Sunday, September 26, 2010

Ascocenda: Tunggu Warna Pink

Ascocenda oren
Ascocenda merah

Dua jenis Ascocenda dari pondok orkidku; warna oren dan merah. Pokok paling senang nak dijaga dan sangat rajin berbunga. Pertama, kalau beli cari pokok yang rendah yang baru dua-tiga kali berbunga (lihat bekas tangkai bunga).

Semakin rapat bekas tangkai bermakna pokok ni memang jenis kerap berbunga. Kedua, baja seminggu sekali secara semburan kerana pokok Ascocenda kadang-kadang boleh keluarkan 2 tangkai bunga dalam satu masa jika ianya subur.

Tak rugi beli kerana pokok antara RM 12-16 sepasu, ia tahan bertahun kerana pokok tidak tinggi (jarak antara daun rapat). Sedang jimat duit nak beli satu lagi pokok yang mengeluarkan bunga pink.

Saturday, September 25, 2010

Bahaya Ikut Membuta Tuli

Satu keadaan yang amat bebahaya bagi manusia ialah mengikut dengan membuta tuli akan pemimpin yang berkedudukan tinggi yang diberi kedudukan serta keistimewaan tanpa had.

Umumnya manusia akan menyerahkan pertimbangan dan penilaian atas sesuatu perkara kepada golongan ini. Sebaliknya para pemimpin tersebut telah berjaya memesongkan pengikut-pengikut mereka dari jalan Allah swt.

Berulangkali Al Quran memberi amaran terhadap sikap mengikut membuta tuli dan kehinaan dalam melakukannya. Allah swt memberi peringatan agar manusia berhati-hati kerana setiap perbuatan itu menjadi tanggungjawab masing-masing.
Tidak boleh sekali-kali menyalahkan orang lain setelah melakukannya.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan mereka berkata: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin kami dan pembesar-pembesar kami lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)." (Al Ahzab: 67).

Oleh itu jika tersalah dan mengikuti apa sahaja yang bukan diperintahkanNya maka ternyatalah sesat dalam kegelapan. Kecelakaan yang besar berupa seksaan yang pedih bakal menanti di akhirat kelak.

Aku Dan Kelemahanku

1. Orang yang zalim kepada dirinya ialah orang yang merendahkan dirinya kepada orang yang tidak memuliakannya, dan orang yang menyukai sesuatu benda yang tidak memberi manfaat kepadanya, begitu juga orang yang menerima sesuatu pujian dari orang lain yang tidak mengenalnya dengan secara sungguh-sungguh. (Imam Syafi'e).

2. Di antara tanda-tanda benar dalam ukhwah ialah menerima kritikan teman, menutupi aibnya dan memaafkan kesalahannya. (Imam Syafi'e).

3. Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tapi aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku, tetapi kalau aku menyeleweng maka betulkanlah aku! (Sayidina Abu Bakar ra)

All About Us

1. Many man thinks he is patient when, in reality he is indifferent. (B C Forbes).

2. The best way to appreciate a job is to imagine yourself without one. (O Wilde)

3. Reading a certain age, diverts the mind too much from its creative pursuits. Any man who reads too much and uses his own brain too little falls into lazy habits of thinking. (A Einstein).

4. If there were in the world today any large number of people who desired their own happiness more than they desired the unhappiness of others, we would have paradise in a few years. (B Russell)

Friday, September 24, 2010

Dunia Hanya Pinjaman

Sampagita


Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan rebahnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Ke ahirat juga akan sudahnya.

Habis hitam daun dan pohon,
Terkena angin asap jelaga;
Ajal maut di tangan Tuhan,
Masanya tiada dapat di duga.

Naik sampan perahu payang,
Pergi ke pulau di waktu pagi;
Tinggal intan tinggallah sayang
Mungkinkah kita bertemu lagi?

Jangan di cari inai yang merah,
Merah bukan kerana karat;
Kepada Allah kita berserah,
Memohon ampun dunia akhirat.

Amar Maaruf Nahi Mungkar

1. Rasulullah saw bersabda: Perumpamaan orang yang teguh menjalankan hukum Allah dan orang yang terjerumus di dalamnya bagaikan suatu kaum yang membahagi tempat dalam kapal, ada sebahagian di atas dan sebahagian di bawah. Manakala bahagian bawah jika memerlukan air mesti naik ke atas, tentunya ini mengganggu yang di bahagian atas.

