Monday, April 14, 2014

Musabaqah Dulu-dulu

Celosia /
 Bunga balung ayam
Bunga kalanchoe
Bunga siantan
Jacobinia / King's Crown
Kemboja


Akulah paling rajin ulang alik pergi ke kedai yang terletak dimuara kampongku. Menunggang basikal botak yang tak ada mud guard. Kedai ni lebihkurang 1.5 km dari rumah nenek dan melalui beberapa rumah yang besar dan cantik. Salah satu rumah ni tiangnya banyak dan tinggi manakala tingkapnya panjang hingga ke lantai. Daun tingkap dan pintu berukir cantk dan bumbungnya dari kepingan kayu nipis. Kalau aku melintas waktu petang akan terdengar suara orang mengaji Al Quran, merdu dan mersik. Dia duduk di tepi tingkap dengan tekunnya. Dia anak Tok Imam kampong kami.

Ketika itu Si Aminah nilah yang berpotensi untuk jadi wakil qariah dari kampong kami. Kebetulan juara musabaqah peringkat antarbangsa tahun itu ialah Puan Hjh Rahmah dari Seri Gading, Batu Pahat Johor. Kampong beliau dekat dengan kampongku dan kekadang dijemput jika ada majlis. Nama qari dan qariah lain seperti Tuan Hj Ismail Hashim, Hjh Rogayah bt Sulong, Hjh Faridah bt Mat Saman dan Rodiah bt Abdul Rahman sangat terkenal. Maklumlah mereka menjadi juara musabaqah antarabangsa bukan sekali tapi ada yang lebih dari tiga kali.

Di sekolah agama setiap tahun cikgu akan cari bakat yang jadi wakil qari dan qariah. Aku pun dipilih tapi tewas disaringan pertama. Cikgu kata aku hanya layak masuk kumpulan nasyid sahaja (backup di barisan belakang). Tapi puas hati kerana dapat pakai kain songket dan baju kurung serta selendang renda putih bila ada persembahan.
 
Di bulan Ramadhan lepas terawih kami ramai-ramai bentang tikar di halaman rumah Pak Marlan Kontrakor (paling kaya di kampong) hanya untuk dengar musabaqah Al Quran. Tv 24 inci diletak di tingkap agar semua orang boleh menonton. Walau gambar hitam putih tapi sekampong datang. Aku ingat itulah zaman musabaqah yang aku setia tonton setiap malam dengan khusyuk dan bersemangat. Hati berdetik dan berbisik...........sekarang ini dah ada tv depan mata tapi lain pula jadinya....

0 comments:

Post a Comment