Friday, April 10, 2015

Sayang orkid Tinggal-tinggalkan






(Gambar orkid Dendrobium mini yang diambil di Agrofest Sungai Siput, dipondok orkidku dan di pasar tani)


Bila En K diarah bekerja di utara tanahair maka aku pun mengikutlah. Tinggallah pokok-pokok  yang disayang dan dijaga selama ini di Perak. Nak dibawa perahu sempit, nak ditinggal tak sampai hati. Beginilah kehidupan, semakin banyak yang disayang semakin susah hendak berpisah. Di utara kenalah duduk di rumah sewa, kawasan nak bercuck tanam tak ada kerana semuanya tanah bendang orang punya. Malah tempat nak mengantung orkid pun tak ada. Tapi sebenarnya aku yang malas nak berangkut.....

Ramai yang tanya orkid semuanya tinggal? Ada yang tawarkan diri nak jadi mak angkat pada orkid aku. Elok tak usah. Mana tahu mak angkat jatuh hati dan berkenan. Tentu aku malu alah bila nak ambik balik apalagi kalau orkid tu lebih subur di tangannya. Insyallah, ada air hujan walaupun tak dibaja setiap minggu. Rupanya sejak aku berulang alik antara rumah sendiri dan rumah sewa banyak pokok orkid yang mati. Ada yang kering, dililit pokok letup dan kekacang terutama yang dekat dengan pagar. Yang kelakar pun ada. Sepasu orkid dancing lady ada sarang burung di dalamnya. Nak tunjuk berapa lama pondok orkidku tidak dijengah dan dipeduli.

Bila aku dah kurang tumpuan pada orkid kenalan lain pulak yang semakin mengemarinya. Kalau dulu aku yang beriya  ambil tahu kat mana ada ekspo orkid, pertandingan dan sale kini dia pula yang tolong peringat. Dari ceritanya koleksinya kini lebih banyak jenisnya dan tak kurang orkid mahal.  Itu belum lagi yang dicari dan terjumpa di kebun getah, kelapa dan belukar. Hati berdetik dan berbisik.....sebiji macam perangai aku dulu, membujur lalu melintang patah iaitu pantang jumpa habis disapu.






Thursday, April 9, 2015

Sangka Baik Kepada Allah


Sangka baik kepada Allah swt akan membuka pintu harapan bagi diri sesorang hamba hingga dapat menambah kekuatannya untuk melakukan ketaatan dan membuat dia lebih bersemangat dalam melakukan amal kebaikan. Ini satu kebenaran kerana hati lebih cepat bertindakbalas yang positif apabila mengingat rahmat, keampunan, penerimaan taubat dan sifat kesabaran Allah swt.

Dalam tindakannya manusia terbahagi kepada tiga golongan; pertama
mereka yang mendekatkan diri kepada Allah swt dan berusaha gigih untuk mencari keredhaanNya semata-mata. Mereka melihat kedudukan ini tidak ada tolok bandingnya dengan segala nikmat yang lain. Kedua, mereka yang beramal untuk mencari pahala agar masuk syurga serta menikmati apa yang terdapat di dalamnya. Dan yang ketiga, mereka yang beramal kerana takut dimasukkan ke dalam `neraka.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan barangsiapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan beriman, lagi sungguh-sungguh telah beramal soleh maka mereka itulah orang-orang yang mendapat tempat-tempat yang tinggi (mulia)." (Taha: 75). Ini menandakan bahawa Allah swt menyediakan keampunan kepada hamba yang benar-benar ingin kembali kepadaNya. Namun untuk sampai ke tempat yang mulia tersebut ia memerlukan tumpuan serta keazaman yang tinggi dan berterusan.

Sesungguhnya meyakini Allah swt Maha Pengampun dan Maha Penyayang dapat membuang segala perasaan dan fikiran yang boleh melemahkan dan menghalang seseorang dari menjadi mukmin sejati. Lawan dari bersangka baik kepada Allah swt ialah berputus asa terhadapNya dengan mengatakan bahawa biarlah terus bergelimang maksiat kerana Allah swt tidak akan menerima orang yang telah banyak dosa. Itulah juga yang diharapkan oleh syaitan agar tiada seorang manusia pun yang mahu berusaha untuk masuk ke syurga sedangkan syaitan pasti masuk ke neraka.





