Thursday, June 3, 2010

Keluarga Arwah Datuk

Rumah besar mak mertua nenek (dia tinggal seorang) terletak di kepala kampung dekat dengan jalan raya. Rumahnya sederet dengan lima lagi rumah besar di situ. Semua tuan punya rumah merupakan orang terkaya di kampung itu kerana mereka ada banyak tanah dan kebun, ada kereta dan bekalan air paip.

Rumah adik lelaki arwah datuk ke hadapan sedikit dari rumah moyang. Dia bekerja sebagai guru bahasa Melayu di sekolah menengah di pekan. Dia mempunyai lima orang anak dan isterinya seorang pendiam. Adik bungsu arwah datuk seorang perempuan ada tiga orang anak dengan suaminya yang pertama.

Setelah bercerai dia berkahwin semula dengan seorang pemuda di kampung berdekatan dan bekerja di Singapura. Sesekali keluarganya balik ke kampung untuk ziarah atau berhari raya.

Kalau kenduri nenek akan dipanggil membantu kerana nenek ringan tulang dan pandai memasak. Jadi kami bertolak awal pagi dan aku yang paling gembira kerana rumah tersebut di kelilingi pokok buah-buahan seperti pokok kundang, rambutan, rambai, jering dan pulasan.

Aku suka dengar cerita rumah moyang yang sedikit gelap dan tingkapnya sentiasa bertutup. Kata orang jangan tidur di bawah tiang seri di tengah rumah. Jangan jalan di bawah rumah kalau senja dan jangan masuk ke rumah kalau sorang-sorang. Ketika aku darjah tiga moyang meninggal dunia dan rumah besarnya semakin terbiar.

Aku yang balik dari sekolah setiap petang akan mengayuh basikal sekuat hati bila melintasi salah satu tingakp terbuka rumah itu yang dekat betul dengan jalan kecil yang masuk ke kampungku.

0 comments:

Post a Comment