Showing posts with label Mutiara jauhari. Show all posts
Showing posts with label Mutiara jauhari. Show all posts

Thursday, April 9, 2015

Yang Layak Ke Syurga


1. Dengan cahaya iman manusia boleh meningkat kepada ketinggian yang setinggi-tingginya dan mencapai nilai yang melayakkannya ke syurga, namun dengan kegelapan kufur ia jatuh serendah-rendah derjat yang membawanya ke neraka. (Said Nursi)

2. Orang yang memerangi Islam akan menyesal dan orang-orng yang tidak berani menegakkan Islam secara utuh akan menyesal, sesungguhnya mereka akan menyesal di dunia sebelum sampai ke akhirat. (Said Hawwa)

3. Dunia Islam tidak akan bangkit semula melainkan kembali sepenuhnya kepada risalah yang diamanatkan oleh pembinanya iaitu Muhammad saw; secara kembali kepada ajaran Islam dengan kepercayaan yang bulat tidak berbelah bagi dan sedia berkorban untuknya. (Abu Hassan Ali An Nadwi)

Thursday, April 2, 2015

Ujub, Riya dan Kebijaksanaan


1. Meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia riya namanya, dan membuat sesuatu kerana manusia syirik hukumnya. Dan yang dinamakan ikhlas ialah Allah menyelamat-kan engkau dari kedua-duanya. (Fadhil bin Iyad)

2. Sekiranya kamu tidak mahu sifat ujub berada pada dirimu maka janganlah kamu suka pada pujian orang. Jika kamu ingin pada pujian-pujian mereka dan ingin orang memandang kerja-kerjamu dengan martabat tinggi, maka itulah ujub. (Sauri)

3. Orang yang bijaksana ialah orang yang menjalani kehidupan sekarang dan esok manakala orang yang bodoh ialah orang yang sekadar hidup. ( M Al Siba'i)

4. Ilmu itu adalah mengenal Tuhan dan tidak melampaui kedudukan dirimu iaitu menyedari kehambaanmu. (Al Junaid Al Baghdadi).

Antara Taat dan Maksiat

1. Cukup bagimu kemuliaan taat dengan kegembiraan kamu ketika kamu sedar tentang dirimu. Dan cukup bagimu kehinaan maksiat dengan kekecewaanmu ketika perkara tersebut ditimpakan kepadamu. (M Al Siba'i)

2. Semua manusia akan mati kecuali para ahli ilmu. Para ahli ilmu itu keliru kecuali yang beramal. Semua yang beramal itu tertipu melainkan yang ikhlas. Orang yang ikhlas itu berada dalam ketakutan kerana belum diketahuinya akan kesudahan amalannya itu. (Sahl At Tusturi)

3. Kebinasaan manusia terjadi dalam dua hal iaitu pertama, kerana mengerjakan yang sunat dan mengabaikan yang wajib (fardhu) dan kedua, dalam amal perbuatan kerana hanya mementingkan yang zahir dan mengabaikan yang batin. (Muhammad Abil Ward).

Friday, March 27, 2015

Antara Bisnis Dan Ibadah


1. Aku ingin untuk menghimpun antara perniagaan dan ibadah, tetapi keduanya tidak dapat berkumpul maka aku memilih ibadah dan meninggalkan perniagaan. (Abu Darda ra)

2. Sesungguhnya Allah swt menjadikan dunia terdiri dari tiga bahagian iaitu; sebahagian bagi orang mukmin, sebahagian bagi orang munafik dan sebahagian bagi orang kafir. Maka orang mukmin bagi menyiapkan bekalan, orang munafik menjadikannya hiasan dan orang kafir menjadikannya tempat bersenang-lenang. (Ibnu Abas)

3. Sebuah kenikmatan tidak akan bertahan lama kecuali dengan tiga perkara iaitu: bersyukur kepada Allah swt atas nikmat tersebut, memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya dan selalu berusaha untuk memperbaikinya. (M Al Siba'i)

Monday, March 23, 2015

Sederhana, Ikhlas dan Ujub


1. Makanlah barang yang baik tanpa boros, memakai tanpa berlebih-lebihan, menggunakan nikmat sebaiknya adalah satu ungakapan rasa syukur dan meningkatkan keinginan untuk berbuat baik serta menghalang nafsu dari suka membuang masa secara sia-sia dan berbuat zalim. (M Al Siba'i)

2. Ikhlas itu ialah orang yang tidak peduli akan hilangnya semua penilaian dirinya dari hati manusia kerana membetulkan hatinya; ia tidak suka orang tahu akan amal kebajikannya dan tidak marah jika orang lain tahu akan perbuatan jahatnya. (Al Harith Al Muhasibi)

3. Berapa banyak api lampu-lampu yang dipadam oleh angin ribut tapi banyak lagi ibadat yang telah dipadam oleh angin ujub. Segala amalan soleh mendapat nur dari Allah swt akan tetapi ibadat itu menjadi gelap sekiranya ribut ujub melanda walau pun dengan satu tiupan sahaja. (Pesanan Nabi Isa as)

Buah Sikap Dan Fikiran

1. Semua sikap yang utama menghasilkan buah darinya. Buah daripada iman adalah amal, buah rasa cinta adalah ketundukan dan ketaatan. Buah daripada ilmu ialah kekhyusukan sementara buah daripada persaudaraan adalah sikap saling menyangi. Manakala buah dari sikap ikhlas adalah sikap konsisten atau istiqamah dan buah dari jihad adalah sikap mudah berkorban.