Maka mereka berkata: Lebih baik kami bocorkan di bahagian kami ini, supaya tidak mengganggu orang-orang di atas. Maka jika yang demikian itu di biarkan oleh orang-orang di atas, pasti binasa semua isi kapal itu, tetapi jika fikiran itu dapat dicegah oleh orang-orang di atas maka selamatlah semua isi kapal itu. (HR Bukhari).

*******terjerumus: salah memahami atau menggunakannya. Contohnya salah menggunakan kebebasan bergerak dan berfikir hingga terjerumus pada suatu yang disangka untuk membela kepentingan sendiri tetapi akibat buruknya menimpa semua manusia.

2. Rasulullah saw bersabda: Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, mesti kamu menganjurkan kebaikan dan mencegah mungkar, atau jika tidak; pasti Allah akan menurunkan seksa padamu, kamudian kamu berdoa. maka tidak diterima ia dari kamu. (HR At Termizi).

Oncidium: My Dancing Lady

Dancing lady kuning
Dancing lady oren

Dua jenis orkid Oncidium atau dancing lady di pondok orkidku. Gambar atas: Oncidium berbunga kuning, pokok kecil dan pseudobulb cepat keluarkan bunga.

Pokoknya paling senang ditanam dan cepat membiak kerana boleh hidup atas sabut, melekat di pokok atau di atas arang dan bahan organik di dalam pasu.

Pokok ni jenis dwarf di mana bunga kurang dari 10 kuntum. Oncidium dwarfku namanya Oncidium nona, petal bunganya lebar berwarna kuning cerah dan nampak sangat kelakar seperti seorang darwish sedang menari.

Gambar bawah: Pokok oncidium jenis besar dengan tangkai bunga setinggi 0.5 meter dengan berpuluh kuntum bunga. Pokoknya sesuai ditanam di bawah netting dan tangkai bunga perlu diikat agar tidak patah kerana bunga yang berat ketika hujan.

Thursday, September 23, 2010

Menundukkan Hawa Nafsu

Hawa nafsu adalah salah satu musuh besar bagi setiap individu Muslim kerana ia selalu mengajak untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan. Dalam Al Quran Allah swt berfirman yang bermaksud, (Yusuf berkata) "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf: 53).

Manusia mempunyai nafsu yang tidak terbatas . Setelah dia mendapat apa yang dihajatinya dia ingin memperoleh banyak lagi dan ingin kepada yang lain atau orang lain jangan melebihinya. Dia lupa bahawa setiap perbuatannya dalam pemerhatian Allah swt dan setiap kejahatan yang dilakukan akan dibalas dengan balasan setimpal.

Nafsu yang tidak dididek dan dikawal akan menguasai diri seseorang hingga dia melupakan dan menderhakai Allah swt. Sebaliknya bagi orang yang berusaha mengawal nafsu dan membersihkan dirinya Allah swt menyebutkan dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (Al Ankabut: 69).

Sebagai mukmin yang yakin akan adanya Hari Pembalasan maka kita mesti berjuang mengawal hawa nafsu dan membuat persediaan untuk bertemu dengan Allah swt di akhirat kelak. Segala keadaan yang akan ditempuh telah dikhabarkan di dalam Al Quran dan diceritakan oleh Rasulullah saw. Hanya manusia yang nafsunya telah ditundukkan, suci dan tenteram akan mendapat ganjaran baik dan kemuliaan di sisiNya.

Nazar Apam Beras

 
 Crossandra
 Aka "Firecracker Flower"
 Suka lembab
Bunga mercun?
Penyeri halaman

Setelah dapat dua orang anak perempuan Abah bernazar kalau dapat anak lelaki nak hantar makanan pada orang kampung pada bulan Sya'ban tiga tahun berturut-turut. Walaupun nasi minyak dan ayam masak merah juadah paling istimewa bagi orang kampung tetapi Abah dan mak tidak mampu memberinya. Lagipun ada lebihkurang 30 keluarga yang tinggal di kampung kecil kami.

Oleh kerana hanya sebut makanan dan tidak specify jenisnya jadi keluargaku sepakat buat sesuatu yang murah dan sedap. Bahan yang diperlukan mesti mudah didapati dan keluarga terdekat serta jiran tetangga dapat membantu menyediakannnya. Bila kata sepakat telah dicapai, setiap petang tiga empat hari sebelum hari yang ditetapkan tiba mak dan nenek bersama jiran menumbuk beras untuk dijadikan tepung.

