Sesekali nenek akan mengeluarkan barang kemasnya dan aku suka melihat subang dan cincin, loket serta gelang yang disimpan beliau. Antaranya tiga bentuk cincin dan dua butang baju kurung dan subang yang bertatah batu putih jernih. Nenek kata yang ini intan cempaka, tak boleh kena minyak nanti kilauannya pudar.
Bila melihat barang kemas ni nenek akan bercerita tentang tempat asalnya di Indonesia. Dia berkata bahawa keluarganya berasal dari Martapura sebuah daerah di Kabupaten Banjar di Kalimantan Selatan. Ayah moyang ialah seorang pekerja di lombong berlian di sana. Bandar Martapura juga dikenal sebagai Serambi Mekah dan pengeluar berlian.
Dari kota Banjarmasin dia membawa isterinya, moyang dan suami serta abang moyang dan isteri belayar ke Mekah dengan menaiki kapal laut untuk menunaikan haji. Perjalanan itu mengambil masa enam bulan dan mereka bawa bekalan makanan dan barang yang banyak. Pada waktu itu nenek baru berumur dua tahun dan tidak ingat perjalanannya ke kota suci itu.
Setelah pulang dari Mekah mereka berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di daerah yang ramai penduduk Banjar. Nenek kata intan kepunyaan datuknya banyak telah dijual untuk perbelanjaan mereka ke Mekah. Setelah beliau dan isterinya meninggal dunia barang kemas yang sedikit itu dibahagi pula antara moyang dengan abangnya.
Hanya berlian Martapura ini yang dapat mengingatkan akan asal usulku dan bapa moyang mempunyai pekerjaan yang sangat asing dan awesome iaitu seorang pelombong berlian.
0 comments:
Post a Comment