Tuesday, December 27, 2011

Tunggu Dan Tunggu

Pokok orkid Lc atau
Laeliocattleya

Ada empat kuntum
Bila kembang
Lc Nertasiri Waxy
Yellow/pink lips

Tiga gambar atas dari pondok orkidku dan yang dua di bawah dari Agrofest 2011. Kan betul, menanam orkid tak sesusah yang disangka kerana pokok orkid yang akarnya berburas hingga terkeluar pasu pun boleh berbunga cantik. Biarkan pokok....biarkan hingga bertahun-tahun sampai banyak pseudobulb terkeluar dari pasu pun tak ngapa. Nampaknya pseudobulb ini lebih baik dari yang terperuk dalam pasu. Tapi sebenarnya dalam keadaan pokok macam ni ada dua perkara yang orang boleh deduce. Iaitu tuan punya malas dan tidak lagi peduli tentang kebajikan orkidnya atau nak biarkan orkid hidup secara natural. Menjalar ke mana yang ia suka, ke kiri atau ke kanan, ke atas atau ke bawah asalkan berbunga sudah.

Malangnya ramai tak tahu bila pokok yang macam ni dipotong-potong dan cuba ditanam semula dalam pasu yang baru ia akan mengambil masa nak besar dan berbunga. Ada yang merajuk sampai tak pernah berbunga lagi. Jadi dari tak dapat apa-apa biarkan saja ia hidup berdikari. Orkid ni memang jenis kelopak bunganya tebal, berkilat seperti disepuh lilin dan berwarna terang. Bunganya pun ada yang wangi. Lc adalah singkatan dari Laeliocattleya hasil dari kacukan orkid Cattleya dengan Laelia (yang kebanyakannya berasal dari Mexico) untuk menghasilkan pokok yang mudah dijaga dan berbunga cantik. Pokok orkid Laelia lebih kecil dari Cattleya, lebih tahan pada keadaan kering dan elok jika akarnya dibiarkan terjuntai untuk mendapat udara.

Bila terserempak dengan Cik Yus katanya Agrofest 2011 ditunda lagi. Dari lepas raya kepada bulan Disember dan seterusnya bulan Januari tahun depan pulak. Boleh caya ke sebab bulan Januari dah dekat bebenar dan tarikh yang khusus pun tak ada yang tahu. Kata K yang pandai buat andaian, ini mesti ada orang beso nak datang dan ada kaitan dengan kempen pilihanraya. Aku frust betul sebab kena menunggu bila dapat beli orkid lagi. Bila agaknya tarikh yang betul. Hati berdetik dan berbisik......hai orang di sana, tak baik tau hampakan harapan raykat yang kerdil dan tak banyak kerenah macam aku ni.

Kezaliman Hamba

Kezaliman yang dilakukan hamba akan diadili oleh Allah swt dengan tiga jenis pengadilan iaitu:

1. Pengadilan dosa yang tidak diampuni sama sekali iaitu syirik

2.Pengadilan dosa yang tidak dibiarkan sedikit pun terlepas iaitu dosa antara sesama manusia

3.Pengadilan yang ringan iaitu dosa hamba terhadap Rabbnya. Segala kesalahan hamba dapat dihapus dengan bertaubat dan memohon ampun. Kadangkala ada amalan dan kebaikan ataupun musibah yang dapat menghapus kesalahan dan dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya dosa kerana perbuatan syirik tidak boleh dihapus kecuali dengan TAUHID. Syirik merupakan pengadilan yang paling berat di sisi Allah swt maka Dia mengharamkan syurga bagi pelakunya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Mintalah ampun kepada Tuhanmu dengan membaca istigfar, dan kembali bertaubatlah kepadanya." (Hud: 3). Akan tetapi kesalahan sesama manusia boleh diperbaiki dengan bertaubat iaitu berhenti dari berbuat anayia, menyesal dan minta maaf dari orang yang dizalimi, tidak mengulangi perbuatan tersebut dan memulangkan harta jika telah diambil.

