Wednesday, April 6, 2011

Pegangan Orang Jahil

Orang yang jahil yang tidak mengenal Allah swt dan peraturanNya mempunyai hati yang kosong dari keimanan. Mengenai keadaan hidup mereka Allah swt berfirman yang bermaksud, "Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Permurah (Al Quran), Kami akan adakan baginya syaitan yang menyesatkan. Maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya." (Az Zukhruf: 36). Oleh kerana mereka sentiasa dalam kejahilan dan kesesatan maka hati mereka menjadi semakin keras sehingga sukar untuk menerima petunjuk. Mereka merasa bahawa segala prinsip, pendapat, buah fikiran dan perbuatan mereka yang terbak dan betul.

Keenganan mereka untuk menerima petunjuk Allah dan kederhakaan yang berpanjangan telah mengundang kemurkaan dari Allah swt. Dengan itu Allah swt telah menghantar malapetaka yang dahsyat berkali-kali untuk menghukum mereka. Akan tetapi apabila Allah swt membinasakan orang-orang terdahulu yang derhaka sebagai peringatan orang-orang jahil tersebut berkata: Sesungguhnya segala kejadian dahsyat yang menimpa umat terdahulu itu hanyalah kebetulan dan fenomena alam semulajadi.

Mereka terus lalai dalam maksiat dan tidak mahu mengambil pelajaran darinya. Lebih malang lagi mereka tidak melihat bahawa malapetaka yang datang adalah balasan kerana mendustakan Allah swt dan RasulNya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Demikianlah Allah mengunci mati hati orang-orang yang tidak (mahu) memahami. (Ar Ruum: 59). Mereka merupakan orang-orang yang angkuh dan sombong kerana merasakan diri hebat dan berkuasa walhal tidak sedar bahawa nyawa dan apa sahaja yang mereka miliki boleh lenyap dalam sekelip mata.

0 comments:

Post a Comment