Friday, December 31, 2010

Cendawan Pokok Getah

Cendawan
Cendawan
Cendawan
Cendawan
Cendawan
Cendawan

Gambar diambil di kebun getah di tepi Sungai Kampar. Kawan K mengajak kami melihat kebun duriannya yang terletak di tebing sungai tersebut. Sebelum sampai ke sana kami merentasi kebun getah dan perkara pertama aku tanya bukan adanya babi hutan atau pak belang tapi pacat. Aku fobia dengan pacat dari dulu kerana pacat naik ke badan secara senyap-senyap. Terkejut dan geli geleman bila terpicit badannya yang lembut anjal seperti belon. Hati berdetik dan berbisik......biarlah digigit oleh seekor kerengga, sekurang-kurangnya aku boleh penyetkan sampai hancur.

Petang tu lepas hujan dan mangkuk penakung getah yang dilekatkan pada pokok semuanya dipenuhi air. Ada sesuatu yang mengingatkan aku tentang selepas hujan dan batang getah reput. Cendawan! Aku biarkan K dan dua orang kawannya berjalan dahulu manakala aku tebongkok-bongkok mencari di celah kayu dan rumput. Tak ada pula cendawan tekukur atau telinga monyet di sini.

Yang ada cuma cendawan berwarna warni yang nenek moyang kata jangan diusik, beracun. Dah bersekolah dan selalu menonton National Geographic baru aku akui apa yang dipesan mereka tu betul. Sekarang ni kalau nak ambil cendawan kena berhati-hati kerana pokok tidak ditebang tetapi ada yang diracun. Begitu juga rumput rampai di sekelilingnya, takut racun mencemari cendawan tersebut. Satu lagi kita suka membeli.....bila dimakan baru tahu mudaratnya.

Tuesday, December 28, 2010

Pokok Sirih

Daun sirih
Mudah tumbuh
Perlu junjung dan jagaan
Daun, close-up

Gambar diambil di kebun Pak Kolil. Sirih ialah sejenis tumbuhan yang tidak asing bagi masyarakat Melayu dan India kerana banyak kegunaannya. Nama saintifiknya ialah Piper betle L dan pokok ini biasanya didapati menjalar dan memanjat pada kayu junjung. Daun sirih berbetuk bujur dan lancip di hujung manakala permukaannya licin. Jenis sirih menentukan warna daun, kelembutan dan keenakan rasanya. Ia tumbuh subur di tanah yang gembur dan banyak cahaya matahari.

Daun sirih dipercayai mengandungi komponen aktif yang amat berguna dalam bidang perubatan. Contohnya ia mengandungi bahan antiseptik semulajadi yang berupaya membunuh kuman kulat dan ragi yang menyebabkan kudis, panau, gatal dan jerawat pada kulit. Ia juga ada bahan yang boleh menghentikan perdarahan. Hidung berdarah boleh dirawat dengan hanya menyumbatkan lubang hidung dengan daun sirih yang digulung.

Air rebusan daun sirih yang diminum pula mengubati pelbagai penyakit berkaitan sistem pernafasan seperti batuk, bronchitis, asma dan mencairkan kahak. Air ini juga boleh merawat masaalah nafas berbau dan menghilangkan bau badan. Wanita menggunakan air rebusan ini untuk melancarkan peredaran haid dan mengubati penyakit keputihan dan mandian bagi ibu yang baru melahirkan anak.

Monday, December 27, 2010

Catasetum n Cycnoches

Pokok orkid Catasetum
Catasetum Jumbo Pearl
Catasetum Black Knight
Catasetum pilaetum
Cycnoches chlorochilon

Gambar pokok orkid dari pondok orkidku, gambar bunga diambil semasa Agrofest 2010. Catasetum adalah satu genus dalam famili orkid dengan pertumbuhan cara sympodial. Nama singkatannya Ctsm dan berasal dari Amerika tengah dan selatan terutamanya Brazil. Pseudobulbnya berbentuk cerut dengan daun-daun terdapat pada hujung bahagian atas manakala tangkai bunga keluar dari bahagian pangkal.