Pada masa yang sama nenek membuat tapai nasi iaitu bahan utama untuk menyediakan apam beras. Kerja membancuh adunan apam dilakukan pada waktu malam dengan campuran air gula melaka, tapai dan tepung beras di dalam tempayan besar. Pagi esoknya barulah apam dikukus dalam talam besar menggunakan kawah dan tungku api di halaman rumah. Ramai juga yang datang membantu kerana selain dari dapat makan apam mereka juga tumpang bersembang
Apam yang telah sejuk dipotong bentuk diamond dan dimasukkan ke dalam pinggan batu berbunga kangkung warna maroon-purple dan ditutup dengan daun pisang. Rumit juga membawanya kerana di zaman tersebut tidak ada bekas polystyrene dan beg plastik pun susah nak dapat. Abah mengayuh basikal dan pakcik duduk di belakang sambil menatang dulang berisi pinggan-pinggan apam dan menghantar ke setiap rumah jiran sekampung.

Merah Putih Anthurium

Anthurium merah
Anthurium merah
Yang merah dan putih
Anthurium putih
Apabila matang

Gambar anthurium merah diambil di nursery bunga dan yang putih di Seremban. Kalau tengok jambangan bunga yang mahal mesti ada anthurium mungkin kerana ia lambang kemewahan. Dari perspektif penjual bunga ia tumbuhan segar yang tahan lama, matching dengan pelbagai bunga dan mudah didapati. Ia digelar painter's palette kerana bentuk daun merah leper dengan stem di tengahnya seakan bekas cat pelukis. Aku senang ingat nama anthurium sebab perkataan 'hantu' ditambah 'ium' sahaja.

Walau tidak ada tanam sepokok pun di rumah tetapi setiap kali ke nursery bunga aku akan ambil gambarnya. Ketika di Seremban ternampak pula anthurium putih dengan stem yang berbentuk lain sedikit. Klik juga.


Ada satu lagi adik beradik si anthu ni, serupa daun dan palettenya tetapi stem di tengah-tengah curly dan slim. Namanya 'flamingo flower' sempena dengan bentuk paruh burung flamingo dan warna bulunya yang pink. Walaupun kedua-dua pokok ni banyak ditanam secara komersil di Cameron Highlands tetapi variety yang ada sekarang sudah sesuai dengan iklim tanah rendah.

Sutera, Emas dan Perak

1. Umar bin Al Khattab ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Kamu jangan memakai sutera. Maka siapa yang memakainya di dunia, tidak akan memakainya di akhirat. (HR Bukhari, Muslim)

2. Ali ra berkata: Aku telah melihat Rasulullah saw memegang sutera di tangan kanan dan emas di tangan kiri baginda, kemudain baginda bersabda: Kedua-duanya ini haram terhadap orang lelaki dari umatku. (HR Abu Dawud)

3. Abu Musa Al Asy'ary ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Telah diharamkan sutera dan emas pada orang lelaki dari umatku dan dihalalkan bagi orang perempuan mereka. (HR At Termizi)

4. Huzaifah ra berkata bahawa Nabi saw telah melarang kami minum dalam bekas dari emas dan perak atau makan di dalamnya. Dan juga memakai sutera yang halus atau tebal atau duduk di atasnya. (HR Bukhari)

Tuesday, September 21, 2010

Pokok Ekor Kucing

Pokok ekor kucing
Bunga ekor kucing, close-up

Gambar diambil di rumah Mak Andak. Pokok ini menarik kerana bunganya yang berkumpul dalam karangan yang berbentuk bulu, bulat panjang dan berjuntai seperti ekor kucing. Nama saintifiknya ialah Acalypha hispidia dan boleh tumbuh hingga 3 meter tinggi. Bunga pokok ini berwarna merah terang dan panjangnya lebih kurang 20-50 cm.

Daunnya berbentuk bujur telur, lebar dan berwarna hijau muda dan boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit yang ringan dan penyakit kusta. Caranya ialah daun ditumbuk lumat dan ditampalkan pada tempat yang berpenyakit. Akar pokok ini pula boleh direbus dan dipercayai berupaya menyembuhkan batuk berdarah.

Bunga ekor kucing boleh dikunyah bersama pinang, daun kari, ulam kecur untuk mengubati penyakit muntah darah. Ataupun bunga ini boleh juga dilumatkan bersama gula merah untuk tujuan yang sama.

