Saturday, October 30, 2010

Pokok Duit-duit

Pokok orkid dan duit-duit
Di batang rambutan
Daun bulat dan tebal
Di antara paku pakis

Dua gambar di atas diambil di pokok rambutan di belakang rumahku dan gambar bawah di pokok mangga di ofis lama. Nama saintifik pokok duit-duit Drymoglossum piloselloides dan nama lain ialah sisik naga dan sakat ribu-ribu. Ia sejenis tumbuhan yang hidup menumpang dengan akar rayap halus menjalar pada kulit pokok. Pokok duit-duit membiak melalui spora yang ada pada daunnya yang berbentuk bundar, tebal dan licin.

Seluruh pokok duit-duit berkhasiat samaada ianya segar atau pun telah dikeringkan. Air rebusan daun jika diminum dapat menyembuhkan penyakit kuning, penyakit kelamin, sembelit, batuk, keputihan bagi kaum wanita dan penyakuit kencing bernanah.

Untuk kegunaan luaran tumbuk daun dan lumurkan pada kulit yang berpenyakit. Poltis ini amat mujarab untuk menyembuhkan kudis dan kurap. Tumbuhan ini berguna kerana ia bersifat sejuk, berakali, tawar dan anti toksik.

Thursday, October 28, 2010

Badan Yang Manja

Sebenarnya banyak perkara dan benda yang boleh dibuat sendiri tetapi mulut ringan menjawab tak ada bahan dan peralatan, tak ada ilmu serta kemahiran atau alasan yang paling mudah ialah tak ada masa. Nak makanan samada untuk diri sendiri atau menjamu orang lain lebih mudah cari yang orang sudah buat dan tinggal membayar sahaja. Nak lap tingkap, cabut rumput di halaman dan benda kecil-kecil yang yang lain pun cari orang juga. Yang kita tahu mencari duit.

Semua alasan yang mula-mula tadi betul belaka. Kalau dicongak kekadang 'membeli' dapat jimat kos dan masa walaupun terpaksa berkompromi dengan kualiti. Bukan tak boleh membeli barang siap dan servises tetapi bila dianalisa balik, masa yang dikatakan terbuang tadi sebenarnya dihabiskan untuk apa? Kalau semata-mata untuk meronda serta cuci mata di superstore dan lepak di hadapan tv tidaklah dinamakan perbuatan yang bijak. Tetapi inilah yang menjadi kebiasaan ramai orang sekarang, termasuk aku sekali .

Nak diikutkan memasak bukan perkara susah lebih-lebih kalau makan untuk hidup. Ikan atau ayam goreng, sayur hijau tumis, desert buah belimbing dan air oren sudah menepati nasihat para dietitian. Tak payah le membeli lauk kalau boleh kerana yang dimasak sendiri tentu dari bahan terbaik dan dijaga kebersihannya.

Begitu juga bagi sesiapa yang teringin nak membuat baju kurung. Belajar menjahit dalam seminggu sudah boleh buat baju kurung sendiri. Upah tailor (sekali ini sahaja) buatkan pattern kertas dari ukuran badan. Kemudian beli kain kapas yang murah dan gunting mengikut paper pattern tadi. Bila sudah menjahit sekali, yang seterusnya lebih confident dan mahir. Jadi baju keluarga pun tak payah mengupah orang lain.


Sebenarnya kita ni semakin tak reti buat apa-apa. Pelbagai skill telah hilang; dari memasak, mengemas sampai menjahit. Kalau bangsa kita sendiri yang boleh buat tak mengapalah tapi malangnya orang lain pula yang lebih mahir dan buat duit. Habis duit ke dema aje.

Bila kita tidak buat kerja sendiri jadi kita fikir semua perkara yang kita inginkan dalam dunia ini boleh dibeli dengan duit. Benarlah orang tua-tua kata badan jangan dimanjakan sangat nanti buruk padahnya. Aku heran bila nenek cakap badannya sakit-sakit kalau tak bekerja sementara badanku sakit-sakit kalau buat kerja.