Catasetum akan mengeluarkan bunga jantan atau betina mengikut keadaan pertumbuhan pokok. Bunga jantan berwarna lebih cerah dan cantik manakala bunga betina berwarna hijau-kekuningan. Bunga jantan dan betina keluar dari pseudobulb yang berlainan.

Cycnoches adalah orkid yang hampir serupa dengan Catasetum. Pseudobulbnya boleh mencapai setinggi 8 hingga 20 inci. Tangkai bunga orkid Cycnoches keluar dari pucuk iaitu di bahagian atas
pseudobulb. Satu tangkai bunga ada satu kuntum hingga 30 kuntum bunga bergantung kepada jenis. Orkid ini lebih sukar didapati di negara kita.

Setakat ini aku hanya ada dua jenis Catasetum. Bunga orkid Catesetum tebal tetapi lembut dan tahan kurang dari dua minggu selepas mekar. Ia cepat layu dan rosak jika terkena air hujan. Anak pokok orkid Catasetum mudah didapati di sini dan kekadang dijual dengan harga RM 5 sahaja.

Sunday, December 26, 2010

The Gulistan of Saadi

Adenium warna maroon
Adenium warna pink
Kembang kertas
Bunga pink
Verbena
Poem

If of thy mortal goods thou art bereft,
And of thy meager store,
Two loaves alone to thee are left,

Sell one, and with the dole
Buy hyacinths to feed thy soul.
(The Gulistan of Saadi)

Gambar di ambil di beberapa tempat dan dua bunga Adenium atau desert rose tu memang cantik. Satu berwarna maroon dan yang berwarna pink kelopaknya berlapis. Pokok kecil setiap satu harganya RM 35 tapi ia tahan bertahun-tahun. Menjaganya macam jaga pokok kaktus, mesti kurang disiram dan dibaja......tak boleh ikut suka hati seperti yang kita selalu amalkan. Pemurah dalam banyak hal. Dan tiga jenis bunga lagi tu harganya hanya RM 6 sepokok, cantik tak sampai setahun. Boleh dibeli di mana-mana nurseri; hati berdetik dan berbisik........esay come easy go.

Kalau betul aku terjemahkan puisi di atas, sekiranya ada dua biji roti juallah sebuku untuk beli bunga yang menyenangkan hati. Begini agaknya orang seni, tidak memikirkan sangat tentang makanan fizikal. Yang penting dapat berkarya dan ada orang yang memberi perhatian pada karyanya. Keadaan yang payah untuk dijangkau akal orang biasa. Nenek moyangku ada pula pesannya, gendang gendut tali kecapi kenyang perut suka hati. PJK kerana perut juga yang didahulukan.

Kekadang aku ni bila tengok orkid
yang tercantik dan termahal ada hajat hendak membeli. Setakat ini hati masih boleh bersabar kerana masih ditahap suka tapi tidak sangat cinta aka cinta sipi-sipi saja. Cara yang paling selamat aku lakukan selalunya pergi ke nurseri untuk tengok-tengok pokok dulu, balik dan fikir. Kalau datang semula pokok tu sudah tidak ada lagi maknanya tak ada rezekilah tu.

Saturday, December 25, 2010

Pokok Kaki Angsa

Disokong tiang kayu
Daunnya pecah lima
Buah dari batang

Buah masih muda
Buahnya yang masak

Semua gambar diambil di belakang rumah mak. Pokok ni memang dari dulu-dulu sudah di tanam oleh orang kampung sebagai penyeri di halaman. Ia mudah tumbuh dan kekadang kelihatan melekap di batang getah, pokok kelapa sawit dan pokok-pokok lain yang tumbuh dalam kebun dan belukar. Nama saintifik pokok ini ialah Syngonium podophyllum atau goose foot plant (kaki angsa) dan arrow-head vine sempena daunnya yang unik.

