Thursday, June 10, 2010

Seronok Tahu Menjahit

Di rumah nenek ada mesin jahit Singer guna kaki walaupun orang lain di kampung semuanya ada mesin guna tangan. Aku suka perhati mak atau nenek mengukur, menggunting dan menjahit baju dan kain.

Dulu tak ada kertas pattern atau tali tape jadi ukur lebih kurang guna tali guni atau ukur terus dengan baju lama. Lebarkan dua jari atau panjangkan setengah jengkal. Paling senang kalau gunting kain kapas sebab sekali lipat dan tekan sudah boleh digunting.

Dari melihat dan mengacau aku belajar macam mana nak jahit baju kurung, kenal pesak, pesak gantung dan kekek, menyembat dan buat tulang belut. Kalau gunting seluar untuk lelaki mesti ada tongkah supaya tak cepat koyak. Moyang, nenek, mak dan mak cik semuanya pandai menjahit.

Nenek dan mak ambil upah sembat baju kurung kerana jahitan mereka halus dan kemas, taklah tebal macam kacang panjang atau jahitan di sebelah luar berselirat.

Aku tak pernah miss tengok mak isi benang pada 'bobbin' dan letak sekoci ke dalam perut mesin. Selalu juga aku kena marah kerana berdiri di depan mesin dan tangan tak diam nak tolong memotong benang setiap kali nenek tarik kain selepas satu jahitan.

Menjahit guna mesin jahit kaki mudah sedikit kerana cuma imbangkan gerakan kaki dengan tangan supaya mesin tidak terlalu laju atau jahitan senget. Aku suka tolong minyakkan mesin jahit atau lap tali mesin yang dibuat dari kulit dengan air agar tegang.

Tali ini menyambungkan antara roda kaki dengan roda yang memutar mesin. Aku berhenti menyebuk dekat mesin jahit bila mak tercucuk jarum mesin pada kuku di jari telunjuk dan terpaksa dibawa ke hospital.

0 comments:

Post a Comment