Saturday, December 24, 2011

Membaca Kan Bagus

Daun pisang
Daun Asplenium
Daun Bunga
Tasbih

Daun Lengkuas
Hutan

Daun Kunyit

Orang kata kalau mata letih kerana banyak membaca cubalah rehatkan dengan melihat benda yang jauh ataupun benda berwarna hijau. Bila aku membaca selalunya tak sempat mata nak letih sebab tanpa sedar sudah terlelap terutama jika buku isinya berat sikit. Lainlah kalau baca novel, sanggup curi masa memasak atau gardening. Tentang membaca kata Cik M baru-baru ini ada survey berapa ramai orang yang berbuat demikian di tempat-tempat awam. Tentu kita boleh teka hasil survey tersebut dari pemerhatian sendiri. Alasan yang sering diberikan ialah; kita tiada budaya membaca, kekurangan bahan bacaan dan membaca tidak penting. Alasan
tidak membaca hanya boleh dipakai dalam tahun 50an dan 60an sebab nenek moyang dan ibu bapa ketika itu ramai yang buta huruf. Tetapi di zaman cyber kini rata-rata ibu bapa tahu membaca dan ramai yang berpelajaran tinggi.

Tapi kenapa kebanyakan anak-anak sekarang tak suka membaca? Ada yang kata remaja sekarang dah letih tengok buku. Dari pra sekolah, tahun satu hingga tahun enam serta di sekolah menengah mereka terpaksa angkat dan angkut buku yang bukan sedikit ke sekolah.
Yang berbadan kecil hingga bongkok dek memikul buku, tak cukup digalas guna pula beg ada troli. Buku dianggap satu beban, bukan sumber ilmu, menyusahkan dan membosankan. Jadi bila besar mereka rasa cukup merdeka kerana tak payah pegang buku lagi. Lebih seronok picit handset untuk sms, lepak di hadapan play station dan tv atau meronda di pasaraya.

Teringat kata-kata Hasan Al Bana dalam sebuah rumah mesti ada koleksi buku walaupun kecil. Kalau orang dalam rumah terasa bosan ada juga yang dipegang dan ditatap agar dapat manfaat. Tapi almari kita lebih banyak simpan koleksi pinggan mangkuk, bekas bunga telur dan perhiasan kristal dari buku-buku. Aku pernah tanya seseorang: The more you read the more you forget, the more you forget the less you know, the less you know so why read?? The wise man told me, .......kita membaca tak ada jaminan kita faham semua dan ingat semua, tapi membaca tu tetap mendapat pahala di sisi Allah swt, apa lagi untuk ilmu yang bermanfaat untuk diri, masyarakat dan akhirat. Hati berdetik dan berbisik........betul tu, Allah swt sudah perintah, Iqra'......jangan kita nak bantah-bantah, teruskan membaca sudah tentu banyak baiknya.

Kepincangan Umat

1. Kita berterus terang dalam hal kepincangan umat dengan menegaskan bahawa kepincangan yang berlaku itu adalah bepunca dari diri kita yang suka mementingkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain, seperti pepatah: kuman yang di seberang laut nampak, gajah yang di bibir mata tidak nampak. (Yusof Al Qaradhawi)

2. Mereka yang mempunyai iman di dalam hati tidak akan membiarkan kemungkaran berleluasa dan juga tidak akan teragak-agak untuk berjuang di jalan Allah swt. (Al Maududi)

3. Di antara tanda-tanda hilang penglihatan adalah perasaan risau dan gelisah seorang manusia ketika rumahnya gelap gelita akan tetapi dia tidak sedikitpun rasa cemas atau terusik bila hatinya gelap. (M Al Siba'i)

Friday, December 16, 2011

Cycas Yang Beracun

Cycas revoluta
Ditanam berkelompok
Pucuk pokok Cycas
Bunga jantan di pokok
matang

Bunga jantan, close-up
Pucuk dimakan serangga

Salah satu pokok yang mesti ditanam jika membuat lanskap ialah Cycas kerana bentuknya yang unik. Walaupun harganya mahal hingga beratus ringgit tapi atas nama keindahan ramai yang sanggup membeli. Pokok Cycad revoluta atau sago palm berasal dari selatan Jepun dan bukan sejenis palma tetapi 'cycad'. Maknanya pokok berbatang tunggal (kekadang bercabang) dengan daun-daun berpelepah tersusun rapat di hujungnya. Pokok pula samada pokok jantan atau betina sahaja dimana pokok jantan mengeluarkan kon dan pokok betina ada struktur ganti bunga di pucuk. Daunnya berwarna hijau tua, keras dan runcing serta sedikit berkilat. Tumbesaran pokok sangat lambat hingga beratus tahun baru mencapai beberapa meter tinggi. Pembiakan pokok adalah secara semaian biji atau menanam anak pokok yang tumbuh di perdu pokok asal. Pokok tumbuh subur di tanah yang sedikit berpasir dengan saliran yang baik untuk mengelakkan akar terendam dan busuk.

