Tuesday, April 27, 2010

Membuat Getah Keping

Tempat mak dan jiran membekukan getah ialah di tepi parit kecil di bawah pokok kuini. Di sini ada tapak simin seluas 4 m persegi, dua mesin pengelek kepingan getah dan beberapa loyang bekas untuk menakung getah.

Tempat ini juga jadi tempat budak-budak bermain. Getah yang dikumpul dimasukkan ke dalam loyang zink bentuk empat segi bujur sedalam 8 inci. Bekas diisi hampir penuh dan sedikit cuka getah akan di campurkan. Campuran dikacau hingga rata dan macam magik getah perlahan-lahan membeku.

Bila sudah kenyal mak akan tuang getah dari bekas ke atas lantai simen. Mula-mula mak akan pijak getah perlahan-lahan agar tak out of shape. Masa ni getah masih tebal. Lepas tu aku akan ambil alih untuk nipiskan lagi. Inilah yang paling best kerana boleh pijak ikut gaya tersendiri, selain itu tapak kaki yang berkarat pun bersih terkena cuka.

Kemudian barulah kepingan getah dimesin agar lebih nipis dan yang terakhir dengan mesin membentuk corak criss-cross. Mak dan jiran akan bawa getah yang telah dimesin untuk diejmur di belakang rumah masing-masing.

Kekadang sebelum balik ke rumah ada penjual aiskrim lalu dan kami akan dapat upah dari mak dan jiran iaitu sekeping nipis aiskrim potong yang dikepit dengan roti. Walaupun tempat ini jadi tumpuan selepas memungut getah tapi baunya sangat tidak menyenangkan bila tiba musim kemarau.

0 comments:

Post a Comment