Tuesday, April 6, 2010

Tak Elok Sorok Sebarangan

Di sebelah kebun getah nenekku jarak sepelaung terletak rumah seorang perempuan tua. Kata orang dia tinggal sendirian kerana anginnya tak baik dengan semua ahli keluarganya disebabkan duit. Aku suka ke rumahanya kerana banyak perkara yang aku boleh lihat dan buat.

Nenek ni pandai menganyam tikar mengkuang dan membuat bakul dari bemban untuk dijual. Rumahnya sederhana besar, terbahagi pada dua bahagian iaitu ruang dapur dan ruang hadapan. Di antara ruang ni ada pintu yang jarang dibuka, sama tertutup dengan tingkap-tingkap dan pintu hadapannya.

Di satu sudut di ruang hadapan ada kelambu yang sentiasa tergantung, memang tak pernah dikemas. Selalunya aku duduk di pangkin di ruang dapur dan dapat menghidu bau daun mengkuang dan bemban kering yang banyak bergantung di tepi dinding.

Aku suka tolong dia merebus bemban di tungku dapur kayu di sudut ruang dapur, merenjis kulit bemban kering untuk dibuat bakul dan menyiat daun mengkuang sambil melihat dia menganyam.

Pada satu petang kami terkejut kerana orang tua tu meraung di pintu dapur rumah nenekku. Di tangannya ada balang kaca yang dipenuhi kertas bergulung yang hampir hancur iaitu sisa duit kertas. Katanya, dulu dia telah menanam balang tersebut dekat tungku api di dapur, selalu menimbusnya dengan abu dan tak pernah melihat isinya hingga kini.

Kasihan... peringatan untuk kita juga; banyak cara duit boleh hilang, kalau orang tak ambil, ia sendiri boleh pergi dari kita.

0 comments:

Post a Comment