Showing posts with label rambling. Show all posts
Showing posts with label rambling. Show all posts

Thursday, April 2, 2015

Siapa Tak Sayang Duit



 Rangoon Creepers


 Bunga trumpet


 Hoya


 Hoya

Memang tabiat manusia kalau nak sesuatu jarang dapat bersabar. Bak kata orang Amerika: I want it when I want it. Yang banyak duit ringgit lagi tinggi tahap tak sabarnya, kalau boleh masa tu juga mesti ada tersedia. Bila apa yang dihajat ada di depan mata barulah hati puas.

Dulu aku kurang kesah sangat tentang harga barang eletrik, make-up, kain baju atau barang runcit. Membeli ala kadar, kat mana yang sempat. Sat kat kedai dan
supermarket atau di pasar malam. Kekadang dengar dari kekawan yang rajin pergi shopping, Merekalah yang dijadikan rujukan untuk buat perbandingan harga. Kadangkala pasaraya besar offer harga yang lebih rendah dari kedai runcit untuk sesuat barang. Tapi, jerat yang dipasang pasaraya lebih cepat mengena.

La ni dah pandai sikit. Takkan nak ikut cara orang lain berbelanja. Membeli belah bukan setakat capai dan bayar semata. Dengan nilai ringgit dah jatuh, janji GST kata harga barang turun tapi makin meningakat dan harga minyak sekejap turun sekejap naik jadi terpaksalah check harga setiap barang. Harga makanan minuman di warung dan kedai mamak, keperluan lain di pasaraya, pasar borong dan pasar tani. Masaalahnya harga naik memanjang......Kalau ada perkara yang melibatkan duit, berjaga-jaga kerana ramai yang cuba menipu tetapi lagi ramai yang terkena. 

Berhematlah ketika berbelanja. Beli yang perlu sahaja. Hati berdetik dan berbisik, jangan tak sayang duit, bukannya senang nak dapat lebih-lebih lagi nak mengumpulnya. 

Monday, March 23, 2015

Memori Kebun Durian

 
 Pokok durian
 Ada sungai mengalir
Lebat berbuah
Longgok di porch
Jom makan durian

Impian nak ada kebun yang di bawahnya mengalir sungai (di dunia ni) terpaksa dilupakan. Kebun durian ni hanya dua kilometer dari kampung dan ada sungai. Dua tahun menunggu proses jual beli tanah tiba-tiba tak jadi. Sedihnya tapi itulah ketentuan Ilahi, dipendikkan cerita tak ada rezeki. Namun tuan tanah pinjamkan pada kami kebun tu selama menunggu. Kebetulan pula durian berbuah dua kali setahun. Setip hari ke kebun tak kira pagi dan petang, pungut dan angkut mana yang gugur. sambil tu fikir nak kasi siapa....BFF, jiran-jiran dan sesiap yang teringat.

Kebun ni memang terletak dalam kawasan dusun durian. Tak putus orang bermotorsikal dengan bakul penuh durian lalu lalang untuk dibawa keluar. Ada yang bawa dokong, pulasan dan rambutan. Di sepanjang jalan kenalan menyapa singgah untuk merasa durian mereka. Ketika ini pondok duiran yang ada penghuni ada unggun api di tepinya untuk menghalau nyamuk. Ramai yang bermalam tunggu durian gugur. Bestnya lepas kenyang durian dapat rendam kaki di sungai yang jernih dan dingin airnya.

Ulang alik kami jumpa lawyer. Nak ambil hati tuan tanah hantar  durian kerumahnya setiap kali musim durian gugur. Kami sabar dan  En K kata urusan jual beli tanah memang rumit. Sambil tu kami berangan nak buat kem dan dirikan rumah kecil untuk lepak. Seronok nak panggil saudara mara dan kekewan. Bawa anak-anak mandi sungai, buat rakit dan beli sampan. Nak bermalam kalau musim durian, nak tanam pokok durian musang king, nangka mastura, pulasan, cempedak dan ulam-ulaman.

