Saturday, March 26, 2011

Sebusuk Daging Reput

Pokok Stapelia jenis tegak
Stapelia panjang berjuntai
Bunga di hujung
Warna maroon
Bunga, close up


Gambar diambil di rumah Mak Su dan Restoren SM. Stapelia adalah satu genus tumbuhan lembut atau succulent tanpa duri yang mengandungi 40 spesis yang kebanyakannya berasal dari Afrika Selatan. Perkara yang unik bagi pokok ini ialah bunganya berbentuk bintang, berbulu dan berbau seperti daging reput. Ada juga spesis yang berbunga besar sehingga 40sm atau 16 inci. Bau bunga yang busuk dapat menarik serangga seperti lalat dan langau untuk hinggap dan secara tidak langsung mendebungakannya. Ada stapelia yang ditanam untuk hiasan terutama yang bercabang di dalam bekas yang cetek. Sebaiknya gunakan tanah kompos agar air tidak bertakung untuk mengelakkan akar menjadi reput.

Di kampungku pokok ni sudah ditanam sejak dulu lagi kerana ia cepat tumbuh subur dan mudah dijaga. Tak perasan pun tentang bau bunganya kerana ia jarang berbunga dan warnnya pula tidak menyerlah. Kalau cakap dengan nenek bunga ini baunya macam daging busuk dia tentu menegur........tak ada benda lain yang kau nak cium? Nenek hanya suka bunga tanjung dan kenanga, cempaka atau melur. yang harum semerbak. Kalau hujan pagi dan cuti sekolah aku akan disuruh memungut bunga tanjung di halaman rumah Tok Mokri untuk simpan dengan bedak sejuk atau dikarang. Kalau ke kedai mesti singgah ke rumah Pak Abas untuk mengambil bunga cempaka. Pokok bunga kenanga pula tinggi sehingga bunganya perlu dikait dengan galah. Oleh kerana semua pokok ni besar-besar belaka jadi nenek moyang kata kalau nak mengambil bunganya berhati-hati dan carilah masa yang sesuai.

Sebenarnya kita ada pelbagai jenis bunga yang wangi tapi tak ada yang dikomersilkan untuk dibuat perfum. Sama ada tak ada teknologi atau bunga-bunga ini setakat diguna untuk mandi, campuran bunga rampai atau diletak di bawah bantal. Oleh kerana penggunaannya terhad di sini jadi tak adalah yang menanam pokoknya dengan banyak walaupun pati bunga sangat mahal di luar negara. Apapun kita lebih suka cerita hantu yang suka bunga harum dari buat duit hasil menjual bunga. Hati berdetik dan berbisik........ok juga kalau tanam bunga melur yang kuntumnya berharga RM40 sekilo tapi kena jaga jangan sampai orang lain tumpang beli buat sembahyang.

Motivation, Habit and Greed

1. Motivation is what get you started. Habit is what keeps you going. (J Ryun)

2. One of the reasons it has seemed so difficult for a person to change his habits, his personality, or his way of life, has been that therefore nearly all efforts at change have been directed to the circumference of the self, so to speak, rather than to the center.(M Maltz)

3. The optimist proclaims that we live in the best of all possible worlds, and the pessimist fears this is true. (J B Cabell)

4. He that is of the opinion money will do everything may well be suspected of doing everything for money. (B Franklin)

Monday, March 21, 2011

Semua Bunga Cantik

Bunga kecil -kecil
Jambak kecil
Bergetah jika terpatah
Warna pink pekat
Bunga, close up

Gambar diambil di R&R Ipoh Selatan menghala ke utara. Kawan kata, tunggu di sana dan kami akan sampai dalam masa 45 minit, saja nak jumpa. Ok...ok.....Mereka akan terus ke Sungai Dua dan buahtangan paling baik untuk diberikan ialah limau bali dan kacang menglembu. Nenek moyang dulu-dulu pesan, tak apa kita menunggu orang apalagi kalau nak menumpang. Aku dan Kha pun duduk dengan sabar di wakaf yang terletak dalam taman. Aku tak pernah komplain kalau tunggu di situ sebab
persekitarannya dijaga rapi, dekat dengan toilet dan yang penting ada pokok bunga. Di tepi tangga ada pokok philodendron, pokok bouginvilla dan pokok siantan berbunga kuning dan merah sebagai pagar.