Post Mortem Raya

Setiap tahun aku berazam untuk beraya secara sederhana lebih-lebih lagi selepas mendengar tazkirah setiap lepas tarawih. Diperingatkan bahawa malam raya pun sepatutnya buat ibadah macam malam-malam sebelumnya. Merasa sedih kerana bulan yang penuh barakah sudah pun berakhir. Tetapi bila ahli keluarga yang jauh dan dekat sudah berkumpul beramai-ramai serta membuat persiapan terakhir lalu semuanya terlupa.

Seronok m
enghidupkan tradisi menggantung langsir, memasak sakan juadah raya dan tv pun menyiarkan pelbagai rancangan hiburan yang hebat. Tambah pula sebelum raya gaji sebulan dua kali. Tapi selepas raya nanti mengeluh sebab gaji dua bulan sekali. Ketika nak raya berbelanja lebih dari biasa hingga banyak bajet yang burst. Memanglah raya setahun sekali tetapi setiap tahun buat kesilapan yang sama padahal perkara ini boleh dielakkan jika dirancang dengan betul.

Ramai orang kata sepatutnyaa kita berjimat di bulan puasa tapi ianya tinggal kata-kata dan pesanan. Dalam pada itu aku dengar dari kawan bahawa ada satu keluarga ni memang susah nak dicari. Rare spesis gamaknya. Segala persiapan raya yang bukan jenis makanan sudah disiapkan sebelum bulan Ramadhan. Jadi tidaklah terperangkap dengan tipu daya jualan murah, rush at the last hour atau bajet lari. Ramadhan dikhaskan untuk beribadah semata-mata. Juadah puasa dan hari raya dibuat secara ala kadar dengan penuh kesyukuran.

Aku tanya Ustaz yang baru balik dari Mesir macam mana beraya kat sana? Katanya di pagi raya meriah, selepas tu ziarah dan yagn lain macam biasa. Tidaklah sampai semacam kita ni, sakan beraya dan bergaya, buat yang sunat hingga tertinggal yang wajib. Sebenarnya mengira untung dan rugi bukan setakat pada duit ringgit sahaja. Tabung amalan semasa Ramadhan lebih perlu disemak apakah habis semuanya ketika beraya.

Teringat di kampung dulu selepas seminggu raya adalah orang datang ke rumah untuk memberi duit zakat fitrah untuk setiap pelajar sekolah. Sekarang tidak didengar lagi kerana budak sudah dapat duit raya yang kadang-kadang sampai beratus ringgit. Sebelum terlupa elok juga tengok kuih yang masih tersisa dalam balang-balang dan pelbagai jemputan ke majlis rumah terbuka yang ceritanya makan, makan, makan. Selamat Hari Raya sekali lagi dan maaf zahir batin.

Life Of A Man

1. The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort and convenience, but where he stands at times of challenge and controversy . (M L King Jr)

2. No birds soars too high, if he soars with his own wings. (W Blake)

3. Happiness resides not in possessions and not in gold, the feeling of happiness dwells in the soul. (Democritus)

4. The man of wisdom is never of two minds, the man of benevolence never worries, the man of courage is never afraid. (Confucius)

5. Life is either a daring adventure or nothing. (H Keller)

Orkid Doritaenopsis

Dorita merah-putih
Dorita merah hati
Dorita pink putih
Dorita spotted

Semua gambar diambil semasa Agrofest 2010. Orkid Doritaenopsis ini adalah hasil kacukan antara orkid Phalaenopsis dengan orkid Doritis dan singkatan namanya ditulis DTPS. Ianya semakin mendapat tempat di hati peminat orkid kerana saiznya lebih kecil dari orkid Phalenopsis dan boleh diletakkan di tempat sempit atau untuk menjimatkan ruang untuk tanaman lain.

Doritaenopsis bunganya cantik dan pokoknya pula mudah dijaga. Selalunya tangkai bunga ini bercabang-cabang dan bunganya mempunyai warna yang lebih menyerlah dari dua orkid asal. Selain itu bunga Doritaenopsis lebih tahan lama setelah kembang.

Penjagaanya seperti Phalaenopsis iaitu disiram hanya selepas medianya kering dan pokok diberi baja dua minggu sekali ketika pokok ini sedang berbunga. Pokok ini memerlukan cahaya tetapi tidak boleh diletakkan di bawah sinaran matahari yang terik. Untuk mengelakkan dari terkena penyakit kulat dan reput daun eloklah ia tidak didedahkan pada hujan.