Setahun selepas tak jadi ada orang lain tawarkan tanah yang di sebelah kebun pertama. Tapi En K dah patah hati dan duit pun sudah digunakan kelain. Apapun En K cari kebun yang buahnya perlu dikait baru gugur dan cuma ada parit kecil di penjuru kebunnya. Kami balik seperti asal, nak makan durian kena pergi membeli. Ataupun merasa durian yang orang bagi sekali sekala. Hati berdetik dan berbisik...... tak ngapa, dapat duit kelapa sawit boleh beli durian, syukur....syukur.

Hajat Berpisang


  Pokok patah tengkok
 Ini pun patah juga
 Pangkas daun

 Ditongkat sebelum patah
Semoga tak tumbang


Tak sangka pulak pisang naik harga dengan tiba-tiba. kalau dulu harganya RM 2.50/kg sekarang dah jadi RM 4.50/kg. Di rumah ni pisang memang laris terutama bila dibuat cokodok, lempeng atau digoreng. Cokodok mesti pisang emas. Kalau nak goreng aku guna pisang tanduk, pisang raja, pisang nipah/abu atau pisang awak. Pisang nangka ada yang tak suka sebab masam dan pisang lilin (cuma ada di Batu Pahat Johor, kot?) susah nak dapat. Istimewa kerana rasa isinya manis, kental dan warna keemasan berkilat selepas digoreng.

Kata orang di Sungai Siput pisang naik harga sebab pokok pisang seMalaya sudah kena penyakit kulat aka mucor. Kata En K permintaan pisang jadi tinggi kerana ramai pengusaha IKS buat kerepek dan Malaysia sudah jadi pengeksport banana chips terbesar. Kata orang lain ramai beno pencuri yang kebas pisang sampai orang dah malas tanam. Hujahnya, buat apa menanam kalau pencuri bawa lori dan tuai pisang berbelas tandan satu malam. Nak tunggu pisang berbuah lebih setahun dan pokok pisang hanya berbuat sekali seumur hidup.

Aku dah lama ada pokok pisang di belakang rumah. Abah kata mesti ada pokok pisang, mudah dapat daun untuk buat pais, lepat, lempeng, lemang serta bakar ikan. Mula-mula ada pokok pisang tanduk, kemudian pisang lemak manis dan pisang emas. Bila pisang sendiri tak berbuah aku membeli dan kalau ada lebih aku pula boleh sedekah. Tapi malangnya lately pokok pisangku mudah patah pinggang atau tengkok sebelum buahnya matang. Sayang buahnya, nak buat sayur lemak terasa malas, nak peram tak akan masak elok.

Fikir punya fikir mungkin pokok top heavy. Dan angin kat belakang rumah ni agak kuat sebab tak dekat dengan bangunan. Lagipun semua daun pisang dari pokok matang habis daunnya koyak rabak. Faktor penyebab: angin. Apalagi ambil parang, pangkas semua daun dan letak tongkat pada pokok. Dapatlah pokok bertahan sebulan dua hingga buahnya matang. Hati berdetik dan berbisik.......... di mana ada kemahuan di situ ada jalan, hajat makan pisang tanam sendiri.

Sunday, March 22, 2015

Letihnya Melayan Hati

Plumeria di halaman Mi
Bunga berjambak
A.k.a bunga kemboja
Cikgu kata fragifani
Ada warna pink, maroon 
atau putih

 Mungkin terjadi pada aku saja, orang lain tak kot? Letih betul sesekali terkena hantu lalu melayan hati yang tidak sihat hingga fikiran jadi berserabut. Sebenarnya banyak fikiran kreatif dan idea bagus boleh dijana kalau hati sihat. Namun namanya manusia yang beremosi dan berperasaan, semua kebaikan hilang bila jiwa tertekan.

Bila diselidiki tentunya fasal hati terutama sekali bila tersentuh hati, terhentak hati, tercalar hati atau terguris hati. Maka mulalah jauh hati sehingga kalau dipanjang-panjangkan menyebabkan lebih sakit hati dan hilang pertimbangan. Fikiran berlegar macam mana nak bagi puas hati dan cari jalan 'to get even'.

Kalau hajat tidak sampai mula termenung makan hati. Mula hati berdetap dan tersentap menuduh orang lain hati batu dan hati kering atau busuk hati dan buta hati.

