Tuesday, October 25, 2011

Menganiaya Diri Sendiri

Salah satu penerimaan manusia terhadap petunjuk Allah swt dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud, "Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri........." (Fathir: 32). Orang yang menganiaya diri sendiri disebut dalam ayat itu sebagai 'zalimun linafsih'. Mereka ini orang-orang yang melakukan sebahagian amalan wajib dan juga melakukan sebahagian yang diharamkan.

Contohnya orang yang mendirikan solat tetapi rasuah, berpuasa Ramadahan tetapi suka riya, membayar zakat tetapi menghina jiran, memberi nafkah kepada anak isteri tetapi menyakiti mereka. Pendek kata zalimun linafsih adalah orang yang bercampur dalam dirinya kebaikan dan juga keburukan samada disengaja atau tidak. Selalunya perbutan tersebut adalah kerana dorongan hawa nafsu, tamak dengan kesenangan dunia dan tertipu oleh pujukan syaitan.


Ibnu Taimiyah rhh menyatakan bahawa mereka ini termasuk dalam kelompok orang-orang yang beriman. Mereka mendapat kecintaan Allah swt sebanyak iman dan takwa mereka dan sekaligus mendapat kemurkaan sebanyak kejahatan mereka. Ini kerana pada diri seseorang ada terhimpun kebaikan yang menjanjikan pahala dan kejahatan yang menjanjikan seksa. Seluruh para sahabat, imam dan ulama muktabar menyatakan bahawa barangsiapa yang di hatinya ada seberat zarrah iman tidak akan kekal di neraka.

0 comments:

Post a Comment