Friday, March 18, 2011

Coelogyne rochussenii

Coelogyne rochussenii
Tujuh tangkai
Keluar dari perdu
Cantik dan wangi
Disinar matahari pagi
Bunga, close up

Gambar diambil dari pondok orkidku. Tiga orang jiran mak yang minat habis dengan orkid ialah Mak Teh, Kak Nah dan Cik Sal. Tak kira orkid digantung atau ditanam berbaris di tanah semuanya mereka ada. Kebanyakan dibeli dari orang yang datang menjual dengan van. Aku yang sama gila orkid tak lepas peluang melihat koleksi mereka bila balik kampung; samaada untuk melihat pembelian terbaru atau bertanya tips penjagaannya. Selalunya mereka malu-malau nak memberitahu, kata mereka inilah cara orang kampung, orang di bandar tentu ada pokok yang lebih mahal dan baja yang elok. Apapun pokok mereka lebih subur dari pokok yang aku ada.

Setelah berbasa basi Mak Teh memberi aku serumpun kecil pokok orkid yang daunnya seakan anak pokok pinang. Katanya tangkai bunga yang keluar panjang berjurai, seperti karangan bunga dan wangi berbau lemon. Dua tahun lebih menjaga baru ada lima pseudobulb dan ia berbunga untuk kali pertama. Memang cantik dan kuntum yang kembang tahan dua minggu. Nama orkid ini ialah Coelogyne rochussenii dan asalnya dari di negara kita, Indonesia dan Filipina. Kekadang tangkai bunga boleh mencecah hingga 45 sentimeter dengan 40 kuntum bunga yang mekar serentak.

Bila aku balik ke kampung pada bulan Disember lepas aku mendengar khabar bahawa Mak Teh sudah kembali ke rahmatullah. Dari pintu hadapan rumah mak aku memandang ke arah rumah Mak Teh dan seolah terbayang dia terbongkok-bongkok merapikan tanamannya. Pondok orkidnya masih dijaga elok oleh suaminya yang juga gemar berkebun. Sejak dulu rumah mereka yang paling bersih sekelilngnya, meriah catnya dan tercantik susunan landskapnya. Pokok orkid pemberian Mak Teh semakin subur dan ini kali ke dua ia berbunga. Hati berdetik dan berbisik ......... semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan terimakasih atas pemberian itu.

0 comments:

Post a Comment