Bila banyak sangat yang tak baik bersarang dalam hati maka hati akan terbius dengan pelbagai sifat buruk tersebut. Rasa diri tak bersalah dan telah dianaiya. Untung kalau cepat sedar, beristigfar dan ingat kesalahan. Apa hal jika tak sedar, terus koma dan full stop? Malang sungguh malang.

Semoga aku cepat jadi baik dan ingat cakap orang tua-tua, jangan ikut kata nanti binasa, jangan ikut hati nanti mati. Tidak mengapa buta mata tapi jangan buta hati. Hati berdetik dan berbisik....... dan sekiranya hati mati bayangkan, diri jadi mayat yang berjalan a.k.a zombie.

Tuesday, May 27, 2014

Pinang, Tunang dan Kompang

Elok berdua
Mr Red and Miss Yellow
Sesama oren
Sesama kuning
Dua kuntum teluki

Berita baik anak saudara (lelaki) umur 27 tahun bertunang hari ni. Pihak lelaki akan bawa 7 dulang ke rumah perempuan. Duit hantaran dah sepakat nak bagi sebanyak RM 13,000. Selain itu diiringi dengan sebentuk cincin, sepasang baju, kasut, beg tangan, kek dan lain-lain. Setiap item diletak di atas dulang berkaki beralas baldu, dihias bunga-bunga ros dan ditutup kain renda. Emaknya kata nak buat secara ringkas, sedikit doa selamat dan bertolak lepas solat zohor. Tiga biji kereta penuh penumpang jugalah. Mujurlah rumah perempuan hanya 50 km sahaja, jadi tak susah nak merancang perjalanan.

Seingat aku dalam tahun 80an hantaran belanja di kampongku standardnya RM 2,000. Kalau lebih mesti anak orang kaya atau gadis yang paling cantik yang akan dijodohkan dengan 'somebody' dari bandar. Sebelum tu, di tahun 60an masa Pak Ngah bertunang, belanja hantaran cuma RM 500. Barang hantaran sebentuk cincin emas yang dipanggil cincin belah rotan dan kain empat ela untuk dijadikan sepasang baju kurung. Barang-barang tersebut dibungkus rapi dan diletakkan dalam dulang tembaga bersama tepak sirih. Tak ada rombongan yang menghantar, cukup bakal ibu dan bapa mertua yang pergi.


Kenduri di zaman tu semuanya dibuat secara bergotong royong. Jiran tetangga menyumbang beras, gula, kelapa biji, ayam hidup dan telur. Kenduri tiga hari dua malam, kerana hari pertama siapkan balai dan tungku, hari kedua menyediakan makanan, hari ketiga barulah jamuan makan. Meriah bukan main kerana seluruh penduduk kampong datang menolong. Namun sekarang keadaan sudah berubah, tidak ramai yang sanggup jadi penanggah (memasak) dan kendarat (melayan). Tak ada masa dan ruang, jiran tak rapat dan keluarga pula jauh. Jadi kenalah berbelanja sikit untuk meraikan orang yang baru nak membina masjid. Hati berdetik dan berbisik........semoga Allah swt mudahkan semua urusan dan selamat menempuh satu lagi lembaran dalam hidup ini.


Wednesday, May 21, 2014

Ramadan Dah Dekat

 
 Buah pokok hutan
 Chilli 'Marbles'
 Winter cherries
 Pokok di nurseri
 Mas cotek
Besarnya hajat nak jadi qariah tapi tak kesampaian sebab suara tak sedap dan belajar agama pun tak tinggi. Namun ada menimpan hasrat untuk membaca Al Quran dengan lancar dan betul. Apalagi bila terdengar suara yang perlahan tapi merdu dan indah membaca al Quran di Padang Arafah. Siapa? Katanya dia dari Kedah dan setiap hari dia membaca 1 juz .

Lepas tu mulalah aku cari kawan yang boleh dijadikan guru. Dapat sebut mahraj huruf tanpa gayat yang mana bunyi ha pedas, kha dalam dan kho yang bunyi macam dalam rengkong. Tahu mana nak dipanjangkan atau dinytakan bunyi bila jumpa empat hukum yang asas iaitu izhar, ihfak, idgham dan iklab. Teringat arwah mak yang baru betul-betul belajar tajwid ketika hampir 60 tahun. Katanya orang dulu-dulu baca ikut tok guru baca. Dia ajar dua tiga ayat dan kalau bacaan murid lancar dia akan alih dan ajar ayat berikutnya.

