Friday, May 28, 2010

Rombongan Ke Kuala Lumpur

Sebulan murid-murid bercerita dan guru menyusun program rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Cuma murid darjah lima dan enam yang ada duit boleh pergi. Lama juga pungut duit, memilih guru pengiring, menempah bas dan atur masa bertolak kerana tempat kami ke Kuala Lumpur jauh perjalanannya.

Lagipun nak singgah dan tengok banyak tempat. Murid-murid tidak boleh berkumpul di sekolah sebab ibu bapa tak ada kereta nak menghantar. Yang paling penting murid-murid saling bertanya nak bawa bekal apa dan kena bawa banyak duit ke?

Nenek bagi aku RM 4, siap ikatkan duit pada hujung sapu tangan dan semat dengan pin baju. Pesan lagi jaga duit jangan hilang, hati-hati berbelanja. Aku bawa bekal nasi putih, telor goreng masak kicap, tempe goreng berempah dan kari sadin.

Nenek kata tak payah bawa lauk ayam kerana ayam sedang bertelor dan bulan puasa dah dekat. Ayam di sembelih kalau ada yang sakit atau untuk kenduri arwah. Semua makanan simpan dalam mangkuk tingkat. Setiap murid tunggu di jalan besar di kepala kampung masing-masing.

Bas mula ambil penumpang dari arah selatan pukul tiga pagi kerana kami akan ke utara. Ramai ibubapa berkumpul untuk menghantar anak-anak dengan bawa lampu minyak. Dekat pukul empat baru bas tiba di kampungku dan aku sedih kerana tempat duduk yang terbaik sudah ada penghuni.

Petua nenek, duduk di bahagian depan agar tak banyak gegar dan tak termuntah, dekat tingkap supaya tak jatuh bila tertidur. Pukul lima subuh baru bas selesai mengambil semua murid dan kami pun bertolak ke Kuala Lumpur.

Fool For Five Minutes

1. He who asks is a fool for five minutes, but he who does not ask remains a fool forever. (Chinese proverb)

2. Anyone can become angry - that is easy. But to be angry with the right person, to the right degree, at the right time, for the right purpose, and in the right way, that is no easy. (Aristotle)

3. Honesty is the first chapter in the book of wisdom. (Anonymous)

4. When I was younger, I could remember anything, whether it had happened or not. (M Twain)

Birthday Datang Lagi

Aaa......birthday sampai lagi. Teringat seperti baru semalam bermain dengan anak-anak dan melihat mereka terlompat-lompat gembira. Aku kata: Seronoknya kalau kamu dah besar ya. Izz menjawab: Mana seronok sebab kalau kami besar mama dah tua, mana boleh main macam ni. Ya... seronokkah aku?

Sudah tentu untuk yang muda belia birthday adalah saat yang menggembirakan maklumlah rasa diri sudah bertambah dewasa, seronok dapat hadiah dan menerima ucapan yang menyenangkan hati. Birthday setiap tahun adalah masa yang ditungu-tunggu kenapa lambat sangat tibanya.

Berlainan pula bagi yang sudah berusia petang dan hampir senja. Birthday terasa cepat sangat sampai setiap tahun dan terasa diri semakin dimamah usia. Namun hati bersyukur kerana sampai juga ke umur ini walaupun disebalik itu terselit rasa cemas bimbang berapa banyak lagi umur yang tinggal?

Bagi orang yang benar-benar menilai kehidupan birthday adalah saat untuk mengira belen modal yang amat berharga dalam hidup. Walau pun modal umur ini tidak dapat diukur dan ditimbang tetapi yang penting ianya sentiasa berkurang. Hakikatnya birthday bukan seperti apa yang difikirkan oleh kebanyakkan manusia iaitu melihat pencapaian dunia pada had umur yang ditetapkan.

Sebenarnya yang lebih penting ialah dapat menggunakan modal umur untuk perkara yang dapat menyelamatkan dari segala bencana. Semoga Allah swt memberikan pertolonganNya dan menjadikan sisa-sisa umur yang tinggal untuk meraih kebaikan di dunia dan kebahagiaan abadi akhirat.

Thursday, May 27, 2010

Kezaliman Paling Besar

1. Kezaliman itu ada tiga jenis; pertama ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri kerana tidak memperingatkan nafsunya, kedua ialah kezaliman manusia kepada sesamanya kerana tidak berkhidmat kepada mereka dan ketigaialah kezaliman manusia kepada kebenaran yang besar kerana tidak percaya kepada Tuhannya. Sesungguhnya ingkar kepada kebenaran ini merupakan kezaliman yang paling besar. (M Al Siba'i)

2. Iman menjadikan manusia sebagai manusia sebenarnya dan menjadi raja kepada sekelian makhluk. (Said Nursi)

3. Pada setiap zaman di mana terdapat kekosongan dari petunjuk ilahi serta di mana sahaja cahaya kerasulan tidak menjamahnya maka ia adalah zaman jahiliyah. (Hassan Ali Nadawi).

Sunday, May 23, 2010

Gembira Tak Kena Tempat

1. Watsilah bin Al Asqa' ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Jangan menunjukkan kegembiraanmu dalam kesusahan saudaramu, maka Allah akan menyembuhkan (menyelamatkannya) dan membalas ujian padamu. ( At Termizi)

2. Ibnu Mas'ud ra berkata bahawa Nabi saw bersabda: Tidak dapat masuk syurga orang yang dalam hatinya ada seberat zarrah kesombongan. Seorang berkata: Bagaimana kalau seorang suka pakaian bagus dan sandal bagus? Jawab Nabi saw: Sesungguhnya Allah indah dan suka kepada keindahan. Sombong ialah menentang (menolak) kebenaran dan menghina orang. (HR Muslim)

3. Mu'awiyah ra berkata: Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Jika engkau telah menyelidiki aurat atau kesalahan kaum Muslimin bererti merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. (HR Abu Dawud).