Mulanya daun muda berbentuk kepala panah dan lama kelamaan ia berubah. Apabila matang daun terpecah kepada lima bahagian dan kelihatan seperti tapak kaki angsa. Batang pokok mengeluarkan akar yang melekat pada kayu penyokong agar pokok terus meninggi untuk dapatkan cahaya matahari.

Pokok di atas ditanam oleh arwah abah dan sudah setinggi 8 kaki. Pucuk pokok ini pun sudah ketahap maksima di atas kayu penyokong. Tuannya sudah pergi, pokok jadi rimbun dan semak kerana kurang jagaan. Aku perasan banyak buahnya ketika hendak mengambil daun pandan. Bila teringat cucu-cucu mak yang suka bermain masak-masak di belakang rumah kalau balik kampung; hati berdetik dan berbisik.....eloklah pokok ni ditebang, buahnya seakan pisang emas dan merah saga, nampak sedap entah-entah beracun.

Thursday, December 23, 2010

Cinta dan Kasih Sayang

Rasulullah saw bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau perbuatan baik, meninggalkan kemungkaran dan cinta kepada orang miskin, dan semoga Engkau mengampuni dan menyayangi aku. Dan aku memohon untuk mencintaiMu, mencintai amal yang mendekatkan aku kepadaMu. (HR Ahmad).

Umar ra berkata: Ada serombongan orang tawanan datang kepada Nabi, salah seorang adalah seorang wanita. Wanita itu tiba-tiba memerah susunya sambil berjalan. Bila ia terjumpa dengan seorang bayi di antara tawanan maka dia ambil lalu disusukan ia.

Melihat perkara itu Nabi bersabda: Apakah menurut kamu wanita ini sanggup melemparkan anaknya ke dalam api?. Kami menjawab: Tidak, dia tidak akan rela untuk melemparkannya. Maka baginda pun menjawab: Allah lebih Penyayang kepada para hambaNya daripada wanita ini kepada anaknya. (HR Bukhari).

Menayang Cattleya

Pertama kali 3 kuntum
Ke dua 4 kuntum
Kuning dan merah
Cattleya sangat cantik
Bunga, close-up

Semua gambar diambil di pondok orkidku. Beginilah rupa orkid Cattleya, orkid yang sejak dahulu telah menarik ramai pencinta orkid. Orkid dari genus Cattleya ini telah dikacuk dengan orkid genus lain untuk mendaptkan orkid yang lebih cantik dan unik. Tidak dinafikan lagi bahawa bunga orkid Cattleya walaupun jangka hayatnya tidak lebih dari sepuluh hari tapi ia telah ditabalkan sebagai ratu orkid. Dan kebanyakan bunganya mempunyai bau yang sangat harum.

Tidak semena-mena pokok-pokok orkid Cattleyaku berbunga sakan dalam sebulan dua ni. Mungkinkah kerana cuaca lebih sejuk kerana setiap hari hujan turun? Ada juga terfikir mungkin kerana kesan kerajinanku yang bermusim membaja lebih kerap tiga empat bulan lepas? Apapun aku bersyukur sangat selepas satu, satu lagi pokok Cattleyaku berbunga. Tak miss ambil gambar setiap pokok kerana mana tau tahun hadapan mereka berpakat mogok atau nak pencen dari menayangkan kembang.

Seronok bila tengok pokok yang tak seberapa ni boleh mengeluarkan banyak bunga lawa. Masyallah. .....hati berdetik dan berbisik....tak rugi tanam Cattleya walaupun mula-mula cuba berorkid terasa sangat susah. Tak ingat pulak dari mana asal pokok ni, yang pasti dibeli. Hingga sekarang cuma ada empat pseudobulb dalam pasu kecil itu dan umur rumpunnya pasti kurang dari dua tahun. Kira sangat muda jika dibandingkan dengan usia tuannya.

