Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Thursday, April 9, 2015

Sangka Baik Kepada Allah


Sangka baik kepada Allah swt akan membuka pintu harapan bagi diri sesorang hamba hingga dapat menambah kekuatannya untuk melakukan ketaatan dan membuat dia lebih bersemangat dalam melakukan amal kebaikan. Ini satu kebenaran kerana hati lebih cepat bertindakbalas yang positif apabila mengingat rahmat, keampunan, penerimaan taubat dan sifat kesabaran Allah swt.

Dalam tindakannya manusia terbahagi kepada tiga golongan; pertama
mereka yang mendekatkan diri kepada Allah swt dan berusaha gigih untuk mencari keredhaanNya semata-mata. Mereka melihat kedudukan ini tidak ada tolok bandingnya dengan segala nikmat yang lain. Kedua, mereka yang beramal untuk mencari pahala agar masuk syurga serta menikmati apa yang terdapat di dalamnya. Dan yang ketiga, mereka yang beramal kerana takut dimasukkan ke dalam `neraka.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan barangsiapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan beriman, lagi sungguh-sungguh telah beramal soleh maka mereka itulah orang-orang yang mendapat tempat-tempat yang tinggi (mulia)." (Taha: 75). Ini menandakan bahawa Allah swt menyediakan keampunan kepada hamba yang benar-benar ingin kembali kepadaNya. Namun untuk sampai ke tempat yang mulia tersebut ia memerlukan tumpuan serta keazaman yang tinggi dan berterusan.

Sesungguhnya meyakini Allah swt Maha Pengampun dan Maha Penyayang dapat membuang segala perasaan dan fikiran yang boleh melemahkan dan menghalang seseorang dari menjadi mukmin sejati. Lawan dari bersangka baik kepada Allah swt ialah berputus asa terhadapNya dengan mengatakan bahawa biarlah terus bergelimang maksiat kerana Allah swt tidak akan menerima orang yang telah banyak dosa. Itulah juga yang diharapkan oleh syaitan agar tiada seorang manusia pun yang mahu berusaha untuk masuk ke syurga sedangkan syaitan pasti masuk ke neraka.





Sunday, April 5, 2015

Mengenal Golongan Munafik


Sebenarnya golongan munafik cuba menutup keingkaran mereka yang tersembunyi di dalam hati dengan keimanan secara lisan. Keadaan mereka ini diceritakan Allah sw dalam firmanNya yang bermaksud, "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya." (Al Baqarah: 8-10)

Umumnya orang-orang munafik ini tidak mudah dikenali kerana mereka mengaku Islam. Mereka berkata bahawa merekalah yang paling benar sedangkan sedikit amal dan ibadah yang mereka lakukan hanya untuk mengabui orang-orang yang beriman sahaja. Namun Al Quran telah membongkar sifat asli mereka dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka agar umat Islam tidak tertipu.

Salah satu sifat mereka yang sangat merbahaya ialah bersedia untuk memberikan kepatuhan kepada orang kafir. Secara sembunyi dan tipu muslihat mereka berpihak kepada musuh-musuh Islam kerana mereka sebenarnya mengharapkan kehancuran kaum mukminin

Mereka lebih suka mencari kemuliaan dari kaum yang mengingkari dan memusuhi Allah swt.Allah swt telah telah mengancam mereka dalam firmanNya yang bermaksud, "Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan disamping orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah." (Al Ankabut: 138-139).

Thursday, April 2, 2015

Kebun Yang Terbakar


Imam Bukhari rmh meriwayatkan bahawa Sayyidina Umar ra pernah bertanya kepada para sahabat tentang satu ayat Al Quran yang bermaksud, "Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin memiliki kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sunggai-sungai? Ia memiliki segala macam buah-buahan dalam kebun itu, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang ia memiliki keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin kuat yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu supaya kamu memikirkannya." (Al Baqarah: 266).

Lalu Ibnu Abbas ra menerangkan ayat tersebut menerangkan orang kaya yang telah lama taat kepada Allah swt. Kemudian syaitan datang kepada orang itu lalu ia melakukan banyak kemaksiatan sehingga semua amalnya terhapus. Banyak cara yang boleh dilakukan syaitan untuk menjadikan segala amalan soleh yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman menjadi sia-sia. Misalnya mengungkit-ungkit sedekah dan pertolongan, merasa sombong dan ujub dengan kesolehan, kehebatan , ibadah dan harta yang dimiliki.