Bersiap Pergi Kenduri

Waktu dulu pergi kenduri kahwin memang satu keseronokan kerana dapat makan sedap dan melawa. Kalau malam sebelum tu hujan turun lagi baik. Tak perlu menoreh waktu pagi, dapat bersiap dan pergi awal.

Dulu jarang ada kenduri, mungkin setahun hanya dua tiga kali termasuk jemputan dari kampung sebelah atau saudara mara dari daerah lain. Selalunya kalau pergi kenduri selepas menoreh getah dan solat zohor. Budak-budak dikerah mandi, potong kuku dan pakai baju terbaru.

Anak gadis bersolek dan merah-kan bibir dengan menyapu kertas pemerah yang dibeli dari kedai. Lepas tu perkara yang penting ialah pakai barang kemas. Dua tiga hari sebelum itu mak dan nenek dah siap cuci barang kemas dengan air suam dan sabun.

Kami akan pakai gelang, rantai serta loket, subang dan butang intan di baju kurung. Lama juga pakai memakai kerana semuanya mesti diikat dengan benang pada pencangkok supaya tak tercicir dan hilang. Oleh kerana nenek dan moyang sudah hajjah jadi mereka buat penutup kepala istimewa.

Mula-mula rambut disikat, belah ditengah. Kemudian tutup dengan tudung kasa panjang yang diikat di tengkok. Rambut akan digulung di dalam tudung hingga menjadi seperti dua tali panjang di belakang telinga. 'Tali' ini dililit bersilang di atas kepala, dirapikan dan ditutup dengan selendang.

Baru kini aku tau namanya fesyen marhamah. Bila sampai ke tempat kenduri kami berjalan dengan tersipu kerana perasan orang mesti perhati dari atas kepala sampai ke hujung kaki.

Saturday, May 22, 2010

Kes Janji Manis Mu

Malim Nawar
Malim Nawar
Pantun Melayu

Orang dagang naik perahu,
Bujang berdayung hujan gerimis;
Hancur hati orang tak tahu,
Mulut tertawa hati menangis.

Kain batik di dari seberang,
Dipakai anak gadis Melayu;
Apa ertinya kasih dan sayang,
Jikalau tuan berjanji palsu.

Gugur bunga dalam jambangan,
Layu diitimpa si matahari;
Beribu janji tuan ucapkan,
Mengapa kini tuan ingkari

Patah dahan daun berganti,
Bunga kembang tiap tangkainya;
Tak guna lagi daku sesali,
Sudah takdir apa nak daya.

(lagu Melayu asli)

Dua gambar K ambil di Malim Nawar. Mendengar pantun ni di radio ketika memasak di dapur. Terus cari kertas tapi tak jumpa, yang ada novel 'Stone Leopard' oleh Colin Forbes. Terus capai dan conteng di muka akhir sebab jarang dapat dengar pantun yang bagus.

Dulu-dulu dalam radio ada rancangan berbalas pantun, mungkin di masa itu ramai orang yang minat mendengar. Tetapi sekarang orang sudah tak mau lagi dengar perkataan-perkataan kabur dan ayat yang berjela-jela. Buang masa dan susah nak dismskan.

Apa yang menariknya bila mengharap, berjanji dan meminta gunalah gaya bahasa yang canggih kerana orang tua-tua kata 'tiada kata secantik bahasa'. Mungkin boleh bantu naikkan success rate. Waduuuh!

Ibarat Mengganti Kepala?

1. Bagi orang yang bodoh mengubah pemikiran atau cara pandangan ibarat mengganti kepala. Oleh itu jangan sekali-kali cuba atau berusaha untuk mengubah cara pemikirannya kerana itu hanya membuang tenaga dan masamu sahaja. (M Al Siba'i)

2. Jika engkau berada di waktu senja maka jangan menunggu tibanya pagi, demikian pula jika engkau berada di waktu pagi jangan menunggu petang. Gunakanlah kesempatan ketika muda, sihat dan kaya untuk menghadapi masa tua, sakit dan miskin. (Abdullah bin Umar ra)

3. Orang alim (pengajar) dan orang yang belajar sama-sama mendapat ganjaran kerana sesungguhnya manusia terdiri dari dua golongan iaitu pengajar dan pelajar. Selain mereka ini adalah orang-orang yang tidak berguna. (Abu Darda ra)

4. Bertukar fikiran tentang ilmu pada sebahagian malam adalah lebih aku sukai dari beribadah pada malam tersebut. (Ibnu Abas ra)

Thursday, May 20, 2010

Bahaya Berjalan Sendirian

1. Ibnu Umar ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Sekiranya orang-orang itu mengetahui bahaya yang mengepung orang yang berjalan sendirian sepertimana yang aku ketahui, maka tidak ada orang yang berani berjalan sendirian pada waktu malam. (HR Bukhari)

2. Shukhir bin Wada'ah Al Ghamidi ra berkata bahawa Rasulullah saw berdoa: Ya Allah, berilah berkat bagi umatku pada waktu pagi hari. Dan adapun Nabi saw jika mengirim tentera maka mereka disuruh berangkat pada pagi hari. Shukhir juga sebagai pedagang selalu mengirimkan dagangannya pada pagi hari hingga ia menjadi kaya dan mempunyai harta yang banyak . (HR Abu Dawud, At Termizi)

3. Kaab bin Malik ra berkata: Nabi saw telah keluar menuju perang Tabuk pada hari Khamis. Dan Nabi suka keluar pada hari Khamis. (HR Bukhari, Muslim)

Dua Jiran Di Estet

Di estet kami berjiran dengan dua keluarga yang sangat berbeza cara kehidupan mereka. Di sebelah kanan rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri yang ada enam orang anak lelaki berumur antara setahun hingga 13 tahun.