Wednesday, December 22, 2010

Pokok Nenas Widad

Ditanam di luar pagar
Pokok baru
Putik berwarna merah
Nenas muda
Semakin besar

Empat gambar di atas di ambil di luar rumah Widad di Bagan Serai. Keluarga Widad tinggal di kampung tersusun dan tapak rumahnya terletak di tanah lot berukuran 60' x 90'. Jadi di antara rumahnya dengan pagar hanya ada sedikit kawasan yang tinggal. Tapi nasib baik di luar pagar berhampiran jalan kecil masih ada tempat kosong yang boleh dimanfaatkan.

Pertama kali singgah menghantar Kha ke mari aku suka tengok pokok nenas yang ditanam di tepi longkang dan pagarnya. Ringan mulutku memuji tuan rumah tentang kesuburan pokok nenas dan rajinnya dia berkebun. Mak Widad kata datanglah lagi kalau nak merasa buah nenas ni dan ambillah anak pokok sekali. Cakap aje bila sudah sediakan tempat untuk menanam. Hati berdetik dan berbisik ........nak tanam kat mana ye? Mungkin kat bawah pondok orkid...

Akhirnya dapat juga aku merasa nenas dari ruamh Widad, boleh tahan manis tapi tak semanis nenas margarita yang aku makan di Sarawak. Besar juga buahnya tapi tak sebesar buah nenas yang nenek tanam semasa aku tinggal di kampung dulu. Sekali singgah di Air Hitam Johor ada ternampak nenas super besar ni dijual di gerai bersama keladi minyak, ubi kayu, pelbagai jenis kerepek, kuih kering dan pisang salai. Tak beli kerana nak habiskan bukan mudah, sebaiknya bahagian pangkal dimakan mentah, bahagian tengah di buat jem, acar serta jelatah dan hujung dibuat pacri atau masak dengan ikan kering masin. Seminggu makan nenas.

Tuesday, December 21, 2010

Pokok Kapal Terbang

Mudah ditemui
Cepat membiak
Hidup subur
Pucuk kemerahan

Gambar diambil di Kampung Kem Balak Sungai Siput.
Pokok ini biasanya tumbuh di kawasan lapang seperti di ladang, tanah bekas lombong dan tepi jalan. Nama saintifiknya ialah Elephontopus odoratum kerana daunnya berbau tengik apabila dihancurkan. Ia juga dikenali sebagai pokok busuk-busuk, daun melalang, pokok Jepun, pokok manialam dan pokok payung terjun. Walaupun ia tumbuh rendah tapi di tanah yang lembab ia boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter dan sangat rimbun.

Daunnya berwarna hijau muda, bergerigi dan berbentuk seperti sayap kapal terbang. Pengeluaran bunganya bermusim dengan bunga yang kecil berwarna putih dan ringan seperti kapas. Daun pokok kapal terbang banyak digunkan untuk merawat luka. Caranya dengan melumatkan daun dengan menggosoknya di antara dua tapak tangan. Kemudian tampalkan pes pada luka untuk menghalang darah keluar. Pes ini juga boleh disapu pada betis untuk menghilangkan miang kerana rumput dan lalang.

Daun pokok kapal terbang juga dibungkus bersama buah-buahan mentah kerana ia mempercepatkan proses pemeraman buah agar cepat masak.

Monday, December 20, 2010

So Small A Flower

Kembang kertas
Rumput tahi babi
Seperti bunga alif-alif
Bunga putihBunga kuning

We Should Not Mind
So Small A Flower

We should not mind so small a flower
Except it quiet bring
Our little garden that we lost
Back to the lawn again.

So spicy her carnations red
So drunken reel her bees
So silver steal a hundred flutes
From out a hundred trees.