Sunday, September 19, 2010

Namanya Buah Kerandang

Info tambahan post September 2010: Bolehkah Dimakan?

Buah kerandang

Post terdulu aku tak tahu nama pokok ni tapi bila terjah sana sini barulah dapat sedikit info mengenainya. Nama saintifik pokok kerandang ialah Carissa candas dan khasiatnya ada pada buah iaitu untuk orang yang ingin awet muda. Walaupun buahnya menarik tetapi berhati-hati kalau memetik kerana batang ada duri panjang dan tajam.

Buah yang sudah ranum berwarna ungu kuat namun masih mengeluarkan banyak getah ketika tangkainya dipatahkan. Buah ini boleh dimakan dengan ulam dan sayuran lain tetapi ianya mestilah direbus sehingga mendidih terlebih dahulu.
Tak beranilah suruh mencuba kerana aku pun tak pernah merasa seumur hidup.

Jutaan Bedak Sejuk

Kalau bau busuk serumah tak ada yang dapat mengalahkan bau bedak sejuk yang sedang diproses atau bau ikan pekasam yang sedang digoreng. Tetapi bau ini harum bagi orang yang sudah biasa dan sukakannya. Kedua-duanya aku ada terlibat kerana nenek suruh aku buat kerja, katanya bila besar nanti senang dan pandai.

Untuk buat bedak sejuk beras direndam sekurang-kurangnya enam bulan kerana lebih lama diperam lagi baik, lebih halus hasilnya. Botol-botol beras rendam ni disusun berderet di tepi dapur hingga tiba masa memproses isinya. Bau semerbak ni bermula dari sini. Beras dari tiga-empat botol dimasukkan ke dalam besin, dikacau, dibiarkan beberapa jam hingga mendak. Kemudian airnya dibuang dan proses mengganti air ini diulang sebanyak tiga kali.

Kemudian beras tadi dimasukkan dalam kain kasa, dipunjut dan gantung dari alang di tengah rumah. Airnya dibiarkan menitis dan ditadah dalam baldi. Maknanya semalaman kami terpaksa menghidu baunya. Esok pagi baru tepung ini ditambah sedikit air dan digentel kecil-kecil dan diletakkan di atas dulang beralas kain kasa. Bedak ni dijemur dengan daun pandan hiris selama dua-tiga hari hingga betul-betul kering.

Packing mudah saja, iaitu dimasukkan ke dalam botol air cap badak dengan campuran bunga kenanga, tanjung dan cempaka. Bedak sejuk ni diguna sendiri tetapi lebih banyak dijual pada orang kampung. Walaupun tak ada GMP logo namun ramai orang yang suka bedak sejuk nenek. Kalau dikira dari remeja hingga tua nenekku dah buat jutaan biji bedak sejuk......... cuma tidak jadi jutawan aje.

Serupa Tapi Tak Sama

Bunga purple
Daun lonjong
Bunga purple di nursery
Daun tirus

Dua gambar atas di ambil di rumahku, dua gambar bawah di Pusat Kesihatan Kecil Daerah. Aku ni susceptible pada bunga purple hingga yang di tepi pagar rumahku pun aku ambil gambarnya. Jadi bila aku ke pusat kesihatan tersebut hati berdetik dan berbisik; macam pernah tengok bunga ni. Lalu tidak lepas peluang merakam gambarnya untuk buat perbandingan.

Bila di rumah baru dapat perhati betul-betul beza di antara keduanya iaitu pada daun pokok ni. Pokok di tepi pagar di halaman rumahku berdaun lonjong dan pokok yang satu lagi berdaun tirus.
Bila buat reference di nursery bunga baru aku tahu yang pokok berdaun tirus ni banyak lagi suku sakatnya termasuk yang berbunga putih dan pink.

Teringat kata-kata orang tua-tua yang bersisik bukan semuanya ikan, yang berjanggut bukan semuanya kambing dan yang berdakwat bukan semuanya sotong. Seiras, seakan-akan, ala-ala, seperti, macam, sebagai contoh.......adalah cara untuk mengatakan bahawa ada persamaan tapi tetap tak sama.

Jangan mudah terpedaya.