Sebenarnya penyesalan ialah kata yang paling tepat untuk menggambarkan kesudahan orang yang tertipu dengan godaan syaitan. Apakah yang tinggal untuk dibawa ke hadapan Allah swt kelak jika pahala amalan yang pernah dilakukan sepanjang hidup musnah. Tidak ata tolong menolong dan pinjam meminjam di akhirat kelak kerana setiap orang ingin menyelamatkan diri masing-masing.

Ayat di atas memberikan contoh yang tepat bagaimana rugi dan menyesal sekiranya
kebun kurma, anggur dan buah-buahan yang sudah mnegeluarkan hasil sekian terbakar hangus.
Akan tetapi apa yang hilang di dunia besar kemungkin dapat ditebus dan diganti sedangkan kerugian di akhirat akan membawa siksaan yang pedih.

Akhlak Yang Baik


Akhlak yang baik mempunyai nilai yang tinggi dalam Islam hinggakan setiap Muslim dianjurkan untuk berhias dengannya. Perlu diingat bahawa ukuran baik atau buruk suatu akhlak bukan ditimbang menurut selera individu atau ukuran adat ciptaan manusia. Boleh jadi apa yang dianggap baik oleh adat itu langsung tidak bernilai dalam timbangan syariat hingga ia menjadi amalan yang sia-sia.

Besar silapnya jika ada orang yang menganggap bahawa tingkahlaku atau perangai hak diri sendiri untuk menentukannya. Sebenarnya orang berbuat demikian telah keliru dan jahil tentang nilai kehidupan dan tujuan sebenar dia berada di atas muka bumi ini. Walaupun tindakannya hanya memudharatkan dirinya namun dia telah mengkhianati tanggungjawab yang diberikan oleh Allah swt iaitu untuk menjaga nikmat yang dipinjamkan olehNya.

Sehubungan itu orang Islam mengetahui dengan jelas bahawa setiap aspek kehidupan termasuk akhlak seorang Muslim mesti berpandukan pada syariat yang diturunkan oleh Allah swt. Allah swt yang mencipta manusia dan sekelian makhluk maka dengan keluasan ilmuNya Dia Maha Mengetahui apakah yang mendatangkan kebaikan bagi hamba-hambaNya.

Di akhirat kelak setiap manusia sangat berharap agar timbangan amal baiknya lebih berat dari timbangan amal buruknya. Selain dari ibadahnya kepada Allah swt ada lagi yang boleh memberatkan timbangan amalan iaitu akhlak yang baik. Rasulullah saw bersabda: Sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik. (HR Abu Dawud, Ahmad). Tiada contoh tauladan yang paling baik melainkan apa yang telah baginda tunjukkan dan ajarkan kepada umat baginda.

Wednesday, April 1, 2015

Paling Rugi Jika Sesat


Orang-orang yang rugi dalam semua segi adalah mereka yang perbendaharaan keimanan dan tabung keyakinannya telah kosong. Sebenarnya mereka sentiasa dalam kesedihan, keninaan dan kemurkaan Allah swt. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit." (Taha: 124).

Adapun perkara yang dapat membahagiakan jiwa, membersihkannya, mensucikannya, membuatnya tenang dan menghilangkan kegundahan di dalamnya hanyalah iman kepada Allah swt. Kehidupan akan terasa hambar dan kosong tanpa adanya iman.

Bagi orang yang ingkar terhadap Allah swt maka kehidupan bagi mereka merupakan tekanan, kegelapan dan bencana. Alangkah sengsara hidup yang tidak berlandaskan keimanan. Betapa kemurkaan Allah swt menimpa orang-orang yang keluar dari sistem yang dikehendaki Allah swt di bumi ini.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan, (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al Quran) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat sesat." (Al An'am: 110) (LT)

Saturday, March 28, 2015

Bahaya Banyak Berprasangka

Allah swt melarang hambaNya yang mukmin dari banyak berprasangka kerana ianya boleh menjadi tuduhan dan pengkhianatan terhadap keluarga dan orang lain. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa," (Al Hujurat: 12).

