Showing posts with label Plant. Show all posts
Showing posts with label Plant. Show all posts

Monday, March 23, 2015

Wangi Bunga Rampai



Mesti guna daun pandan
Bunga kertas
Bunga ros
Kasar.., siapa hiris daun?
Untuk majlis

Dulu-dulu, kalau ada majlis kenduri kawin tempat yang paling best bagi anak dara ialah di dalam bilik pengantin. Yang ada di situ cuma pengantin perempuan, dayang-dayang pengapit yang paling rapat dan mak andam. Selalunya pintu akan dikunci, makan minum dihidang dan apa saja yang diingini orang dalam semua pakai order. Akan ada orang yang melayan. Kalau tidak terpilih ke bilik pengantin dapat masuk team buat bunga rampai pun memadai. 

Sekurang-kurangnya tidak perlu bercucuran air mata mengupas bawang atau pijar tangan menghiris cili. Budak perempuan memang ramai yang mengerumun dan boleh di jadikan orang suruhan. Dayang tak dilantik ni akan diarah ambil ekstra daun pandan, bunga-bunga dan minyak wangi untuk dicapur dalam bunga rampai. Kalau disuruh ambil makanan dan minuman pun meeka sanggup.

Gadis yang membuat bunga rampai kenalah orang yang teliti dan matanya tak rabun. Pisau yang diguna mesti tajam dan pisau pencukur Gilette paling digemari. Hanya bahagian hujung daun pandan yang lembut dan nipis diamabil. Beberapa helai daun disusun dan dihiris nipis sekali gus. Malu beltul kalau hirisan setebal taugeh. Lepas tu barulah sejemput hirisan daun ini ditenyeh atas tapak tangan dengan minyak rambut untuk melembutkannya. Di zaman tu perfum sembur tak banyak jadi bau bunga rampa ni tak tahan lama.

Hanya tetamu istemewa yang dapat bunga rampai. Bahagia betul kalau dapat sebungkus sebab jarang ada pewangi. Sepanjang jalan mencium dan bungkusan ini akan diletak dalam almari baju atau dalam kelambu. Hati berdetik dan berbisik.....semua pemberian orang patut dihargai, disimpan dan disayang.

Wednesday, April 25, 2012

Asparagus aka Rumput Bambu

Asparagus
cochinchinensis
Daun halus dan tajam
Senang tumbuh
Bunga berwarna putih
Biji berwarna merah

Pokok asparagus tumbuh dalam perdu yang rimbun. Ada dua jenis asparagus yang paling terkenal iatu pertama A officinalis yang berasal dari Eropah dan Asia Barat. Ia ditanam secara komersial untuk sayuran musim panas dan ditinkan untuk dieksport. A chochinchinensis pula berasal dari China dan ubinya digunakan sebagai ubat tradisional. Pada asalnya pokok asparagus mudah ditemui di hutan-hutan terbuka, semak belukar dan bukit berbatu. Namun pokok asparagus dijadikan tanaman hiasan dan boleh di dapati di kebanyakan nursery bunga di negara kita. Walaupun daun dan ubi asparagus boleh dibuat ubat tapi buahnya yang kecil dan berwarna merah adalah beracun.Tabib di zaman kuno menganggap tumbuhan ini ada nilai perubatan dan digunakan sebagai bahan pembersih dan perawat. 

Orang-orang Mesir, Greek dan Eropah gemar memakan tunas muda yang dimasak. Kajian kini mendapati bahawa asparagus kaya dengan pelbagai vitamin, folate dan potasium serta mengandungi antioksidan yang tinggi. Ia didapati boleh mencegah penyakit batuk termasuk batuk darah, kencing manis, sembelit, demam dan gelisah dan beberapa jenis barah. Ia juga digunakan sebagai diuretik, mengawal darah tinggi dan menghilangkan gout kerana lebihan asid urik dalam badan. Air rebusan tunas asparagus digunakan untuk mencuci muka bagi menghilangkan jeragat.

