Saturday, December 18, 2010

Manusia dan Penciptaannya

Manusia diciptakan dan dikurniakan anggota tubuh yang elok dan seimbang di mana semua pancaindera dan anggota tubuhnya terletak di tempat yang paling sesuai. Dengan keadaan itu manusia berfungsi dengan sebaiknya iaitu dari sekecil-kecil perbuatan hingga kepada pekerjaan yang memerlukan kekuatan. Manusia kelihatan cantik dan indah, tampan dan segak bertepatan dengan tugas yang telah dipikulkan oleh Allah swt sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Keistimewaan bentuk tubuh dan badan ini merupakan kurnia Allah swt yang merupakan nikmat kepada manusia. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manuisa dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (A Tiin:4). Kurniaan ini mestilah digunakan dengan sebaiknya kerana ia tidak kekal, rapuh dan telah ditetapkan akan mengalami kemerosotan oleh Allah swt.

Namun begitu pelbagai keistimewaan lain telah dikurniakan Allah swt agar manuisa boleh menundukkan pelbagai jenis makhluk dan alam sekelilingnya untuk hidup. Dengan kurniaan akal manusia mencipta pelbagai macam peralatan untuk memudahkan kerjanya. Allah swt juga membekalkan tumbuh-tumbuhan, haiwan, tanah dan cuaca yang sesuai untuk manusia memanfaatkannya.

Semua anugerah tersebut merupakan bentuk pemuliaan Allah swt kepada manusia. Akan tetapi kurnia tersebut hendaklah digunakan dalam rangka membina kehidupan serta untuk mengabadi dan beribadah kepadanya. Jika nikmat tidak digunakan mengikut peraturanNya maka Allah swt akan menghinakan manusia tersebut. Mereka disamakan darjatnya dengan haiwan bahkan lebih rendah lagi.

1 comments:

Unknown said...

kite sepattnya bersyukur di atas setiap anugerah yang tuhan bagi... setiap kelemahan mesti ada kelebihannya...

Post a Comment