Mengenai hal ini, Rasulullah saw bersabda: Jauhilah prasangka kerana prasangka itu perkataan paling dusta. (Mutaffaq alaihi). Oleh itu jauhilah prasangka untuk memelihara diri dari berdosa kerana manusia sememangnya banyak kebimbangan dan keraguan yang bersarang dalam dirinya.

Al Khattabi berkata bahawa prasangka yang diharamkan ialah ada prasangka buruk yang diyakini adanya bersama bisikan-bisikan jahat lain sehingga ia tidak mampu dikuasai.

Rasulullah saw juga pernah menjadi mangsa prasangka ketika baginda pada satu malam berjalan pulang dari masjid bersama isateri baginda iaitu Saffiyah rha. Dalam perjalanan itu ada dua orang Ansar berjalan melepasi baginda dengan tergesa-gesa.

Lalu baginda menegur: Jangan tergesa-gesa. Ini adalah Saffiyah binti Huay. Keduanya menjawab: Maha Suci Allah, wahai Rasulullah! Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada diri manusia seperti aliran darah, dan sesungguhnya aku khuatir jika syaitan itu menyusupkan keburukan ke dalam hatimu. (Muttafaq alaihi).

Friday, March 27, 2015

Dari Kerana Mata

Mempunyai mata yang dapat melihat merupakan nikmat yang sangat besar bagi manusia. Namun begitu tanpa disedari ada mata yang bahagia dan ada yang celaka di akhirat kelak, bergantung bagaimana ia digunakan.

Mata yang bahagia ialah yang kenal Allah swt serta menagis kerana takut kepadaNya. Ia selalu merenung tanda-tanda kebesaran Allah swt sambil memikirkan tentang penciptaan segala makhlukNya di langit dan bumi.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Yang telah menciptkan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sesekali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang maha Pemurah sesutu yang tidak seimbang. Makam lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesutatu yang tidak seimbang. Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah." (Al Mulk: 3-4)

Adapun mata yang sengsara sentiasa melihat yang buruk, maksiat dan perkara yang dilarang. Mata ini akan menangis di akhirat iaitu ketika yang empunya mata berada di hadapan Allah swt.

Rasulullah menerangan mata yang khianat melalui sabda baginda: Pandangan mata adalah salah satu busur panah beracun dari beberapa busur panah yang dimiliki oleh iblis. Sesiapa yang meninggalkan kerana takut kepada Allah maka Allah akan memberinya keimanan yang dirasakan kenikmatannya dalam hati. (HR Al Hakim)

Monday, March 23, 2015

Kehormatan Dan Kemuliaan

Ramai orang mencari kehormatan dengan cara paksaan, berbohong dan ancaman. Benarkah kehormatan yang dicari dengan cara yang demikian boleh bertahan lama? Sejarah telah membuktikan bahawa para pemimpin yang zalim dan mempunyai kehormatan palsu hanya memerintah untuk waktu yang singkat.

Kemudian Allah swt membinasakan mereka dengan kematian yang dahsyat dan hina. Di akhirat Allah swt juga akan menghukum mereka seperti frimanNYa yang bermaksud, "Sesunguuhnya Kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala." (Al Insan: 4)


Kehormatan dan kemuliaan yang sebenar ialah yang berasaskan ketakwaan. Maka sesiapa sahaja yang benar takwanya nescaya akan diberi oleh Allah swt kurnia tersebut. Allah swt berfirman dengan maksud, "Sesungguhnya Aku memberi balasan kepada mereka (orang-orang mukmin) di hari ini kerana kesabaran mereka, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang menang." (Al Mu'minun: 11)


Sesungguhnya kehormatan, kemuliaan dan kewibawaan telah diberikanNya kepada para nabi dan rasul terutama Nabi Muhammad saw. Nama baginda tetap disebut dengan sebutan mulia, diseru dalam azan dan solat setiap waktu di seluruh dunia hingga hari kiamat. Begitu jug para sahabat, para tabiin, para ulama dan pemimpin yang adil yang sentias diingat dalam doa setiap orang mukmin.