Orang-orang China menggunakan pokok asparagus sebagai herba untuk kesihatan dengan cara merebus ubi asparagus dan minum airnya atau
dikeringkan untuk dijadikan pil. Khasiat lain tumbuhan ini ialah untuk membersihkan paru-paru, menurunkan panas badan dan merangsang cairan tubuh.

Sunday, March 18, 2012

Khasiat Delima

Bunga delima
Buah muda
Buah matang
Buah delima import
Isi merah menyala

Pokok delima merupakan tumbuhan renek yang popular kerana ramai yang menanamnya di perkarangan rumah untuk hiasan atau tujuan perubatan. Ia sesuai ditanam di kawasan kering dan terdedah pada cahaya matahari. Pada umumnya biji buah delima berwarna merah pekat, kemerahan atau pun putih. Pokok delima putih mengeluarkan bunga berwarna putih dan isinya juga berwarna putih. Kebanyakan buah delima merah saiz buahnya lebih besar dan diimport dari luar negara seperti Sepanyol. Namun pokok delima yang sering ditanam oleh masyarakat China di sini mengeluarkan bunga berwarna oren. Saiz buah agak kecil dengan tompok hitam dan isinya berwarna kemerahan manakala rasanya agak masam dan kelat.

Seluruh pokok delima mempunyai khasiat perubatan. Kulit batang pokok delima mengandungi bahan tannin yang tinggi dan sesuai untuk mengatasi cirit birit. Daun delima yang direbus bersama daun teh dan diminum airnya mampu mengubati sesak nafas, menurunkan tekanan darah dan menghilangkan gatal kulit. Ramuan daun delima, halia dan isi buah delima yang dilumatkan dan diperah airnya kemudian diminum dapat melegakan demam. Bunga delima yang direbus dan diminum airnya boleh meredakan gatal tekak.

Kulit dan isi buah delima yang dikisar mampu mencegah penyakit kencing manis, mencuci perut, membunuh cacing dan meredakan cirit birit termasuk cirit yang kronik dan berdarah. Selain itu bahan ini juga digunakan untuk mengubati buasir, bengkak usus, sakit dalam perut, membuang angin dan menguatkan usus. Kulit biji delima yang telah dikeringkan kemudian
direbus dan dibancuh dengan air suam serta sedikit perahan limau nipis boleh merawat penyakit keputihan. Untuk melangsingkan badan ambil sedikit biji delima, tumbuk dan campur dengan air suam serta secubit garam. Tapis dan minum airnya setiap pagi selama seminggu. Untuk mengubati bisul dan bengkak pula, asah kulit buah delima dan campur dengan lendir lidah buaya dan sapu pada kulit yang sakit.

Saturday, February 11, 2012

Pokok Janda Kaya

Pokok Janda Kaya
Berbunga putih
Bunga jambak besar
Bunga, close up
Berbunga merah

Dua gambar diambil di nursery bunga. Ada orang menamakan pokok Janda Kaya sebagai Musa Indah bersempena dengan nama saintifiknya Mussaenda pubescens. Pokok ini mudah didapati dan sering dijadikan tanaman hiasan di tepi jalan. Pokoknya menjadi lebih rimbun jika dahannya selalu dipangkas dan boleh berbunga sepanjang tahun. Ia boleh didapati dengan bunga kecil berwarna merah, bunga lebar dan lebat warna pink atau saiz sederhana warna putih.

Selain namanya yang glamour pokok ini juga mempunyai nilai perubatan terutama bahagian batang, daun dan akarnya. Pengamal perubatan tradisional percaya bahawa tanaman ini boleh membantu membersihkan darah, mengurangkan tekanan akibat racun, pitam dan sengal-sengal pinggang. Namun begitu khasiat bunganya masih belum lagi diketahui.

Satu lagi kegunaan batang dan daun pokok ini ialah sebagai ubat luaran. Caranya dengan menumbuk batang dan daun sehingga lumat dan ditampalkan pada pada bahagian badan yang bengkak untuk mengurangkan sakit dan bengkak menjadi surut. Ia juga sangat berguna untuk wanita bagi melancarkan peredaran darah dan mengurangkan perdarahan akibat luka dalaman.