Monday, October 25, 2010

Melihat Mokara

Pokok orkid Mokara
Siap untuk dijual
Close up
Berwarna gold

Mokara Dinah Shore


Semua gambar diambil semasa Agrofest 2010. Pokok orkid yang paling banyak dijual di mana-mana pameran orkid ialah Mokara iaitu sejenis orkid monopodial. Orang pun suka membeli kerana batang pokok orkid yang panjangnya hampir setengah meter sudah ada tangkai bunga hanya RM 5.00 sebatang. Oleh itu pembeli lebih yakin yang pokok yang mereka beli akan berbunga lagi bila ditanam sendiri nanti.

Lalu makcik dan pakcik, baba dan nyonya, anei dan aci pun memborong. Apalagi yang sudah tahu macamana nak menanam orkid. Senang saja; ada tiang kayu, timbun sabut diperdu pokok orkid lalu biarkan hidup dan berbunga. Orkid Mokara memang sesuai ditanam di tanah lapang, tidak terlindung dan paling cantik kalau dalam barisan.

Aku pun ada sedikit pengalaman menanam Mokara dan setakat ni janji tak mahu menanam lagi. Habis lapan pasu Mokaraku telah terkena satu penyakit yang aku syak disebabkan oleh fungus dan bakteria. Masaalahnya ia menjangkit dari pokok ke pokok lain tapi cuma orkid jenis monpodial seperti Aranda dan Renanthera yang terkena. Nasib baik orkid Vanda aku tu sempat diselamatkan.

Mula-mula daun yang paling bawah kuning, layu dan luruh pada kadar sehelai dalam dua hari. Semakin lama semakin banyak daun luruh dan hujung akar udara jadi kering. Lastly hanya beberapa helai daun sahaja yang tinggal dan pokok pun nampak pelik kerana batang kering dan exposed. Pokok yang macam ni mesti dibakar untuk membunuh patogen yang masih ada.

Apapun kita cuci matalah dengan Mokara yang cantik ni terutama yang berwarna gold...

Ukuran Iman

Dalam beribadat dan apa juga perbuatan yang dilakukan sepanjang hidup seorang Muslim sejati hanya akan mengharap fadilat dan redha Allah swt semata-mata. Oleh itu semua pekerjaan yang dilakukannya adalah dengan niat yang ikhlas serta tidak melanggar batas syarak. Sepenting mana pun aggapan seseorang pada tugasnya namun dia mesti memperuntukkan masa untuk melakukan solat kerana solat ini merupakan ukuran iman dan Islam seseorang.

Dapat dilihat di sini bahawa nilai iman boleh diukur dari ketekunannya mendirikan solat setiap hari. Jika ia hanya hebat dalam mengejar dunia namun mengabaikan solat maka imannya boleh dipersoalkan. Begitu juga halnya kalau hanya rajin membuat ibadat wajib dan sunat yang lain tetapi masih cuai untuk solat. Dia masih kabur bahawa ibadat solat merupakan hubungan terus antara seorang hamba dengan Allah swt dan sebagai bukti penghambaan diri kepadaNya.

Solat adalah penyataan rasa syukur manusia kepada Allah swt atas segala nikmat yang dilimpahkanNya. Seorang Muslim akan berusaha untuk menegakkan solat lima waktu sehari semalam dengan memenuhkan semua syarat dan rukunnya. Dengan ini hatinya puas dan redha kerana telah menyerahkan segala urusan hidup dan matinya kepada Allah swt yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.

Selain dari ketenangan jiwa solat juga melahirkan sifat yang dapat disaksikan seperti ketenteraman yang terpancar dari wajahnya kerana siraman air wudhu dan bekas sujud yang dilakukan kerana menurut perintah Allah swt semata-mata. Hidupnya teratur kerana berpandukan ajaran agama yang lurus.

Orang-orang yang sentiasa sujud wajah mereka bersinar cemerlang di akhirat kelak. Mereka adalah orang-orang yang beruntung kerana jauh dari segala huru hara hari pembalasan dan seksa neraka. Akan tetapi orang yang tidak pernah sujud walaupun di dunia wajahnya nampak bercahaya kerana hiasan yang dipakai namun di akhirat wajahnya hitam gelap.

Sunday, October 24, 2010

Friends

Petunia, greenish
African violets
Adenium obesum

Friends

As we walk our path of life
We meet people everyday
Most are simply met by chance
But, some are sent our way.

These become special friends
Whose bond we can't explain
The ones who understand us
And share our joy and pain.