That who sees this little flower
By faith may clear behold
The bobolinks around the thorns
And dandelions gold.
(E Dickinson)

Gambar diambil di nursery bunga. Bunga kecil bunga besar, bunga busuk bunga wangi, semuanya ada keindahan dan kegunaannya yang tersendiri. Aku hairan melihat Kak Leha menanam pokok bunga Euphorbia splendens atau crown of thorns yang penuh duri di batangnya dalam pasu-pasu di sekeliling rumah. Dia kata baguslah, susah sikit orang hendak rapat dengan dinding rumah papan ni. Dan yang paling penting hendak halau hantu tambahnya sambil bergurau.

Jangan sangka tumbuhan rendah dan berbunga kecil ni orang tak nampak dan peduli. Macam orang, ada yang kecil dan rendah tapi cukup berkuasa contohnya disatu masa dulu Napoleon Bonaparte dan sekarang ni Ahmadenijad. Ada yang berkata bahawa orang yang bertubuh kecil ni agresif dan lebih bijaksana. Satu kelebihan yang dimiliki berbanding dengan orang yang tinggi dan bertubuh sasa. Sebenarnya tak semuanya begitu kerana yang lonjong besar pun ramai yang pandai.

Apapun aku suka bunga bewarna kuning ni, walau pun tumbuh melata dan rapat ke tanah tapi masih lagi boleh menarik perhatian. Hati berdetik dan berbisik....sekurang-kurangnya ditanam untuk menjadi tutup bumi serta menghalang hakisan, menyerikan taman dan juga menyerlahkan tanaman tinggi yang tidak berbunga langsung.

Merasa Diri Berharga

1. Barangsiapa yang merasakan bahawa dirinya berharga maka dia tidak bertawadu. (As Syibli)

2. Aku hairan pada orang yang tidak menuntut ilmu, bagaimana dia akan mengangkat dirinya kepada kemuliaan. (Ibnul Mubarak)

3. Sesiapa yang mempunyai sesuatu yang lebih disayangi dan dicintainya dari Allah swt maka ini menandakan hatinya sedang sakit. (Imam Al Ghazali)

4. Berangan-angan itu memutuskan tiap-tiap kebaikan, tamak itu pencegah dari tiap-tiap yang hak. Sabar itu membawa kepada kemenangan dan nafsu itu mengajak kepada kejahatan. (Yahya bin Muaz Ar Razi)

Saturday, December 18, 2010

Merahnya Mak Ngah

Poinsettia
Daun merah menyala
Berbunga di hujung
Close up bunga
Close up daun

Gambar diambil di nurseri bunga. Tak ada niat pun nak promote pokok yang jadi simbol hari perayaan golongan tertentu. Cuma hati berdetik dan berbisik teringat iklan Amanah Saham Nasional ....merahnya mak ngah. Nama saintifiknya pokok ini ialah Euphorbia pulcherrina atau dikenali sebagai Poinsettia. Daun berwarna di hujung dahan yang menjadi penarik pada pokok ini ada yang berwarna putih, pink atau merah. Pokok membiak dari keratan batang.

Dulu-dulu ia ditanam di halaman rumah kerana pokoknya sederhana besar dan rendang. Tetapi tidaklah sampai sebesar pokok manggis atau nangka. Oh ya....saiz pokok ni sebesar pokok ubi yang digelar ubi pahit. Pokok ubi ini bercabang-cabang, dan mempunyai buah kecil berwarna hijau di hujung rantingnya. Ia ditanam bukan untuk mendapatkan ubinya tapi sebagai teduhan. Selalunya ada bangku kayu didirikan di bawah pokok ubi ini.

Kini bahan kimia telah digunakan untuk mengawal pertumbuhan pokok poinsettia agar tidak terlalu tinggi, jadi lebih rendang dan bercabang-cabang. Daun berwarna ni pun keluar sekata dan boleh tahan selama 2 hingga 4 bulan lamanya. Aku fobia tanam pokok yang berdaun lebar macam poinsettia, kemboja dan cempaka kerana daun yang gugur kena pungut untuk elakkan bersepah. Tentnag pokok berbunga merah ni mungkin orang kita kurang gemar padanya kerana macam ada kaitan dengan jingle bells...jingle bells.