Sunday, January 15, 2012

Pokok Bebuas

Daun dan bunga
pokok Bebuas

Pucuk muda
Daun tua
Bunga dan putik buah
Buah matang dan masak`

Pokok Bebuas tumbuh liar atau ditanam untuk mendapatkan pucuknya untuk dibuat ulam. Pokok ini boleh tumbuh tinggi hingga 4 meter jika tidak dipangkas. Batang pokok yang muda berwarna coklat manakala pokok matang mempunyai batang berwarna kelabu. Daun pokok Bebuad lebar dipangkal dan meruncing di hujung. Bunga pula kecil-kecil terletak dalam jambak berbentuk piring.

Daun dan bunga pokok Bebuas dipercayai boleh mengurangkan angin dalam badan, menambahkan susu ibu, mengubati kecacingan dan menguatkan tenaga dalaman. Selain itu ia membantu menguatkan imunasasi badan dan mencegah daripada mendapat penyakit berjangkit. Ia juga dikatakan boleh mencegah penyakit akut. Caranya dengan memakan pucuk Bebuas sebagai ulam. Untuk kegunaan di dapur, beberapa helai daun pokok Bebuas yang tua diramas dan dilumur pada ikan yang telah dibasuh untuk menghilangkan bau hanyir ikan tersebut.

Pokok Bebuas memang senang tumbuh selepas bijinya yang sudah berwarna kehitaman disemai. Semaian sesuai dilakukan dalam polybeg atau pasu. Bila pokok sudah setinggi satu meter, pangkas dan tinggalkan batang 20 sm dari tanah. Biarkan pokok bercambah barulah alihkan ke tanah. Pangkas lagi bila ada ranting panjang untuk mendapat pokok rendah yang rendang agar mudah mengambil pucuknya.

Wednesday, November 16, 2011

Melur Jawa

zMelur Jawa
Ditanam berbaris
Bunga merah meyala
Bunga kecil, kelopak lima
Bunga, close up

Pokok Melur Jawa mempunyai daun lebar dan berwarna hijau tua. Bunganya banyak, kecil-kecil dalam jambak yang berbentuk piramid. Pandai juga orang dulu-dulu bagi nama Melur Jawa, ringkas tapi memberi makna yang mendalam. Lupa pula nak menghidu bunganya, berbau harum atau tidak. Kalau tak berbau wangi pasti kalah dengan melur putih (Melur India??) yang orang ramai kenal sebagai jasmin. Bunga melur putih dari jarak satu meter sudah terhidu keharumannya dan sangat terkenal seantero dunia. Aku pun terikut-ikut suka bunga melur. Sekarang ni di sepanjang pagar dawai antara rumahku dengan jiran penuh dengan pokok melur putih yang merimbun. Once in a blue moon, aku hanya petik beberapa kuntum yang belum mekar untuk dicampur ke dalam air teh panas untuk mewangikannya. Jimat duit beli kuntum melur kering atau teh jasmin yang diimport.

Melur Jawa ni diambil di R&R Ipoh Selatan. Orang kata semua bahagian pokok ni ada khasiatnya. Akarnya yang pahit dan berunsur sejuk digunakan untuk penyembuh radang, diuretik dan mmenghilangkan bengkak. Daunnya pula rasanya manis-masam, sedikit kelat baik untuk radang dan dapat mengeringkan bengkak yang bernanah seperti bisul. Bunganya bila dimakan rasanya manis dan dapat menurunkan suhu badan selain menghilangkan keputihan, gangguan susah untuk tidur dan penawar buasir. Akar biasanya digunakan sebagai ubat sakit pinggang, luka, batuk, batuk darah dan cirit birit.

Bagi tujuan perubatan akar dan bunga akan dikeringkan kemudian direbus dan diambil airnya untuk diminum. Daun segar pula ditumbuk halus lalu disapu pada tempat yang sakit. Air rebusan akar, daun dan bunga boleh dibuat mandian untuk
wanita lepas bersalin dan melegakan sakit sendi.

