Monday, October 25, 2010

Ukuran Iman

Dalam beribadat dan apa juga perbuatan yang dilakukan sepanjang hidup seorang Muslim sejati hanya akan mengharap fadilat dan redha Allah swt semata-mata. Oleh itu semua pekerjaan yang dilakukannya adalah dengan niat yang ikhlas serta tidak melanggar batas syarak. Sepenting mana pun aggapan seseorang pada tugasnya namun dia mesti memperuntukkan masa untuk melakukan solat kerana solat ini merupakan ukuran iman dan Islam seseorang.

Dapat dilihat di sini bahawa nilai iman boleh diukur dari ketekunannya mendirikan solat setiap hari. Jika ia hanya hebat dalam mengejar dunia namun mengabaikan solat maka imannya boleh dipersoalkan. Begitu juga halnya kalau hanya rajin membuat ibadat wajib dan sunat yang lain tetapi masih cuai untuk solat. Dia masih kabur bahawa ibadat solat merupakan hubungan terus antara seorang hamba dengan Allah swt dan sebagai bukti penghambaan diri kepadaNya.

Solat adalah penyataan rasa syukur manusia kepada Allah swt atas segala nikmat yang dilimpahkanNya. Seorang Muslim akan berusaha untuk menegakkan solat lima waktu sehari semalam dengan memenuhkan semua syarat dan rukunnya. Dengan ini hatinya puas dan redha kerana telah menyerahkan segala urusan hidup dan matinya kepada Allah swt yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.

Selain dari ketenangan jiwa solat juga melahirkan sifat yang dapat disaksikan seperti ketenteraman yang terpancar dari wajahnya kerana siraman air wudhu dan bekas sujud yang dilakukan kerana menurut perintah Allah swt semata-mata. Hidupnya teratur kerana berpandukan ajaran agama yang lurus.

Orang-orang yang sentiasa sujud wajah mereka bersinar cemerlang di akhirat kelak. Mereka adalah orang-orang yang beruntung kerana jauh dari segala huru hara hari pembalasan dan seksa neraka. Akan tetapi orang yang tidak pernah sujud walaupun di dunia wajahnya nampak bercahaya kerana hiasan yang dipakai namun di akhirat wajahnya hitam gelap.

0 comments:

Post a Comment