Sunday, February 21, 2010

Manihot utilissima

Salah satu tanaman yang paling berguna di kampongku dulu ialah ubi kayu. Ada dua jenis yang selalu ditanam iaitu yang berisi putih (lebih disukai) dan isi kuning. Banyak makanan boleh diolah dari ubi kayu, yang paling mudah ubi rebus. Makan panas-panas dengan sambal tumis ikan bilis, kelapa parut/gula/garam atau ikan masin.

Kalau tak habis, tumbuk lumat, gaulkan kelapa/gula, kepal dan goreng. Tak habis juga, racik nipis jemur buat kerepek, atau dibuat tapai, atau masukkan dalam air gula melaka (orang Perak kata penjan). Ubi direbus dalam campuran kari, ketumbar dan ikan bilis (hingga kering) sedap juga.

Ubi mentah boleh dipotong wedges, gaul dengan bawang putih dan goreng. Lawannya sambal kicap dan air kopi. Atau pun dihiris nipis dan digoreng untuk jadi chips. Ubi parut dibuat lepat atau bengkang setelah dicampur gula, kalau malas nak tunggu buat lempeng. Enak dan wangi. Jika banyak masa dan rajin ubi parut ditempek nipis di atas tutup periok lalu dikukus.


Jemur hingga kering dan goreng (bentuknya leper, bulat dan besar). Orang kampong namakan opak dan boleh renjis sambal kicap masa nak makan. Kalau di kebun ubi terus saja dibakar dalam bara api/abu, dapat isi ubi: putih, gebu dan wangi. Ubi paling tak sedap ialah yang ganyut.

Ubi yang dah terendam air, ada urat biru dan berbau tidak dibazirkan, ketuk hingga hancur bagi ayam dan itik makan.

0 comments:

Post a Comment