Sunday, October 16, 2011

Pokok Mas Cotek

Pokok Mas Cotet
Dijual di nursery bunga
Daunnya jadi ubat
Bintik emas di bawah
daun

Dijadikan pokok hiasan

Nampaknya ada saja herba yang menjadi fokus dari masa kesemasa. Bermacam jenis silih berganti; sekejap Jarum Emas dan Misai Kucing kemudian Kacip Fatimah dan Tongkat Ali dan satu masa dulu Mas Cotek pula digilai orang. Merata orang mencari pokok Mas Cotek, kalau yang di sebelah pantai barat tentu ke Trangganu dan Kelantan kerana khabarnya pokok ni banyak terdapat di sana. Masing-masing berlumba mencari dan menanam. Ada yang kata hanya jenis tertentu yang boleh dijadikan ubat manakala yang lain mempertahankan bahawa kombinasi beberapa jenis daun Mas Cotek baru ada power. Malah yang berimaginasi tinggi membuat campuran sendiri dari 40 jenis herba untuk dijadikan teh.

Nama saintifik pokok ini ialah Ficus deltoidea dan nama tempatan selain Mas Cotek ialah pokok Secotek Emas, pokok Barito dan pokok Raja Ubat. Pokok ini hidup meliar dan suka menumpang pada pokok lain walaupun bukan jenis pokok parasit. Pokok Mas Cotek betina mempunyai daun yang lebih lebar dan besar. Dari daunnya yang mempunyai bintik hitam atau keemasan di antara dua urat daun maka pokok ini mendapat namanya.

Pokok Mas Cotek adalah herba warisan perubatan Melayu dan sangat berkhasiat terutama bagi wanita. Ia berguna untuk mengecutkan rahim setelah melahirkan anak selain dari memecah lemak serta memotong kolesterol yang berlebihan dalam salur darah. Air rebusan daun, batang dan buah mampu menyembuhkan penyakit peparu berair, sakit pinggang, mengurangkan keletihan dan meningkatkan nafsu. Daunnya boleh dipetik dan dikunyah semasa segar atau dikeringkan untuk disimpan lama. Air rebusan daun kering ini diminum untuk memulihkan tenaga.

Thursday, September 15, 2011

Bunga Tasbih

Daun lebar dan hijau
Bunga oren cerah
Bunga warna pink
Bunga kuning dan oren
Buah pokok bunga tasbih

Aku kenal pokok bunga ini sebagai Canna kerana Mrs Singam kata namanya begitu. Jadi banyak bunga tempatan yang digunakan dalam kelas biologi kami sebut spiderlilly, ixora, hibiscus, balsam dan sebagainya. Kalau di kampung selalunya bunga ditanam ikut dann atau minat, tak payah tahu namanya. Cuma mak bidan, bomoh atau pengamal herba tradisional yang hafal dan arif nama serta kegunaan tumbuhan yang ditanam di sekeliling rumah. Ketika di sekolah rendah lagi aku lebih suka tanam orkid jengking dan orkid tulang walaupun kerja rutinku ialah menyiram berbelas pasu pokok bunga kertas dan kaktus kepunyaan Mak Usu.

Rupanya pokok bunga Canna di atas dikenali juga sebagai bunga tasbih. Selain itu ada yang menggelarnya ganyung hutan atau kembang gendang manakala nama saintifiknya Canna indica L, berasal dari India Timur dan Selatan Amerika. Pembiakan tumbuhan ini melalui rhizom atau umbi di bawah tanah. Di Australia umbinya diproses untuk dijadikan tepung (arrow root flour) dan namun biasanya pokok ini ditanam sebagai tanaman hiasan.