Dah lama mengidam nak sepasu pokok philodendron kerana bentuk daunnya yang cantik dan mewah. Pokok ni elok diletak dalam rumah tapi kalau malas nak menjaga jangan harap dapat daun yang hijau berkilat. Mak kata kena buat macam Yen, seminggu sekali pokok mesti di angkat di luar untuk dapat udara dan cahaya matahari...dan jangan lupa lap daun dengan susu segar sekali sekala. Sampai gitu nakkan pokok lawa. Tak terbuat aku kerana rasa macam jadi satu beban dan tak sempat memanjang. Nak letak jambangan bunga plastik, silk, daun kering atau buluh dalam rumah takut mengumpul habuk. Sudahnya tak letak apa-apa dan hanya biarkan sudut dan dinding kosong asalkan bahagia.

Sebenarnya aku suka benar dengan cara
kawasan R&R diurus dan ditanam dengan pokok-pokok yang cantik. Kebanyakan tumbuhan biasa saja tapi bila sudah disusun dan dijaga rapi nampak keindahannya. Pokok bunga dalam gamabr di atas aku tak tahu namanya. Dan aku belum cerita lagi tumbuhan yang mereka ada di R&R seperti pokok lidah mak mertua, bunga tasbih, inai keling dan melor jawa. Hati berdetik dan berbisik........... berbaloi mampir kalau bukan setakat ke toilet aje....

Jika Hati Bersih Bersinar

1. Sesungguhnya hati seorang manusia apabila bersih dan bersinar akan dapat meraskan hakikat kelazatan iman kepada Allah swt. (H Al Banna)

2. Ilmu itu tidak akan bermanfaat kecuali dengan tiga perkara iaitu: Mengamalkan apa yang telah dihafal, mempelajari apa yang belum diketahui dan menyebarkan apa yang telah dipelajari. (M Al Siba'i)

3. Seorang mukmin semestinya melalui hidup ini seperti seorang pelajar yang sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan: Dia merasakan jangka masa hidup di dunia ini sangat.... pendik. (Abul A'la Al Maududi)

4. Kami adalah satu kaum yang tidak menyembah melainkan kepada Allah swt sahaja. (Ja'afar bin Abi Talib)

Friday, March 18, 2011

Coelogyne rochussenii

Coelogyne rochussenii
Tujuh tangkai
Keluar dari perdu
Cantik dan wangi
Disinar matahari pagi
Bunga, close up

Gambar diambil dari pondok orkidku. Tiga orang jiran mak yang minat habis dengan orkid ialah Mak Teh, Kak Nah dan Cik Sal. Tak kira orkid digantung atau ditanam berbaris di tanah semuanya mereka ada. Kebanyakan dibeli dari orang yang datang menjual dengan van. Aku yang sama gila orkid tak lepas peluang melihat koleksi mereka bila balik kampung; samaada untuk melihat pembelian terbaru atau bertanya tips penjagaannya. Selalunya mereka malu-malau nak memberitahu, kata mereka inilah cara orang kampung, orang di bandar tentu ada pokok yang lebih mahal dan baja yang elok. Apapun pokok mereka lebih subur dari pokok yang aku ada.

