Saturday, March 26, 2011

Sebusuk Daging Reput

Pokok Stapelia jenis tegak
Stapelia panjang berjuntai
Bunga di hujung
Warna maroon
Bunga, close up


Gambar diambil di rumah Mak Su dan Restoren SM. Stapelia adalah satu genus tumbuhan lembut atau succulent tanpa duri yang mengandungi 40 spesis yang kebanyakannya berasal dari Afrika Selatan. Perkara yang unik bagi pokok ini ialah bunganya berbentuk bintang, berbulu dan berbau seperti daging reput. Ada juga spesis yang berbunga besar sehingga 40sm atau 16 inci. Bau bunga yang busuk dapat menarik serangga seperti lalat dan langau untuk hinggap dan secara tidak langsung mendebungakannya. Ada stapelia yang ditanam untuk hiasan terutama yang bercabang di dalam bekas yang cetek. Sebaiknya gunakan tanah kompos agar air tidak bertakung untuk mengelakkan akar menjadi reput.

Di kampungku pokok ni sudah ditanam sejak dulu lagi kerana ia cepat tumbuh subur dan mudah dijaga. Tak perasan pun tentang bau bunganya kerana ia jarang berbunga dan warnnya pula tidak menyerlah. Kalau cakap dengan nenek bunga ini baunya macam daging busuk dia tentu menegur........tak ada benda lain yang kau nak cium? Nenek hanya suka bunga tanjung dan kenanga, cempaka atau melur. yang harum semerbak. Kalau hujan pagi dan cuti sekolah aku akan disuruh memungut bunga tanjung di halaman rumah Tok Mokri untuk simpan dengan bedak sejuk atau dikarang. Kalau ke kedai mesti singgah ke rumah Pak Abas untuk mengambil bunga cempaka. Pokok bunga kenanga pula tinggi sehingga bunganya perlu dikait dengan galah. Oleh kerana semua pokok ni besar-besar belaka jadi nenek moyang kata kalau nak mengambil bunganya berhati-hati dan carilah masa yang sesuai.

Sebenarnya kita ada pelbagai jenis bunga yang wangi tapi tak ada yang dikomersilkan untuk dibuat perfum. Sama ada tak ada teknologi atau bunga-bunga ini setakat diguna untuk mandi, campuran bunga rampai atau diletak di bawah bantal. Oleh kerana penggunaannya terhad di sini jadi tak adalah yang menanam pokoknya dengan banyak walaupun pati bunga sangat mahal di luar negara. Apapun kita lebih suka cerita hantu yang suka bunga harum dari buat duit hasil menjual bunga. Hati berdetik dan berbisik........ok juga kalau tanam bunga melur yang kuntumnya berharga RM40 sekilo tapi kena jaga jangan sampai orang lain tumpang beli buat sembahyang.

0 comments:

Post a Comment