Showing posts with label Addendum. Show all posts
Showing posts with label Addendum. Show all posts

Monday, March 23, 2015

Bilis-bilis Diitumis

Donat, lelagi donut
Buat mee goreng mamak
  Persediaan untuk
 pertandingan
Yang menang
Halwa/Jelly/Cup cakes??

Aku kagum orang yang suka dan pandai memasak. Rajin mencari dan bertanya resepi, mencuba dan kemudian menjamu sepenuh hati. Tapi ada dua orang yang aku kenal berkata, memasak not in my blood. Cakaplah masakan apa dan bagaimana sedapnya sesuatu juadah tapi mereka hanya tersenyum. Bila diajak makan mereka akur tapi tidak le menikmati sungguh-sungguh apa yang dihidangkan. Mereka makan pelan-pelan, kais taugeh dan asingkan fishball dan isi ayam, hirup kuah. Hampir sejam baru selesai makan mee sup. Jadi badan mereka langsing dan mereka cerita perkara lain selain periuk belanga dan rempah ratus. Puan Hajah buat duit jual beli emas dan Puan Jo memang orang kaya. Pendik kata tak masak pun tak apa.


Bila aku survey adik beradik dan keluarga rata-rata mereka kata nilai masakanku cuma sekadar 'boleh le makan'. Tak pernah ada yang kata tolong masak lagi atau membawa pen dan kertas minta resepi. Mereka sudah maklum memasak ni bukan termasuk dalam list yang aku suka buat. Kalau orang angkut buku resepi ke dapur aku kepit novel atau sekurang-kurangnya majalah lama. Dapat paper lama pembungkus belacan pun jadi untuk dibaca. Sambil tunggu menggoreng, merebus, dan memerap aku curi-curi membaca. Sebab itu juga masakanku tak improve, terpaksa masak sebab nak makan.

Bila nenek moyang dulu ajar panaskan minyak tumis bawang aku pula buat terbalik. Panaskan bawang dalam kuali dulu, baru tuang minyak. Reasons: Minyak tak merecik ketika menumis kerana bahan tak berair, permukaan dapur dan lantai clear tak perlu dilap dan dimop lepas memasak. Jimat tisu, kain buruk, masa dan tenaga dan dapat selamatkan bumi. Yang penting bagi aku, cepat masuk dapur cepat keluar dapur......merdeka.

Aku ngaku masakan ku kurang mendapat sambutan. Supku tawar, kari cair dan gulai tak lemak. Teringat ketika abah tinggal seminggu di rumahku, mula-mula dia mencari garam dan gula kerana semuanya tawar. Setelah balik kampung mak pula mengadu kata abah masakannya masin dan kopinya terlebih manis. Eloklah kataku beringat sebab abah ada darah tinggi dan mak pula kena kencing manis. Hati berdetik dan berbisik.........garam, gula dan perisa, sedap sekejap tapi mudaratnya berkekalan.



Thursday, April 17, 2014

Berkebun dan Berhasil

 
 Pokok labu

Bunga jantan

Bunga betina
Labu muda
Sudah matang

Bila dengar orang berkebun dan dapat hasil hingga tak habis makan, hatiku macam dicuit-cuit untuk mencuba. Tanah sekangkang kera di belakang rumah boleh dimanfaatkan dari ditumbuhi rumput. Tentu seronok menuai hasil tapi sebelum tu kenalah mencurahkan keringat untuk berbudi pada tanah. Berkebun dibulan Februari lalu memang mencabar kerana musim kemarau. Cuaca panas, tanah kering dan semua tanaman kena disiram dua kali sehari. Dalam mencuba, Alhamdulillah pokok yang hidup (mati pun banyak) ada yang mengeluarkan daun dan buah yang boleh dituai.