Setelah berbasa basi Mak Teh memberi aku serumpun kecil pokok orkid yang daunnya seakan anak pokok pinang. Katanya tangkai bunga yang keluar panjang berjurai, seperti karangan bunga dan wangi berbau lemon. Dua tahun lebih menjaga baru ada lima pseudobulb dan ia berbunga untuk kali pertama. Memang cantik dan kuntum yang kembang tahan dua minggu. Nama orkid ini ialah Coelogyne rochussenii dan asalnya dari di negara kita, Indonesia dan Filipina. Kekadang tangkai bunga boleh mencecah hingga 45 sentimeter dengan 40 kuntum bunga yang mekar serentak.

Bila aku balik ke kampung pada bulan Disember lepas aku mendengar khabar bahawa Mak Teh sudah kembali ke rahmatullah. Dari pintu hadapan rumah mak aku memandang ke arah rumah Mak Teh dan seolah terbayang dia terbongkok-bongkok merapikan tanamannya. Pondok orkidnya masih dijaga elok oleh suaminya yang juga gemar berkebun. Sejak dulu rumah mereka yang paling bersih sekelilngnya, meriah catnya dan tercantik susunan landskapnya. Pokok orkid pemberian Mak Teh semakin subur dan ini kali ke dua ia berbunga. Hati berdetik dan berbisik ......... semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan terimakasih atas pemberian itu.

Menuju Allah Dan RasulNya

Ramai orang yang terjerumus dalam perkara-perkara yang buruk dan melalaikan kerana tersilap memilih kawan. Oleh itu jangan merasa susah untuk meninggalkan manusia yang memalingkan kamu dari jalan Allah swt dan RasulNya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak menyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu. " (Ar Rum: 60).

Walaupun sedirian namun Allah swt tetap ada bersama dan memberikan pertolonganNya kerana Dia setiap detik mengawasi hambaNya. Dalam masa yang sama Dia menguji tentang keyakinan dan kesabaran manusia untuk tunduk patuh pada perintahNya dan memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang berjaya.


Pertolongan yang kedua yang akan diberikan oleh Allah swt ialah bila berjaya membebaskan diri dari perasaan tamak dan takut. Jika dua perkara ini telah dapat di atasi maka lebih mudahlah untuk menuju ke jalan Allah dan RasulNya.
Ibnu Qayyim memberikan cara bagaimana memohon pertolongan Allah swt untuk menjauhkan diri dari sifat tamak dan takut.

Beliau berkata: Ianya mestilah dengan tauhid, tawakkal serta ketetapan hati yang bulat kepada Allah swt. Namun begitu keyakinan tersebut mesti disertai kepecayaan penuh bahawa tidak ada kebaikan yang diterima atau kemudaratan yang menimpa kecuali dengan keizinanNya. Segala sesuatu itu milik Allah swt dan Dia Maha Berkuasa ke atas setiap makhlukNya.

Wednesday, March 16, 2011

Teringat Taniguchi-san dll

Kemboja kuning
Kemboja kuning
Kemboja pink/oren
Kemboja merah
Kemboja, close up
Kemboja yang gugur

Gambar diambil di nursery bunga dan di hadapan Restoren SM. Bunga kemboja memang cantik dan wangi tapi bila kawanku Lin teringin nak menanam sepokok untuk menghias halaman rumah, jirannya berkata: tak usah. Bunga tu orang suka tanam di atas kubur, kan ada bunga lain yang lebih menarik. Di kampungku, kawasan perkuburan yang terletak di tepi sungai di tanam dengan kemboja berbunga putih. Kebanyakan pokok sudah besar serta rendang dan kami selalu memungut bunga yang gugur untuk dikarang menggunakan tali dari pelepah pisang sebagai kalung.