Rugi rasanya kalau tak tak ikut orang bertadarus di surau semasa bulan Ramadan ni. Walaupun pesertanya orang-orang warga emas belaka tapi mereka sangat cekap menyimak bacaan seseorang. Ada yang sudah bertahun-tahun belajar tajwid dari para guru yang bertauliah serta qari yang pernah menang diperingkat negeri dan antarabangsa. Bila bacaan ditegur di khalayak ramai ada juga yang berkecil hati hingga ada enggan datang bertadarus. Yang tebal telinga dan berniat bersih betul-betul nak belajar tetap teruskan juga. Nak dapatkan ilmu kena berkorban sedikit.

Bagi aku empat bulan sebelum Ramadan ni nak pecut sikit baca Al Quran. Habiskan tiga puluh juz dalam masa sebulan. Setiap 11 haribulan aku khatam, insyallah. Sebenarnya 11hb hanya catatan kerana aku sudah mulakan semula juz pertama sebelum 5hb di bulan yang sama. Oleh kerana juz 1 hingga 23 ayat-ayatnya lebih panjang dan sukar jadi aku cuba selesaikan pada hujung bulan. Kemudian habiskan 7 juz lagi dalam 4-5 hari di bulan berikutnya. Inilah cara aku memotivasikan diri. Apapun kena baca 1 juz sehari dan kalau termiss kena baca lebih pada hari yang lain. Hati berdetik dan berbisik........kalau tak dapat buat semua jangan tinggal semua.   

Sunday, April 6, 2014

Sedikit Lagi Bagus

 Di R&R
 Di PCB, Kelantan
 Di Simpang Pulai
 Di Simpang Pulai
Di Simpang Pulai

Bila membaca poem 'The Lake Isle of Innesfree' katanya, kalau nak hidup senang dan tenang, sumber material tak perlu banyak. Ada pondok kecil, beberapa batas pokok kacang dan satu sarang lebah madu sudah mencukupi. Rasaku, tambahlah sikit dengan dua tiga ekor ayam dan seekor kambing. Bila tak banyak barang tak perlu lama berkemas terutama kain baju, buku-buku, pinggan mangkuk dan pasu-pasu bunga. Lebih banyak masa untuk berfikir dan berzikir, lebih ringkas dan mudah kehidupan.

Malangnya dalam zaman modern ni kita cuba selesaikan banyak masaalah secara jangka pendik saja. Kita sangka jika ada kemudahan material semuanya beres. Macam dalam iklan, ada peti sejuk besar tak perlu ke pasar selalu, sayuran lebih fresh, nak masak bahan dah tersedia.  Namun masaalah lain pula timbul, harganya sudah tentu mahal, ruang dapur sempit, bil letrik naik, tak isi barang rugi saja. Lalu kita ada pelbagai kerusi meja dan periok belanga pelbagai kasut, baju, handbag dan asesori. Selagi ada ruang pasti diisi, selagi mahu kita membeli. Kekadang seperti orang yang punya lebih baranglah paling bahagia, ceria dan aman hidupnya.

Lalu kita beli pelbagai barangan rumah hingga menimbun. Nak beri orang lain, barang mereka pun dah banyak mahan tidak mahu menerima. Sebabnya  tabiat kita bila memberi barang terpakai selalunya yang lusuh, cacat dan hampir tak befungsi.

Walaupun stor sudah sarat, terpaksa juga simpan barang-barang tersebut samada yang dah terpakai, obsolete atau tak sempat nak guna dalam store. Konon sementara tunggu ADA masa untuk memeriksa, memilih dan membuang. Tapi bila?. Takkan nak hidup di bawah timbunan sampah selamanya. Mungkin boleh mulakan dengan apa orang kata, "Have nothing in your houses that you do not know to be useful or believe to be beautiful". Hati berdetik dan berbisik.........kalau nak sedikit barang kurangkan membeli, kecilkan nafsu, kempiskan poket dan berjimatlah.