Pokok pertama yang ditanam ialah labu manis. Kemudian tambah dengan dua belas pokok kacang bendi, bayam, terong dan petola. Benih kawan bagi dan tanah asal cuma perlu ditabur dengan serbuk sabut kelapa dan tinja ayam. Walaupun kena beli cangkul dan penyikat baru tapi aku cuba berjimat. Kumpul bahan organik untuk buat baja kompos dan baja enzim.  Kitar semula beg bekas baja sawit, botol plastik dan pasu orkid. Ranting buluh dan dahan rambutan diguna untuk pancang dan para. Bila ada biji benih aku kongsi atau tukar dengan geng suka bertani. 

Ketika musim kemarau bulan lalu banyak tenaga habis untuk menyiram. Biji disemai hanya sedikit yang tumbuh dan paling perit menjaga anak pokok yang baru dialihkan ke batas. Kena dilindung dari panas terik dan disiram selalu. Dimusim hujan sekarang ni seminggu tak disiram pun tak apa. Tapi rumpair cepat tumbuh, ulat bulu naik makan daun dan pucuk, bunga dan putik mudah gugur. Pokok labu pula gila daun dan banyak bunga betina tapi tak ada bunga jantan. Namun bila bunga jantan berkembang tak satu pun bunga betina ada untuk dikawinkan.

Warta berita kata, bulan Mei depan hinggalah  September kita akan menghadapi kemarau lagi. Itu satu ramalan, belum tentu betul (semoga tak betul). Apapun aku dah bersiap nak meneroka lebih banyak kawasan di belakang rumah dan nak order biji benih online. Hati berdetik dan berbisik....... teruskan berbudi pada tanah nanti berbaloi-baloi hasilnya.



Wednesday, April 2, 2014

Masam Manis Musim Durian


 Tergolek di bawah pokok
 Sudah dikupas
 Berbuah lebat
 Di dahan rendah
 Kumpul di porch

Pada tahun tu tiba-tiba En K sudah ada beberapa pokok durian yang sedang berbuah. Pagi-pagi kami sudah pergi ke kebun. Thrillnya. Memungut dan meredah semak samun dengan nyamuk sambil mencari buah gugur yang bersalut daun kering dan kayu reput. Buah bukan bersih macam dijual di tepi jalan. Teringat sekali dulu ada orang nak bagi durian terbaik dari kampongnya. Habis duri ditarah hingga durian licin macam buah kelapa. Bungkus kemas dan tebal-tebal dengan newspaper dan kain batik. Namun perjalanan lima jam dengan bas tak dapat menghalang bau terlepas. Penumpang bertanya sesama sendiri, siapa pulak yang bawa bom ni?

Banyak peristiwa sebab durian. Teringat Ji hidangkan sambal tempoyak ketika di Nottingham. Sanggup bawa bahan terlarang dan hampir saja dirampas kastam. Memang ramai yang kagum dengan Ji. Katanya ketika sipegawai tertoleh-toleh mencari bau yang asing ni, pelan-pelan I tarik my beg. Nasib baik terlepas tempoyak I.

Cik Minah paling seronok kerana Pak Google kata orang darah tinggi boleh makan durian. Tapi lain pula dengan En Yazid. Dari katil hospital dengan selamba dia mengaku telah makan durian dan daging kambing di hari yang sama. Lepas tu dia pening dan pengsan. Tambahnya, aku kalau makan durian beramai-ramai (apalagi kalau sedap dan free) memang selalu terlajak. Limit tiga ulas, bila dikumpul-kumpul jadi tiga biji.

En Kamal katanya tak makan lebih dari dua ulas sebab saya tengok emak saya rebah di depan mata. Emaknya ada penyakit kencing manis. Sebab dah ada durian lebih En K teringat kawan, hantu durian. Namun pemberian itu telah jadi masaalah pula. Ibu kawannya yang baru saja bedah kaki kerana kencing manis berkeras nak merasa, anak dan menantu terpaksa akur. Hai.....bukan seulas tapi hampir sebiji, syukur tak jadi apa-apa. Hati berdetik dan berbisisk....... makan durian seronok sewaktu sihat dan berhati-hatilah kalau ada penyakit. Tentu ada sebab nenek moyang menggelar durian raja buah.