Dari pagi sampai malam kedengaran mereka berlari, bergaduh dan menangis; gedegam gedegum bunyi menembusi dinding papan antara rumah kami. Budak-budak tu nakal dan berani, jaguh mandi sungai, panjat pokok jambu, pancing ikan dan berkelahi.

Kalau ada yang buat salah ayah mereka akan pukul dengan tali pinggang sementara ibu mereka mendiam-kan diri. Rumah di kiri didiami oleh sepasang suami isteri yang sebaya dengan abah dan mak.

Mereka tak ada anak jadi rumah itu senyap, bersih terurus dan mak cik tu pun suka pakai lawa. Satu hari mak cik ajak mak berbasikal sejauh 6 km ke pekan PR untuk keriting rambut atau berkaran. Aku yang mengikut mak terpinga masuk kedai keriting rambut yang mempamirkan banyak sikat serta berbakul-bakul pengulung dan sepit rambut.

Aku tengok macam mana rambut mak dan makcik dibasuh, digulung sikit demi sedikit dalam kertas tebal berkilat. Kemudian dibalut dengan tuala good morning lembab; aku agak mesti tak selesa kerana nampak panas dan berasap. Oh ya... orang kata dalam kertas ada karbaid.

Lepas tu baru penggulung dibuka dan rambut dibasuh. Setelah sekian lama menunggu keluarlah makcik dan mak dengan tudung nipis diikat di bawah dagu dan saiz kepala lebih besar kerana rambut yang kerinting kembang telah diset keras.

Amalan dan Balasannya

Manusia mempunyai tanggungjawab yang besar apabila dipilih oleh Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam menjalankan tugasnya itu dan sebagai hamba Allah swt, manusia mendapat balasan di atas segala amalannya.

Balasan yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia yang menunaikan tugas dengan baik dan amanah meliputi di dunia dan akhirat. Mereka sahaja yang berhak meraih anugerah dan keredhaan Allah swt. Di dunia mereka mendapat ketenangan walaupun miskin dari segi kesenangan dunia.

Namun mereka akan menjadi penghuni syurga yang telah dijanjikanNya. Sebaliknya orang-orang yang tidak menunaikan tugasnya akan diazab dengan api neraka.

Setiap amalan di dunia pasti akan diberikan balasan yang setimpal. Dengan itu manusia dapat memahami bahawa semua perbuatan yang dilakukan tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Sangkaan bahawa penipuan, kezaliman dan perbuatan buruk yang lain akan terhapus dan dilupakan sangat meleset dan membawa kecelakaan. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan amal kebaikan seberat zarrah (atom) pun nescaya dia akan mendapatkan balasannya. Barangsiapa yang mengerjakan amal kejahatan seberat zarrah pun nescaya dia akan mendapatkan balasannya pula." (Al Zalzalah: 7-8)

Jejak Kaki Di Sungai Siput

Kampung Jaya Setia
Tanah Hitam
As The Sun Sets

The wind blows softly against my face,
The shade casts by the tree cools my heart;
The ocean waves relax the tension within,
That would otherwise tear me apart.

Alone on a calm hill for hours I lie,
Waiting only for the golden sun to set;
Prepared to see a moment of true beauty,
One that which I could never forget.

There it hits; my big moment of peace,
I move not a muscle, not even a bit;
I breathe deeply gazing at it's beauty,
Until the skies have become truly starlit.

The moon shines now, the warm glow is gone,
The owls have taken over the birds' place;
I still move not, as I continue to breathe the air,
And continue to feel the soft breeze on my face.
(K G Howard)

Gambar atas: Kawasan pertanian di belakang Kg Jaya Setia, Sg Siput. Masuk dari jalan besar sejauh 2 km melalui jalan yang hanya muat sebiji kereta. Malangnya separuh perjalanan melalui jalan tanah merah yang tinggi di tengah-tengah kerana jalan mendaki bukit dan tempat aliran air jika hujan.

Di akhir perjalanan kena jalan kaki sejauh 100 m kerana jalan sangat curam di tulang bukit. Pemadangan dari atas bukit cantik dengan kebun kelapa sawit serta buah-buahan di lerengnya serta deretan bukit-bukau membiru di kejauhan.

Gambar bawah: Waktu senja dalam perjalanan pulang; di kiri jalan ialah kawasan kampung dan di kanan jalan tanah kosong dipenuhi semak samun dan pokok teberau yang berselang seli dengan kebun sayur.

Tuesday, May 18, 2010

Sepotong Roti Segelas Air

1. Sepotong roti, segelas air dan selembar kain yang didapatkan dengan jalan halal lebih baik dari kemewahan yang akan menjadi penyesalan di kemudian hari. (Imam Abu Hanifah)

2. Sesungguhnya seorang hamba Allah jika zuhud terhadap dunia maka bersinarlah hatinya dengan hikmah dan anggota tubuhnya tolong menolong sama lain untuk melakukan ibadah. (Salman Al Farisi)

3. Tiada kekayaan melebihi akal, tiada kemiskinan melebihi jahil, tiada pusaka melebihi adab dan tiada pembantu melebihi mesyuarat. (Saydina Ali ra)

4. Kebenaran itu paling sedikit penyokongnya dan paling kuat penolongnya. Kebatilan itu paling ramai pengikutnya dan paling lemah penolongnya. (M Al Siba'i)

Cymbidium Yang Cantik

Orkid cymbidium putih
Pokok orkid cymbidium

Gambar atas: Diambil di pameran orkid di tempatku. Gambar bawah: Pokok orkid cymbidium dari pondok orkidku. Ramai yang terpesona dengan orkid ni kerana ia merupakan salah satu orkid komersil tercantik. Dengan bentuk bunga yang sempurna, kelopak tebal berkilat seperti berlilin serta warna yang lembut dan harmoni ia menjadi idaman penggemar orkid.