Sunday, March 30, 2014

Tekun Mencari Rezeki

  Pembancuh simen
 Sisi kanan
  Sisi kiri
Tekun bekerja
Laman depan
Dalam pembinaan


Ketika mengecat rumah, renovate bilik air dan mengganti longkang, En K bagi Ah Peng dan pekerjanya yang buat. Dia ni berumur tujuh puluh tahun, bertubuh kurus dan beruban. Walaupun sudah tua matanya masih terang, tegap berjalan dan mulutnya juga ramah menyapa. Kata En K orang memang suka pada Ah Peng kerana senang kira, semuanya ok....ok....boleh....boleh..... Nak tukar itu, buatkan macam ni, pendik kata segalanya beres. Bila ditanya tentang harga dia menjawab, nanti kira sekali laa.

Pekerjanya ada lima orang dan sangat hormat kepada orang tua tu. Tak ada yang berani datang lambat, menyembang atau memandai-mandai buat kerja yang bukan disuruh Ah Peng. Dua orang darinya bujang terlajak jadi mereka ni bila bekerja suka pula menyanyi-nyanyi. Apa pun kerja mereka kemas dan teliti terutama memasang jubin dan mengecat. Cara kerja, slow and steady. Tidak kelam kabut sebab bila cepat sangat siap nanti nampak macam tak cukup bekerja pulak.

Sayangnya bila bekerja mereka kurang menghiraukan keselamatan diri. Selamba bekerja tak payah guna mask ketika mengecat, tak pakai goggle ketika mendrill dan tak guna sarung tangan ketika buat kerja berat. Kata Ah Peng pekerjanya orang susah, bergaji hari, dapat duit hanya untuk makan dan minum. Tapi aku tabik melihat kegigihan mereka bekerja jadi tidak hairanlah kalau Ah Peng dapat banyak projek. Di ofis aku dulu pun ada orang macam dia ni. Dia dan pekerjanya setiap hari datang, menaiktaraf bilik dan bangunan, membaiki bumbung dan lantai dan seribu macam benda hingga kami menggelar mereka staff yang tak ada punch card.


Satu lagi mereka sabar melayan kerenah pelanggan hingga yang minta buat itu dan ini tak sedar duit senyap-senyap mengalir keluar. Bila bajet permulaan RM 10K tapi setelah siap harga sudah jadi 15K. Apapun kena redha sebab itulah harga perlu dibayar untuk kepuasan hati. Hati berdetik dan berbisik.....bagusnya mereka, pandai memikat pelanggan dan pandai pula bekerja walaupun  tidak berpelajaran tinggi. 

Monday, March 17, 2014

Berharga Tapi Terbiar

 
Tanah terbiar kosong
Hanya semak samun
Siap dengan kolam
Berpagar tapi semak
Siapa punya tanah ni


Tanah kosong yang melaut-laut ditumbuhi lalang dan semak samun memang senang ditemui. Kekadang dekat benar dengar rumah orang atau ada juga rumah yang hampir ditelan belukar ni. Kenapa tanah tidak dikerjakan? Dibersihkan dan ditanam pokok yang boleh datangkan hasil. Kalau tidak berjual cukuplah untuk makan sendiri. Nenek moyang kata pokok ubi paling senang hidup, baling batangnya dari tingkap Insyallah tumbuh. Tak payah baja dan siram, tak dapat ubi daunnya pun boleh dimakan. Gitu juga pokok keledek dan keladi, tenyeh aje keratan dan anak pokok, tumbuhlah mereka dengan gumbira.

Betullah memelihara habitat asal perlu untuk pelbagai makhluk hidup dan membiak. Kalau ada pilihan tentu serangga seperti kumbang, belalang dan rerama lebih suka pada tumbuhan yang tidak diracun. Selalunya ladang getah dan kelapa sawit, sawah dan kebun sayur guna racun untuk kawal rumpair. Tapi tanah terbiar bukan kes kerana sayangkan ekosistem. Mungkin lebih pada tak sayang tanah. Tak berminat nak bertani, kerja banyak dan terok tapi dapat hasil lambat. Kasihan kita, nasib ada orang lain tanam kalau tidak kena makan daun getah.