Thursday, March 6, 2014

Bawah Rumpun Bambu


Rumpun buluh di kebun
 Rumpun di tepi rumah
Setinggi bumbung rumah
Buluh memang cantik
 
 Buluh matang
Satu masa dulu orang gila-gila nak menanam buluh madu. En K yang berasal dari utara teruja dan terikut. Teringat katanya rebung dikari dengan daging ialah lauk wajib waktu kenduri. Di utara, di pasar sentiasa ada orang jual rebung jeruk dan di kawasan rumah pun ada buluh madu. Kalau tak ada cari saja kat dalam belukar. Aku dari selatan hanya kenal rebung dari buluh jenis besar, jenuh mencungkil dengan parang atau kapak baru tercabut. Rebung sebesar lutut ni perlu dikupas untuk membuang bulu dan miangnya. Yang dijeruk lama akan kelauarkan bau amonia aka hancing. Kalau ada lauk lain gerenti aku tak akan pilih rebung.

Ikut perkiraan En K tanam pokok buluh boleh buat duit. Maka dia pun mencuba. Sanggup beli dan angkut enam pokok buluh dalam polibeg dari kampungnya. Lima ditanam di kebun dan satu di tepi rumah. Masa berlalu rebung tak diambil hingga rumpun buluh yang dulunya kecil hampir jadi belukar. Tak ada jualan rebung walau sekali dan kari rebung  yang aku buat tak ngam dengan tekak orang bandar di rumah.

Masaalah lah pulak. Belukar buluh di kebun sebabkan pokok sawit bantut terkena naungannya. Yang di tepi rumah menjulang tinggi mencapai wayar letrik dan talipon. Bahaya. Rupanya payah nak buang pokok buluh. Tebang dan buang akarnya tapi kami tak menang tangan. Kata Pak Google, kena tebang semua buluh tua, letak racun dan serkup dengan plastik hitam agar tak kena cahaya matahari (tak ada fotosintesis).  Khabarnya ambil masa bertahun-tahun baru rumpun pupus. Yang terbaik, bakar. Setakat ni En K sudah rugi kerana pengali, parang dan mata chainsaw semua sompek dan tumpul angkara akar buluh yang macam stainless steel tu.

Kalau diupah pun aku tak mahu tanam pokok buluh lagi, Yang menariknya duduk di bawah teduhan rumpun buluh memang nyaman dan menenangkan. Damai gitu. Itulah sebabnya di belakang rumahku masih ada beberapa polibeg berisi semaian buluh madu. In case ada sesiapa yang nak menanam buluh. Hati berdetik dan berbisik kalau mahu silakan, bagi free aje tapi kena ambil sendiri di sini.

Saturday, April 14, 2012

Rezeki Lepas Sedekah

Pokok rambutan
dekat pondok orkid

Di belakang dapur
Sudah masak
Kait dan kumpul
Pilih dan ikat
Nak rambutan gading?
2 kg RM 3.00

Dulu pokok rambutan ini ditanam untuk tujuan panjat memanjat sebab bila duduk di pinggir bandar ramai kanak-kanak yang tak reti jadi Tarzan. Ada tiga setengah pokok semuanya, satu rambutan gading, satu rambutan merah dan satu lagi kombinasi dua jenis rambutan merah. Semuanya ditanam oleh arwah Abah. Yang pokok satu setengah tu ada ceritanya sendiri. Arwah Abah pada mulanya menanam pokok rambutan jenis gula batu tapi pokok tak berapa subur. Kemudian dia beli sepokok rambutan nama anak sekolah dan menanamnya rapat dengan pokok pertama. Dia mengikat kedua pokok dengan seutas dawai. Kebetulan kedua-dua pokok tersebut hidup dan membesar. Dua pokok yang menjadi satu ini mempunyai dua jenis buah yang sedikit berbeza dalam bentuk, warna dan rasa.