Their love contains no boundaries
So, even we are apart
Their presence enhances us

With warmth felt in the heart.

This love becomes a passageway

When even the miles disappear

And so, these friends,
God sends our way

Remain forever near.

(Anon)

Semua gambar diambil di nursery bunga. Petunia yang banyak didijual dan digemari orang ialah yang bewarna pink, maroon dan putih. Bunganya yang berwarna greenish ni jarang dilihat kerana kurang menarik. African violets ni pula bunganya ada pelbagai warna, memang fantastik dan sangat cantik.

Setelah tahu serba sedikit tentang pokok desert rose atau Adenium obesum ni terinigin pula untuk menanamnya. Izz pun ada kata dekat porch dan di tepi tangga beranda tu kosong sangat, tak nak taruk pokok ke? Dia mulalah suggest segala macam pokok, dari fern, keladi, dracaena, monstera dan orkid. Dan otak aku ligat memikir pokok apa yang murah, cantik dan yang paling penting tidak banyak kerenah nak menjaganya.

Barulah aku teringat desert rose yang sifatnya seperti tumbuhan gurun, suka kering dan tak payah siram dan suka matahari
. Malangnya pokok ni bukannya murah. Konon nak cari yang pink, tetapi tak ada yang berharga di bawah RM 30 walau dalam polybeg. Yang berwarna maroon dan putih atau yang kacuk dwiwarna dalam satu pokok lagi mahal. So, sekarang ni aku tanam aloe vera yang aku repot dari pasu di belakang rumah.

Seorang kawan, alangkah bertuahnya jika dapat yang macam aloe vera? Murah, bukan untuk hiasan, tak susah dijaga dan yang penting berguna. Aduhai!

Sama-sama Kerja


 Daun limau nipis
 Daun rumpair
Tumbuhan air
 Cekur hiasan

 Cekur kampung

Moyangku orang yang tegas dan boleh tahan garang hingga anak cucu tak berani membantah apa yang disuruhnya. Mungkin juga kerana dia seorang janda dan terpaksa disiplinkan lima orang cucu yang telah jadi yatim ketika masih kecil. Kalau fasal buat kerja moyang 'born organizer', pantas beri tanggungjawab pada setiap orang. Pembahagian tugas dibuat dengan adil agar tidak ada yang rasa teraniaya atau pilih kasih. Kecil besar semua disuruhnya, mengikut kemampuan masing-masing.


Kalau seseorang menyapu daun getah di halaman yang lain kena menyiram pokok bunga, mengangkut air mengisi tempayan atau bawa kayu api ke dapur. Bila dekat senja kami sama-sama tunggu api yang membakar daun-daun kering. Ketika api marak, daun-daun yang di tepi mesti ditimbun ke tengah agar semuanya habis terbakar. Moyang tidak suka buat kerja cara cincai dan berpesan kerja mesti dilakukan dengan betul dan sempurna.


Selepas solat Isya kami kena siapkan tempat tidur dan gantung kelambu. Pada siang hari semua tilam digulung sementara bantal, selimut dan kelambu berlipat disusun di sudut rumah tengah. Mak cik angkat serta bentang tilam dan sangkut tali kelambu pada paku di tiang atau dinding. Aku dan adik kecil sisip hujung kelambu ke bawah tilam agar nyamuk tak masuk dana menyusun bantal. Bila pagi sebelum buat apa-apa kena urus tempat tidur dahulu dan moyang akan marah pada sesiapa yang masukkan selimut, bantal dan kelambu dalam tilam yang digulung.


Kalau nenek memasak di dapur kami standby untuk disuruh mengambil pandan, halia atau kunyit hidup. Setidak-tidaknya tolong tumbuk cili kering dan siang sayur kangkong kerana kerja ini walaupun tak berat tetapi mengambil masa yang lama juga. Mungkin macamu itulah orang dulu-dulu nak mengajar anak-anak bekerja sama dan tidak takut kerja.

Sampai sekarang aku teringat kata-kata moyang, kalau ringan tulang dan ringan mulut senang dapat makan. Salah satu cara untuk mendekatkan diri di hati orang lain ialah dengan memberi pertolongan yang ikhlas walau hanya mengangat sebiji cawan atau memngupas sebiji bawang.

