Monday, April 5, 2010

Best Bila Hujan Petang

Bila dua orang pakcikku jadi askar dan navy maka dalam rumah semuanya perempuan. Moyang, nenek, makcik, aku dan adik. Ada kerja yang aku kena buat kerana aku sedikit tomboy dan lebih suka di luar rumah. Kalau barang dapur habis aku yang ke kedai, begitu juga ke telaga angkut air atau ke kebun.

Kalau hujan waktu petang semua orang teringat nak makan ubi rebus; mereka akan suruh aku cabut ubi di belakang rumah. Selepas itu betulkan saluran zink untuk tadah air hujan dari cucur atap masuk ke dalam temapayan.

Nenek kata, air hujan awal untuk tempayan bilas baju, air hujan yang paling lebat untuk air minum. Bila tempayan banyak yang sudah penuh aku akan disuruh masuk ke rumah. Ubi rebus panas dengan sambal ikan bilis serta air kopi sudah siap terhidang.

Lepas tu moyang akan suruh aku gulung rokok. Aku ambil kertas nipis dan letakkan tembakau secukupnya lalu gulung memanjang dan akhir sekali jilat tepi kertas untuk melekatkannya. Kemudian aku tolong pasangkan api, sedut beberapa kali dan hembus asap untuk buat huruf 'O' sebelum bagi rokok pada moyang.

Aku tanya kenapa moyang hisap rokok, katanya ia bermula di zaman Jepun ketika itu keluargaku tinggal di kampong lain untuk menanam padi. Hidup susah, makanan tak cukup dan selalu mereka kesejukan bila bekerja di bendang.

Tapi aku masih tak faham apa kaitannya dengan merokok dan dia tak pernah pula kata ada tanam tembakau.

0 comments:

Post a Comment