Kita Sedang Diperhatikan

Ada perbezaan rasa bila diri sedang diperhatikan orang misalnya tersipu malu, semakin menunjuk, wajah merah padam atau terus diam menikus. Namum setiap Muslim tahu dan yakin dengan sebenar-benarnya bahawa pemerhati yang tidak pernah tidur dan lalai adalah Allah swt. Allah swt sentiasa memantau setiap pergerakan dan perbuatan, segala yang nyata atau tersembunyi malahan yang terbenam di relung hati yang paling dalam sekalipun.Sikap merasa sentiasa diawasi ini membantu seorang Muslim ketika bertindak pada jalan yang lurus dan merasa selamat apabila ditimpa ujian serta bahaya. Setiap langkah yang diatur dan setiap helaan nafas yang dihela adalah izin Allah swt semata-mata. Dalam hal ini dan keadaan apapun juga Allah swt ada bersama hambaNya yang sentiasa bergantung kepadaNya kerana Dia sangat dekat dan Sebaik-baik Penolong.

Oleh itu hati seorang Muslim menjadi tenang bila bersama Allah swt dan merasa puas mendampingiNya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan siapakah yang lebih baik agamaya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan..." (An Nisa': 125).
Tidur dan jaga, makan minum, berehat dan bekerja juga merupakan ibadah bagi setiap Muslim. Lebih-lebih lagi ketika mengerjakan ibadah khusus dan Rasulullah saw memperingatkan dengan bersabda: Beribadahlah kamu seperti melihatnya, apabila kamu tidak melihat Allah sesungguhnya Dia melihatmu. (Muttafaq 'alaih)


Sumber Segala Kebaikan

Kebaikan yang orang lakukan selalunya dapat menggembirakan dan menyenangkan hati kita walaupun ianya hanya sedikit. Namun Allah swt adalah sumber segala kebaikan.

Tiada yang lebih baik dan pemurah dari Allah swt. Dia menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan, memberinya sebaik-baik rezeki serta membalas amalan solehnya dengan berlipat ganda.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sungguh Kami menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk." (At Tin:4). Orang yang menyedari hakikat ini akan bersyukur sebanyak-banyaknya atas segala kebaikan Allah swt dan memohon ampun atas kelalaian serta kekurangan dalam melaksanakan perintahNya.


Alangkah baiknya jika kita dapat menghayati kata-kata bijak pandai agar berbuat baik kepada orang lain sepertimana kita mahu mereka melakukannnya kepada kita. Orang yang berbuat baik akan sentiasa disukai orang lain walaupun dirinya seorang yang serba sederhana dalam kehidupan.

Ia yakin janji Allah swt iaitu Dia akan membalas semua amalan baik yang dilakukan oleh hambaNya yang ikhlas.

Sunday, March 22, 2015

Pilih Hati Bahagia

Sesungguhnya hati yang bahagia ialah hati yang mengenal Allah swt dan yang dipenuhi oleh la illaha illallah, yang mencintai Rasullah saw dan mengikuti baginda. Allah swt mengingatkan agar orang-orang mukmin selalu waspada dari mempunyai hati yang lalai melalui firmanNya yang bermaksud, "...dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Al Kahfi: 28).

Ramai manusia yang terperangkap dengan kesenangan dan keseronokan dunia akibat hendak memuaskan hawa nafsu dan memenuhi ajakan syaitan serta kuncu-kuncunya.

Adapun hati yang sengsara ialah hati yang berpaling dari mengenal Rabb, tidak membaca dan mengikut petunjuk Al Quran, tidak mengingat Allah swt dan mengingkari ajaran Rasulullah saw.

Hati ini tidak akan selamat kecuali pemiliknya kembali ke jalan yang lurus seperti yang diperintahkan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.Penting diingat bahawa untuk memiliki hati yang suci bersih yang tunduk kepada Allah swt semata-mata ianya mesti melalui proses yang panjang dan sukar.

Namun begitu Rasulullah saw menjelaskan salah satu cara untuk memelihara hati melalui sabda baginda: Sungguh beruntung orang yang (nanti) mendapat buku catatan amalnya penuh dengan istigfar. (HR Ibnu Majah, Ahmad, Abu Nu'aim).