Malahan bunganya indah tersusun di tangkai yang panjang. Ia hidup di kawasan yang sederhana sejuk dan di Cameron Highlands banyak ditanam dalam pasu-pasu besar. Di CH pseudobulb boleh dibeli di gerai tepi jalan dengan harga RM 20 sebiji, tapi tak pasti samaada boleh hidup subur dan berbunga di tanah rendah.

Ada juga jenis yang tahan panas tetapi bunganya lebih kecil. Aku termakan pujukan penjual orkid di satu pameran, jadi beli juga empat pseudobulb dengan harga RM 10 sebiji. Pokok memang hidup, so kena teruskan membaja dan menyiram sambil tunggu dan lihat.

Terok Kena Rotan

Di musim cuti sekolah aku dan adik tinggal di estet dan dapat ramai kawan, budak lelaki dan perempuan. Bila ibubapa kami menoreh, kami boleh bermain dari pagi hingga lewat tengahari.

Main masak-masak, pancing ikan dan panjat pokok jambu batu. Dapat buah yang mentah kami tumbuk, campur kicap dan gula. Satu pagi kami pergi ke perumahan kecil (estet) kira-kira 1 km dari rumah kami. Satu keluarga Cina di situ ada menanam beberapa pokok jambu batu.

Melihat buahnya yang lebat, kami pun panjat pagar dan petik buah yang besar-besar lalu lari ketakutan. Waktu tengahari kami pergi ke sungai kerana air pasang dan mandi manda. Di situ ada pelantar dari papan dan ramai kakak-kakak yang ikut mandi.

Kami guna kain batik basah diikat di pinggang dan masukkan udara hingga mengelembung. Dengannya kami boleh duduk timbul macam itik. Dalam riuh mandi manda abah datang panggil aku dan adik dan kami di seret ke rumah. Di tepi dapur aku di rotan.

Abah kata: Pertama, pandai-pandai ambil buah jambu orang. Kedua, mandi sungai. Bila air naik mencecah lantai pelantar, nasib tak baik asyik menyelam mungkin termasuk ke bawah pelantar. Tak boleh nak timbul macamana nak bernafas? Di kiri kanan pelantar dan kedua tebing sungai pun semak, kalau jadi apa-apa siapa pun tak nampak.

Ketiga, kenapa bawa adik merayau? Lama abah bersyarah dan aku disuruh duduk di tepi dapur hingga ke petang. Dekat senja baru mak pujuk suruh makan dan air mataku meleleh semasa suap nasi bukan kerana sakit dirotan tapi hiba bila diri dikasihani.

Sunday, May 16, 2010

Old Man and His Garden

Yellow Daisy
ImpatiensPurple flowers
The Garden

Across the road a garden grew,
And bent among the flowers;
A spare old man stooped to his task,
Or he sat and dreamed for hours.

He had slaved away his early youth,
In a pharmacy day and night;
A pallid drudge year in, year out,
He was starve for color and light.

He had no time for romance,
He grew to shun mankind ;
Too stingy to spend emotion,
He closed his heart and mind.

He reaped the fruits of frustration,
In the dull round of care;
A life out of doors, the learned man said,
Might bring surprise from despair.

The gay nusturtiums stirred his heart'
Velvet dahlias woke his pride;
The roses he loved like children,
The lily was his bride.

He left this mortal plane long since,
But the garden calls him still;
He walks there when the moon is low,
A bent form, dim and chill.
(F S Livingstone)

Gambar atas dan tengah diambil di nursery bunga di tempatku: Daisy kuning dan bunga impatiens. Keduannya banyak ditanam di tepi jalan dan garden di Cameron Highlands dan selalunya bunganya berwarna pink atau merah.

Gambar bawah: Nampak pokok ni tumbuh di tepi longkang di bawah pohon cemumak dekat porch rumahku. Bukan ditanam tetapi sejanis rumpair yang tumbuh bersama pokok semalu dan rumput-rumput lain. Walaupun ianya tak ada nilai komersil tetapi bentuk bunga dan warnanya menarik, pasti ada gunanya tapi aku yang tak tahu. Oh ya...... kesiannya pakcik dalam poem ni.

Bekerja siang malam tapi banyak yang dia miss dalam kehidupan. Tapi akhirnya dapat juga dia menikmati sedikit keindahan alam ciptaan Tuhan walaupun seketika cuma.

Monday, May 10, 2010

Apa Dibawa Helikopter?

Kebun getah di sebelah kebun nenek ditoreh oleh sepasang suami isteri yang baru berpindah dari daerah lain. Hidup mereka lebih susah dari orang lain kerana mereka tiada tanah sendiri dan mempunyai ramai anak yang masih kecil.

Rumah mereka didirikan di tanah orang dan dibuat dari batang kayu hutan dengan dinding serta atap dari daun nipah. Tingkap rumah dari buluh dianyam dan kalau aku lalu di hadapan rumah mereka aku nampak anak-anak kecil berderet menjengok di tingkap.

Kekadang anak lelaki remaja mereka menolong ibu bapa tersebut menoreh getah di kebun. Jika terserempak dengan nenek di kebun getah pemuda itu rajin menyapa. Katanya suatu hari nanti dia hendak jadi tentera. Kebetulan di waktu itu helikopter kerap lalu di ruang udara kampungku.

Kekadang sehari sampai enam tujuh kali berulang alik. Jauh di atas pucuk getah jelas nampak ia membawa kotak-kotak besar dalam net yang tergantung dari perut pesawat. Pemuda itu menjelaskan yang helikopter itu membawa keranda berisi mayat.

Kekadang nenek mengangis hiba memikirkan tentera yang mati dibawa pulang ke kampung masing-masing. Aku yang mendengar juga percaya tetapi hairan kenapa nenek mesti menangis. Beberapa tahun kemudian pemuda itu berjaya menjadi tentera darat tetapi dia meninggal dunia tidak lama selepas itu kerana terkena jerangkap samar di hutan di sempadan Gerik.

