan kamu dari kewajipan, atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa sombong yang melampau batas, atau penyakit yang merosakkan, atau tua yang menimbulkan nyanyuk dan habis tenaga. Atau mati yang yang menamatkan riwayat, atau Dajjal. Maka ia sejahat-jahat yang dinantikan. Atau hari kiamat, dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar. (HR At Termizi)

Monday, December 5, 2011

Doa-doa Rasulullah saw

1. 'Aisyah rha berkata: Rasulullah saw sebelum wafat baginda selalu membaca: 'Subhanallahi wabihamdihi astagfirullah wa atubu ilaihi' (Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya, aku minta ampun kepada Allah dan taubat kembali kepadaNya).

2. Ibnu Abas ra berkata: Kami telah menghitung dalam satu majlis Rasulullah saw mengucapkan: Ya Allah ampunilah aku, terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih. (HR Abu Dawud)

3. Ibnu Abas ra berkata: Rasulullah saw jika menghadapi kesukaran akan membaca: Tiada Tuhan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Sabar, tiada Tuhan kecuali Allah Tuhan memiliki Arasy yang Besar, tiada Tuhan kecuali Allah Tuhan yang memiliki langit dan bumi, Tuhan Arasy yang Mulia. (HR Bukhari, Muslim)

Saturday, September 10, 2011

Kematian dan Jenazah

1. Membimbing membaca kalimah tauhid pada orang yang sedang menghadapi saat kematian: Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang akhir ucapannya adalah kalimat 'la illaha illallah' maka dia akan masuk syurga. (HR Abu Dawud)

2. Memejamkan mata mayat dan berdoa untuknya: Ketika Abu Salamah ra meninggal dunia dan mata beliau terbuka, Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya jika roh itu dicabut ia diikuti oleh mata. Kemudian baginda berdoa; Ya Allah ampunkanlah Abu Salamah, angkatlah darjatnya dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk, berilah pengganti yang terbaik di keturunannya, ampunkanlah kami dan dia wahai Rabb semesta alam, lapangkanlah baginya kuburnya dan terangilah dia di dalamnya. (HR Muslim)

3. Meletakkan jenazah menghadap kiblat: Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Barra bin Ma'rurr pernah berwasiat minta dihadapkan ke arah kiblat jika datang ajalnya kerana Rasullah saw bersabda: Hal yang seperti itu sesuai dengan fitrah. (HR Hakim, Baihaqi)

Monday, August 1, 2011

Dekati Syurga, Jauhi Neraka

Muaz ra berkata: Ya Rasulullah, beritahulah kepadaku amal yang dapat masukkan ke syurga dan menjauhkan aku dari neraka? Jawab Nabi: Sungguh engkau telah menanyakan sesuatu yang besar, tetapi ia mudah dan ringan bagi orang yang diringankan oleh Allah, iaitu taat mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan suatu apa pun.

Dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, dan puasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitulullah jika kuasa perjalanannya. Kemudian Nabi bersabda: Sukakah aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa sebagai perisai dan sedekah memadamkan dosa seperti air memadamkan api serta solat di tengah malam.

Kemudiaan Nabi membacakan ayat yang bermaksud, "Pinggang mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Maka tiada seorang pun yang mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka (iaitu pelbagai nikmat) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (As Sajdah: 16-17)


Kemudian Nabi bersabda: Sukakah aku beritahu kepadamu pokok dari semua itu dan tiang serta puncaknya? Jawabku: Baiklah, ya Rasulullah. Nabi bersabda: Pokok segala sesuatu ialah Islam dan tiangnya solat dan puncaknya yang teringgi ialah jihad.

Kemudian Nabi bersabda: Sukakah aku beritahu kunci dari semua itu? Muaz berkata: baiklah, ya Rasulullah. Maka Rasulullah memegang lidah lalu bersabda: Jagalah ini. Bertanya Muaz: Apakah kami akan dituntut dari semua percakapan kami?

