Wednesday, June 16, 2010

Nilai Seekor Ayam

Daging ayam adalah makanan luxury di kampung, cuma dapat dijamah bila hari raya dan kenduri atau ayam di reban terkena penyakit sampar dan tinggal nyawa-nyawa ikan. Kalau nak buat lauk kenduri cuma bulu, darah, sedikit organ dalaman tertentu dan tahinya sahaja yang dibuang. Kepala ayam dibakar, dibuang kulit, mata, dagu dan lidah lalu dimasak kari bersama terong, kacang panjang, kentang serta leher ayam.

Kaki ayam di
celur, dibersihkan, dikerat dan campur dalam kari. Hati, limpa, telur anggur (ovari) juga dicelur dengan air panas dan dihiris. Mempedal dan usus kecil dibuang isinya dan dibasuh bersih sebelum dimasukkan ke dalam air menggelegak. Kemudian barulah dikikis lapisan dalam hingga bersih lalu dihiris nipis. Semua organ dalaman ini ditumis dengan rempah dan kacang bermata hitam yang telah direbus. Dada ayam digoreng sebentar dan dimasak kicap sementara daging peha pula dimasak merah atau kurma bersama bawang besar.

Hanya orang dewasa sahaja yang boleh makan organ dalaman yang dibakar. Kanak-kanak pantang kerana takut jadi bebal atau bodoh. Selalunya orang yang bekerja di dapur sahaja secara exclusive dapat merasanya. Mereka secara sorok-sorok menabur sedikit garam dan mencucuk bahan ini pada lidi penyapu dan memanggangnya.

Aku yang memang suka menolong mengupas bawang dan sayur dapat juga tempias makanan ni bila nenek hulurkan sedikit. Itulah keadaannya, bila sesuatu itu payah nak dapat maka semuanya berguna dan bernilai........

0 comments:

Post a Comment