Thursday, October 21, 2010

Ini Cymbidium Juga

Orkid hutan
Ada dua tangkai bunga
Buah yang matang
Di pohon durian

Dua gambar di atas diambil di hadapan sebuah Superstore di tempatku dan dua gambar bawah di dua kampung di Gopeng. Pokok orkid ini semuanya Cymbidium tapi jenis yang tumbuh liar di kawasan tropika termasuk di negara kita. INama saintifiknya Cymbidium finlaysonianum, tumbuh menumpang pada pokok hutan, pokok getah atau buah-buahan dengan bantuan akar lekat dan akar udara.

Pokok orkid ni jenis sympodial dan mempunyai pseudobulb yang pendik dan ditutup oleh pelepah daun. Jika pokok subur daunnya boleh mencapai hingga semeter panjang. Orkid kelihatan seperti berumpun kerana anak-anak pokok keluar dari pokok ibu. Bunganya terdapat pada tangkai yang panjang berjuntai hingga ia digelar orkid lidah ular.

Satu tangkai bunga ada di antara 15-30 kuntum bunga yang berwarna kuning atau coklat dengan berukuran 6 sm.
Bunga yang mekar tahan sehingga 12 hari sebelum layu. Namun begitu orkid Cymbidium yang paling cantik dan besar bunganya ialah jenis kacukan yang ditanam di kawasan iklim sederhana sejuk dan tanah tinggi.

Pokok yang ada Cymbidium di depan Superstore tu letaknya di tepi tebing tinggi. Jadi untuk ambil gambar aku terpaksa berdiri di atas tebing dan jarak ke pokok lebih kurang 2 meter jauhnya. Sayang dengan kamera kecil aku tak dapat ambil gambar close-up bunga kerana aku kena imbangkan badan agar tidak tergolek ke dalam longkang.

Contohi Orang Terdahulu

1. Rasulullah saw bersabda: Sebaik-baik generasi adalah abadku, kemudian abad yang di belakangnya, kemudian yang berikutnya (entah beberapa kali diulang oleh baginda). Kemudian setelah itu datang kaum yang tampil menjadi saksi meskipun tidak diminta, dan berkhianat tiada amanah, kalau bernazar tidak ditepati dan kelihatan mereka itu gemuk badan dan besar perut." (HR Bukhari, Muslim).

2. Rasulullah saw bersabda: Untung bahagialah sesiapa yang mendapat hidayah untuk taat pada ajaran Islam dan kehidupannya sederhana dan rasa qanaah (cukup). (HR At Termizi)

3. Rasulullah saw bersabda: Sesiapa di pagi hari rasa aman rumahtangganya, sihat badannya dan mempunyai makanan untuk hari itu maka bagaikan telah terkumpul baginya dunia dan isinya. (HR At Termizi).

Tuesday, October 19, 2010

Bunga Butang

Bunga butang ungu
Close up
Bunga warna putih

Semua gambar diambil di halaman rumah jiran. Pokok ini tumbuh di kawasan lapang, berbunga sepanjang tahun dan sesuai untuk dijadikan hiasan. Nama saintifiknya ialah Gompherena globosa dan digelar bachelor's button atau bunga 40 hari kerana ia berbunga setelah 40 hari ditanam. Pokok ini membiak melalui biji benih dan kurang diberi perhatian sebab ia tumbuh liar.

Batang pokok ini kemerahan, banyak cabang, berbulu halus dan kembung pada tunas cabang. Daunnya bulat dan runcing di hujungnya. Bunga pula berbentuk bulat
berwarna purple atau pink, keluar dari hujung tangkai. Bunga ini akan jadi memanjang bila sudah matang dan mengandungi biji benih berwaran hitam.

Khasiat perubatan terdapat pada bunga iaitu untuk menghilangkan batuk, mengurangkan penyakit lelah dan melancarkan pembuangan air kecil. Untuk tujuan ini ambil beberapa kuntum bunga segar, rebus dan minum airnya. Selain itu bunga segar yang ditumbuk lumat boleh ditampalkan pada luka untuk mengurangkan bengkak.