Adapun buah daripada zuhud adalah kemuliaan dan buah daripada keyakinan adalah sikap berserah diri. Apabila sikap-sikap utama ini tidak menghasilkan sikap yang disebutkan tadi maka ianya hanya kata-kata kosong belaka. (M Al Siba'i)

2. Kebikan dan keburukan berasal dari fikiran kerana pemikiran adalah smber keinginan, zuhud, cinta dan benci. (Ibnu Qayyim)

Tuesday, May 27, 2014

Kesyukuran Yang Terbaik

1. Bentuk kesyukuran yang terbaik ialah dengan menjadi pengikut-pengikut Nabi Muhammad saw yang taat. (Abu A'la Al Maududi)

2. Muslim yang sebenar tidak akan mempersoalkan keutuhan hukum Allah swt walau bercanggah dan tidak serasi dengan kehidupan moden Barat. Akan tetapi penganut faham kebendaan (materialisme) beranggapan bahawa sesuatu itu betul hanya kerana ramai orang mengamalkannya. Seorang Muslim sebenar yang yakin akan kuasa Allah swt tidak akan meniru apa yang dilakukkan oleh orang lain, sebaliknya dia akan menuju ke jalan yang Allah swt mahu ia mengikutinya. (Maryam Jameelah)

3. Hasil dari kecuaian ialah penyesalan, dan hasil dari ketegasan ialah keselamatan. (Saydina Ali ra)

Friday, May 16, 2014

Semua Akan Terbongkar


1. "Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingat dengan bersungguh-sungguh. Akan tiba satu masa dimana akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan dibuka. Semuanya tertulis dalam kitab samaada yang kecil atau besar, semuanya akan dihitung." (Hasan Al Basri)

2. Taubat kerana membuat maksiat cukup hanya sekali manakala taubat setelah membuat ketaatan mestilah seribu kali. Ini kerana ketaatan yang disertai oleh ujub dan sombong itu berubah menjadi maksiat yang besar sementara pelakunya tidak sedar. Samalah seperti jatuhnya iblis dari singgahsana kehormatannya. (Abu Yazid Al Bustami)

3. Barangsiapa yang yakin akan hikmah Allah swt dan keadilanNya serta sabar atas qadha dan qadarNya maka ia menjadi imam bagi orang-orang yang bertakwa. (M Al Siba'i)

Tuesday, April 22, 2014

Pilihan Yang Berbahaya


1. Pilihan yang mengandungi bahaya hendaklah engkau serahkan kepada Pemillih Agung agar Dia memilih yang baik untukmu. (Abu Muhammad As Sajari)

2. Tinggalkan sifat tamak atau harapan yang tidak baik. (Abu Umar)

3. Barang yang amat berharga di dunia ini ialah ikhlas. Berapa kali aku cuba bersungguh-sungguh untuk menghilangkan riya dari dalam diriku namun tiba-tiba ia menjelma dengan cara yang lain. (Yusuf bin Al Husin Ar Razi)

4. Iman memberikan kita dalam kehidupan ini semua yang sentiasa kita perlukan dari manusia lain seperti amanah, kejujuran, cinta dan hubungan yang baik. (M Al Siba'i)

Monday, March 17, 2014

Tertipu dan Lupa Dosa Sendiri


1. Apabila iblis telah berjaya mencapai salah satu dari tiga perkara ini dari anak Adam iaitu; pertama terpedaya dengan diri sendiri, kedua merasa bahawa amalan-amalan sendiri lebih banyak dari amalan orang lain, ketiga terlupa dengan dosa-dosa sendiri, maka iblis tidak akan menuntut apa-apa lagi dari orang tersebut. (Huzan bin 'Aiyat)

2. Orang yang dengki bukanlah seorang ahli agama dan orang yang suka mencela tidak termasuk golongan orang yang beribadah. Orang yang suka mengadu termasuk orang yang tidak boleh dipercayai dan orang yang hasad termasuk orang yang tidak perlu ditolong. (Hatim Al Asyam)