Kata nenek keranda berpaku yang tidak boleh dibuka berisikan jenazahnya telah di bawa balik untuk dikebumikan di kampung-ku tetapi bukan dengan helikopter.

Bunga Pukul Lima

Chrysanthemum
Bunga pukul lima
Bromiliad
Rainbow Treasure

I have found the treasure
That lies at the Rainbow's end
Wealth beyond computing
Is mine to give or lend.

Opals of an April dawn
Gold of a shimmering noon
Amethysts of the sunset
Pearls with the glow moon.

Would you like to share it?
There's more than enough for all
In my Iris Garden
Against a grey stone wall.
(A H Post)

Gambar diambil dinursery bunga di tempatku. Gambar atas: Bunga kekwa yang sering kita nampak di nursery bunga atau supermarket terutama kalau hampir Tahun Baru Cina.

Gambar tengah: Ada nama lain bagi bunga pukul lima ni iaitu pokok alif-alif sempena daunnya yang kecil tirus macam huruf alif. Bunganya kembang sehari, dari pukul sembilan pagi hingga lima petang. Kelopak bunga selapis atau berlapis dan terdapat dalam pelbagai warna seperti kuning, putih pink dan merah.

Gambar bawah: Asalnya pokok bromiliad banyak tumbuh menumpang di atas dahan pokok di hutan tropika di Amerika Tengah. Sekarang telah dikomersilkan dan ada bermacam jenis. Yang paling menarik ialah daun yang tersusun di tengah-tengah mempunyai warna yang terang dan berwarna warni.

Malim Nawar: My Island

Kolam lombong Malim Nawar
Kolam lombong Malim Nawar

A Place Like This
I need an island in the sea
Away from you away from me
Beyond the waves beyond the wind
Beyond the world that we live in.

Under the skies of shining stars
Away from lights and noisy cars
Above the ego and the stress
Beyond the world we made a mess.

A place for me a place for you
An earth that's green a sky that's blue
A place for you a place for me
An open sky and light blue sea.

With dream as solid as the ground
A place like this I think I've found
A happy thought no one can take it
A place like this is where we make it.
(M Shumpet)
Dua gambar di atas telah diambil oleh K di Malim Nawar. Banyak bekas kolam lombong di sana telah dijadikan kolam ternakan ikan komersil atau tempat rekreasi oleh kaki pancing. Sungguh menyeronokkan, sambil layan hobi dapat ikan dan melihat pemandangan indah dengan kos yang rendah. Pernah juga aku sekeluarga merasa ikan dari kolam lombong tersebut bila ada kaki jala yang hadiahkan tilapia merah atau hitam serta haruan.

Tuesday, May 4, 2010

Tiga Jenis Sahabat

1. Ada tiga jenis sahabat iaitu pertama yang kamu boleh jadikan ia perhiasan, kedua yang kamu boleh mengambil manfaat darinya dan ketiga yang kamu boleh jadikan ia sebagai sandaran. Jika kamu telah mendapat tiga-tiganya maka janganlah kamu sia-siakan mereka kerana kamu tidak akan mendapatnya lagi. (M Al Siba'i)

2. Janganlah kamu menghargai orang-orang yang zalim kerana semua amal perbuatan-mu yang baik akan rosak. Bahkan tiada keselamatan dalam bergaul dengan orang-orang yang zalim itu. Sesungguhnya keselamatan adalah ketika memutuskan hubungan dengan mereka. (Said Ibnul Musayyab)

3. Orang yang paling banyak berdusta di kalangan manusia ialah tukang cerita dan orang yang meminta-minta. (Ahmad bin Hambal)

Bentuk Kekayaan Hakiki

Setelah umat Islam mendapat kemenangan pada perang Hunain, kaum yang baru masuk Islam menerima harta rampasan perang beratus unta dan kambing. Akan tetapi kaum Muhajirin dan Ansar pulang ke Madinah bersama Rasulullah saw tanpa membawa harta.

Ini membuat segelintir mereka tidak berpuas hati dan hal tersebut didengar oleh baginda. Abdullah bin Zaid ra berkata: Rasulullah saw berdiri dan berkhutbah kepada kaum Muhajirin dan Ansar.

Setelah memuji Allah swt baginda bersabda: Wahai golongan Ansar! Tidakkah aku bertemu kamu semua dalam dalam keadaan sesat, lalu Allah tunjukkan kamu dengan perantaraan aku? Tidakkah aku menemui kamu semua dalam keadaan miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya dengan perantaraan aku?

Tidakkah aku menemui kamu semua dalam keadaan berpecah belah, lalu Allah menyatukan kamu dengan perantaraan aku? Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih berhak mengungkit. Rasulullah saw bersabda: Mengapa kamu semua tidak menjawab pertanyaanku?

Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih berhak mengungkit pemberian. Rasulullah saw bersabda: Kamu boleh berkata begitu dan begini walhal perkara sebenarnya adalah begini dan begini. Seterusnya baginda menyebut beberapa perkara. (Amru iaitu perawi hadis menganggap perkara-perkara tersebut tidak perlu dihafal).

Selanjutnya Rasulullah saw bersabda: Tidakkah kamu redha jika orang lain kembali dengan membawa kambing dan unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu? Golongan Ansar itu seperti pakaian dalam sedangkan orang lain seperti pakaian luar (maksudnya orang Ansar yang paling dekat di hati Nabi saw).

Kalau tidak kerana hijrah tentu aku adalah salah seorang di antara golongan Ansar. Sekiranya semua orang melalui lembah-lembah tentu aku akan melalui lembah bersama golongan Ansar. Kamu pasti akan ditimpa oleh satu keadaan yang tidak disukai setelah aku wafat.

Oleh itu bersabarlah hingga kamu bertemu denganku di sebuah telaga pada hari kiamat. (HR Bukhari). Inilah gambaran tentang para sahabat yang beriman bahawa kekayaan hakiki adalah menerima apa yang diberikan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh RasulNya.