Pokok Urang-Aring

Pokok urang-aringPokok banyak cabang
Dahan sudah dipetik

Semua gambar diambil di belakang rumahku. Nama saintifik tumbuhan ini ialah Eclipta alba dan ia mudah tumbuh membiak di tanah yang subur dan lapang. Pokoknya tumbuh tegak, mempunyai banyak cabang hingga kelihatan rimbun. Bunganya berwarna putih dan tengahnya berwarna kuning.

Daun pokok ini pula berwarna hijau, berbentuk memanjang dan apabila dilumatkan atau dipedapkan pada kulit ia boleh meninggalkan kesan hitam. Ia berguna untuk membuat tatoo dan menghitamkan rambut. Pokok ini sedikit kelat dan dapat menghentikan pendarahan misalnya muntah darah, batuk darah, kencing berdarah, berak berdarah dan luka dalam rahim.

Selain dibuat sayur pokok ini boleh menurunkan suhu panas badan, digunakan sebagai anti toxin, mengubati hepatitis dan menambah sel darah. Ia juga dipercayai dapat meningkatkan fungsi hati dan ginjal.

Keseluruhan pokok berguna sama ada ia segar atau setelah dikeringkan. Biasanya pokok segar ditumbuk lalu ditampal pada tempat yang sakit atau pada gusi untuk menghilangkan bengkak.. Ia juga boleh direbus dan airnya digunakan untuk mandian.

Sunday, September 5, 2010

Rebung Dan Buluh

Semua orang tahu buluh banyak gunanya pada manusia dan juga haiwan samaada dari rebung hingga pokok matang, dari akar hingga pada daun dan buahnya. Di Thailand kekurangan makanan di kalangan penduduk aslinya berkait rapat dengan pertumbuhan buluh. Kalau musim buluh berbuah ia menjadi makanan bagi tikus hingga populasinya tidak dapat dikawal hingga memakan tanaman petani. Nasib baik buluh di sana berbunga beberapa puluh tahun sekali.

Di negara ini ada sejenis buluh yang semakin ramai orang sama ada di kampung atau di bandar menanamnya. Namanya buluh madu, pokoknya lebih kecil dari buluh kuning, buluh lemang dan buluh betong. Batangnya slim, berdaun tirus lembut berwarna hijau muda dan nampak sangat graceful. Cantik jika ditanam di sudut halaman dan sebagai bonus rebungnya boleh dimakan.

Buluh madu asalnya dari utara iaitu dekat sempadan Siam. Di sana rebung segar biasanya dibuat sayur manis dengan bayam atau dikari bersama daging. Kekadang dijadikan acar. Rebung mesti direndam dalam air jika mahu tahan lebih lama sebelum dimasak. Satu perkara yang tak berapa bagus tentang rebung jeruk ni ialah baunya yang kuat (tak wangi) walaupun disimpan di dalam peti ais.

Di rumahku ada yang berminat nak tanam buluh madu tapi bukan senang nak dapat benihnya.
Di nursery bunga tak ada jadi bila ke rumah Mak Andak (darinya aku dapat orkid Scomborgia tibicinis), dia beri tiga batang perdu buluh madu. Di Agrofest 2010, harga anak buluh yang disemai dalam polibeg ialah antara RM 12 hingga RM 15. Aku pun congak-congak, kalau macam ni mahal bolehlah buat bisnis kalau betul caranya.

Sifat Mahmudah

Bunga kecil kuning
Oleander merah
Japanese rose

Sifat Mahmudah

Inilah sebahagian sifat mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki payah dijaga

Hanya yang punya yang bermujahadah.

Ikhlas itu jiwa yang murni

Rahsia Allah di dalam hati

Terlalu sembunyi tapi dapat dikesan

Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza.

Redha sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira

atau tiada apa terasa

kerana menerima anugerah Tuhannya.

Sifat sabar sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa

Tapi dapat ditahan perasaannya

Hanya bermain di dalam sahaja

Di luar tidak nampak terang nyata

(Hijjaz)


Semua gambar diambil di nursery bunga. Lagu ini adalah salah satu lagu yang paling aku suka dan tidak pernah jemu mendengarnya. Senikata dan melodinya sangat memberi kesan besar pada diri. Teringat bila seseorang diuji oleh Allah swt maka tindakannya yang paling tepat dalam menghadapinya ialah dengan bersikap sabar redha dan ikhlas.