3. Berangan-angan memutuskan tiap-tiap kebaikan. Tamak pencegah dari tiap-tiap yang hak, sabar membawa kepada kemenangan dan nafsu mengajak kepada kejahatan. (Umar Abdul Aziz)

Thursday, March 6, 2014

Beratnya Melatih Jiwa

1. Latihan jiwa terhimpun dalam empat perkara iaitu makan sekadar mengembalikan kekuatan badan, bercakap yang perlu sahaja, mengurangkan tidur dan menahan cercaan dari semua orang. (Yahya bin Muaz Ar Razi)

2. Orang yang takabur tidak akan dikeluarkan oleh Allah swt dari dunia ini sebelum diperlihatkan kepadanya penghinaan dari keluarganya yang terendah dan dari orang suruhannya. (Hatim Al Asham)

3. Orang yang paling bodoh ialah yang meninggalkan atau mengabaikan keyakinan yang paling benar dan hak yang ada padanya kerana menurut sangkaan manusia. (Ja'afar As Sodiq)

4. Kawan-kawan yang jahat merosakkan orang yang berjalan menuju Allah swt. (Hassan Al Basri)

Sunday, February 16, 2014

Alasan dan Berkawan Orang Bodoh


1. Alasan bahawa ketidakmampuan kita disebabkan oleh keadaan, itu tidak benar. Kita sedang dalam suasana pembicaraan menuju kesempurnaan, bukan untuk pembelaan diri dari kekurangan. "Serulah (manusia) ke jalan Tuhannmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik." (An Nahl: 125).

 Allah swt tidak memerintahkan Rasulullah saw supaya bersegera dan bersikap keras. Maka utamakanlah tindakan perlahan yang bijaksana untuk mendapat kejayaan yang sempurna. (Hasan Al Bana)

2. Jangan kamu berkawan dengan orang yang bodoh dalam keadaan apa sekali pun kerana kamu tidak boleh berpura-pura bodoh bersamanya atau dia berpura-pura berfikir denganmu. Keadaan pertama adalah suatu keburukan bagimu dan keadaan kedua dia telah keluar dari tabiatnya. (M Al Siba'i)

Monday, April 2, 2012

Cerminan Diri

Engkau diciptakan oleh Allah swt dengan berbekalkan kelalaikan, kefakiran, kelemahan dan memerlukan segala pertolongan. Semoga dengan teropong kelalaianmu kamu dapat memandang kepada kesempurnaanNya Yang Maha Suci, dengan ukuran kefakiranmu kamu dapat memandang kepada derjat kekayaan dan RahmatNya dan dengan neraca kelemahanmu kamu dapat memandang kepada kebesaran kekuasaan dan keagunganNya; dengan melalui pelbagai macam keperluanmu kamu dapat memandang keaneka-ragaman nikmat dan kebaikanNya. (Said Nursi)

Tidak ada kebaikan sama sekali dalam diri seorang hakim yang tidak dipandu oleh agamanya, orang yang berakal tetapi tidak pernah menggunakan akalnya, orang alim yang tidak diberi petunjuk oleh ilmunya dan orang yang kuat yang tidak dikuasai oleh sikap adilnya. (M. Al Siba'i).

Sunday, March 18, 2012

Tentang Hati dan Umur

Seksa bagi seorang zalim itu ialah kematian hatinya. Ketika ditanya bagaimana matinya hati itu? Iaitu mencari dunia dengan menjual akhiratnya. (Al Hasan ra)

Sesungguhnya wujudnya ingatan kepada Allah swt di dalam hati merupakan cahaya, ketenangan, kemuliaan dan kekayaan. Manakala wujudnya perkara-perkara lain di dalam hati adalah kegelapan, keganasan, kehinaan dan kefakiran. (M Al Hashimi)

Pertengkaran itu mengeraskan hati dan mewariskan kedengkian. ( Anas bin Malik ra)

Keseluruhan umurmu itu adalah jangkamasa di mana engkau hidup di dalamnya. Oleh itu perbaikilah pekerjaanmu semasa hidup sebaik mungkin kerana kesempatan itu tidak akan berulang lagi. (M Al Siba'i)

Saturday, February 11, 2012

Seni, Makanan dan Nikmat

1. Satu bangsa tidak akan boleh dikalahkan oleh seni, tetapi ia dikalahkan dengan kekuatan. Maka suatu penyesatan jika seni dianggap sebagai salah satu sarana kekuatan. (M Al Siba'i)

2. Barangsiapa memakan yang haram nescaya derhakalah segala anggota tubuhnya, baik dengan sengaja atau tidak. Dan barangsiapa memakan yang halal, nescaya ia akan ditaati oleh segala anggota tubuhnya dan diberi taufik untuk melakukan kebaikan. (Sahl At Tusturi)

3. Barangsiapa yang tidak menghargai nikmat, maka akan dicabut nikmat itu dalam keadaan ia tidak menyedarinya. (Sirry As Saqti)

