Wednesday, April 6, 2011

Terkenang Ekor Musang

Rhynchostylis gigantea
Jambak bunga padat
Warna merah gelap
Kuntum rapat-rapat
Bunga, close up

Gambar diambil di nursery orkid. Setelah melihat betapa fabulousnya Rhynchostylis retusa atau foxtail orchid yang terletak di atas meja di pintu masuk pameran Orkid Agrofest 2010 hati terus tak tahan. Mahu tak mahu membeli juga satu keratan yang sedia terikat pada bongkah kayu. Kalau mengikut firasat aku pokok kecil ni hanya 80% kebarangkaliannya untuk hidup dalam jagaanku dan 20% untuk berbunga. Namun aku tetap ambil pendekatan untung sabut timbul untung batu tenggelam, jika tidak dicuba siapa tahu? Kalau duit yang ada cuma sedikit untuk melabur pada orkid maka terpaksalah terima hakikat pokok yang diterima comel kemetot.

Rhynchostylis gigantea berasal dari Thailand dan mempunyai daun lebih tebal, jambak bunga pendik dan bunga berwarna maroon dengan bau citrus. Bunga yang berwarna putih pun ada. Tetapi orkid Rhynchostylis retusa pula berasal dari negara kita selain Thailand, Sri Lanka dan India. Ada jenis ini yang berbunga hingga 100 kuntum dalam susunan yang rapat pada satu tangkai yang panjangnya 60 sentimeter. Biasanya bunganya berwarna pink, spotted dan berbau wangi. Mr Raymond tempat aku merujuk tentang orkid kata baunya seperti bunga kantan. Keistimewaan orkid ini ialah pada jambak bunganya yang panjang berjurai seperti ekor musang. Jika pokok subur dua atau tiga jambak keluar dari batang yang sama.

Pernah juga aku tanam sejenis Rhy. gigantea berbunga putih namun pokok orkid tu dibuang saja kerana tak berapa menarik. Sekarang ni harapan aku pada Rhy. retusa yang masih ada melekap di dahan rambutan sambil menanti bila ia akan berbunga. Pokok kecil tu setelah tiga tahun elok pula tumbuhnya cuma belum bercabang. Hati berdetik dan berbisik......kalau tak dapat jambak bunga sepanjang 60 sentimeter, yang 40 sentimeter pun jadilah. Aku cukup bahagia walau bukan dengan ekor musang tapi sekadar janggut musang.

0 comments:

Post a Comment