Bila musim rambutan di bulan Ramadhan kanak-kanak singgah memetik selepas tarawih. Cukup bising macam sekumpulan keluang makan buah, ada yang memanjat, ada yang bergayut dan ada yang menarik dahan. Sudah jadi kebiasaan setiap musim rambutan pokok kami berbuah lebat. Cukup baja dan tetap disiram jika lama tidak hujan. Kami akan mengait rambutan hingga dapat lima atau enam bakul besar. Mengisi buah ke dalam beg plastik dan mengagihkan pada penduduk kampung, sedekah ke surau dan juga kawan-kawan di ofis. Siapapun yang tertinjau-tinjau memandang buah yang merah di pokok pasti dipelawa makan kerana buahnya memang longkah dan manis.

Selepas dua tahun pokok merajuk tak berbuah (lupa membaja kerana awah Abah yang selalu mengingatkan sudah tiada) tapi tahun ni buahnya lebat pulak. Sedekah sudah dan hadiah pun sudah jadi buat pertama kali kami kait dan ikat. Buat 10-12 ikat sehari dan tinggalkan di kedai makan seorang kawan. Laris dan bila dicongak setelah beberapa hari hasilnya hampir RM 200. Lepas harga beli tali, beg plastik dan membayar RM 50 untuk pangkas dahan rambutan yang terkena wayar telefon dan letrik. Hati berdetik dan berbisik...........inilah buah tangan seorang ayah yang kini tetap jadi kenangan dan membawa pahala yang berpanjangan. Amin

Monday, April 9, 2012

Hajat Nak Bergarden

Garden MARDI
Ada petak tanaman
Ada pokok untuk
lanskap

Ada sistem hidroponik
Ada sistem fertigasi
Gardenku, ada pokok
bawang

Orang tua-tua pesan kalau ada pasu kosong ringankan tulang untuk isi tanah bakar agar boleh bercucuk tanam serba sedikit. Bila sudah ada tanaman sendiri selamatlah duit dan dapat makan tumbuhan yang bebas dari pencemaran bakteria jahat dan heavy metals. Serai enam batang hargnya sudah seringgit begitu juga harga kunyit dan lengkuas sebesar tiga ibu jari. Pendik kata yang boleh ditanam, tanamlah dan kalau tak habis diguna sendiri sedekahkan saja. Makan dapat dan pahala pun dapat.

Kekadang terfikir juga dari membelek orkid yang hanya dapat dipandang dan dipegang elok lagi tanam sayur dan ulaman. Biji benih dan anak pokok tidak mahal harganya dan kalau cerodek (cerdik dalam bahasa Cik Minah) boleh dapat free. Kebetulan minggu lepas ada expo tanaman di RTC (rural transformation centre) Gopeng yang nama asalnya TEMAN (terminal makanan negara). Hari pertama aku sudah ke sana konon untuk meninjau-ninjau. Tak banyak gerai orkid dan ambil kesempatan menjengah Edible Garden MARDI. Kalau banyak duit tentu aku nak garden macam ni, pendik kata macam-macam ada. Ada kaedah hidroponik dan fertigasi, pokok bunga dan pakis, tanaman ulam dan ubat.

Kalau di kampung ada tempat bakar daun kering di belakang atau tepi rumah. Dan tapak ini tanahnya berwarna hitam serta subur untuk tanaman. Jadi tanah untuk berkebun serba sedikit tak payah dibeli. Ligat otak berfikir macamana nak transformasi tanah sekangkang kera di belakang rumah sendiri. Elok juga kalau ada petak untuk tanaman, rumput mutiara penutup bumi, shed untuk simpan cangkul dan trowel, bekas besar untuk buat baja organik, sprayer dan...dan....Hati berdetik dan berbisik.........sabar, sabar jangan sibuk membeli peralatan berkebun dan biji benih, kemaskan dulu pasu-pasu orkid yang kosong dan isi dengan apa yang patut.

Saturday, February 4, 2012

Tabung Menabung

Sudah dekat ni
Nampak bahagian atas
Sudah dekat bebeno
Bahagian bawah
bangunan
Jom menabung di sini

Kha dapat lebih seratus ringgit pada raya setiap tahun. Dia tidak akan belanja duitnya tapi mengendeng jajan orang lain walaupun secubit atau sesuap dengan alasan nak merasa. Yang penting duit siling dalam tabung bangunan tingginya berat. Duit kertasnya masuk dalam akaun ibu bapa sambil memperingat sekarang sudah ada berapa? Seringgit pun tidak boleh kurang dari deposit dahulu walaupun dia setuju untuk membayar barang yang diingininya. Hujahnya, dia masih dalam tanggungan ibu bapa dan eloklah kalau ibu bapa jadi lebih pemurah.

