Wednesday, April 13, 2011

Kuntum-kuntum Kantan

Pokok kantan
Bunga warna kemerahan
Sedang mekar
Bunga warna putih
Cantik dan wangi
Bunga close-up

Gambar diambil dalam kebun getah di Gopeng. Aku kenal pokok lengkuas lebih dulu kerana memang kerja aku mengambil serai, kunyit, halia atau daun pisang jika Mak Usu hendak memasak. Dia malas nak ke keluar rumah sedangkan aku lebih suka berkeliaran di luar. Jadi bila kurang herba dan bahan dia akan melaung meminta itu ini sambil menghulur sebilah pisau dari pintu dapur. Mencungkil ubi lengkuas satu kerja yang susah, kena guna cangkul dan banyak tenaga kerana ubi lengkuas yang matang bersama tunas muda terbenam jauh ke dalam tanah. Apapun hanya tunas muda yang elok dihiris dan dibuat perencah.

Seingat aku di keliling rumah atau kebun nenek tak ada pokok kantan jadi herba ini agak asing bagi aku. Dan laksa atau nasi kerabu aku tak pernah merasa hingga aku pergi belajar di KL. Kemudian bila sudah reti memasak juadah tersebut, kalau hendak bunga kantan beli saja di pasar. Rupanya pokok bunga kantan
sebiji macam pokok lengkuas, tumbuh dari perdu dan suka tanah gembur dan redup. Sekarang bukan laksa, asam pedas, nasi kerabu ada bunga kantan malah nasi goreng pun beraroma herba ini. Ada terbaca bahawa pokok kantan yang nama saintifiknya Phaeomeria imperialis bagus untuk mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi. Air rebusan batang pokok ini pula di buat air mandian untuk menghilangkan bau badan.

Pertama kali juga aku melihat rumpun pokok kantan berbunga putih lewat petang di dalam kebun getah di Gopeng. Betul cantik bunganya dengan kelopak putih berkilat seperti lilin. Walaupun orang lain sudah jauh meninggalkan aku dan tidak kelihatan di celah semak samun namun aku tetap setia mengambil gambar. Kelam kabut aku patahkan sekuntum dan sambil mengejar mereka yang meninggalkan aku. Kata tuan punya kebun, ini memang bunga kantan dan kami selalu gunakan untuk memasak. Hati bedetik dan berbisik..........cantik macam ni sayangnya nak dihiris dan dimakan.

1 comments:

Unknown said...

ade rizom bunga kantan putih tu tak.. klu ade sy nk bli sket

Post a Comment