Jawab Nabi: Celaka engkau, apakah kau kira orang tersungkur ke dalam neraka kerana mukanya, tiada lain ia adalah kerana hasil dari lidah mereka. (HR At Termizi)

Thursday, March 3, 2011

Niat dan Ilmu

Dari Umar ra: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat, sesungguhnya diberi balasan kepadanya setiap apa yang diniatkannya, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka ia berhijrah kerana Allah dan RasulNya dan sesiapa yang berhijrah kerna dunia dan segala isinya atau perempuan yang mahu dinikahinya, maka dapatlah dia apa yang dihijrahkannya. (HR Bukhari, Muslim)

Sesungguhnya Allah swt tidak menahan (menghilangkan) ilmu dari manusia dengan cara mencabutnya tetapi dengan mewafatkan para ulama sehingga tiada lagi orang alim. Dengan demikian orang ramai mengikut pemimpin-pemimpin jahil lalu ditanya (akan dia tentang suatu perkara) dan dia memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan. (Mutafaq 'alaih)

Wednesday, February 2, 2011

Tentang Tanaman dan Sedekah

1. Rasulullah saw bersabda: Tiada seorang Muslim menanam suatu tanaman, melainkan yang dimakan termasuk sedekah, dan yang dicuri termasuk sedekahnya, dan tiada diambil oleh seorang pun melainkan menjadi sedekahnya. (HR Muslim)

2. Dalam riwayat yang lain: Tiada seorang Muslim yang menanam tanaman, kemudian dimakan oleh manusia atau binatang atau burung melainkan menjadi sedekah baginya hingga hari kiamat.

3. Rasulullah saw bersabda: Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan dahulukan dalam pemberianmu orang yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah yang dari kelebihan kekayaan. Dan siapa malu dan sopan, Allah akan memelihara kesopanannya, dan siapa yang mencukupkan diri, Allah akan mencukupkannya. (HR Bukhari)

Thursday, January 27, 2011

Berkat Pada Makanan

1. Ibnu Abbas ra berkata bahawa bersabda Nabi saw: Berkat itu turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari tepi-tepinya dan jangan makan dari tengahnya. (HR Abu Dawud, At Termizi)

2. Wahsyi bin Hareb ra berkata bahawa sahabat Nabi saw mengadu: Ya Rasulullah, kami makan dan tidak merasa kenyang. Jawab Nabi saw: Mungkin kamu makan sediri-sendiri. Jawab mereka: Benar. Bersabda Nabi saw: Berkumpullah pada makananmu dan bacalah bismillah, nescaya diberikan berkat pada makanan itu. (HR Abu Dawud).

3. Umar bin Abi Salamah ra berkata: Ketika aku masih kecil dibawah jagaan Nabi saw selalu aku menghulurkan tangan kanan ke dalam bekas makanan, maka Nabi bersabda: Hai anak, bacalah bismillah, dan makanlah dengan tangan kanan dan makanlah dari yang hampir kepadamu. (HR Bukhari, Muslim)

Tuesday, January 18, 2011

Jaga Benda Berharga

1. Diceritakan oleh Ata' yang dia pernah mendengar Jabir bin Abdillah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Apabila malam gelap telah tiba (masuk waktu senja) maka tahanlah anak-anak kamu (jangan biarkan mereka keluar rumah) kerana pada waktu itu syaitan-syaitan sedang berkeliaran. Apabla waktu itu sudah berlalu maka kamu bolehlah biarkan mereka.