Walaupun pokok ini sudah menjadi kemestian dalam lanskap tapi tidak ramai yang tahu ianya beracun. Racunnya terkandung pada semua bahagian pokok terutama pada biji. Ia sangat berbahaya pada haiwan dan juga manusia jika termakan hingga boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman dan kematian. Petanda yang dapat dilihat jika keracunan ialah muntah, cirit birit, lemah, sawan dan sembab atau edema kerana kerosakkan organ hati. Petanda lain ialah pendarahan pada mulut dan sendi serta kencing atau najis berdarah.

Seingat aku pokok ini susah sikit menjaganya (di rumah Mak ada sepokok ditanam oleh arwah Abah di belakang rumah kerana tak tau nilai sebenar pokok). Pucuk Cycas bukan saja dimakan haiwan tapi ulat pun suka. Pucuknya habis gondol jika dibiarkan diserang serangga.
Pakcik tukang kebun di pejabat lamaku kata pucuk Cycas begini mesti segera disembur dengan racun Malathion. Yang bagusnya pelepah-pelepah muda tumbuh serentak bila pelepah-pelepah sebelumnya sudah barwarna hijau tua. Jadi kerja menyembur racun pada pucuk muda hanya dilakukan secara berkala. Hati berdetik dan berbisik.......sudahlah pokok mahal, beracun dan kena meracun pulak; harapkan halaman lawa rupanya boleh mengundang mudharat.

Jika Kenal Allah swt

Manusia yang kenal Allah swt dan tanda-tanda kekuasaanNya terhadap manusia dan semua mahluk di alam ini akan merasa takut kepadaNya. Mereka mengambil pelajaran dari kejadian yang dialami orang-orang terdahulu dan kembali kepada Allah swt. Mereka takut jika mereka juga akan ditimpa bencana seperti orang-orang tersebut.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka; Allah telah menimpakan kebinasaan ke atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu." (Muhammad: 10)

Ancaman dan seksa Allah swt boleh datang tiba-tiba saja oleh itu mereka yang beriman hanya mengharap rahmat dan pertolongan Allah swt serta berusaha untuk menunaikan perintahNya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At Taubah: 71)

Saturday, December 10, 2011

Salahguna Pokok

Daun hijau-merah
Kuntum dalam jambak
Jambak dihujung dahan
Bunga yang kembang
Bunga, close-up

Kalau turn perjumpaan mingguan kami di rumah Cik Intan aku akan park kereta dekat simpang jalan menuju ke rumahnya. Dari kumpulan tujuh orang kami selalunya akulah yang sampai dulu. Aku pegang apa yang nenek pesan; eloklah kita tunggu orang jangan orang tunggu kita. Aduhai nenek, kalau orang pun macam tu senanglah. Zaman sekarang orang nak keluar dah bajet masa, berapa saat nak undur kereta dari porch, berapa banyak lampu isyarat nak di tempuh, jalan mana ada short cut dan bergerak berapa ksj. Kalau lari masa biasalah, ada traffic jam, accident atau lampu isyarat rosak. Sorry, sorry. Bila datang terdulu terasa juga rugi masa tapi dari terperap dalam kereta baik jengah-jengah apa yang menarik.

Pokok berdaun lebar dan warna hijau-merah yang tumbuh di luar pagar di di hadapan rumah pertama kepala simpang tu berbunga pulak. Bunganya menarik, belum pernah aku lihat sebelum ini. Bentuknya macam bunga sundal malam kesukaan orang di kampungku. Tentunya bukan bunga berdaun tirus seperti lalang dalam filem pontianak atau yang banyak ditanam di Cameron Highlands atau dijual di nursery bunga sekarang. Bunga sundal malam kampungku warna putih-kehijauan seakan bunga siantan atau ixora tapi baunya sangat harum terutama di waktu malam. Pokoknya bushy kerana rantingnya banyak dan slim. Jika musim ia berbunga kami akan patahkan beberapa ranting dengan jambak bunga yang lebat dan masukkan ke dalam botol kicap yang diisi air. Malam nanti seluruh ruang rumah berbau harum. Esok bunga yang layu dibuang dan petik lagi yang baru sebagai ganti.