Kebetulan
ternampak pula bangunan ni bila ke Ampang untuk makan nasi Arab dalam perjalanan balik ke Ipoh dari JB. Sebiji macam tabung di rumah. Spontan bagi peringatan orang-orang dalam kereta tentang manfaat menabung, berjimat cermat dan berdikit dikit. Bukan senang nak buka cerita tentang simpan duit sebab bila tinggal di bandar duit keluar macam air mengalir. Semua boleh dapat asalkan mampu membayar. Aku kata bangunan ni bukan orang kaya punya tapi orang-orang kampung dan orang tidak berapa berduit. Duit sikit-sikit yang dikumpul dari jual pisang dan ubi, kopi dan keladi atau tempe dan kerepek. Ada yang menoreh getah, yang bersawah dan jadi nelayan semuanya menyimpan di sini dengan niat hendak menunaikan haji. Berbelas atau berpuluh tahun baru cukup. Lama sebab simpanan terpaksa dikeluarkan untuk anak belajar dan sakit pening. Itulah cara orang susah menyimpan. Sayangnya ada orang berpengaruh dan kaya yang mencopet berjuta-juta walhal orang kecil nak keluarkan seratus dua kena isi borang dan menenyeh cap jari lebih dari sekali.

Kalau bukan dalam kereta sudah tentu mereka sudah cabut lari dengar ceramah ni. Tapi mudah-mudahan ada yang masuk sedikit sebanyak kerana masing-masing pun sudah ada tabung sendiri. Di rumah susah nak jumpa duit siling sekarang kerana ramai yang rajin memungut. Dulu ada ada juga seposen dua di jenang tingkap, di atas meja, di tepi mesin basuh dan di dalam laci. Sambil tu di sebelah tabung lembu, tin bekas biskut, botol air mineral kosong dan bas plasik untuk isi siling aku letakkan Tabung Palestin. Sesiapa yang menabung mesti masukkan 25% untuk tabung amal tersebut. Betul kata nenek moyang kalau dihimpun sikit-sikit tentu lama-lama jadi bukit. Hati berdetik dan berbisik.......cuma nak sabar, jangan lupa bayar zakat bila sudah banyak dan rajin-rajinlah menderma serta bersedekah jika ingin duit tu makin bertambah.

Friday, January 20, 2012

Kerja Ketupat Ketupit

Daun kelapa dianyam
Anyaman siap dikemas
Beras sudah dibasuh
dan ditos

Lepas direbus 2 jam
Digantung agar air kering
Tinggal kelongsong

Melihat En Mior nak tumbangkan pokok kelapa setinggi 6 meter bukan kerja senang. Itupun menggunakan bekhoe. Kena tebuk di sekeliling akar seluas satu meter dan sedalam setengah meter. Baru boleh tolak pokok perlahan-lahan dengan jentera tu. Akhirnya pokok tumbang juga dan seronok betul tengok apa yang jatuh dari langit; kelapa muda dan matang, pelepah dan daun kelapa, pucuk kelapa, mayang dan umbut. Petang tu hampir kembung perut minum air kelapa muda.

Dekat raya lepas kena membeli daun kelapa untuk buat ketupat dengan harga 20 sen sehelai. Hari ni dapat daun percuma yang lebar dan panjang sepelepah. Mesti buat ketupat walau tak raya. Satu rumah habis hati cuba menganyam ketupat. Ada yang expert dan ada yang cuma sampai tahap daun terbelit di jari. Bila mencuba beberapa kali tak menjadi cepat saja give up dan kata tengok tv lagi bagus. Tapi cayalah orang-orang nilah yang nanti tidak berhenti mengulang ke dapur untuk makan. Setelah banding antara ketupat bawang (bentuk senget), ketupat satey (bentuk leper) dan ketupat jantung (heart shape) lastly kami sepakat putuskan ketupat pasar yang paling lawa. Nak kata empat segi tidak bulat pun bukan. Bila digantung nampak labuh ke bawah. Tentang ketupat ni menganyam tak berapa susah sangat tapi yang leceh ialah part mengisi beras ke dalam kelongsong. Kena sisip dan kemas kelongsong dulu baru isi beras, sisip balik dan buat satu demi satu. Pendik kata jenuh nak siapkan!

