Wednesday, April 25, 2012

Asparagus aka Rumput Bambu

Asparagus
cochinchinensis
Daun halus dan tajam
Senang tumbuh
Bunga berwarna putih
Biji berwarna merah

Pokok asparagus tumbuh dalam perdu yang rimbun. Ada dua jenis asparagus yang paling terkenal iatu pertama A officinalis yang berasal dari Eropah dan Asia Barat. Ia ditanam secara komersial untuk sayuran musim panas dan ditinkan untuk dieksport. A chochinchinensis pula berasal dari China dan ubinya digunakan sebagai ubat tradisional. Pada asalnya pokok asparagus mudah ditemui di hutan-hutan terbuka, semak belukar dan bukit berbatu. Namun pokok asparagus dijadikan tanaman hiasan dan boleh di dapati di kebanyakan nursery bunga di negara kita. Walaupun daun dan ubi asparagus boleh dibuat ubat tapi buahnya yang kecil dan berwarna merah adalah beracun.Tabib di zaman kuno menganggap tumbuhan ini ada nilai perubatan dan digunakan sebagai bahan pembersih dan perawat. 

Orang-orang Mesir, Greek dan Eropah gemar memakan tunas muda yang dimasak. Kajian kini mendapati bahawa asparagus kaya dengan pelbagai vitamin, folate dan potasium serta mengandungi antioksidan yang tinggi. Ia didapati boleh mencegah penyakit batuk termasuk batuk darah, kencing manis, sembelit, demam dan gelisah dan beberapa jenis barah. Ia juga digunakan sebagai diuretik, mengawal darah tinggi dan menghilangkan gout kerana lebihan asid urik dalam badan. Air rebusan tunas asparagus digunakan untuk mencuci muka bagi menghilangkan jeragat.

Orang-orang China menggunakan pokok asparagus sebagai herba untuk kesihatan dengan cara merebus ubi asparagus dan minum airnya atau
dikeringkan untuk dijadikan pil. Khasiat lain tumbuhan ini ialah untuk membersihkan paru-paru, menurunkan panas badan dan merangsang cairan tubuh.

Terbaik Dalam Islam

1. Abdullah bin Amru bin Al Ash ra berkata: Seorang bertanya kepada Nabi saw: Apakah yang terbaik dalam Islam? Jawab Nabi: Memberi makanan dan memberi salam terhadap orang yang kau kenal atau tidak kenal. (HR Bukhari, Muslim)

2. Abu Imarah (Al Barra') bin Azib ra berkata: Rasulullah menyuruh kami dengan tujuh perkara: Menziarahi orang sakit, menghantarkan jenazah, mendoakan orang yang bersin yang membaca Alhamdulillah, menolong orang yang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarkan salam dan melaksanakan sumpah. (HR Bukhari, Muslim)

3. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman hingga berkasih sayang kepada sesamamu. Sukakah aku tunjukkan sesuatu jika kamu kerjakan timbul kasih sayang di antara kamu? Sebarkanlah salam di antara kamu. (HR Muslim)

Saturday, April 14, 2012

Rezeki Lepas Sedekah

Pokok rambutan
dekat pondok orkid

Di belakang dapur
Sudah masak
Kait dan kumpul
Pilih dan ikat
Nak rambutan gading?
2 kg RM 3.00

Dulu pokok rambutan ini ditanam untuk tujuan panjat memanjat sebab bila duduk di pinggir bandar ramai kanak-kanak yang tak reti jadi Tarzan. Ada tiga setengah pokok semuanya, satu rambutan gading, satu rambutan merah dan satu lagi kombinasi dua jenis rambutan merah. Semuanya ditanam oleh arwah Abah. Yang pokok satu setengah tu ada ceritanya sendiri. Arwah Abah pada mulanya menanam pokok rambutan jenis gula batu tapi pokok tak berapa subur. Kemudian dia beli sepokok rambutan nama anak sekolah dan menanamnya rapat dengan pokok pertama. Dia mengikat kedua pokok dengan seutas dawai. Kebetulan kedua-dua pokok tersebut hidup dan membesar. Dua pokok yang menjadi satu ini mempunyai dua jenis buah yang sedikit berbeza dalam bentuk, warna dan rasa.