Oh, pokok bunga ni ada batang seperti pokok bunga kenanga dan tingginya kira-kira 1.5 meter. Tak ambil gambar keseluruhan pokok kerana mesti nampak rumah-rumah dan pelbagai keenderaan yang diparkir berhampiran. Tapi sebab utama ialah di bawah pokok ada tokong warna merah siap dengan sepinggan buah-buahan, lilin dan colok. Ketika itu tidak pula teringat nak cium bunga ni. Sesekali lalu di jalan ni nampaknya lilin dan colok masih ada tapi pokok sudah hilang bunga dan sebahagian daunnya. Tak sihat ke ia? Hati berdetik dan berbisik.......manusia menzalimi pokok tapi yang sebenarnya mereka menzalimi diri sendiri.

Fahami Al Quran dan Sunnah

Sesungguhnya kenikmatan yang paling besar, paling sempurna dan kekal abadi yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia ialah petunjuk kepada Islam. Namun nikmat ini tidak akan sempurna sekiranya kehidupan seseorang tidak berpandukan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Oleh itu mereka yang terselamat di dunia dan di akhirat ialah orang-orang yang mengambil kedua-dua sumber ini sebagai pedoman hidup. Hanya dengan berpandukan Al Quran dan sunnah maka hidup seseorang menjadi damai, harmoni dan bertanggungjawab.

Allah swt telah memberikan dua sumber yang mana termaktub segala hukum dan ajaran Islam yang berkaitan dengan akidah, konsep, ibadah, akhlak dan pelbagai ilmu lain yang sangat penting bagi manusia. Oleh itu ke dua-dua sumber ini mestilah difahami oleh setiap muslim dengan pemahaman yang benar.

Allah swt meredhai orang-orang yang mengikuti petunjukNya dan menjadikan mereka orang yang selamat melalui firmanNya yang bermaksud, "Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (Al Maaidah: 16)

Monday, December 5, 2011

Bunga Tanjung Harum Baunya

Bunga tanjung
Banyak di hujung dahan
Buah muda
Ada yang mula masak
Sudah cukup matang

Bunga Tanjung

Bunga tanjung putih berseri
Kembang jelita harum baunya
Gagah sungguh pohonmu berdiri
Tegap rimbun gagah perkasa

Harum jelita si bunga suci
Idaman dara gadis rupawan
Sangat sombongmu bungamu menari
Melengang-lenggok di hujung dahan


Dua jenis bunga yang mengeluarkan bau harum semerbak di jalan menghala ke surau ialah bunga tanjung dan bunga putih seakan jasmin. Ketika menanam kedua-dua pokok tersebut Kak Pah berniat dia nak sedekah bau terutama kepada orang yang berjalan kaki ke surau. Tapi baru-baru ini pokok bunga tanjungnya telah diprun kerana terlalu rendang dan semakin tinggi hingga mengganggu wayar letrik dan telefon. Pokok jasmin hanya dua meter tinggi tapi bukan jenis tempatan kerana ia diseludup oleh abang Kak Pah dari Australia. Selepas hujan memang banyak bunga tanjung gugur dan sekali sekala ada yang memungut atau memetik beberapa kuntum dalam perjalanan pergi atau pulang dari surau.

Di zaman kanak-kanak dulu kami memanjat pokok bunga tanjung untuk memetik buahnya yang telah ranum. Di bawah kulitnya yang berwarna merah-oren ada selapis isi nipis yang manis ketika dimakan. Oh......baru teringat ada sejenis kuih dari negeri Kelantan yang bernama buah tanjung. Berbentuk lonjong berwarna kuning emas dan rasanya.....of course manis.
Ada lagi yang berkaitan dengan bunga tanjung ni. Dulu-dulu nenek moyang tidak pakai subang manik labuh ke bahu tapi subang emas bertatah berlian bentuk bunga tanjung. Subang ni sebesar siling lima sen dan jenis melekap ke telinga. Untuk menyerlahkan kilauan batunya sekeping kain kecil dari baldu hitam dilapik antara subang dengan telinga. Ketika itu kebanyakan wanita mengenakan selendang kasa yang jarang sementara para ustazah bertudung segi tiga yang diikat di bawah dagu. Mereka melaram dengan subang dan sanggul, baju kebaya atau kurung kasa dengan kain batik jawa.