4. Orang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya, akan lenyaplah ilmu itu seperti lenyapnya embun pagi dari Bukit Safa'. (Malik bin Dinar)

Saturday, December 24, 2011

Kepincangan Umat

1. Kita berterus terang dalam hal kepincangan umat dengan menegaskan bahawa kepincangan yang berlaku itu adalah bepunca dari diri kita yang suka mementingkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain, seperti pepatah: kuman yang di seberang laut nampak, gajah yang di bibir mata tidak nampak. (Yusof Al Qaradhawi)

2. Mereka yang mempunyai iman di dalam hati tidak akan membiarkan kemungkaran berleluasa dan juga tidak akan teragak-agak untuk berjuang di jalan Allah swt. (Al Maududi)

3. Di antara tanda-tanda hilang penglihatan adalah perasaan risau dan gelisah seorang manusia ketika rumahnya gelap gelita akan tetapi dia tidak sedikitpun rasa cemas atau terusik bila hatinya gelap. (M Al Siba'i)

Tuesday, November 22, 2011

Menambah Kecerdasan Akal

1. Ada empat perkara yang dapat menambah kecerdasan akal iaitu; meninggalkan perkataan yang tidak perlu, bersuci, berkawan dengan orang yang soleh dan bergaul dengan para ulama. (Imam Ghazali)

2. Kita ini seperti anak-anak kecil iaitu kita benci kebenaran umpama kita bencikan ubat kerana pahitnya tanpa memikirkan betapa nikmatnya kesembuhan. Kita menyukai kebatilan kerana kita merasakan keseronokan luarannya tanpa memikirkan racun yang tersembunyi di dalamnya. (M Al Siba'i)

3. Kalau engkau suka dirimu tidak terkenal di kalangan orang ramai, maka engkau akan mendapat kedudukan yang tinggi dari Allah swt. (Abu Ubaidah Al Jarrah)

Thursday, November 3, 2011

Yang Amat Kita Perlukan

1. Mungkinkah zaman ini merupakan zaman peralihan kali kedua dari dunia jahiliyah ke dunia Islam. Adapun syarat mencapai peralihan ini adalah ketulusan hati, semangat juang dan ketekunan umat menjalankan seluruh ajaran Islam. (Syed Qutb)

2. Janganlah berkawan dengan tiga jenis manusia iaitu orang-orang yang gagah tetapi lalai, orang-orang yang Qari tetapi suka mengampu dan orang-orang sufi yang bodoh. (Sahl At Tsuri)

3. Bersabarlah kamu terhadap apa yang dilakukan oleh orang yang kamu benci kepadamu, lalu perhatikan apa yang mereka katakan. Jika benar maka perbaikilah dirimu, namun jika bohong makan jangan ragu bahawa Allah swt akan memperlihatkan kebenaran meskipun terpaksa menunggu masa yang lama. (M Al Siba'i)

Sunday, October 9, 2011

Beberapa Rahsia Hati

1. Sesiapa yang mencaci dirinya di hadapan khalayak ramai sebenarnya ia memuji dirinya; itulah riya'. (Hasan Al Basri)

2. Satu lagi tanda kemunafikan ialah rasa gembira apabila mencaci sahabat sendiri. (Hudzari)

3. Sesungguhnya ikhlas itu bermakna ketika bersamaan amalan seorang pada zahir dan batinnya. (Huzaifah Al Mu'asyi)

4. Telah diteliti oleh alim ulama akan pengertian ikhlas maka mereka tidak menemui selain dari yang disebut ini iaitu gerak dan diamnya seseorang dalam keadaan susah dan senang hanya kerana Allah swt semata-mata tanpa dicampuri oleh hawa nafsu dan dunia. (Abu Muhamad Tastari)

Friday, August 19, 2011

Cinta, Nikmat dan Pertengkaran

1. Sesungguhnya kecintaan itu akan mengubah yang pahit menjadi manis, tanah menjadi emas, yang keruh menjadi jernih, yang sakit menjadi sembuh, penjara menjadi taman, penderitaan menjadi kasih sayang. Kecintaanlah yang melunakkan besi, mencairkan batu, membangitkan yang mati dan meniupkan kehidupan kepadanya, serta membuat hamba menjadi tuan. (Jalaluddin Al Rumi)

2. Barangsiapa yang diberi harta, keelokan paras rupa, pujian atau ilmu, kemudian tiada mengendalikannya dengan amanah, nescaya perkara-perkara tersebut akan merupakan bencana pada hari kiamat. (Qatadah bin Da'amah)

3. Jagalah kamu dari berbantah-bantahan kerana perbantahan itu merupakan kebodohan orang yang berilmu. Pada saat itulah syaitan berusaha supaya kamu tergelincir. (Muslim bin Yasar)