Tuesday, April 20, 2010

Susahnya Nak Berbaju Licin

Walaupun sekolah dulu-dulu lebih releks dan tidak banyak homework seperti sekarang tetapi persediaan pakaian sekolah cukup mencabar. Baju sekolah diganti setiap dua hari sekali kerana pertama, tak banyak baju dan kedua, susahnya proses membasuh dan menggosok.

Setiap hujung minggu aku tengok mak sediakan baju sekolah untuk makcik dan aku. Mula-mula kena rendam baju kotor semalaman, basuh dengan sabun cap kapak, berus dan tonyoh atas papan pembasuh.

Selepas itu bilas dan baju putih di bilas dengan air yang bercampur dengan serbuk nila agar nampak kebiruan. Kalau nak baju licin dan cantik ia mesti dikanji. Bancuh kanji mesti betul agar tidak berbintil atau pekat macam glue.

Caranya bancuh tepung ubi dengan sedikit air, kemudian campur dengan air panas dan cairkan lagi dengan air suam. Masukkan baju, perah dan jemur. Pada hari kedua baru kerja menggosok baju dibuat. Baju yang hendak diosok direnjis dengan air terlebih dahulu.

Untuk memanaskan seterika tembaga, bara arang dimasukkan ke dalam seterika dan ditutup. Kalau seterika kurang panas, tambah arang dan buka penutup seterika untuk mengipas bara. Oleh kerana sistem sekejap buka sekejap kipas ni, jika tidak berhati-hati ada kain baju yang digosok belubang terkena bara api yang pecah dan merecik .

0 comments:

Post a Comment