Bila mendengar lagu bunga tanjung yang mendayu-dayu cepat saja teringat nasib semua bunga. Ketika cantik ramai yang memuji tetapi bila sudah layu tiada siapa yang peduli. Namuna bunga tanjung boleh dianggap bertuah kerana ia dihargai walau sudah gugur ke bumi. Ada juga orang yang pungut dan karang kuntum-kuntum bunganya dan letakkan di sanggul, di antara lipatan kain mahal dalam almari atau di bawah bantal. Walaupun bunga-bunga lain lebih cantik dan berwarna warni namun bila sudah ke bumi tidak ada harapan untuk dibelai. Hati berdetik dan berbisik......bunga lain dipuji ketika kembang tapi bunga tanjung yang gugur dan layu masih dikutip dan disayang.

Doa-doa Rasulullah saw

1. 'Aisyah rha berkata: Rasulullah saw sebelum wafat baginda selalu membaca: 'Subhanallahi wabihamdihi astagfirullah wa atubu ilaihi' (Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya, aku minta ampun kepada Allah dan taubat kembali kepadaNya).

2. Ibnu Abas ra berkata: Kami telah menghitung dalam satu majlis Rasulullah saw mengucapkan: Ya Allah ampunilah aku, terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih. (HR Abu Dawud)

3. Ibnu Abas ra berkata: Rasulullah saw jika menghadapi kesukaran akan membaca: Tiada Tuhan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Sabar, tiada Tuhan kecuali Allah Tuhan memiliki Arasy yang Besar, tiada Tuhan kecuali Allah Tuhan yang memiliki langit dan bumi, Tuhan Arasy yang Mulia. (HR Bukhari, Muslim)

Monday, November 28, 2011

Oh! Cili Dan Belacan

Pokok cili yang subur
Daun dan bunga
Sepinggan besar
Post harvest
Sambal belacan

Dengan empat rumpun pokok cili padi di keliling rumah sedang lebat berbuah jadi seminggu sampai dua tiga kali aku buat sambal. Apalagi kalau ada yang tolong petikkan cili. Walau sambal belacan yang aku buat hanya sedikit tak pernah habis namun aku buat juga. Nak ambil hati K. Sambal belacan permintaannya mesti guna belacan Sungai Berembang kerana itu saja belacan yang dia percaya terbaik. Sebenarnya orang tak mahir memasak pun kata buat sambal belacan paling senang. Mereka pun boleh bagi resepi serta petua. Yang penting kenal cili, belacan dan lesung batu. Dalam masa tiga minit sudah tersedia pembuka selera nombor satu di Malaysia.

Apapun Mak kata sambal belacan yang aku buat tak sesedap yang dibuat adik atau ipar. Aku cuba minta resepinya tapi Mak kata adik buat tak payah guna resepi tertentu pun. Campak-campak dan agak-agak, itu ini serba sedikit; cili padi, belacan, garam dan asam limau. Aku yang tak puas hati tanya secara peribadi kat adik dan diberitahu petua untuk sambal belacan yang umpahhh ialah bilangan cili mesti ganjil dan tangkai cili jangan dibuang.
Hahaha....... kena main kira mengira cili pulak. Mesti cili padi jenis kampung atau cabai burung yang kecil tapi pedas menyengat, jangan cili ala-ala cili padi yang diimport kerana baunya sedikit maung.

Sebenarnya sambal belacan yang aku buat cukup sempoi iaitu guna kurang dari 10 tangkai cili padi, sebiji cili merah yang dibuang biji, seketul belacan bakar sebesar hujung jari telunjuk. Tumbuk semua bahan dan perah asam limau. Untuk mendapatkan sambal sihat kaedah aku: No garam extra sebab belacan dah salty, no perisa sebab nak kekalkan rasa yang asli. Berbeza dengan demo ipar buat sambal yang menggunakan segenggam cili padi, segenggam cili merah Kulai variety dan belacan bakar sebesar bola pingpong. Kemudian tambah garam, serbuk perasa dan sedikit gula serta air asam limau. Hati berdetik dan berbisik....... gitu rupanya padanlah sambal aku susah nak laku dan dikata banyak yang kurengggg.

Silaturrahim Antara Kita

Ada dua sikap manusia dalam bersilaturrahim; pertama, menjalinnya dengan berbuat baik kepada kaum keluarga dan jiran. Kedua, memutuskannya dengan tidak bertegur sapa, menahan kebaikan atau menyakiti mereka dengan tangan atau lisan.

Rahmat Allah hanya akan mengalir kepada golongan pertama sementara murka Allah akan menimpa golongan kedua. Rasulullah saw bersabda bahawa tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim (Mutafakun 'alaihi).