Yang Layak Ke Syurga


1. Dengan cahaya iman manusia boleh meningkat kepada ketinggian yang setinggi-tingginya dan mencapai nilai yang melayakkannya ke syurga, namun dengan kegelapan kufur ia jatuh serendah-rendah derjat yang membawanya ke neraka. (Said Nursi)

2. Orang yang memerangi Islam akan menyesal dan orang-orng yang tidak berani menegakkan Islam secara utuh akan menyesal, sesungguhnya mereka akan menyesal di dunia sebelum sampai ke akhirat. (Said Hawwa)

3. Dunia Islam tidak akan bangkit semula melainkan kembali sepenuhnya kepada risalah yang diamanatkan oleh pembinanya iaitu Muhammad saw; secara kembali kepada ajaran Islam dengan kepercayaan yang bulat tidak berbelah bagi dan sedia berkorban untuknya. (Abu Hassan Ali An Nadwi)

Monday, April 6, 2015

Mari Kita Ke Ladang

 Kebun sawit En K
 Lepas diracun
 Musuh ketat, lalang
 Semak sikit, ok
Pokok setahun setengah

Tiga minggu lamanya aku meneman Hf di kebun kelapa sawit seluas empat ekar di kampung JS. Sebelum ni aku dan En K ada datang melihat kebun ni tapi kebanyakan anak sawitnya tak nampak bayang kerana ditutup semak samun. Di sana sini terdapat anak kayu sebesar lengan, pokok pisang liar dan pokok terong pipit. Sedih tengok keadaan kebun yang bersusah payah nak mendapatkannya dan keluar banyak modal untuk menanam semula. Kerana semangat nak berkebun tinggi aku dan Hf berpakat nak buat sendiri, tak payah upah orang.
Mulanya aku cuak juga ke kebun walaupun hanya 1 km dari kawasan perumahan kampung JS. Orang kata ada babi hutan (memang banyak jejaknya) dan gajah (lebih baik tak jumpa) di kawasan ini. Hari pertama menebas tapak tangan melecet sebab lupa bawa sarung tangan. Pagi dan petang selama seminggu kami bekerja, terjah  semak sambil menghayun parang kiri dan kanan. Yang penting jumpa anak sawit... terjah lagi, next...next. Kekadang anak sawit tak ada, yang tinggal hanya lubang. Mungkin pokok sudah dimakan tikus, mati kering atau disondol babi.

Mujur minggu pertama tak ada hujan dan kerja berjalan lancar. Tapi pada minggu kedua aku digigit pacat, banyak pulak tu. Rasa nak demam dan waktu malam tak dapat tidur sebab gatal dan sakit. Lepas tu aku lebih berhati-hati nak masuk kebun lepas hujan. Usaha cari pakaian dan stokin kalis pacat. Jiran sekampung kata lilitkan kain yang telah dibasahkan dengan air rendaman tembakau pada gum boot. Nak lebih mudah aku sembur gum boot dengan racun serangga.
Bila sudah kurang semak kami mula meletak pancang buluh pada setiap lubang yang yang tiada anak sawit. Lepas tu barulah Hf meracun keliling pokok serta laluan antara pokok dalam barisan. Kemudian baru membaja. Berbaloi rasanya dapat buat kebun sendiri walaupun letih dan sakit badan. Hati berdetik dan berbisik......seronoknya tengok kebun yang bersih terjaga tapi rupanya berbaldi-baldi keringat tercurah.


Sunday, April 5, 2015

Mengenal Golongan Munafik


Sebenarnya golongan munafik cuba menutup keingkaran mereka yang tersembunyi di dalam hati dengan keimanan secara lisan. Keadaan mereka ini diceritakan Allah sw dalam firmanNya yang bermaksud, "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya." (Al Baqarah: 8-10)

Umumnya orang-orang munafik ini tidak mudah dikenali kerana mereka mengaku Islam. Mereka berkata bahawa merekalah yang paling benar sedangkan sedikit amal dan ibadah yang mereka lakukan hanya untuk mengabui orang-orang yang beriman sahaja. Namun Al Quran telah membongkar sifat asli mereka dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka agar umat Islam tidak tertipu.

