Thursday, December 16, 2010

Akibat Setiap Perbuatan

Setiap perbuatan yang dilakukan samaada oleh hati atau anggota badan akan membawa akibat kepada pelakunya. Oleh itu seseorang hendaklah ingat sebelum melakukan sesuatu perkara kerana kesannya boleh jadi hidayah atau bencana. Hanya amal baik dan soleh yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah swt akan membuahkan petunjuk. Allah swt sangat mencintai amal soleh yang dilakukan oleh hambaNya dan memberi ganjaran berupa hidayah serta pahala. Ganjaran akan sentiasa bertambah sekiranya amalan soleh dilakukan secara berterusan.

Perkara tersebut dijelaskan dalam firman Allah swt yang bermaksud, "Dan orang-orang yang telah menerima petunjuk Allah akan menambah petunjuk lain untuk mereka, dan kepada mereka diberikan sifat taqwa." (Muhammad: 17). Sebaliknya perbuatan maksiat dan berbuat zalim kepada orang lain dibenci oleh Allah swt. Dia akan membalas kesesatan tersebut di dunia dan dengan azab yang pedih di akhirat kelak.

Allah swt mengingatkan orang-orang yang membuat maksiat , kezaliman dan kerosakan dengan firmanNya yang bermaksud, "Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu? (Al Jatsiyah: 21).

Orang-orang yang beriman yakin akan adanya hari pembalasan kerana sentiasa diperingatkan dengan ayat-ayat Al Quran dan hadis bahawa setiap perbuatan akan dihisab. Perbuatan yang nyata atau tersembunyi dan yang baik atau buruk semua akan dihisab dengan teliti serta seadil-adilnya di mahkamah Allah swt kelak. Ketika itu barulah orang-orang yang mengingkari adanya hari tersebut akan menyesal apabila melihat azab yang akan diterima.

0 comments:

Post a Comment