Phalaenopsis: Ada Yang Wangi

Phalaenopsis
Phalaenopsis

Gambar atas dan bawah: Diambil di nursery bunga di tempatku. Pokok orkid Phalaenopsis yang sudah dikacuk dengan bunga yang bermacam warna. Yang aku perasan bila ambil gambar ialah bunga yang berwarna kemerahan mempunyai bau wangi yang kuat.

Oleh kerana saiz pokok yang kecil dan daunnya yang lembut dan floppy jadi orkid ini tidak memerlukan ruang yang besar. Di nursery ia ditanam dalam pasu plastik 8 cm dengan lumut sphagnum sebagai media tanaman. Setiap pasu disangkutkan pada jaring dawai 1 m lebar x 2 m panjang yang diletak menegak.

Banyak juga pasu yang dapat diletakkan di situ dan harga sepasu ialah RM 28.00. Aku belum cuba tanam orkid ni kerana aku cukup fobia dengan Phalaeonpsis kerana kebanyakan pokok yang aku tanam terutama yang spotted dan striped sangat mudah kena kulat.

Insyallah, cuba lain kali kot.

Perumahan Estet Getah

Abah dan mak bepindah ke estet sewaktu aku masuk darjah satu. Di estet kecil itu tiada sekolah jadi aku tinggal di kampung dan ke sana bila cuti sekolah. Rumah estet ialah rumah teres panjang dibina dari papan bercat hijau dan bertangga batu.

Ia di dirikan di atas tiang batu 12 kaki tinggi, 1 kaki lebar dicat putih. Ada dua baris rumah saling berhadap kira-kira 100 kaki jarak; dan di antara rumah ini ada sebuah balai bertiang 6 kaki tinggi.

Ianya tak berdinding, cuma ada palang kayu setinggi pinggang disusun sedikit rapat. Ketika ibu bapa bekerja di estet anak-anak kecil akan di tinggalkan di sini dengan beberapa pengasuh.

Rumah-rumah tersebut dekat dengan sungai dan kalau air pasang kekadang air naik sehingga 5 kaki tinggi di bawah rumah. Abah akan pinjam sampan kecil dari kawannya dan kami berkayuh di celah tiang-tiang batu dan di halaman. Oleh kerana lantai di bawah rumah disimen jadi kami boleh nampak ikan berenang dengan jelas.

Bila air surut kami hanya main sorok-sorok atau galah di antara tiang. Satu pagi aku terjumpa seketul arang jadi tanpa buang masa aku pun conteng besar-besar setiap tiang putih dengan gambar pelbagai jenis haiwan.

Marahnya abah kerana dia kena cat semua tiang yang aku kotorkan. Aku juga malu ditertawakan jiran dan anak-anak mereka tetapi nasib baik esokya aku balik semula ke kampung untuk bersekolah semula.

Keadaan Di Hari Kiamat

Kiamat dinamakan Al Waqi'ah kerana ia merupakan kejadian yang nyata dan pasti berlaku. Kejadian itu tidak akan boleh digagalkan atau didustakan oleh sesiapa atau suatu apa pun.

Bahkan ia tetap berlaku pada waktu yang telah ditentukan oleh Allah swt; tidak dipercepatkan atau ditangguhkan. Ketika itu ada golongan manusia yang akan dihinakan serendah-rendahnya dan ada pula yang dimuliakan setinggi-tingginya iaitu mengikut tahap keimanannya.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalannya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang kamu kerjakan. " (Al Jaatsiyah: 28)

Bila kiamat tiba bumi akan digoncang sekuat-kuatnya dan bukit akan hancur lebur menjadi debu yang berterbangan. Manusia akan terbahagi kepada tiga golongan; pertama, orang yang bahagia serta aman sentosa dan kedua ialah orang yang hina, kecewa serta sengsara.

Ketiga ialah orang yang benar-benar berbahagia di dalam syurga Naim kerana mereka sentiasa menang dalam ujian iman. Mereka ini sentiasa membuat amal kebaikan bahkan menjadi penganjur, pemimpin dan contoh yang baik bagi manusia.

Ma'rifat Dan Kecintaan

1. Kecintaan kepada orang fakir adalah sebahagian dari akhlak para rasul. Memilih untuk duduk bersama dengan mereka termasuk tanda-tanda orang yang soleh. Dan menjauhi dari menemani mereka adalah termasuk tanda orang-orang munfik. (Yahya bin Muaz)

2. Tanda ma'rifat ialah mahabbah (cinta). Siapa yang mengenal Allah swt akan mencintaiNya, dan tanda mahabbah terhadap Allah swt ialah lebih mengutamakan Allah swt daripada dunia dan lebih mencintaiNya daripada benda-benda lain. (Imam Al Ghazali)

3. Allah swt tahu bahawa cintamu kepadaNya tidak suci maka Dia telah menjadikanmu bergantung kepadaNya agar engkau dapat mengadapkan dirimu secara mutlak kepada-Nya. (M Al Siba'i).

Oncidium Pada Slab Kayu

Oncidium pada slab kayu
Ascocenda di tiang batu

Dua gambar diambil di nursery orkid di tempatku. Gambar atas: Untuk jimatkan tempat, kurangkan kos dan mengikut kesesuaian pokok, anak orkid jenis Oncidium dilekatkan pada sepotong kayu beruti yang ada cangkuk pada hujungnya.

Kemudian kayu disangkutkan pada jaring dawai. Satu meter persegi jaring mungkin boleh menempatkan hingga 100 potong kayu, kan jimat namanya.
Gambar bawah: Tiang konkrit ni adalah tiang penyokong untuk bumbung net nursery. Pada tiang dilekatkan beberapa pokok orkid Ascocenda.

Pokok pun nampak subur dan berbunga lebat. Kesimpulannya tiang konkrit juga sesuai untuk letak orkid kalau tak ada pokok hidup. Dari pengalaman lepas dahan mati timbulkan masaalah kerana cendawan yang tumbuh di situ akan membunuh akar orkid.