Bila musim rambutan di bulan Ramadhan kanak-kanak singgah memetik selepas tarawih. Cukup bising macam sekumpulan keluang makan buah, ada yang memanjat, ada yang bergayut dan ada yang menarik dahan. Sudah jadi kebiasaan setiap musim rambutan pokok kami berbuah lebat. Cukup baja dan tetap disiram jika lama tidak hujan. Kami akan mengait rambutan hingga dapat lima atau enam bakul besar. Mengisi buah ke dalam beg plastik dan mengagihkan pada penduduk kampung, sedekah ke surau dan juga kawan-kawan di ofis. Siapapun yang tertinjau-tinjau memandang buah yang merah di pokok pasti dipelawa makan kerana buahnya memang longkah dan manis.

Selepas dua tahun pokok merajuk tak berbuah (lupa membaja kerana awah Abah yang selalu mengingatkan sudah tiada) tapi tahun ni buahnya lebat pulak. Sedekah sudah dan hadiah pun sudah jadi buat pertama kali kami kait dan ikat. Buat 10-12 ikat sehari dan tinggalkan di kedai makan seorang kawan. Laris dan bila dicongak setelah beberapa hari hasilnya hampir RM 200. Lepas harga beli tali, beg plastik dan membayar RM 50 untuk pangkas dahan rambutan yang terkena wayar telefon dan letrik. Hati berdetik dan berbisik...........inilah buah tangan seorang ayah yang kini tetap jadi kenangan dan membawa pahala yang berpanjangan. Amin

Berladang Di Kehidupan Dunia

Manusia yang memahami bahawa kehidupan di dunia adalah sementara akan menjadikan semua nikmat hidup yang dianugerahkan oleh Allah swt sebagai bekal untuk akhirat. Mendapat segala kesenangan dunia tidak dijadikan sebagai matlamat tertinggi atau utama dalam kehidupan akan tetapi sebagai modal untuk menuju ke tampat yang lebih baik dan abadi.

Mereka orang yang memilih dan mengikuti cara hidup yang paling baik dan selamat seperti firman Allah swt yang bermaksud, ".....sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hambaKu, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang berakal sempurna." Az Zumar: 17-18.

Umpama hidup seorang perantau yang sangat rindukan kampung halamanya maka pada suatu hari ia pasti akan pulang ke tempat asal dengan membawa semua hasil titik peluhnya. Untuk memperoleh hasil yang banyak sudah tentu setiap detik waktu yang sangat berharga dalam hidup dimanfaatkan untuk menanam amal di ladang dunia. Ia sedar bahawa ajal datang tanpa amaran dan yang mengiringinya nanti hanya amalan semasa hidup. Oleh itu orang yang terbaik amalnya di dunia akan mendapat balasan yang berganda dengan izin Allah swt di akhirat kelak.

Monday, April 9, 2012

Hajat Nak Bergarden

Garden MARDI
Ada petak tanaman
Ada pokok untuk
lanskap

Ada sistem hidroponik
Ada sistem fertigasi
Gardenku, ada pokok
bawang

Orang tua-tua pesan kalau ada pasu kosong ringankan tulang untuk isi tanah bakar agar boleh bercucuk tanam serba sedikit. Bila sudah ada tanaman sendiri selamatlah duit dan dapat makan tumbuhan yang bebas dari pencemaran bakteria jahat dan heavy metals. Serai enam batang hargnya sudah seringgit begitu juga harga kunyit dan lengkuas sebesar tiga ibu jari. Pendik kata yang boleh ditanam, tanamlah dan kalau tak habis diguna sendiri sedekahkan saja. Makan dapat dan pahala pun dapat.

Kekadang terfikir juga dari membelek orkid yang hanya dapat dipandang dan dipegang elok lagi tanam sayur dan ulaman. Biji benih dan anak pokok tidak mahal harganya dan kalau cerodek (cerdik dalam bahasa Cik Minah) boleh dapat free. Kebetulan minggu lepas ada expo tanaman di RTC (rural transformation centre) Gopeng yang nama asalnya TEMAN (terminal makanan negara). Hari pertama aku sudah ke sana konon untuk meninjau-ninjau. Tak banyak gerai orkid dan ambil kesempatan menjengah Edible Garden MARDI. Kalau banyak duit tentu aku nak garden macam ni, pendik kata macam-macam ada. Ada kaedah hidroponik dan fertigasi, pokok bunga dan pakis, tanaman ulam dan ubat.