Sunday, May 4, 2014

Jahatnya Orang Munafik

Salah satu sifat orang munafik ialah mereka sentiasa menunggu kelalaian orang mukmin. Mereka berada di kalangan orang mukmin dan kaum kafirin hanya untuk mendapat keuntungan. Allah swt berfirman yang bermaksud, "(Itulah) orang-orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (hai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan dari Allah mereka berkata: 'Bukankah kami (turut berperang) bersama kamu?, dan jika orang-orang kafir mendapat keuntungan (kemenangan) mereka berkata: 'Bukankah kami turut memenangkanmu dan membela kamu dari orang-orang mukmin? Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman." (An Nisa': 141)

Oleh kerana ada orang-orang mukmin yang terpedaya dengan kata-kata manis kaum munafik maka akibatnya ramai umat Islam telah ditimpa malapetaka. Kerosakan lebih besar berlaku jika yang tertipu adalah orang Islam dari golongan pemimpin, para ilmuan dan orang yang berpangkat. Tipudaya orang munafik sangat halus dan mereka disokong oleh individu dan kumpulan yang berpengaruh dan mempunyai sumber kewangan yang kuat. Mereka berusaha bersungguh-sungguh hingga umat Islam menjadi hina dan rosak akidahnya.

Wednesday, April 9, 2014

Mengadu Pada Allah

Ada ulama mengatakan: Jangan mengadu atau meminta suatu hajat kepada selain Allah swt kerana Dia sendiri yang akan memberi atau menunaikan hajat itu kepadamu. Jadi bagaimanakah selain Allah swt dapat menyingkirkan sesuatu yang telah diletakkan olehNya? Siapa pun yang tidak dapat menyingkirkan bencana yang menimpa dirinya sendiri, bagaimana pula dia boleh menyingkirkan bencana itu dari lainnya?

Bila ditimpa suatu bencana sudah tentu seseorang berhajat kepada pertolongan dan bantuan. Maka dalam setiap hajat itu jangan mengharap pada selain Allah swt kerana sesuatu itu juga perlukan pertolongan.

Barangsiapa yang menyandarkan nasibnya pada sesuatu selain Allah swt bererti dia telah ditipu oleh khayalan kerana tiada yang berkuasa melainkan Allah swt. Dialah yang sentiasa memberi kurnia, nikmat dan rahmatNya kepada sekelian makhluk. Setiap manusia yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat hendaklah bersungguh-sungguh mengingat perkara ini.

Alangkah ruginya jika meletakkan pengharapan kepada sesama makhluk yang tidak mempunyai suatu apa pun. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan Rabbmu berfirman: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina." (Al Mukmin: 60)

Wednesday, April 2, 2014

Dengki Atau Redha

Kebanyakan dengki berpunca dari perasaan bahawa orang lain melebihi dirinya dari segi kekayaan, kedudukan, kejayaan dan kebaikan. Oleh itu dia ada niat dan dengan sedaya upaya mencari jalan untuk menghilangkan nikmat tersebut dari orang yang dianggap lawannya. Orang yang dengki akan melakukan pelbagai cara asalkan orang yang didengki itu menerima kesan yang buruk. Misalnya dengan menyebarkan fitnah, cacian dan umpatan atau secara tindakan fizikal yang mencederakan, mendatangkan sakit dan kematian.

Peristiwa pembunuhan pertama sesama manusia berpunca dari perasaan dengki. Kejadian itu membabitkan Qabil dan Habil iaitu dua orang anak Nabi Adam as yang berebut pasangan untuk dijadikan isteri. Kisah itu dinyatakan Allah saw dalam firmanNya, "Ceritakanlah kepada mereka kedua orang putera Adam menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan kurban, maka diterima dari dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil), 'Aku pasti membunuhmu'. Berkata Habil, 'Sesungguhnya Allah hanya menerima (kurban) dari orang-orang yang bertakwa." (Al Maidah: 27)

Api kemarahan dan kedengkian Qabil tidak dapat dikawal hingga sanggup membunuh Habil. Kejadian ini menjadi panduan bagi syaitan untuk mencari kelemahan manusia dan menggunakan sepenuhnya untuk merosakkan mereka.