Kematian dan Mati Syahid

1. Rasulullah saw bersabda: Percepatlah menghantar jenazah ke kuburnya. Jika dia seorang yang soleh maka kebaikanlah yang kamu hantarkan kepadanya dan kalau sebaliknya, maka suatu keburukan yang kamu tanggalkan dari bahumu. (HR Bukhari)

2. Rasulullah saw bersabda: Ada tiga perkara yang mengikuti jenazah sesudah matinya, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Yang dua kembali dan yang satu tinggal bersamanya. Yang pulang kembali adalah keluarganya dan hartanya, sedangkan yang tinggal bersamanya adalah amalnya. (HR Bukhari, Muslim)

3. Rasulullah saw bersabda: Orang yang terbunuh kerana melindungi keselamatan hartanya mati syahid dan yang membela (kehormatan) keluarganya mati syahid dan membela dirinya (kehormatan dan jiwanya) juga mati syahid. (HR Ahmad)

Monday, May 3, 2010

Manong dan Malim Nawar

Manong
Malim Nawar

Farewell To The farm

The coach is at the door at last
The eager children mounting fast
And kissing hands and chorus sing
Good bye, good bye, to everything.

To home and garden, field and lawn
To meadow-gates we swang upon
To pump and stable, trees and swing
Good bye, good bye, to everything.

And fare you well for evermore
O ladder at hayloft door
O hayloft where the cobwebs cling
Good bye, good bye, to everything.

Crack the whip, and off we go
The trees and houses smaller grow
Last, round the woody turn we sing
Good bye, good bye, to everything.
(R L Stevenson)

Gambar atas: Ambil gambar ni di satu padang rumput berhampiran kampung pada waktu pagi. Ada sebuah pondok buruk di bawah sebatang pokok di kiri jalan masuk ke padang rumput itu.

Gambar bawah: Lorong dengan pokok renek di kiri dan kanannya, ia digunakan untuk keluar masuk oleh penghuni sebuah rumah di tepi kolam lombong

Sunday, May 2, 2010

Dari Dunia Ke Akhirat

Salah satu dari bukti keagungan Islam ialah adanya penyatuan antara dunia dan akhirat kerana sesungguhnya agama ini diturunkan oleh Tuhan yang mencipta manusia dan mengetahui akan ciptaanNya.

Adapun keindahan dunia ini hanyalah ujian dari Allah swt semata-mata. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Katakanlah, 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan Nya untuk hamba-hambaNya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik'.

Katakanlah, 'Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka shaja) di hari kiamat'. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui." (Al A'raaf: 32).

Allah swt ingin melihat siapakah di antara manusia yang terbaik amalnya dan siapa pula yang ingkar. Manusia yang terbaik adalah yang memahami hakikat kehidupan ini. Ia menyedari bahawa dunia adalah negeri yang tidak kekal iatu tempat untuk beramal sebelum ajal tiba.

Sebaliknya akhiratlah tempat yang abadi dan untuk menerima segala balasan. Mengenai kesudahan hidup di dunia Allah swt berfirman yang bermaksud, "Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.... " (An Nisaa':78)

Phal violacea: Kepala Udang

Phalaeonopsis violacea
Phalaenopsis

Gambar atas: Diambil dari nursery bunga di tempatku. Orkid ni sangat cantik dan selalu bunga tak putus-putus dari tangkai bunga yang sama. Daunnya lebih lebar dan lembut dari Phal biasa. Kadangkala perkataan 'Borneo' ditambah pada namanya kerana orkid jenis ini berasal dari sana.

Gambar bawah: Phal seperti di atas, tetapi jenis pokok kacukan dengan bunga berwarna coklat kemerahan. Baru-baru ni aku beli pokok orkid Oncidium (dancing lady) jenis besar, tangkai bunga tegak setinggi 1 m. Kata si penjual pokok, untuk orkid ni dia gunakan baja kepala udang.

Dulu dia rekomen guna hampas kacang soya, tapi lepas tu aku dengar baja ni tak berapa bagus kerana terlalu basah dan cepat berlumut sampai akar pokok sukar bernafas.

Baja kepala udang ni tak taulah macamana pulak, dengan baunya mungkin tentera lalat dan semut pula menyerang.

Sedekah dan Perdamaian

1. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Setiap sendi manusia ada kewajipan bersedekah. Dan setiap hari terbit matahari, lalu berlaku adil di antara dua orang yang bersengketa itu bererti sedekah, dan membantu seseorang naik kenderaan, atau mengangkatkan barang itu sedekah dan kalimah yang baik itu sedekah dan setiap langkah (berjalan) untuk solat itu sedekah, dan menghilangkan gangguan dari jalan itu sedekah. ( HR Bukhari, Muslim)

2. Ummi Kultsum binti Uqbah bin Muith ra berkata bahawa saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Bukan seorang pendusta orang yang berusaha untuk mendamaikan antara sesama manuisa, untuk mencari kebaikan dan berkata baik. (HR Bukhari, Muslim)

Saturday, May 1, 2010

Susah Cari Jika Disorok

Lewat petang itu kami sekeluarga dipanggil ke rumah nenek sebelah abah kerana adik abah yang dua tahun tua dari aku telah hilang. Sebelum asar pakcik khabarnya telah dimarahi oleh nenek.

Perangai Ajis, kalau merajuk suka meyorok di bangsal simpan kayu api lama-lama. Sehingga lewat petang kelibatnya tak kelihatan dan nenek jadi risau. Mereka mencarinya dan bertanya pada jiran namun tidak juga ditemui.

Hari hampir gelap dan semua jiran tetangga dipanggil untuk membantu. Ada yang bimbang kerana kebun getah di belakang rumah nenek bersempadan dengan sungai, kalau-kalau dia ke sana pula.