Saja Cari Penyakit

Sepatutnya orang sakit yang paling arif dan tahu menilai betapa berharganya kesihatan dan berusaha untuk sihat semula. Tetapi kadangkala sebaliknya pula yang berlaku iaitu yang sakit lupa berpantang dan berubat sehingga peluang untuk sembuh diabaikan. Kes ini selalunya terjadi pada orang yang sudah berumur. Kanak-kanak pula mereka tak pandai buat tricks dan bila sakit nak cepat sembuh agar boleh bermain. Jadi mereka mudah dipujuk atau di gertak agar makan ubat dan hanya makan makanan yang disediakan oleh ibu bapa.

Teringat pula nenekku sebelah ayah yang selalu ke doktor kerana pening. Pertama doktor bertanya makan apa
ni mak cik? Selamba sahaja nenek menjawab, makan ikan masin doktor...kalau tak ada ikan kapak kering saya tak ada selera nak makan. Doktor pun cerita tentang penyakit dan bagi ubat. Tetapi pada pemeriksaan yang akan datang nenek macam tu juga. Ramai yang bagi nasihat terutama anak cucu dan jiran tetangga tetapi degil orang tua memang susah mengubahnya.

Ayah aku lain pula certianya, sebelum pergi jumpa doktor akan makan peria dan ulam untuk mengawal darah tinggi. Kekadang minum air rebusan daun betik atau hempedu humi yang sangat pahit. Bila doktor periksa memang bacaan tekanan ok tapi bila balik ke rumah makanan mesti berperisa tinggi. Kami selalu kata buat apa abah tipu diri sendiri? Kalau lauk tawar dia sendiri cari garam di dapur. Dia seronok anak cucu tumpang makan nasi gorengnya yang banyak ikan bilis dan kicap.

Aduhai, bukan ramai orang yang boleh bersabar tentang makan ni.....majoriti memang berpantang tapi pantang jumpa. Aku pun sama, dengar ada nasi Arab aku cari sampai jumpa dan orang kata makanan di suatu tempat rasanya sedap pasti aku nak cuba. Kalau makan ramai-ramai atau makn free lagi best sampai tak sedar janji nak kawal makan. Dan juga kerana hendak jaga hati orang yang menjamu kenalah makan lebih sedikit.

Tidak salah merasa makanan berminyak, tinggi kolesterol, kabohidrat dan gula serta dicampur pelbagai perisa sekali sekala tetapi malangnya tekak nak selalu. Satu lagi cara dan waktu makan, sepatutnya makan sedikit tapi kunyah lama dan jangan makan terlalu lewat apalagi hampir tengah malam.

Friend, Love and Attitude

1. Don't walk in front of me; I may not follow. Don't walk behind me, I may not lead. Just walk beside me and be my friend. (A Camus).

2. Life is one fool thing after another, whereas love is two fools things after each other. (O Wilde).

3. It is common sense to make a method and try it. If it fails, admit it frankly and try another. But above all, try something. ( F D Roosevelt)

4. A positive attitude may not solve all your problems, but it will annoy enough people to make it worth the effort. (H Allbright).

Dendrochilum carnosum

Orkid-orkid eksotik
Dendrochilum carnosum
Close up, bunga

Semua gambar diambil sewaktu Agrofest 2010. Dendrochilum carnosum adalah orkid dalam genus Dendrochillum yang hidup secara epiphyte (menumpang pada pokok), lithophyte (pada batu) atau di atas tanah. Ia banyak ditemui di Asia Tenggara terutamanya di Borneo dan kepulauan Filipina. Orkid ini digemari oleh orang yang sukakan kelainan selain dari pelbagai orkid kacukan yang biasa ditanam.

Pokok orkid Dendrochilum mengeluarkan bunga kecil wangi yang berbentuk bintang. Bunganya tersusun dalam dua barisan pada tangkai bunga yang panjang hingga ada yang mencecah 50 sm. Pseudobulb orkid ini berbentuk silinder atau sedikit kembung berukuran 4 hingga 10 sm dengan kelopak daun berwarna hujau atau coklat di bawahnya. Di atas pseudobulb ada daun satu atau dua daun. Kini ada lebih 300 spesis Dendrochilum yang telah didaftarkan.

Sebenarnya pameran seperti Agrofest ini dapat mengenalkan orang ramai pada pelbagai orkid yang masih belum diketahui umum. Kita juga berpeluang melihat orkid eksotik dari luar negara. Banyak faedahnya mengetahui khazanah hutan di negara sendiri seperti juga orkid yang mungkin ada nilai perubatan selain bunganya cantik dipandang dan sedap dicium.