Sesungguhnya segala kelebihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada seseorang tidak akan boleh dilenyapkan oleh tangan manusia. Allah swt sentiasa menguji iman seseorang dan barangsiapa yang redha terhadap apa yang menimpanya akan mendapat balasan yang baik dari sisiNya.

Monday, March 24, 2014

Puncak Sabar dan Syukur

Ada terdapat banyak tanda-tanda kebesaran Allah swt di alam ini yang boleh disaksikan dan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman. Allah swt telah menjelaskan dalam firmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang sabar lagi bersyukur. (Saba': 19).

Contohnya mereka melihat keindahan alam yang terbentang luas dengan pelbagai makhluknya atau kebinasaan yang besar ketika Allah mendatangkan musibah berupa bencana alam. Penghayatan tentang kehebatan penciptaan langit dan bumi menyedarkan orang-orang yang beriman betapa besar dan hebatnya kekuasaan Allah swt.

Orang-orang yang beriman takut dan sentiasa ingin kembali kepada Allah swt dan mempunyai matlamat bahawa segala amal perbuatan adalah untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata.

Namun keimanan ini tidak akan sempurna kecuali jika disertai dengan kesabaran dan rasa syukur. Adapun puncak sabar ialah melawan ajakan hawa nafsu ke arah maksiat dan puncak syukur ialah pada tauhid iaitu mengesakan Allah swt.

Bagi orang yang ingkar dan hidup bertuankan hawa nafsu maka ayat-ayat Allah swt tidak membawa kesan atau kepada keimanan sedikit pun.

Monday, March 10, 2014

Manusia dan Kehidupannya

Soalan bagaimana manusia dicipta, siapa yang mencipta dan tujuan apakah ia dicipta masih ditanya hingga kini oleh sebahagian besar manusia yang tidak mendapat petunjuk ilahi. Walaupun mereka berilmu, lebih maju dan kaya namun mereka masih tercari-cari erti kehidupan ini. Hanya insan yang dapat hidayah dari Allah swt yang dapat menemui jalan kebenaran.

Mereka ini terpimpin ke arah hidup yang tenang dan bahagia dengan adanya keyakinan bahawa alam dan isinya diciptakan dan dipunyai oleh Allah swt. Jalan hidup yang paling baik ialah dengan mengikuti segala yang diperintahkan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh RasulNya. Sebaliknya orang yang gagal memahami hakikat tersebut akan hidup di dunia seperti haiwan malah lebih sesat lagi. Mereka akan menerima azab yang pedih di akhirat kerana tidak mahu berfikir, belajar dan enggan menerima kebenaran.

Allah swt memerintahkan agar manusia memperhatikan tentang penciptaan tubuh badannya melalui firmanNya yang bermaksud, "Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah ia diciptakan?" (At Thaariq: 5) serta pembentukan jiwa manusia dari ayatNya yang bermaksud: "dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya." (As Syams: 7-10).

Sesungguhnya manusia dijadikan dengan segala keindahan dan kelebihan dari makhluk lain hingga merekalah sepatutnya yang menjadi makhluk paling bersyukur. Jika makhluk yang besar seperti langit dan bumi tunduk tanpa pilihan namun manusia diberikan akal untuk berfikir tentang dirinya dan penciptanya. Selain itu manusia diberikan kitab dan para nabi serta rasul yang dapat membimbing mereka di jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.

Thursday, February 27, 2014

Mati Satu Kepastian


Manusia yang sentiasa sibuk dengan urusan dan kesenangan dunia pada umumnya enggan dan takut untuk bercakap tentang mati. Akan tetapi pada masa yang sama mereka tahu dan pasti bahawa kehidupan adalah perjalanan yang diakhiri dengan kematian. Namun mereka menganggap bahawa ia tidak perlu dibincangkan kerana peristiwa itu sungguh menakutkan.

Perkara ini diterangkan oleh Rasulullah saw dalam sabda baginda: Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu sedikit tertawa dan banyak menangis dan kamu tidak akan berselera makan dan minum.