Silaturrahim terbahagi kepada dua jenis iaitu yang khusus dan yang umum. Yang pertama bermaksud sesiapa sahaja yang ada hubungan keluarga. Yang kedua ialah untuk saudara seagama merangkumi seluruh kaum Muslimin. Ianya boleh dijalin melalui kasih sayang, menasihati dalam takwa dan kesabaran, tolong menolong di jalan Allah dan berziarah.

Namun begitu keluarga paling dekatlah yang mesti didahulukan kerana lebih mudah membina ummah yang kuat dan baik jika ukhwah bermula dari keluarga-keluarga yang mempunyai ahli-ahli yang bersefahaman dan berkasih sayang.

Tuesday, November 22, 2011

Nama Tak Seindah Bunga

Blc cattleya
Blc C 'Ports of Paradise'
Warna hijau daun
Frilly lips
Bunga, close-up

Nak tayang satu lagi orkid Cattleya yang ada di pondok orkidku. Tengok jangan tak tengok, Ck Minah. Kata Pakcik Google namanya Blc Cattleya Ports of Paradise. Maklumlah masa membeli tak bernama, sekarang baru tercari-cari. Inilah susahnya bila beli orkid tak berjenis, asalkan murah dan boleh tawar menawar itulah yang diambil. Konon nak nak save. Paling penting sudah dapat jawapan dari penjual; bunganya nanti besar tak, warna cerah atau malap dan guna baja apa? Kalau beli anak pokok tanya lagi......gerenti berbunga ke, nak tunggu berapa lama, bunganya sama dengan yang ditunjuk? Pendik kata jenuh juga si penjual nak menjawab. Itu petua nak membeli belah sebab aku dengar nenek moyang kata kalau malu bertanya nanti dapat buku tebu.

Menanam suku sakat orkid cattleya ni memang seronok (kalau menjadi) sebab bunganya besar-besar, cantik dengan warna-warna yang sangat menarik. Awesome! Ada nama orkid yang panjang berjela kalau rajin mencari susur galurya. Sebenarnya pokok yang macam inilah yang dicari orang yang suka class, sebab nak bertanding atau buat baka. Untuk yang cuma minat orkid, nak ada orkid tapi kedekut maka belilah mana saja asalkan pokok boleh berbunga. Aku termasuk dalam golongan kedua
jadi kena rajin mencari dan bertanya.

Sebelum tu heran juga kenapa bunga secantik dan kekadang mempunyai bau yang sangat harum ni namanya Cattleya. Cattle? Binatang berkaki empat, berbulu dan bertanduk aka lembu? Tak ada pula lembu berbau wangi apalagi tahinya. Ceritanya begini, kira-kira 200 tahun dulu ada pengembara Inggeris hantar orkid dari Amerika Selatan dan Costa Rica kepada pengumpul orkid bernama W Cattley di England. Beliau membiak orkid jenis ni di sana lalu nama beliau dilekat pada orkid ini walaupun namanya tidak seindah bunga. Mungkin di tempat asalnya orkid ni mempunyai nama lain. Macam sejenis orkid kita yang nenek moyang panggil anggerik pandan, pandai-pandai mat saleh gelar Cymbidium finlaysonianum. Bukan nama si suami saja, nama isterinya 'Sonia' pun di tulis sama. Hati berdetik dan berbisik.........teingin juga nak letak nama sendiri, tapi kat mana?

Menambah Kecerdasan Akal

1. Ada empat perkara yang dapat menambah kecerdasan akal iaitu; meninggalkan perkataan yang tidak perlu, bersuci, berkawan dengan orang yang soleh dan bergaul dengan para ulama. (Imam Ghazali)

2. Kita ini seperti anak-anak kecil iaitu kita benci kebenaran umpama kita bencikan ubat kerana pahitnya tanpa memikirkan betapa nikmatnya kesembuhan. Kita menyukai kebatilan kerana kita merasakan keseronokan luarannya tanpa memikirkan racun yang tersembunyi di dalamnya. (M Al Siba'i)

3. Kalau engkau suka dirimu tidak terkenal di kalangan orang ramai, maka engkau akan mendapat kedudukan yang tinggi dari Allah swt. (Abu Ubaidah Al Jarrah)

Wednesday, November 16, 2011

Melur Jawa

zMelur Jawa
Ditanam berbaris
Bunga merah meyala
Bunga kecil, kelopak lima
Bunga, close up

