Friday, October 15, 2010

Pindah Ke Estet Baru

Pokok tapak angsa
 Berurat putih
Daun, close up

 Jenis putih
 Daun, close up

Bila aku nak naik darjah dua mak dan abah berpindah dari perumahan kecil di tepi sungai ke sebuah perumahan estet yang lebih besar. Jarak antara keduanya lebih kurang 7 km melalui jalan tanah merah dan kebun-kebun getah. Walaupun aku balik ke rumah di estet hanya waktu cuti sekolah tapi aku sedih bila di beritahu yang kami terpaksa berpindah.


Aku tidak dapat melihat rumah di estet lama untuk kali terakhir kerana berada di kampung. Yang menyedihkan ialah aku tidak sempat mengambil tin susu yang aku sorok di tepi tangga. Di dalam tin itu tersimpan beberapa biji batu yang kata kawanku ada permata kerana di permukaannya ada cebisan halus yang bersinar bila terkena cahaya matahari.

Semua keluarga di estet ini di pindahkan ke tempat berlainan. Tempat tinggal baru kami juga terletak di tepi sungai dan abah telah membawa aku melaluinya beberapa kali. Untuk ke estet lama kami boleh melaluinya atau mengikut
jalan kampung seperti yang telah aku ceritakan dahulu. Dari kampungku, perumahan estet baru ini terletak di seberang sungai, jadi kami juga terpaksa naik sampan untuk ke sana. Cuma sampan ini lebih besar dan kepunyaan orang Melayu bernama Pak Dolah.

Estet baru ini banyak membuka mata aku kerana ada orang Melayu, China dan India tinggal sebelah menyebelah di rumah panjang. Ada juga rumah banglo bersaiz kecil sederhana dan besar untuk kerani dan pegawai tinggal. Di sini ada sebuah kedai runcit, kedai basikal dan kedai gunting rambut. Ada padang untuk bersukan dan klinik tempat orang menerima rawatan jika sakit demam. Dan yang paling menarik ialah tanah lapang di hujung perumahan estet yang ada deretan bangku kayu untuk orang ramai datang menonton wayang pacak.

0 comments:

Post a Comment