(HR Hakim). Hadis ini menerangkan seandainya manusia mengetahui perkara ghaib yang diperlihatkan kepada Rasulullah saw tentang betapa dahsyatnya azab kubur dan seksa neraka nescaya kita akan sedikit tertawa dan banyak menangis malahan tidak ingat makan minum.

Kesimpulannya kita mesti berhati-hati dalam menjalani hidup di dunia ini kerana setiap apa yang kita kerjakan selama hidup akan dihisab oleh Allah swt. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)-nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)-nya pula." (Al Zalzalah: 7-8).

Sunday, February 2, 2014

Awaslah Kesenangan Dunia


Manusia memiliki harapan dan keinginan tinggi untuk mendapat semua kenikmatan dan kesenangan di dunia ini. Ini kerana Allah swt telah menjadikan dunia sebagai perhiasan indah yang menarik hati manusia yang memandangnya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya." (Al Kahfi: 7).

Adalah menjadi fitrah manusia pula untuk merasai nikmat dunia seperti dalam firman Allah swt yang bermaksud, "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)." (Ali Imran: 14).

Rasulullah saw amat bimbang jika umat baginda terutamanya yang hidup di akhir zaman akan tertipu dengan kesenangan dunia. Abu Said Al Khudry ra berkata bahawa Rasulullah saw duduk di atas mimbar dan kami duduk di sekitarnya, kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya di antara yang aku khuatirkan atas kamu sepeninggalanku nanti ialah terbuka lebarnya kemewahan dan keindahan dunia ini kepadamu. (HR Bukhari, Muslim).

Tuesday, May 22, 2012

Menjadi Muslim Sejati


Siapakah yang dinamakan Muslim dan apa ertinya menjadi seorang Muslim? Bila seorang Muslim tidak mengetahui perbezaan menjadi seorang Muslim dengan seorang bukan Muslim maka dia tidak akan merasa bangga menjadi seorang Muslim. Oleh itu setiap Muslim dan anak dari setiap Muslim mesti faham apa ertinya bila mengaku dirinya sebagai Muslim, kedudukannya sesudah menjadi Muslim dan lebih penting lagi tentang tanggungjawab yang mesti dipikulnya.

Di samping itu dia mesti mengenali dan menjaga batas-batas yang diberikan oleh Islam supaya seseorang tetap dianggap sebagai seorang Muslim. Dan yang pastinya apabila dia melanggar batas-batas tersebut maka dia tidak lagi disebut Muslim walaupun dia dengan keras mengatakan bahawa dirinya adalah seorang Muslim. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan, Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hambaNya." (Al A'raf: 61) Oleh itu seorang Muslim adalah orang yang dalam setiap urusannya selalu merujuk kepada Kitab Allah dan sunnah RasulNya.

Seorang Muslim mahu mernerima tanpa sebarang keraguan apa sahaja petunjuk yang didaptinya dari Allah dan RasulNya. Dan sebaliknya dia menolak apa sahaja yang dilihatnya bertentangan dengan kedua pentunjuk tersebut kerana dia telah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt.

Wednesday, May 2, 2012

Pada Jiwa Yang Tenang

Tidak ada ertinya jika manusia memiliki jasmani yang sihat namun jiwanya resah gelisah kerana kerana badan yang sakit lebih mudah disembuhkan dengan jiwa yang redha dan tenang. Jiwa yang tenang adalah jiwa yang selalu berhubung dengan Allah swt.

Seseorang yang ingin meraih ketenangan hidup mesti redha menjalani hidup seperti yang di tentukan oleh Allah swt. Perlu diketahui bahawa sumber ketenangan hidup bagi seorang Muslim ialah iman kepada Allah swt dan selalu mengingatiNya. Keadaan itulah yang mendatangkan keredhaanNya iaitu tujuan utama setiap orang beriman.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram (tenang) dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram." (Ar Ra'd: 28).

Oleh kerana iman merupakan sumber ketenangan maka seorang Muslim merasa ringan dan sentiasa bersedia dalam menjalankan tanggungjawab berat yang dipikulnya. Mereka akan mendapat balasan yang paling baik dari Allah swt seperti dalam firmanNya yang bermaksud, "Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan dan tempat kembali yang baik." (Ar Ra'd: 29).