Tanah yang tidak dikerjakan merupakan satu pembaziran. Kalau tak mampu boleh kongsi cari modal untuk bertani atau sewakan tanah tersebut agar dapat dimanfaatkan. Banyak hasil tanaman yang ada harga sekarang. Paling senang jagung, pisang, kacang tanah, ubi dan tebu. Orang jual tongkol jagung sementara batang jagung, daun tebu, daun kacang tanah orang angkut berlori-lori untuk makanan ternakan.

Bertahun aku lalu lalang di jalan ini, banyaknya tanah terbiar. Tanya siapa tuannya? Kata orang ini tanah tak ada geran atau tuan tanah sudah meninggal atau waris tak dapat dikesan. Kekadang ada tanah pusaka yang mana adik beradik tak sepakat membangunnya. Sebenarnya kaum kita bukan tak ada tanah tapi tak ramai yang rajin mengurusnya. Nak dijual ada yang tak setuju, nak dipecah terlalu kecil bahagiannya lalu biarlah semua tak dapat. 

Mungkin satu masa nanti generasi yang akan datang tak kenal bertani dan tak sayang pada tanah. Hati berdetik dan berbisik,,,,,dan kita bakal hilang satu lagi hak yang paling berharga.


Monday, March 10, 2014

Sikit Pun Duit

 
 Buah rambutan di pokok
 Rambutan gading
 Sudah siap diikat
Cili padi, kecil pedas
Hasil letih memungut

Aduhai, tak ramai anak zaman sekarang yang tahu macamana susahnya ibu bapa nak dapat duit. Yang kecil lagi pandai sarankan kalau sudah habis duit pergi saja cucuk kat kotak di bank. Tentu ada duit keluar. Hajatnya tentu hendak ke restoren makanan segera atau tarik tangan ke superstore. Di sana ibu bapa jadi pening sebab anak-anak mengoder itu ini dan ada yang sanggup berguling di atas lantai minta belikan sesuatu. Ibu bapa yang malu-alah terpaksa membeli walau hati membara dan muka jadi kelat ketika membayar.

Anak yang besar tentu segan nak berguling.  Mungkin ada yang masam dan sugul, ada yang mogok dan ada yang ugut-ugut sayang. Kalau belum bekerja mereka dengan muka manis mohon isi minyak motor dan top-up walaupun sudah dapat makan tanggung. Yang bekerja gaji hanya cukup untuk diri sendiri. Ibu bapa yang simpati dan mampu bantu juga seratus dua. Yang tak mampu bantu beri barang keperluan. Rasanya ramai yang berat nak bawa ubi keladi, pisang atau kelapa dalam bonet kereta. Hulur duit lebih dihargai.

Kekadang sempat juga aku bernostalgia dengan anak-anak tentang susahnya nak dapat duit dulu-dulu. Zaman tu, nakkan seposen dua kenalah tolong ibu bapa di bendang, di kebun getah atau kelapa sawit. Itupun kalau mereka nak bagi. Anak-anak yang mendengar buat selamba, kata mereka cerita ni menarik kalau disiarkan di radio Klasik Nasional. Nak tunjuk susah kat kampung atok nenek keadaan ini sudah tak wujud lagi. Rumah dah cantik, jalan tar sampai ke depan rumah, kebun dan bendang dah jadi perumahan. Tv dah ada Astro dan nak breakfast pun beli. Cuma yang dapat aku katakan cara hidup  dulu-dulu tak macam ni.

Kebetulan tiga pokok rambutan di tepi rumah berbuah lebat dan beberapa pokok cili padi yang hidup sendiri berbuah hingga tak habis makan. Jadi kami buat projek jual rambutan dan cili. Kerja nak petik, kumpul dan ikat bukannya senang. Nak pungut cili sebiji-biji hingga dapat sekilo macam nak termuntah jenuhnya. Nasib baik pokok  rambutan  tak terlalu tinggi atau bayak semut. Rambutan diangkut dengan kereta dan letak kat kedai kawan. Cili puladi jual pada kawan-kawan. Dapatlah seratus ringgit untuk kerja 2 hari. Nah........ baru  semua orang tahu duit bukannya senang-senang turun melayang. 

Seharian mereka mengeluh letih, letih. Aku yang kesian belanjalah mereka makan sedap sikit. Hati berdetik dan berbisik, duit dapat semut pula jadi permanent resident dalam kereta. Nak nyahkan semut-semut ni kena keluarkan duit juga.