Thursday, February 24, 2011

Perlukah Ikut Nenek Moyang?

Sekarang ini kita dapati bahawa banyak nilai Islam yang murni telah bercampur aduk dengan adam resam yang bercanggah dengan ayat-ayat Al Quran dan hadis. Malangnya adat resam rekaan manusia ini terus diguna pakai secara meluas dan dipertahankan oleh masyarakat kita. Oleh kerana lebih ramai yang bersetuju dan mempraktikkannya maka sebarang usaha pembetulannya telah dipandang sepi atau ditentang.

Dalam hal ini Allah swt mengingatkan agar manusia jangan sekali-kali mengikut nenek moyang secara membuta tuli kerana akibat buruk yang terhasil darinya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah, mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang-nenek moyang kami'. (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?" (Al Baqarah: 170).

Ada orang yang bermati-matian mempertahankan adat resam yang ditiru dari budaya orang lain ini. Mulanya mereka menyesuaikannya dengan budaya setempat dan menempelkan sedikit ciri Islam padanya. Lama kelamaan budaya ini menjadi darah daging dan diikuti kerana jika ditinggalkan dipercayai akan mengundang kecelakaan atau pertengkaran antara ahli keluarga dan di kalangan penduduk sekampung. Malangnya perbuatan ini bukan sahaja menyebabkan pembaziran dan kerugian tetapi yang lebih besar ialah melanggar hukum agama.

0 comments:

Post a Comment