Kalau di kampung ada tempat bakar daun kering di belakang atau tepi rumah. Dan tapak ini tanahnya berwarna hitam serta subur untuk tanaman. Jadi tanah untuk berkebun serba sedikit tak payah dibeli. Ligat otak berfikir macamana nak transformasi tanah sekangkang kera di belakang rumah sendiri. Elok juga kalau ada petak untuk tanaman, rumput mutiara penutup bumi, shed untuk simpan cangkul dan trowel, bekas besar untuk buat baja organik, sprayer dan...dan....Hati berdetik dan berbisik.........sabar, sabar jangan sibuk membeli peralatan berkebun dan biji benih, kemaskan dulu pasu-pasu orkid yang kosong dan isi dengan apa yang patut.

Let's Not Regret

1. At the end of your life, you will never regret not having passed one more test, not winning one more verdict, or not closing one more deal. You will regret time not spent with a husband/wife, a friend, a child or a parent. (B Bush)

2. The best time to make friends is before you need them. (E Barrymore)

3. Ask yourself this question: Will this matter a year from now? ((R Carlson)

4. It's not the situation......it's your reaction to the situation. (B Conklin)

5. The harder the conflict, the more glorious the triumph. (T Paine)

Monday, April 2, 2012

Orkid Kena Banyak Sabar

Pokok orkid melekap
di dahan

Ada tiga tangkai
Dekat setengah meter
panjang

Separa kembang
Warna putih bintik
purple
Bunga close up
Kantong biji benih

Setelah melihat orkid yang dipanggil ekor musang menang di Agrofest 2010 cepat aku teringat pokok yang di tanam sendiri di rumah. Bila agaknya nak berbunga kerana sudah dua tahun melekap di dahan belum nampak perubahan, daun sudah berbelas helai dan akar pun panjang berselirat. Setiap empat lima hari aku mengintai di celah daun kot-kot ada tanda nak keluar putik bunga. Hampa. Kemudian tanpa diduga putik bunga Rhynchostylis retusa yang dinanti-nantikan muncul juga akhirnya. Macam tak percaya pulak ada tiga spikes keluar sekali gus. Dua tiga minggu menunggu tangkai bunga memanjang hingga hampir setengah meter. Kuntum pun mengembang, kelopaknya cantik, berwarna putih bintik purple dan lips purple muda. Dah tu berbau harum pulak.

Rupanya orkid ekor musang ni bukan susah nak mencarinya di kawasan Gopeng. Kalau rajin masuk dusun terutama yang banyak pokok durian tua tinggi melangit adalah kelibat orkid ni. Di sini kebanyakan pokok duriannya sebesar pemeluk dan sudah dua tiga kali aku ternampak pokok orkid dengan bunga yang berwarna pink atau merah hati. Selalunya pokok orkid ini tidak tumbuh dalam rumpun yang besar. Pokok orkid ni tidak diganggu mungkin kerana ramai yang tidak tahu nilainya yang sebenar (mahal) ataupun susah untuk mengambil kerana jauh tinggi di hujung dahan.

Kantong-kantong biji benih seperti lidi mancis terbentuk sesudah semua bunga layu. Kantong ini membesar, matang dan mengandung berjuta-juta biji benih yang sangat halus seperti debu. Setelah spikes yang kering dibuang pokok ekor musangku kini nak berbunga kembali. Kalau tak silap ada dua spikes baru. Ada juga kesan positif setelah mula menyiram dan menyembur baja dua kali sebulan (walaupun dengan rasa berat). Hati berdetik dan berbisik........kalau malas tentu tak dapat apa dan ramuan penting selepas berusaha kenalah banyak-banyak sabar.

Cerminan Diri

Engkau diciptakan oleh Allah swt dengan berbekalkan kelalaikan, kefakiran, kelemahan dan memerlukan segala pertolongan. Semoga dengan teropong kelalaianmu kamu dapat memandang kepada kesempurnaanNya Yang Maha Suci, dengan ukuran kefakiranmu kamu dapat memandang kepada derjat kekayaan dan RahmatNya dan dengan neraca kelemahanmu kamu dapat memandang kepada kebesaran kekuasaan dan keagunganNya; dengan melalui pelbagai macam keperluanmu kamu dapat memandang keaneka-ragaman nikmat dan kebaikanNya. (Said Nursi)

Tidak ada kebaikan sama sekali dalam diri seorang hakim yang tidak dipandu oleh agamanya, orang yang berakal tetapi tidak pernah menggunakan akalnya, orang alim yang tidak diberi petunjuk oleh ilmunya dan orang yang kuat yang tidak dikuasai oleh sikap adilnya. (M. Al Siba'i).