Manusia dan Penciptaannya

Manusia diciptakan dan dikurniakan anggota tubuh yang elok dan seimbang di mana semua pancaindera dan anggota tubuhnya terletak di tempat yang paling sesuai. Dengan keadaan itu manusia berfungsi dengan sebaiknya iaitu dari sekecil-kecil perbuatan hingga kepada pekerjaan yang memerlukan kekuatan. Manusia kelihatan cantik dan indah, tampan dan segak bertepatan dengan tugas yang telah dipikulkan oleh Allah swt sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Keistimewaan bentuk tubuh dan badan ini merupakan kurnia Allah swt yang merupakan nikmat kepada manusia. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manuisa dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (A Tiin:4). Kurniaan ini mestilah digunakan dengan sebaiknya kerana ia tidak kekal, rapuh dan telah ditetapkan akan mengalami kemerosotan oleh Allah swt.

Namun begitu pelbagai keistimewaan lain telah dikurniakan Allah swt agar manuisa boleh menundukkan pelbagai jenis makhluk dan alam sekelilingnya untuk hidup. Dengan kurniaan akal manusia mencipta pelbagai macam peralatan untuk memudahkan kerjanya. Allah swt juga membekalkan tumbuh-tumbuhan, haiwan, tanah dan cuaca yang sesuai untuk manusia memanfaatkannya.

Semua anugerah tersebut merupakan bentuk pemuliaan Allah swt kepada manusia. Akan tetapi kurnia tersebut hendaklah digunakan dalam rangka membina kehidupan serta untuk mengabadi dan beribadah kepadanya. Jika nikmat tidak digunakan mengikut peraturanNya maka Allah swt akan menghinakan manusia tersebut. Mereka disamakan darjatnya dengan haiwan bahkan lebih rendah lagi.

What Man May Learn

Menunggu ombak datang
Ombak melanda batu
Batu di tutup air
Ombak berlalu
Hanya buih yang tinggal
Menunggu lagi

What Man May Learn
What Man May Do


What man may learn, what man may do

Of right or wrong of false or true

While, skipper-like, his course he steers.

Through nine and twenty mingled years

Half misconceived and half forgot
So much I know and practice not.

Old are the words of wisdom, old
The counsels of the wise and bold

To close the ears, to check the tongue.


To keep the pining spirit young
To act the rights, to say the true
And to be kind what 'er you do.

Thus we across the modern stage

Follow the wise of every age
And, as oaks grow and river run.

Unchanged in the unchanged sun
So the eternal manner of man
Goes forth on the eternal plan.
(R L Stevenson)

Gambar diambil di hujung jeti di Tanjung Balau, dekat Desaru. Pagi itu aku ambil kesempatan berjalan di jeti dengan tujuan hendak ambil gambar laut. Jeti konkrit lebar semeter, panjang menghala ke laut kelihatan lengang. Mungkin ia hanya di gunakan untuk boat membawa penumpang yang ingin bersiar-siar. Ketika itu ada seorang pemuda sedang memancing dengan penuh sabar, katanya petang semalam ombak lebih kuat dari pagi ini. Sekarang ni musim angin timur laut sedang bertiup.

Di hujung jeti berdekatan dengan tangga terdapat sebaris batu hitam. Ghalit aku memerhati ombak datang berulang-ulang memukul batu sambil mengeluarkan bunyi dan buih. Mesmerizing; lalu hati berdetik dan berbisik.....mungkin dalam masa sepuluh tahun tiada lagi batu hitam ini kerana sudah habis terhakis oleh air.

Dan yang dapat dipelajari oleh kita dari ombak adalah
erti usaha yang berterusan dan tidak mengenal jemu pasti membuahkan kejayaan. Atau yang terlalu setia menanti lama-kelamaan ia akan memakan diri?