Sunday, April 11, 2010

Sandiwara Bawa Parang

Suami Mak Usu Abah ialah seorang yang sangat sensitif dan keras kepala walaupun umurnya hampir empat puluh tahun. Tok saudara ni bercakap dengan suara yang kuat macam sedang marah tetapi baik hati dengan kanak-kanak dan orang yang berlembut dengannya.

Rumah mereka di kampung dekat sedikit dengan jalan raya sementara rumah kami semua jauh di dalam kampung. Bila bercakap orang lain kena berhati-hati takut menyinggung perasaannya.

Dan ramai yang tak berani berbantah dengannya takut susah untuk ke kedai, ke masjid atau ke pekan kerana terpaksa lalu di hadapan rumahnya. Dia akan buat perangai iaitu akan tunggu orang yang tidak disenangi di tengah jalan sambil bawa parang panjang.

Satu petang Tok saudara datang membawa parang ke rumah jiran yang berhadapan dengan rumah nenekku. Mereka bertengkar, berbalas cakap, Tok dekat tangga dan jiran tadi dari tingkap di atas rumah. Kemudian ramailah yang datang menyaksikan dan Tok saudara cuba hendak naik ke rumah tapi orang ramai menariknya ke bawah.

Jiran pun sudah berulang kali hendak turun tapi dihalang oleh keluarganya. Lama juga mereka saling mengacah dan menggertak tapi setakat lawan cakap saja. Bila Tok saudara sudah letih dan penonton jemu masing-masing secara senyap balik ke rumah. Jiran pun cepat tutup pintu kerana takut Tok akan datang lagi.

Mak yang tadinya cemas menarik nafas lega kerana tiada orang cedera (tak pernah berlaku). Semasa orang kampung kecoh kami hanya dibenarkan mengendap dari celah tingkap yang tertutup.

0 comments:

Post a Comment