Tokyo, Tochigi dan Ibaraki? Aduhai apalah khabarnya orang-orang yang aku kenal ketika mereka berada di sini
atau aku berada di tempat mereka? Taniguchi-san, Shoya-san, Imai-san, Kusano-san, Haritani-san dan ramai lagi. Nenek moyangku kata di zaman orang-orang mereka memerintah dulu orang kampung kami hidup susah kerana mereka tu kejam dan banyak menyusahkan. Masa perang orang menang membuli yang kalah, tidak cukup dengan kekurangan makanan bahkan ada yang diseksa. Bila zaman berubah aku beritahu nenek orang-orang yang aku jumpa tu orang baik. Mereka buat sesuatu dengan bersungguh, neat dan kreatif. Bila sudah tinggal di sini beberapa bulan mereka mulalah suka nasi lemak, tosei, teh tarik dan durian. Ke mana saja mereka membawa kamera dan snap sana, snap sini terutama bila masuk kampung dan melihat buah-buahan tempatan.

Mungkin sebulan dua lagi di negara mereka sakura akan berkembang, setelah tamat musim sejuk dan musim bunga bermula. Setiap dahan pokok tersebut akan litupi oleh kuntum-kuntum bunga berwarna putih atau pink yang cantik. Mungkin tahun ini hanya segelintir yang dapat menikmati sakura mekar kerana pokok banyak yang musnah sepertimana harta benda yang lain akbibat malapetaka.
Hati berdetik dan berbisik.......semoga mereka tabah dalam menghadapi segala kesusahan yang menimpa kerana terbukti bahawa mereka adalah bangsa yang cekal dan gigih berusaha.

Obviously, Our Own Faults

1. There is nothing boring in life except ourselves. The most humble work does not have to be boring. Each has to do with all is consciousness -- when I do something, I have something to gain or has only the work well done. (N. Boulanger)

2. Many of us learned quite a while ago, and at a very young age that its not work that makes us tired. Its frustration that comes from lack of work or lack of accomplishment. Real frustration comes when we cannot find useful work to do. (R. E. Herbert)

3. A man character never changers radically from youth to old age. What happens is that circumstances bring out characteristics which had not been obvious to the superficial observer. (C. Dickens)

Friday, March 11, 2011

Mana Lembunya?

Padang rumput
Pokok-pokok di tepinya
Dari tepi jalan
Kawasan luas
Hijau dan cantik

Semua gambar diambil di Bandar Penawar pada bulan Disember 2010. Salah satu spot yang aku suka tengok di sini ialah sebidang tanah di belakang masjid. Luas juga kawasannya dan dua sisi tanah ini dipisahkan dengan taman perumahan oleh jalan raya dan longkang besar. Yang ada hanya pokok-pokok hutan dan padang rumput yang subur menghijau. Tempatnya lebih rendah dari jalanraya, tidak ada jogging track atau wakaf untuk bersantai yang kelihatan. Teringat aku pada padang rumput yang hijau beralun di Mesilau dekat Kundasang. Lembu susu jenis Holstein Friesian yang berwarna putih hitam meragut walaupun ketika tengahari.......ala-ala lembu Fernleaf di New Zealand.

Nak bela lembu susu pulak? Bukan calang-calang orang yang boleh kerana kerjanya renyah dan berat. Kena bangun pukul 4 pagi setiap hari, 365 hari setahun untuk kumpulkan lembu, memerah susu, bagi makan dan dan kemas peralatan. Kemudian pukul 5 petang kena ulang rutin yang sama. Tapi orang kata hasilnya lumayan; boleh dapat duit pagi petang hasil jualan susu. Lembu pula aset yang mahal kerana seekor harganya dekat 10 ribu ringgit. Setahun sekali dapat anak lembu, maknanya dapat duit lagi. Tahi lembu boleh dibuat baja kompos. Di tepi kandang boleh tanam sayur dan pokok buahan selain rumput untuk buat silaj dan jerami. Badan tuan punya lembu pun sihat kerana kurang tidur, minum susu berkhasiat dan duit sentiasa mengalir masuk.