Pokok Melur Jawa mempunyai daun lebar dan berwarna hijau tua. Bunganya banyak, kecil-kecil dalam jambak yang berbentuk piramid. Pandai juga orang dulu-dulu bagi nama Melur Jawa, ringkas tapi memberi makna yang mendalam. Lupa pula nak menghidu bunganya, berbau harum atau tidak. Kalau tak berbau wangi pasti kalah dengan melur putih (Melur India??) yang orang ramai kenal sebagai jasmin. Bunga melur putih dari jarak satu meter sudah terhidu keharumannya dan sangat terkenal seantero dunia. Aku pun terikut-ikut suka bunga melur. Sekarang ni di sepanjang pagar dawai antara rumahku dengan jiran penuh dengan pokok melur putih yang merimbun. Once in a blue moon, aku hanya petik beberapa kuntum yang belum mekar untuk dicampur ke dalam air teh panas untuk mewangikannya. Jimat duit beli kuntum melur kering atau teh jasmin yang diimport.

Melur Jawa ni diambil di R&R Ipoh Selatan. Orang kata semua bahagian pokok ni ada khasiatnya. Akarnya yang pahit dan berunsur sejuk digunakan untuk penyembuh radang, diuretik dan mmenghilangkan bengkak. Daunnya pula rasanya manis-masam, sedikit kelat baik untuk radang dan dapat mengeringkan bengkak yang bernanah seperti bisul. Bunganya bila dimakan rasanya manis dan dapat menurunkan suhu badan selain menghilangkan keputihan, gangguan susah untuk tidur dan penawar buasir. Akar biasanya digunakan sebagai ubat sakit pinggang, luka, batuk, batuk darah dan cirit birit.

Bagi tujuan perubatan akar dan bunga akan dikeringkan kemudian direbus dan diambil airnya untuk diminum. Daun segar pula ditumbuk halus lalu disapu pada tempat yang sakit. Air rebusan akar, daun dan bunga boleh dibuat mandian untuk
wanita lepas bersalin dan melegakan sakit sendi.

Sama Kerja, Sama Relaks

Lapang dada masa cuti ni sebab semua orang ada di rumah kecuali Haq yang ada di Sarawak. Ada peluang sembang-sembang dan tolong buat kerja rumah sikit-sikit. Rumah yang sunyi dah ramai kembali dan setiap malam semua bilik ada lampu terpasang. Lagi seronok ketika masak kalau ada yang rajin membantu, apa yang dimasak selalunya habis dimakan dan kadangkala sampai tak cukup. Sambil tu kenalah tahan telinga mendengar rintihan, gurauan dan pertengkaran mereka tak kira pagi petang, siang dan malam.

Namun yang membuat sesak dada ialah bila dah ramai-ramai ni yang cerdik sikit mula curi tulang. Mengelat dan cari alasan tidak mahu buat kerja rumah. Aku kata mana boleh rumah dibiarkan berserak nanti ular sawa berlengkar di bawah katil atau ayam bertelur dalam almari kain. Apapun dalam dan luar rumah mesti dibersihkan. Mereka kata itu cerita nenek moyang masa dulu-dulu, macam-macam boleh bersembunyi dalam tilam yang digulung. Menjawab memang pandai tapi kalau tidak disuruh masing-masing lebih suka memerap dalam bilik atau tidur, harap dipanggil untuk makan sahaja.

Last-last mereka kata aku yang tak bersyukur pulak. Kononnya bila tak ramai orang di rumah mengeluh kerana sunyi dan bila ramai membebel bagi bermacam-macam arahan. Motto mereka: rumah yang tak kemas lebih baik dari rumah yang tak berpenghuni. Sorry le ye.......buat apa ramai penghuni kalau bersepah macam tongkang pecah? Yang paling adil, buat gotong royong, sama-sama kerja, sama-sama relaks. Ok kan???

Tuesday, November 8, 2011

Ros Kayu, Ros Pasar Tani

Ros merah
Ros kuning
Lambang cinta
Lambang kesucian
Ros pink


Ketika di sekolah menengah seorang kawan telah membawa sekuntum bunga kering yang dinamakan ros kayu. Ini pertama kali melihat kelopak bunga kering berkelopak keras seakan ros yang tidak terlerai dari tangkai. Kata kawanku bunga ini matang dan kering di pokok namun bentuknya tetap cantik dan tahan lama. Setelah mendapat biji benih dan menanamnya, tumbuhan ini jenis melilit dan perlu sokong seperti pokok kacang panjang. Bila bunga sudah berwarna perang bolehlah petik dan gubah dengan ranting kering, tampuk kelapa dan bunga sabut pinang. Tak perlu keringkan bunga dalam oven dengan low heat atau dessicator berisi gel.