Tanpa membuang masa mereka terus bergerak ke dalam kebun getah. Sambil berjalan mereka azan dan takbir dengan kuat termasuk kanak-kanak yang mengikut dari bekalang. Akhirnya mereka sampai di rumpun pokok kekabu di hujung kebun getah dekat tebing sungai.

Setelah puas mencari barulah mereka terjumpa Ajis sedang terbaring dengan badan licin dan lembik keletihan di bawah sebatang pokok tersebut. Ketika tabuh berbunyi tanda masuk solat maghrib, Ajis didokong balik ke rumah. Antara ingat lupa katanya ada seseorang membawanya ke atas pokok dan memegang-nya.

Dia nampak orang kampung mencarinya, mendengar mereka memanggil tapi dia seperti bisu. Masa dia mendengar azan yang semakin kuat dia telah jatuh dan terbaring hinggalah mereka menemuinya di bawah pokok itu.

Tanggungjawab Manusia

Allah swt telah memberikan pelbagai kelebihan dan kurnia kepada manusia untuk menjadi khalifah di dunia ini. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan sesungguh-nya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al Isra: 70).

Dengan segala kelebihan tersebut pada hakikatnya manusia telah dibebankan dengan tugas yang amat berat. Mereka diperintahkan untuk beribadah dan mentadbir alam serta menjalani hidupnya dengan cara yang paling baik.

Mereka mesti sedar bahawa semua kurnia dan kesenangan itu tidak datang dengan sedirinya atau atas usaha mereka semata-mata melainkan pemberian Allah swt. Oleh itu mereka hendaklah bersyukur kepadaNya dengan cara mematuhi semua perintah-Nya dan menjauhi laranganNya.

Allah swt telah memberikan petunjuk yang paling sempurna bagaimana cara manusia patut menjalani hidupnya agar selamat. Manusia dituntut memenuhi tujuan ia diciptakan oleh Allah swt seperti dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". (Az Zaariyaat: 56).

Cattleya: Angkara Beluncas

Lubang di batang pokokTunas cattleya

Gambar orkid dari pondok orkidku. Gambar atas: Tunas orkid berlubang bekas kena korek pada batangnya. Gambar bawah: Permukaan daun dan salut kuntum bunga rosak bekas gigitan. Dua minggu
lepas ada musuh baru yang belum pernah aku hadapi selama in telah menyerang orkidku.

Sedang aku memeriksa pokok-pokok orkid terutama tunas baru, aku terkejut melihat ada yang sudah sobek terutama ditepi daun. Lagi geram yang rosak ialah tunas subur yang berpotensi untuk jadi bunga. Cari punya cari rupanya ada makhluk macam ranting kecil melekat di tepi daun sambil mulutnya kumat kamit ketip daun.

Aku pun apa lagi ambil gunting dan kerat dua ekor hingga putus dua. Lepas tu menyesal sebab zalim, kalau aku alihkan beluncas ke semak di luar pagar kan lebih baik.

Dulu Pun Ada Buli

Bila aku dalam darjah satu murid perempuan dan lelaki diasingkan dalam dua kelas. Hanya pada kelas seterusnya kami dicampur dalam kelas yang sama. Dalam kelas 3A di mana aku ditempatkan, ada seorang budak lelaki yang berkulit putih, berpakaian bersih, comel dan smart.

Dia tinggal di pekan kira-kira 6 km dari sekolah, jadi dia berulang alik naik bas atau tumpang kereta cikgu bila ke sekolah. Kata orang ayahnya berpangkat dan ibunya seorang nurse. Walaupun begitu dalam kelas ketika cikgu tak ada perangainya betul-betul macam hantu. Dia ada empat orang murid lelaki yang menjadi orang suruhannya.

Jika dia tahu cikgu mesyuarat dia dan kuncunya akan perintahkan semua murid menundukkan muka ke meja. Kemudian dia dan kaki pukulnya akan menumbuk kami dua tiga kali di tengah belakang. Tak ingat sebab apa kami dibuli namun mereka pernah minta duit. Mereka minta 5 sen atau sepuluh sen dari kami dan murid yang tidak memberi akan dipukul atau ditumbuk.

Kekadang tapak tangan kami kena pukul dengan kayu pembaris. Tiada siapa yang melawan atau melapor kepada cikgu kerana rata-rata kami semua takut. Macam tulah, dalam sebulan mesti ada sekali dia buat perangai jahatnya. Kami rasa lega bila dia ni berpindah ketika dalam darjah 4 kerana ayahnya telah bertukar tempat kerja ke negeri lain.

Living Among Friends

1. Without friends no one would chooseth to live, though he had all other goods. (Aristotle)

2. Many a person has held close throughout their entire life, two friends that always remained strange to one another, because one of them attached by avirtue of similarity, the other by difference. (E Ludwig)

3. If you're sincere, praise is effective. If you're insincere, it's manipulative. (Z Zigler)

4. In any confrontation between the stream and the rocks, the stream always wins, not through strength but by perseverance. (H J Brown)

5. A witty saying proves nothing. (Voltaire)

Mana Bintang Bulan Merajuk

Chrysanthemum
Saintpaulina ionantha

Pantun Melayu Lama

Hendak ke mana ku kayuh biduk
Hanyut seorang tiada berkawan
Ke mana bintang bulan merajuk
Bulan hilang dilindung awan.

Makan cempedak berulam manggis
Kunyit dibuang dalam perahu
Di luar gelak hati menangis
Seorang tidak yang ambil tahu.

Anak musang merayap malam
Mati ditembak terkena badi
Alangkah gelap selingkung alam
Apakah sebab hujan tak jadi.

Kapal perak bertatah ukir
Tumpangan anak raja Melaka
Bagai ombak melambung pasir
Bilakah ia akan sudahnya.

Bunga dari nursery bunga di tempatku. Gambar atas: Anemone-flowered chrysan-themum.

Gambar bawah: Saintpaulina ionantha atau African violet.