Monday, October 18, 2010

Dengki dan Akibatnya

Dengki biasanya hasil dari perasaan dendam, cemburu, marah, benci dan niat jahat. Ianya adalah sifat iblis dan kerana dengki iblis berubah dari beriman kepada ingkar pada perintah Allah swt. Orang yang dengki berharap agar nikmat yang ada pada orang lain hilang dan beralih kepadanya sahaja. Dia tidak merasa gembira dan aman sehingga cita-citanya tercapai iaitu dia lebih dari orang lain.

Iblis menyimpan perasaan dengki terhadap Adam as kerana merasa dirinya lebih mulia dari manusia yang baru diciptakan itu. Iblis dan seluruh keturunan syaitan telah menjadi golongan dilaknat kerana kedengkian dan kesombongan mereka. Jelaslah bahawa kedengkian mengakibatkan keburukan. Seseorang yang ada peasaan dengki akan mudah dipengaruhi oleh syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.

Allah swt memberi peringatan dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (An Nisaa': 60). Sifat dengki bukan sahaja menambah dosa bahkan mengurangkan pahala. Orang yang dengki akan kehilangan pahala sehingga boleh jatuh muflis di akhirat kerana boleh jadi dia telah menganiaya dan menzalimi orang lain dengan lisan dan perbuatannya.

Rasulullah saw bersabda: Dengki itu memakan (membinasakan) kebajikan (pahala), seperti api memakan (membakar) kayu yang kering. (HR Abu Dawud, Ibnu Majah).
Kadangkala seseorang sedar bahawa mempunyai perasaan dengki sangat merugikan tetapi dia tetap meneruskannya agenda jahatnya. Sifat dengki sangat sukar dibuang dari hati kecuali jika berusaha dengan bersungguh dan benar-benar ingin bertaubat kepada Allah swt.

Friday, October 15, 2010

Pindah Ke Estet Baru

Pokok tapak angsa
 Berurat putih
Daun, close up

 Jenis putih
 Daun, close up

Bila aku nak naik darjah dua mak dan abah berpindah dari perumahan kecil di tepi sungai ke sebuah perumahan estet yang lebih besar. Jarak antara keduanya lebih kurang 7 km melalui jalan tanah merah dan kebun-kebun getah. Walaupun aku balik ke rumah di estet hanya waktu cuti sekolah tapi aku sedih bila di beritahu yang kami terpaksa berpindah.


Aku tidak dapat melihat rumah di estet lama untuk kali terakhir kerana berada di kampung. Yang menyedihkan ialah aku tidak sempat mengambil tin susu yang aku sorok di tepi tangga. Di dalam tin itu tersimpan beberapa biji batu yang kata kawanku ada permata kerana di permukaannya ada cebisan halus yang bersinar bila terkena cahaya matahari.

Semua keluarga di estet ini di pindahkan ke tempat berlainan. Tempat tinggal baru kami juga terletak di tepi sungai dan abah telah membawa aku melaluinya beberapa kali. Untuk ke estet lama kami boleh melaluinya atau mengikut
jalan kampung seperti yang telah aku ceritakan dahulu. Dari kampungku, perumahan estet baru ini terletak di seberang sungai, jadi kami juga terpaksa naik sampan untuk ke sana. Cuma sampan ini lebih besar dan kepunyaan orang Melayu bernama Pak Dolah.

Estet baru ini banyak membuka mata aku kerana ada orang Melayu, China dan India tinggal sebelah menyebelah di rumah panjang. Ada juga rumah banglo bersaiz kecil sederhana dan besar untuk kerani dan pegawai tinggal. Di sini ada sebuah kedai runcit, kedai basikal dan kedai gunting rambut. Ada padang untuk bersukan dan klinik tempat orang menerima rawatan jika sakit demam. Dan yang paling menarik ialah tanah lapang di hujung perumahan estet yang ada deretan bangku kayu untuk orang ramai datang menonton wayang pacak.

