Sunday, October 24, 2010

Sama-sama Kerja


 Daun limau nipis
 Daun rumpair
Tumbuhan air
 Cekur hiasan

 Cekur kampung

Moyangku orang yang tegas dan boleh tahan garang hingga anak cucu tak berani membantah apa yang disuruhnya. Mungkin juga kerana dia seorang janda dan terpaksa disiplinkan lima orang cucu yang telah jadi yatim ketika masih kecil. Kalau fasal buat kerja moyang 'born organizer', pantas beri tanggungjawab pada setiap orang. Pembahagian tugas dibuat dengan adil agar tidak ada yang rasa teraniaya atau pilih kasih. Kecil besar semua disuruhnya, mengikut kemampuan masing-masing.


Kalau seseorang menyapu daun getah di halaman yang lain kena menyiram pokok bunga, mengangkut air mengisi tempayan atau bawa kayu api ke dapur. Bila dekat senja kami sama-sama tunggu api yang membakar daun-daun kering. Ketika api marak, daun-daun yang di tepi mesti ditimbun ke tengah agar semuanya habis terbakar. Moyang tidak suka buat kerja cara cincai dan berpesan kerja mesti dilakukan dengan betul dan sempurna.


Selepas solat Isya kami kena siapkan tempat tidur dan gantung kelambu. Pada siang hari semua tilam digulung sementara bantal, selimut dan kelambu berlipat disusun di sudut rumah tengah. Mak cik angkat serta bentang tilam dan sangkut tali kelambu pada paku di tiang atau dinding. Aku dan adik kecil sisip hujung kelambu ke bawah tilam agar nyamuk tak masuk dana menyusun bantal. Bila pagi sebelum buat apa-apa kena urus tempat tidur dahulu dan moyang akan marah pada sesiapa yang masukkan selimut, bantal dan kelambu dalam tilam yang digulung.


Kalau nenek memasak di dapur kami standby untuk disuruh mengambil pandan, halia atau kunyit hidup. Setidak-tidaknya tolong tumbuk cili kering dan siang sayur kangkong kerana kerja ini walaupun tak berat tetapi mengambil masa yang lama juga. Mungkin macamu itulah orang dulu-dulu nak mengajar anak-anak bekerja sama dan tidak takut kerja.

Sampai sekarang aku teringat kata-kata moyang, kalau ringan tulang dan ringan mulut senang dapat makan. Salah satu cara untuk mendekatkan diri di hati orang lain ialah dengan memberi pertolongan yang ikhlas walau hanya mengangat sebiji cawan atau memngupas sebiji bawang.

0 comments:

Post a Comment