Mudahnya menternak dalam khayalan......macam Mat Jenin yang berangan membina istana sedang dia memanjat pokok kelapa. Tapi kalau tak sanggup menternak lembu, menternaklah kambing pun jadilah. Kalau tak sanggup juga ternak ayam kampung saja. Makan dari sisa dapur dan malam ia tidur di atas pokok. Kos nil. Cuma masa nak menjual terpaksa kerja keras sikit iaitu ayam di sekap semasa ia tidur di waktu malam. Hati berdetik dan berbisik.........kalau macam ni cara menternak dapatlah menjual ayam setahun dua kali.

Sahabat, Diam dan Akal

1. Jangan engkau bersahabat di jalan Allah kecuali dengan keharmonian. Jangan bersahabat dengan manusia kecuali nasihat menasihati. Jangan berhubung dengan hawa nafsu kecuali dengan penentangan dan jangan berhubung dengan syaitan kecuali dengan permusuhan. (Zunnun Al Misri)

2. Barangsiapa yang diam tentang perkara yang tidak diketahuinya kerana Allah swt maka tidaklah kurang pahalanya dari orang yang berkata-kata. Adapun mengaku bahawa diri tidak tahu adalah amat berat bagi jiwa. (As Sya'abi)

3. Orang yang berakal ialah yang perasaannya tidak melampaui pemikirannya, orang yang bijak itu menghafal pengajaran-pengajaran dalam hidup ini. Dan ahli falsafah adalah orang yang berusaha untuk mengetahui apa yang belum diketahuinya. (M Al Siba'i)

Tuesday, March 8, 2011

Penyeri Tebing Sungai

Tumbuh meliarBunga kecil-kecil
Warna kuning lembutKelopak senipis kertas
Bunga, close up

Pelangi Petang

Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini

Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...
(S H Arshad)

Gambar diambil di tebing sungai di Perlis. Bunga kecil berkelopak nipis dengan warna kuning cair kelihatan sangat fragile. Pokoknya tumbuh menjalar di tebing sungai yang berbatu dan jadi teman setia pemancing ikan yang datang setiap petang. Aku bertanya pada wanita tua yang bertopi peladang, berbut getah paras lutut apakah nama pokok ini. Boleh dibuat ubatkah? Tak tau pulak katanya sambil melemparkan matakail yang telah diletak umpan anak lebah ke dalam sungai. Beliau ni peramah, pandai mengurut dan membuat kraftangan selain pakar membuat kuih putu kacang dan pekasam.


Dari jauh memang bunga ni tak menarik kerana bersaiz kecil, berwarna lembut dan tumbuh meliar. Apalagi tempatnya hanya di tebing sungai di celah sampah dan plastik terbuang. Tapi bila diamati secara dekat baru terserlah keindahannya kerana ia dapat menukar tebing sungai yang hodoh menjadi cantik dengan bunga yang kembang sehari. Walaupun mekar tidak lama tapi cukup bermakna dan menyerikan suasana, macam juga bunga morning glory dan Japanese rose yang pagi ada, petang tiada.

Kehidupan yang hakiki bukan diukur dengan panjangnya umur tapi pada nilai diri seseorang. Hidup biarlah berjasa dan orang bijaksana berkata jika ingin disukai orang janganlah mengharap apa yang ada di tangan mereka. Adalah lebih baik memberi diri menerima. Kata Kha yang kagum dengan nasihat cikgunya; kalau tak boleh buat baik, jangan buat jahat. Hati berdetik dan berbisik......sempoinya.

Waktu dan Kehidupan

Menurut Ibnu Qayyim penyesalan atas waktu yang telah berlalu adalah penyesalan yang mematikan kerana waktu sangat cepat berlalu, susah dikejar dan tidak mungkin kembali lagi. Maksudnya waktu hakiki bagi seorang hamba adalah waktu untuk beribadah dan berzikir.

Ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan patut disesali apabila berlalu tanpa diisi dengan ibadah. Apabila waktu untuk sesuatu tugas telah berlalu pergi maka alangkah ruginya kerana waktu yang mendatang perlu diisi dengan tugas yang lain. Adapun maksud penyesalan yang mematikan adalah penyesalan besar yang seakan membunuh semangat kerana sedar bahawa sebahagian dari umur telah tersia-sia. Tidak ada jalan baginya untuk mendapatkan waktu yang hilang itu.

Namun apa guna penyesalan kerana ia hanya menghabiskan waktu yang ada sekarang. Ibnu Abi Hamzah berkata sesorang ada kewajipan untuk mengisi waktu dengan kesibukan dan jangan biasa menuda-nunda. Sekiranya ia tidak mengambil manfaat dalam setiap kesempatan maka ia seperti orang yang ditetak dengan pedang.

Allah swt mengingatkan dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan (di waktu itu orang kafir) mereka berkata, 'kami beriman kepada Allah'. Bagaimana mereka dapat mencapai (keimanan) dari tempat yang jauh itu (hari akhirat)." (Saba': 52).

Thursday, March 3, 2011

Tunggu Menunggu

Tinggi dan rendang
Bunga di hujung dahan
Berwarna purple
Kuning di tengahnya
Bunga, close up
Biji benih

Gambar diambil di R&R ketika dalam perjalanan ke Selatan pada bulan Disember 2010. Sebenarnya ramai orang tak suka menunggu kecuali jika tidak ada pilihan atau kerana alasan yang sangat kukuh. Ada yang tunjuk benci dengan merajuk, merungut atau secara diam membisu. Misalnya jika bermusafir beramai-ramai tentu saja ada kes tunggu-menunggu; ada yang hendak ke toilet, beli makanan dan sebagainya. Apapun kena tunggu juga sebab jika passenger masih tidak cukup mana boleh teruskan perjalanan. Dari menunggu sorang-sorang di tempat parkir kereta ni lebih baik aku ambil gambar pokok berbunga purple dekat kiosk Baskin Robin di seberang jalan sana.

Dari jauh bunga pokok ni sudah nampak cantik. Tapi kalau aku ada taman aku tak mahu menanamnya sebab daunnya seakan-akan daun getah. Kalau daun gugur dan tak rajin menyapu pasti halaman bersepah dengan daun kering. Mungkin pokok ru, Australian bottle brush atau weepng willow yang daun halus lebih sesuai. Teringat waktu kecil dulu, kalau tak siap menyapu daun getah di halaman dan di bawah rumah jangan harap Mak usu bagi main dengan kawan-kawan.

Bunga? Setelah kembang kelopak bunga akan layu dan gugur ke bumi. Kata kawan yang tinggal di Afrika alangkan cantik bila sepanjang jalan di hadapan rumahnya bertukar purple bila pokok jacaranda mengugurkan bunganya. Amboi jauhnya sampai ke Afrika nun. Tak adakah pokok tu di sini? Hati berdetik dan berbisik...........berbaloi menunggu jika ada kebun dengan sungai mengalir dan di tebingnya ada laluan yang dinaungi sebaris pokok jacaranda. Pokok ni ada ditanam di negara kita dan daunnya halus macam daun pokok asam jawa.

Niat dan Ilmu

Dari Umar ra: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat, sesungguhnya diberi balasan kepadanya setiap apa yang diniatkannya, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka ia berhijrah kerana Allah dan RasulNya dan sesiapa yang berhijrah kerna dunia dan segala isinya atau perempuan yang mahu dinikahinya, maka dapatlah dia apa yang dihijrahkannya. (HR Bukhari, Muslim)

Sesungguhnya Allah swt tidak menahan (menghilangkan) ilmu dari manusia dengan cara mencabutnya tetapi dengan mewafatkan para ulama sehingga tiada lagi orang alim. Dengan demikian orang ramai mengikut pemimpin-pemimpin jahil lalu ditanya (akan dia tentang suatu perkara) dan dia memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan. (Mutafaq 'alaih)