Pokok Rambai Cik Normah

Pokok rambai berbuah
Buah rambai muda
Cantik bergantungan
Sudah masak, perang
Jatuh bertaburan

Semua gambar diambil di Kampung Ulu Kuang. Aku memang suka tengok pokok rambai yang sedang berbuah. Setiap dahan dan ranting mengeluarkan tangkai dengan buahnya bergantung macam mutiara dirangkai. Kat mana lagi ada pokok rambai kalau tidak di kampung-kampung. Macam pokok rambai dalam semak di tepi lorong ke rumah Cik Normah ni besarnya sepemeluk. Malangnya di hari ini dah tak nampak lagi pokok rambai dua tiga pemeluk besarnya.

Mungkin pokok rambai akan jadi salah satu pokok yang hampir pupus. Orang lebih suka tanam mangga nam dok mai, durian kawin, dokong Terangganu, nangka mastura, pulasan besar dan mata kucing yang buahnya semua manis macam madu. Buah rambai termasuk buah yang masam jadi tak termasuk dalam kategori buah berharga tinggi.

Pokok rambai Cik Normah berputik di bulan Mei. Jadi di pertengahan Ramadhan aku sempat merakam gambar buah rambai yang sudah masak dan berwarna perang. Sayangnya di bawah pokok sudah bertaburan buah yang gugur. Aku terpaksa memijak buah-buah di atas tanah untuk sampai ke tempat yang aku boleh ambil gambar dengan selesa. Bau masam manis buah terperam menikam hidung.

Nampaknya tiada siapa yang ingin memetik buah rambai kerana ramai orang sekarang tak kenal atau suka buah rambai. Hati berdetik......makan rambai ni kekadang jadi serba tak kena. Hanya setakat dapat hisap airnya kerana isi lekat pada biji. Jika telan terlalu banyak biji si pemakan akan alami sembelit pula.

Syaitan Yang Menyesatkan

Syaitan adalah makhluk sombong yang berikrar untuk menyesatkan semua manusia. Ikrar ini diabadikan dalam Al Quran dalam firman Allah swt yang bermaksud, "Iblis menjawab: Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (cuba menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan datang kepada mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (Al A'raaf: 16-17).

Salah satu langkah syaitan untuk menjerumuskan manusia ke dalam perangkap kejahatan adalah dengan cara menipu mereka. Penipuan yang dilakukan oleh syaitan tanpa disedari manusia melalui dua cara; pertama, mencampur adukkan kebenaran dengan kemungkaran dan kedua, menghiasi keburukan dengan sesuatu yang indah. Apabila penilaian antara buruk dan baik dalam kehidupan hanya mengikut neraca manusia maka kerosakan besar dalam masyarakat pun berlaku.

Tipu daya syaitan sangat halus dan menurut Ibnu Qayyum ada yang secara menyihir akal hingga ianya tertipu. Akal akan melihat bahawa perbuatan tercela adalah sesuatu yang bermanfaat sehingga pelakunya merasa telah beruntung walaupun menganiaya orang lain. Sebaliknya perbuatan baik digambarkan merugikan apalagi yang melibatkan penggunaan harta dan tenaga untuk ke arah kebaikan dan jalan Allah swt.

Adapun puncak segala tipuan syaitan ialah menghias perbuatan syirik agar manusia menyekutukan Allah swt. Manusia tidak sedar bahawa dia telah bertuhankan harta benda, kuasa, wang dan manusia lain dengan menjadikan perkara-perkara tersebut tujuan utama dalam hidup. Sesungguhnya syaitan tidak akan berhenti mengajak manusia untuk melakukan segala perbuatan jahat yang dibenci oleh Allah swt hingga manusia layak menjadi teman syaitan ke neraka.

Thursday, October 14, 2010

Ketumpangan Air

Tumbuh di pasu
Gemar tempat lembap
Pokok matang berbunga

Gambar pertama diambil di taman Pusat Kesihatan Kecil. Gambar kedua dan ketiga diambil di belakang rumahku. Pokok kecil ini nama saitifiknya ialah Peperomia pellucida dan tumbuh secara menegak, bercabang serta membiak di tanah yang lembap. Batangnya berair dan mudah dipatahkan sementara daunnya berbau sirih dan berbentuk jantung. Bunga ketumpangan air berwarna hijau muda tersusun pada tangkai yang panjang. Buahnya berwarna coklat dan bijnya mengandungi minyak pati.

