Friday, December 3, 2010

Selamat Pengantin Baru

 Bunga balong ayam
 Penyeri kampong
 Merah menyala
 Ramai yang suka
 Mudah di tanam
 
Aku tak lupa rumah Pak Gurabak dan andartunya Lamak yang berambut mengerbang melepasi bahu. Rumah mereka terletak di antara jeti buruk tempat menyeberang sungai dengan perumahan estet. Jika dari jeti, rumah usang itu terletak di sebelah kanan jalan. Untuk ke rumah itu terpaksa meniti jambatan papan reput di hadapan rumah tersebut kerana ia menyeberang sungai. Walaupun sungai itu hanya 3 m luas namun kedua tebingnya berlumpur dan di tumbuhi semak samun jadi jambatan dibina panjang.

Sesekali aku dan mak ke rumah Lamak untuk membeli jambu batu. Setengah baldi jambu cuma 30 sen. Lamak, mukanya masam bila diminta mengait jambu di keliling rumahnya. Jambu kampung kecil saiznya dan berbau harum kalau masak ranum. Namun jarang orang berani pergi ke rumah usang tersebut dan dua beranak itu juga kurang bercampur dengan masyarakat dari perumahan estet. Ada yang kata Pak Gurabak garang dan tak boleh bertolak ansur sebab itu Lamak tidak akan disunting orang.

Ramai orang yang meramal bahawa Lamak tidak akan berkahwin. Tekaan mereka salah kerana akhirnya dia diperisterikan oleh bujang terlajak yang tinggal berhadapan dengan rumah abah setelah jejaka itu selesai membuat kenduri kahwin adik perempuannya yang ke empat. Alhamdulillah, selamat pengantin baru dan semoga mereka berbahagia kata orang yang mendengar berita itu.

0 comments:

Post a Comment