Khasiat bunga tasbih terletak pada bunga, akar dan batangnya, samaada yang masih segar atau telah dikeringkan. Ia dipercayai boleh mengubat penyakit darah tinggi, sakit kuning, keputihan, batuk berdarah dan menurunkan suhu panas dalam badan. Ia juga dapat menghentikan pengaliran darah akibat luka, radang kulit bernanah dan merawat masalah jerawat. Caranya ialah dengan melumatkan akar pokok bunga tasbih dengan sedikit tepung pulut dan air lalu ditampalkan pada tempat yang luka atau sakit. Amalan meminum air rebusan pokok tasbih pula mampu meredakan buasir.

Friday, August 19, 2011

Lidah Mak Mertua

Sansevieria
(Mother-In Law's Tongue)
S. trifasciata laurentii
S. zeylanica
S. hahnii variegata
(Golden bird's nest)
(Ditanam dalam
kristal jelly)

Bila aku sebut nama pokok ni dalam bahasa Melayu dari English translation ramai yang tak percaya. Ada yang jegilkan mata, ada yang senyum meleret dan tak kurang yang ketawa berdekah-dekah. Gelaran pokok celorang celoreng ni ialah Lidah Mak Mertua. Tak tahulah siapa punya imaginasi tinggi yang memberi nama terebut. Kalau pokok lain ada nama sedih seperti Bleeding heart, Mind your own business atau baby's tears tapi yang ini pelik pulak. Pokok Sansevieria dikenali sebagai Mother-in-Law's Tongue di Britain dan Snake Plant di US.

Nasihat seorang pakar tanaman, kalau menanam apa pun tak menjadi cubalah pokok ini. Ianya ia sangat kebal kerana 'has a reputation for near indestructibility!' Tahan lama tak disiram, tak kisah di tanam di tempat teduh atau terbuka dan tak perlu perhatian.
Pokok ini daunnya berbentuk pedang, sedikit tebal, tirus dan kekadang hampir 1 meter panjang. Jenis yang paling popular mempunyai tepi berwarna kuning. Jika pokok subur ia mengeluarkan bunga kecil yang berbau wangi. Kini ada Sansevieria jenis dwarf yang sesuai di tanam di kawasan yang sempit.

Selain ditanam di tanah pokok ini juga boleh hidup dalam balang kaca berisi air dan kristal jelly untuk hiasan dalaman. Untuk ini, bersihkan akar dari tanah dan tentukan kristal jelly sentiasa lembab agar pokok tahan berbulan-bulan. Walaupun apa namanya namun pokok Lidah mak mertua adalah pokok yang menarik dan ramai yang gemarkannya. Hati berdetik dan berbisik, lebih suka nama yang cantik dan yang menggambarkan kegunaan tumbuhan tersebut seperti manjakani, solandara, janda berhias dan ulam raja.

Saturday, July 23, 2011

Pokok Tapak Kuda

Pokok perlu disokong
Ditanam dalam pasu
Bunga muda dan matang
Bunga muda warna kuning
Matang merah terang
Jambak besar

Salah satu pokok bunga pagar dan para tercantik ialah pokok tapak kuda kerana bunganya yang berwarna oren dan merah cerah dalam jambak serta daun hijau berkilat. Pokoknya lebih elok jika dibiarkan menumpang pada pagar untuk tegak dan merimbun. Anak semaian tidak mahal sekitar RM 10-30 mengikut saiz. Pokok ini ditanam dalam kawasan yang banyak cahaya matahari untuk menggalakkan ia subur dan berbunga lebat. Aku dah beli pokok ni dua kali tapi tak sempat besar, dah mati hingga serik nak tanam kali ketiga. Pokok ini nama saintifiknya Bauhinia kockiana.

Pokok tapak kuda rupanya banyak khasiat. Daun pokok ini ditumbuk dan ditempelkan pada ulser dan bisul untuk menyembuhkannya. Daun juga mampu meredakan panas badan dengan meramas daun dalam air untuk menjaram kepala. Untuk meredakan sakit lutut dan sendi daun pokok tapak kuda di celur kemudian tumbuk bersama daun pisang batu, daun bakung. Tempel pes pada tempat yang sakit.

Untuk
air mandian wanita lepas bersalin daun boleh digunakan sekiranya ia direbus bersama daun gandarusa, serai wangi, lengkuas serta daun inai .