Salah satu sifat mereka yang sangat merbahaya ialah bersedia untuk memberikan kepatuhan kepada orang kafir. Secara sembunyi dan tipu muslihat mereka berpihak kepada musuh-musuh Islam kerana mereka sebenarnya mengharapkan kehancuran kaum mukminin

Mereka lebih suka mencari kemuliaan dari kaum yang mengingkari dan memusuhi Allah swt.Allah swt telah telah mengancam mereka dalam firmanNya yang bermaksud, "Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan disamping orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah." (Al Ankabut: 138-139).

Jangan Abaikan Keluarga


Rasulullah saw bersabda: Seutama-utama dinar yang dibelanjakan oleh seseorang ialah dinar yang dibelanjakan untuk keluarganya, juga dinar untuk keenderaan dalam perjuangan fisabilillah dan dinar yang dibelanjakan untuk membantu kawan-kawan seperjuangan fisabilillah. (HR Muslim).

Rasulullah saw bersabda: Hendaknya tiap dua orang dalam satu keluarga, keluar seorang dan seorang tinggal menjaga keluarganya, kemudian pahalanya terbahagi sama rata antara keduanya. (HR Muslim).

Rasulullah saw bersabda: Kamu sekelian pemimpin dan kamu masing-masing akan ditanya tentang rakyatnya. Raja pemimpin dan suami pemimpin pada keluarganya dan isteri memimpin rumahtangga suaminya dan anak-anaknya. Maka kamu sekelian memimpin dan akan bertanggungjawab atas pimpinan rakyatnya. (HR Bukhari).

Friday, April 3, 2015

Anzalna atau Abtadiul

Bunga St Paulina
Bunga wangi
Bunga pokok menjalar
Bunga betik
Bunga pokok berduri

Dulu-dulu kalau dah masuk sekolah menengah oang akan panggil anak dara. Waktu kenduri kendara mereka ni jadi penyeri majlis. Anak dara peneman pengantin ketika majlis berinai, khatam al Quran dan jadi kendarat. Jadi satu kerisauan kalau mereka tak pandai mengaji dan baca berzanji apalagi kalau dah nak masuk 20an. Malu sangat ketika kitab berzanji disuakan untuk dibaca terpaksa ditolak pada orang sebelah. Anak-anak dara kena belajar agar bacaan lancar, biar nafas panjang tidak semput. Suara boleh di dengar separuh kampung sebab biasanya majlis ni ada guna pembesar suara.

Dan aku juga buat persediaan dan selalu mengikut mak Usuku belajar melagukan bacaan berzanji. Kami berkumpul di rumah nenek sebulan sebelum ada kenduri kawin di kampung. Yang mana tak lancar kena ulang kaji, kalau tak kena lagu kena repair. Lama-lama akupun pandai tapi taklalh duduk dekat  dengan pengantin. Duduk jauh sikit iaitu di tempat tak strategik bersama yang kurang bersuara merdu dan keyakinan diri.

Majlis khatam Al Quran adalah satu kemestian bagi pengantin perempuan. Semua wanita yang hadir duduk di anjung rumah tapi hanya anak-anak dara dan guru ngaji atau ustazah bersama pengantin. Pengantin kena membaca surah-surah terakhir dalam juz amma. barulah tau pengantin ni lancar dan fasih ke bacaannya, sedap ke suaranya. Kesian kalau kena yang berdarah gemuruh, tentu hampir nak menangis si pengantin. Selepas khatam al Quran dan doa barulah ada bacaan berzanji. Masa yang mencemaskan bagi anak-anak dara pengapit pengantin dan orang yang paling hampir.  Mereka kena baca  dahulu. 

Ramai yang ingin membaca sebab nak tingkatkan saham. Ramai pula membaca tersekat sebab pancit dan tak cucup nafas. Maklumlah tak pernah dengar suara sendiri dalam mikofon. Majlis hampir tamat bila ada bacaan beramai-ramai selawat sambil berdiri. Hati berdetik dan berbisik......seronoknya majllis ni kerana tak ada selfie, kesibukan ambil gambar dan video hingga mengganggu keindahan dan ketenangannya.