Sebenarnya tak susah tanam pokok ros betul (bukan ros kayu) kata Ana yang dah frust tanam orkid. Petuanya pokok ros mesti dapat cahaya matahari yang cukup dan bubuh baja hampas udang. Kalau dulu Ana hanya beli satu kampit kecil baja tapi sekarang dia beli seguni dengan harga lebih RM 100. Di mana ada tempat menenggek pasu ada saja pasu pokok rosnya diletakkan hatta di luar pagar rumah. Tambah lagi dia sudah tak kisah sangat dengan pokok orkid termasuk yang diseludupnya dengan bersusah payah dari jauh dalam beg pakaian. Aku kata ini salah di sisi undang-undang, you boleh kena denda dan dijel.

Gambar ros di atas diambil di pasar tani, penjualnya sudah aku kenal bertahun-tahun. Arwah abah beli benih pokok rambutan gading, gula batu dan anak sekolah semua dari dia. Pokok bunga yang kami beli dari gerainya silih berganti, kenanga dan melur, kesidang, crossaandra dan senduduk tapi tidak ada pokok ros. Hati berdetik dan berbisik tanam pokok bunga hanya sedap mata memanadang tapi jiran-jiran lebih suka menegur buah rambutan yang lebat dan sedang merah serta rumpun serai dan kesum yang rimbun daunnya.

Doing a Good Job

1. Keep track of what you do; someone is sure to ask.

2. Write down ideas; they get lost, like good pens.

3. Long hours don't mean anything; results count, not effort.

4. Never in your life say, "It's not my job."

5. Understand what finished work looks like and deliver your work only when it is finished.

Thursday, November 3, 2011

Insyallah, Insyallah

Tanjung Balau, Johor
Pantai berbatu
Pandangan dari jeti
Air pasang pagi
Pantai yang sepi

Insyallah

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can`t see which way to go
Don`t despair and never lose hope
Cause Allah is always by your side

Insya Allah
Insya Allah you`ll find your way

Every time you can make one more mistake
You feel you can`t repent
And that its way too late
Your`re so confused, wrong decision you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

Don`t despair and never lose hope
Cause Allah is always by your side
Insya Allah
Insya Allah you`ll find your way
Insya Allah
Insya Allah you`ll find your way

Turn to Allah
He`s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don`t let me go astray
You`re the only one that showed me the way,
Showed me the way
Insya Allah
Insya Allah we`ll find the way
(MZ)

Semua orang diuji, ada ujian besar ujian kecil, pada diri, orang terdekat. pada jasad ataupun hati. Cumanya sedar atau tidak kerana yang penting bukan ujian tetapi bagaimana melaluinya agar mendapat segala kebaikan sebagai ganti. Semoga dari jerih payah menempuh keperitan itu kita menjadi lebih sabar, redha dan ikhlas. Yang selalu terjadi ialah bila dalam kesusahan hati cepat hiba dan mengharap; Insyallah....Insyallah everything will be alright tapi bila semua berlalu lain pula jadinya. Kemana nak pergi sebab yang dibawa ke sana sini adalah hati. Nak dapat jiwa tenang mesti dalam redha Allah, pantai dan taman hanya tempat jasad sedangkan hati yang mesti dirawat.

Orang yang diuji dengan kesusahan lalu terasa sakit dan hati sentiasa merintih. Sebaliknya yang diuji dengan kesenangan dan kesihatan yang baik hatinya lalai, seronok memanjang. Hidupnya fokus untuk diri sendiri, cukup jika dapat memenuhi kehendak nafsu dan fizikal. Bila hati rungsing buat selamba ataupun cari jalan singkat cara duniawi. Kata ulama ramai orang termasuk dalam golongan ini kerana mereka menyangka lepas mati tiada hari pembalasan. Buat apa saja ikut suka hingga mati, take everything but gives nothing back...membujur lalu melintang patah. Hati berdetik dan berbisik....jauhkan kami dari mempunyai hati yang lalai dan dekatkan kami pada hati yang suka bertaubat redha dan ikhlas.