2. Dan tutuplah pintu-pintu sambil menyebut asma (nama) Allah kerana syaitan tidak boleh membuka pintu yang tertutup. Ikatlah bekas minuman kamu dan sebutlah asma Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kamu dan sebutlah asma Allah walaupun hanya dengan melintangkan sesuatu di atasnya. Dan padamkanlah lampu-lampu kamu. (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud)

3. Tutuplah bekas, ikatlah geribah (bekas minuman dari kulit), kuncilah pintu dan padamkanlah lampu kerana dengan demikian syaitan tidak boleh membuka tali geribah, membuka pintu dan menyingkap bekas makanan. Apabila seseorang di antara kamu hanya dapat melintangkan sebatang kayu di atas bekasnya dan menyebut Nama Allah maka hendaklah dia melakukan itu. Dan tikus boleh menyebabkan rumah terbakar. (HR Bukhari)

Tuesday, January 11, 2011

Perihal Derjat dan Keutamaan

1. Ketika Rasuullah saw sedang duduk tiba-tiba ada orang berjalan, lalu Rasulullah bertanya kepada orang yang duduk di sebelah baginda: Bagaimanakah pendapatmu tentang orang itu? Jawabnya: Itu orang bangsawan, demi Allah sungguh layak kalau ia meminang akan diterima, dan apabila ia membantu memintakan sesuatu untuk orang lain pasti akan diterima.

Rasulullah pun diam mendengar jawapan itu. Kemudian ada orang lain sedang berjalan, Rasulullah bertanya lagi kepada sahabat yang di sebelah baginda. Bagaimanakah pendapatmu tentang orang itu?

Jawabnya: Ya Rasulullah, itu orang miskin patut sekali kalau ia meminang tidak diterima, dan kalau menolong memintakan untuk orang lain tidak diterima. Maka sabda Rasulullah saw: Orang ini lebih baik dari sepenuh bumi seperti orang tadi itu. (HR Bukhari)

2. Rasulullah saw bersabda: Adakalanya seseorang yang yang terurai rambut dan berdebu, bahkan tertolak dari segala pintu rumah orang kerana rendahnya dalam pandangan manusia, tetapi kalau ia sungguh-sungguh minta kepada Allah pasti Allah akan menerimanya. (HR Muslim)

Sunday, January 2, 2011

Menziarahi Orang Sakit

1. Aisyah rha berkata bahawa Nabi saw menziarahi salah seorang keluarga baginda yang sedang sakit, maka baginda mengusap-usap si sakit dengan tangan kanan baginda sambil membaca: (maksudnya) Ya Allah Tuhan dari semua manusia, hilangkan segala penyakit, sembuhkanlah, hanya Engkau yang dapat menyembuhkan, tiada kesembuhan kecuali daripadaMu, sembuh yang tiada dihinggapi penyakit lagi. (HR Bukhari, Muslim)

2. Sa'ad bin Abi Waqqash ra berkata bahawa ketika Rasulullah saw menziarahiku, baginda berdoa: (maksudnya) Ya Allah, sembuhkanlah Sa'ad (diulang 3 kali). (HR Muslim)

3. Ibnu Abbas ra berkata bahawa Nabi saw menziarahi seorang Badwi dan biasanya jika Nabi saw menjenguk orang sakit baginda bersabda: Tidak apa-apa, semoga penyakit ini menjadi pencuci dosa-dosa, Insyallah. (HR Bukhari)

Thursday, December 23, 2010

Cinta dan Kasih Sayang

Rasulullah saw bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau perbuatan baik, meninggalkan kemungkaran dan cinta kepada orang miskin, dan semoga Engkau mengampuni dan menyayangi aku. Dan aku memohon untuk mencintaiMu, mencintai amal yang mendekatkan aku kepadaMu. (HR Ahmad).

Umar ra berkata: Ada serombongan orang tawanan datang kepada Nabi, salah seorang adalah seorang wanita. Wanita itu tiba-tiba memerah susunya sambil berjalan. Bila ia terjumpa dengan seorang bayi di antara tawanan maka dia ambil lalu disusukan ia.

Melihat perkara itu Nabi bersabda: Apakah menurut kamu wanita ini sanggup melemparkan anaknya ke dalam api?. Kami menjawab: Tidak, dia tidak akan rela untuk melemparkannya. Maka baginda pun menjawab: Allah lebih Penyayang kepada para hambaNya daripada wanita ini kepada anaknya. (HR Bukhari).