Saturday, April 3, 2010

Perjalanan Jauh Ke Estet

Lewat petang Jumaat Abah akan datang ambil aku dan adik untuk ke estet. Perjalanan keluar dari kampungku ke jalan raya sejauh 1 km, melalui jalan raya 2 km dan masuk kampong lain sejauh 2 km lagi. Kami menaiki basikal, adik duduk di atas tempat duduk rotan di atas palang depan dan aku membonceng di belakang.

Jalan kampong ni berpasir dan di sebelah kanan jalan ada parit seluas 3 m. Di kiri kanan jalan rumah penduduk, semuanya dalam dusun buah-buahan. Di musim buah kami sering di tawarkan buah-buahan percuma oleh penduduk yang kebanyakannya berketurunan Banjar.

Kami terus ke hujung kampong hingga sampai ke perkarangan sebuah masjid tua di mana kami terpaksa turun dari basikal. Kami melalui jalan kecil berpasir halus di antara masjid dan tanah perkuburan. Sementara ayah menolak basikal aku cepat-cepat mengutip buah kemunting dari pokok yang banyak tumbuh di antara kubur.

Kami meneruskan perjalanan sejauh 1 km lagi untuk ke tebing sungai. Abah akan melaung Cina sampan di seberang sana untuk datang mengambil kami. Aku kira dia pakar mendayong kerana dia akan kayuh menyonsong arus hingga ke tengah sungai dan biarkan sampan hanyut dan tiba tepat di jeti buruk tempat mendarat.

Hampir senja baru kami sampai di perumahan estet yang jauhnya kira-kira 1 km dari tebing sungai tadi. Aku rasa perjalanan ini sudah cukup jauh dan cukup mengembirakan kerana dapat tengok suasana lain dari kampongku dan jumpa mak serta adik baru.

0 comments:

Post a Comment