Friday, April 16, 2010

Buku Dan Kotak Tok Paip

Rumah paling dekat dengan rumah kecil kami ialah rumah bapa saudara Abah. Dia bekas askar British dan tinggal lama di Singapura. Isterinya orang sana tetapi kemudian mereka balik bersama seorang anak remaja dan tinggal di kampung.

Aku memanggil-nya Tok Paip kerana dia menghisap paip. Aku dan adik suka ke rumahnya kerana dia menyimpan banyak buku, majalah serta komik. Tapi majalah yang paling aku minat ialah 'Life' kerana gambar-gambar di dalamnya sangat menarik.

Tok Paip terangkan pemandangan gunung ganang bersalji, ikan-ikan besar di dalam laut dan bermacam jenis tumbuhan yang tidak pernah aku jumpa di kampung. Inilah yang membuatkan aku sangat minat belajar ilmu alam atau 'geography' semasa di sekolah dan banyak berangan untuk mengembara ke seluruh dunia.

Di sekolah rendah ketika cikgu tanya apakah cita-cita kami, sementara orang lain nak jadi guru dan misi aku hanya nak jadi penjaga buku.

Selain menoreh getah Tok Paip pandai bertukang rumah dan membuat keranda jika khidmatnya diperlukan. Semua barang perukangannya disimpan dalam kotak dan diletakkan di satu sudut di ruang dapur. Anak Tok Paip kata kalau ayahnya nak buat keranda pada pagi hari, waktu tengah malam sebelum itu bunyi 'ketuk ketak' akan kedengaran dari dalam kotak tersebut.

Ini diceritakannya dengan gaya dan mimik muka yang serious. Jadi kalau aku ke rumah Tok Paip sebolehnya akan mengelak dari memandang kotak yang terletak di sudut dapur kerana aku rasa seram semacam.

0 comments:

Post a Comment