Dulu di kampung kami rebus ketupat selama 6 jam guna tungku kayu api di belakang rumah. Tapi sekarang nak guna dapur gas selama itu rasa membazir pulak. Jadi aku rendam kelongsong berisi beras selama 5 jam baru rebus selama 2 jam. Bila isi ketupat padat, terus angkat dan toskan airnya. Ketupat mesti digantung untuk elak ketupat cepat basi. Di rumahku tradisinya setiap raya makan ketupat ni mula dari malam raya hingga hari raya ketiga. Siang malam ketupat tapi tak pernah jemu sebab lauknya bermacam jenis. Hati berdetik dan berbisik......berbaloi buang tenaga sesekali nak merasa nasi yang tidak dimasak dalam kampit plastik.

Friday, December 16, 2011

Cycas Yang Beracun

Cycas revoluta
Ditanam berkelompok
Pucuk pokok Cycas
Bunga jantan di pokok
matang

Bunga jantan, close-up
Pucuk dimakan serangga

Salah satu pokok yang mesti ditanam jika membuat lanskap ialah Cycas kerana bentuknya yang unik. Walaupun harganya mahal hingga beratus ringgit tapi atas nama keindahan ramai yang sanggup membeli. Pokok Cycad revoluta atau sago palm berasal dari selatan Jepun dan bukan sejenis palma tetapi 'cycad'. Maknanya pokok berbatang tunggal (kekadang bercabang) dengan daun-daun berpelepah tersusun rapat di hujungnya. Pokok pula samada pokok jantan atau betina sahaja dimana pokok jantan mengeluarkan kon dan pokok betina ada struktur ganti bunga di pucuk. Daunnya berwarna hijau tua, keras dan runcing serta sedikit berkilat. Tumbesaran pokok sangat lambat hingga beratus tahun baru mencapai beberapa meter tinggi. Pembiakan pokok adalah secara semaian biji atau menanam anak pokok yang tumbuh di perdu pokok asal. Pokok tumbuh subur di tanah yang sedikit berpasir dengan saliran yang baik untuk mengelakkan akar terendam dan busuk.

Walaupun pokok ini sudah menjadi kemestian dalam lanskap tapi tidak ramai yang tahu ianya beracun. Racunnya terkandung pada semua bahagian pokok terutama pada biji. Ia sangat berbahaya pada haiwan dan juga manusia jika termakan hingga boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman dan kematian. Petanda yang dapat dilihat jika keracunan ialah muntah, cirit birit, lemah, sawan dan sembab atau edema kerana kerosakkan organ hati. Petanda lain ialah pendarahan pada mulut dan sendi serta kencing atau najis berdarah.

Seingat aku pokok ini susah sikit menjaganya (di rumah Mak ada sepokok ditanam oleh arwah Abah di belakang rumah kerana tak tau nilai sebenar pokok). Pucuk Cycas bukan saja dimakan haiwan tapi ulat pun suka. Pucuknya habis gondol jika dibiarkan diserang serangga.
Pakcik tukang kebun di pejabat lamaku kata pucuk Cycas begini mesti segera disembur dengan racun Malathion. Yang bagusnya pelepah-pelepah muda tumbuh serentak bila pelepah-pelepah sebelumnya sudah barwarna hijau tua. Jadi kerja menyembur racun pada pucuk muda hanya dilakukan secara berkala. Hati berdetik dan berbisik.......sudahlah pokok mahal, beracun dan kena meracun pulak; harapkan halaman lawa rupanya boleh mengundang mudharat.