Mudah bagi orang yang melihat menyuruh yang diuji agar bersabar, masa akan menyembuhkan luka atau semua akan jadi elok nanti. Dan ramai yang boleh sabar termasuk orang kafir yang kekadang kesabarannya lebih kuat dari orang Islam. Akan tetapi Allah swt telah menjanjikan kemenangan di dunia atau pun di akhirat walaupun dan keampunan bagi hambaNya yang sabar dan teguh dalam iman.

Jika bersabar sesuatu yang payah maka redha lagi tinggi darjah kesukarannya. Gembira mendapat ujian kerana ini merupakan peluang dapat dekat dengan Allah swt dan risau jika mendapat terlalu banyak nikmat ditakuti melalaikan. Mungkin seorang dalam seribu pun susah nak jumpa manusia seperti ini, bak kata orang sekarang 'rare species'.

Dalam drama dan kehidupan harian ramai juga yang sebut, saya ikhlas menolong, saya ikhlas memberi atau saya ikhlas mengambil. Tetapi kalau ada insan yang sudi berbakti apalah salahnya, bersangka baik sambil berwaspada kerana ada orang yang mulut umpama madu namun hati sepahit hempedu. Kalau ingin berbuat baik tak payah canang kuat-kuat, Allah swt Maha Mengetahui semua rahsia hati....

Friday, September 3, 2010

Rodriguezia secunda

Bahagian orkid eksotik
Rodriguezia secunda
Rodriguezia secunda

Gambar diambil semasa Agrofest 2010. Pokok orkid ini unik dan jarang dilihat di negara ini. Ia berasal dari Amerika Tengah, Colombia dan Brazil. Pseudobulbnya kecil dan darinya keluar 2-3 helai daun yang nipis tetapi keras. Akar udaranya halus dan tumbuh dengan tebal.

Walaupun pokoknya kecil namun ia berbunga lebat iaitu 20 hingga 30 kuntum pada satu tangkai. Bunganya tersusun dalam barisan yang sama dan tangkai bunganya melentur. Warna bunga ada yang merah jambu atau merah menyala.

Pokok orkid ini mudah membiak dan kombinasi antara kuantiti bunga yang banyak pada satu tangkai dan warnanya yang terang dapat menarik perhatian ramai pencinta orkid.

Pokok Dukung Anak

Pokok dukung anak
Close up

Gambar diambil di belakang rumahku. Pokok ini nama saintifiknya ialah Phyllanthus niruri dan selalunya tumbuh di tempat terbuka dan lembab. Ia tumbuh tegak, berbatang lembut dan tingginya hanya 50 sm sahaja. Daun pokok dukung anak kecil-kecil dan di bawah permukaan daun terdapat biji-biji kecil yang berwarna hijau muda.

Pokok ini banyak khasiatnya dan seluruh bahagian pokok digunakan untuk tujuan perubatan. Ia dipercayai boleh mengubati penyakit saluran kencing dan batu karang, juga melancrkan perjalanan darah, mencegah jangkitan virus penyakit hepatitis, mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengubati cirit birit.

Selain itu tumbuhan ini boleh mengawal gula dalam darah bagi orang yang ada penyakit kencing manis dan menghalang dari mendapat sakit hempedu. Untuk penyakit ini ambil seluruh pokok, basuh bersih dan campurkan ke dalam susu lembu atau susu masam. Minum susu ini setiap hari selama 45 hari berturut-turut.

Pokok ini juga amat mujarab untuk mengubati penyakit kuning pada kanak-kanak. Namun pengambilan tumbuhan ini secara berlebihan boleh melemahkan tenaga pada kaum lelaki.

Thursday, September 2, 2010

Kanak-kanak Di Estet

 Columnea
 Aka "Goldfish Plant"
 Jenis merah menyala
 Rajin berbunga
 Tinggal tangkainya

Walaupun datang ziarah pada hujung minggu ke estet getah di tepi sungai tempat abah dan mak mencari rezeki namun aku tetap ramai kawan. Ada beberapa tempat yang kami suka berkumpul dan salah satu ialah di bawah pokok angsana besar rendang dekat di hadapan dua deretan rumah estet. Di bawah pokok ini ada bangku kayu panjang tempat penduduk di situ berehat.

Ketika orang dewasa pergi menoreh getah dan anak kecil ditinggalkan di 'nursery ' kami memanjat pokok dan mengutip daun dijadikan duit main-main untuk jual beli barang. Puas di bawah pokok kami ke tepi parit main pondok-pondok dan masak-masak guna tempurung kelapa atau serpihan pinggan porcelin. 'Sayur mayur' yang nak dimasak pun senang nak dapat kerana tempat di tepi kawasan semak samun.

Ada pokok yang kami tidak dibenarkan menyentuhnya iaitu tumbuhan dengan dengan bunga kuning cantik, daunnya bersusun dua baris pada satu pelepah seperti daun kari. Orang kata itu pokok gelenggang dan daunnya kalau dilumatkan bersama belerang baik untuk ubat panau. Satu lagi pokok keladi liar yang banyak tumbuh di tempat berair. Getah tumbuhan ini membuatkan kulit jadi merah dan gatal.

Oleh kerana di tepi sungai dipenuhi lumpur dan selut jadi banyak pokok bakau yang tumbuh di situ. Buah pokok bakau ni berbentuk seperti pedang, berwarna coklat, selalunya tercacak di lumpur tebing sungai. Kalau terjumpa terapung dalam air kami akan mengambil dan menyimpannya. Dan di tepi sungai ini ada pokok berembang dan pokok pedada tetapi tak ada pula orang hendak mengambil buahnya.

Keluar Masuk R&R

Pokok berbunga merah
Kuntum-kuntum bunga
Bunga yang kembang
Kuntum dan bunga
Biji benih

Gambar diambil di R&R Bukit Merah. Hampir setiap dua minggu sekali aku lalu atau singgah di R&R ini dalam perjalanan ke Sungai Dua Pulau Pinang. Selalunya berhenti untuk solat asar dan minum secawan milo kosong.

Pokok ni ditanam berderet di hadapan R&R dekat temapt parkir kereta. Kelihatan menarik kerana dari jauh lagi sudah nampak bunganya yang berwarna merah di hujung dahan.
Bila dilihat betul-betul bunga yang mekar halus gebu seperti 'powder puff'' atau penyapu bedak. Permukaan tanah diturap tar di bawah pokok juga menjadi merah kerana bunga yang gugur.

Mula-mula ambil dua gambar saja tapi beberapa bulan berselang aku ambil lagi kerana kali ini pokok berbunga lebat. Kebetulan di dahan sedikit tinggi ada beberapa pods bijinya jadi aku dan K menarik-narik dahan ke bawah. Pekerja PROPEL pula menegur: Nak buat apa? Aku
memuji: Cantik pokok ni, minta sikit bijinya ye, sambil tangan pantas memetik pods biji.

Walau apapun aku yakin pokok ni saudara mara pokok-pokok 'rain tree' yang ancient dan famous dekat Taman Tasik Taiping dan termasuk dalam family pokok Leguminosae atau kekacang. Tetapi bunga pokok ni berwarna putih dan pink bukan merah terang seperti bunnga di R&R. Teringin pula nak semai benih dan tanam untuk hiasan di halaman rumah yang sekangkang kera.

Petals

Ros atau mawar
Japanese rose
Cosmos

Petals

Life is a stream
On which we strew
Petal by petal the flower of our heart
The end lost in dream

They float past our view.

We only watch their glad, early start

Freighted with hope

Crimsoned with joy.

We scatter the leaves of our opening rose

Their widening scope

Their distant employ

We never shall know

And the stream as it flows
Sweeps them away.

Each one is gone
Ever beyond into infinite ways
We alone stay
While years hurry on
The flower fared forth,
though the fragrance still stays.
(A Lowell)

Gambar ros diambil semasa Agrofest 2010, Japanese rose di ofis lama dan cosmos atau bunga pokok ulam raja di nursery bunga. Kira semuanya bunga favorit kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri.

Bunga ros paling unik ialah yang berwarna biru dan telah di'develop' di Jepun beberapa tahun yang lalu. Bunga ni adalah bunga sebenar, bukannya ros putih yang dikerat tangkainya lalu tangkai ini direndam ke dalam air berwarna. Kelopak bunga akan menyerap warna tersebut. Cara ini telah dilakukan pada bunga seperti kekwa (chrysenthemum) dan teluki (carnation).


Hidup tak ubah macam sekuntum bunga, bermula dari putik kecil lalu kembang dan kemudian layu. Ada yang menjadi buah dan tidak kurang yang kelopaknya layu dan relai dari tangkai jatuh berserakan di atas tanah. Hidup yang baik adalah bunga yang dapat memberi manfaat samada ketika mekar atau sudah tiada lagi namun meninggalkan buah yang harum dan manis.