Tumbuhan ini kurang mendapat perhatian kerana kerap tumbuh di tempat tercemar. Sebenarnya ia boleh dibuat ulam dan daunnya mempunyai bahan anti bakteria. Ia di percayai dapat menyembuhkan penyakit kulit seperti bisul, jerawat dan bekas terbakar.

Selain itu ia dapat menyembuhkan penyakit gout, sakit sendi-sendi, batu karang dan sakit perut. Cairan batang herba ini pula berguna untuk merawat sakit mata, sakit bahagian abdomen, demam dan sakit kepala. Ada tiga cara penggunaan herba ini iaitu memakan daunnya sebagai ulam atau direbus dan diminum airnya. Untuk kegunaan luaran daun hendaklah ditumbuk lumat dan ditampalkan pada bahagian yang sakit seperti bisul dan gatal kulit.

Apa Hal Cymbidium

Orkid Cymbidium
Orkid Cymbidium
Tunas dari pseudobulb
Masih kuntum
Kuntum telah layu

Dua gambar bunga orkid Cymbidium diambil semasa Agrofest 2010. Cymbidium adalah antara orkid tercantik kerana bunganya besar, warna menarik dan tersusun dalam jambak yang panjang. Bila aku melihat satu jambangan bunga yang besar di foyer Hotel Equatorial Bangi aku bertanya, dari mana bunga ni? Kata pengubah bunga ia didatangkan dari Cameron Highlands. Masa tu aku belum kenal banyak orkid eksotik.

Sesiapa yang kenal orkid Cymbidium tak akan miss memuji orkid Cymbidium Cameron Highlands yang tumbuh subur dalam tub-tub besar. Kekadang dalam satu rumpun ada tiga empat tangkai bunga yang berbunga lebat. Pokok pun tumbuh selamba tidak diperdulikan di sudut nursery yang menjual bunga ros dan chrysentemum. Lagi geram melihat yang ditinggalkan ditepi kebun sayur, tapi bunganya Masyallah.

Tiga gambar di bawah diambil dari pondok orkidku. Pokok orkid Cymbidium yang aku tanam sudah membiak dari dua pseudobulb sudah jadi empat. Walaupun tidak begitu subur tapi satu masa tu keluar juga tangkai bunganya. Bila sudah tinggi sekaki kuntumnya menjadi coklat dan layu.

Kemudian bila pseudobulb jadi lima tangkai bunga keluar sekali lagi. Macam dulu juga.....layu. Orang kata kalau dah terjadi dua kali ia akan terjadi sampai tiga kali. Hati berdetik dan berbisik takkanlah Cymbidium aku ni jenis dari negeri orang putih...

Monday, October 11, 2010

Tingkatkan Derjat

Selain melalui amal ibadah Allah swt boleh mengangkat derjat seseorang kerana dosa-dosa yang telah dia lakukan. Ini terjadi apabila seseorang yang berdosa telah benar-benar menyesali perbuatannya, bertaubat dengan bersungguh-sugguh serta melakukan perkara yang dituntut. Taubat tersebut hendaklah dilakukan dengan segera dan memohon ampun kepada Allah swt mesti dikerjakan secara berterusan. Dia juga mesti gigih menjauhi segala perbuatan dosa dan berusaha untuk menebus dosa-dosanya yang lalu dengan amal kebaikan.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai." (At Tahrim: 8). Sebaiknya orang beriman sentiasa bertaubat kerana manusia tidak pernah sunyi dari berbuat kesalahan.

Islam melarang menghina dan merendahkan orang lain kerana kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan. Apalagi membesarkan dan menyebarkannya hingga diketahui umum. Selalunya berita tentang keburukan lebih cepat tersebar kerana ia ditokok tambah agar orang ramai mempercayainya. Sepatutnya kita beringat dan banyak bersyukur kalau tidak diumpat keji oleh orang lain. Kita masih dianggap baik oleh orang lain walhal pada hakikatnya Allah swt telah menutup segala keburukan tersebut.

Ada orang mengatakan jika ingin selamat maka jadikan diri kita sebagai kubur bagi aib orang lain. Jangan cepat menilai dan menjatuhkan hukuman sedangkan kita sendiri tidak tahu kedudukan yang sebenar. Menurut Rasulullah saw seseorang yang membuka keburukan orang lain maka Allah swt akan membukakan keburukannya pula.

A Blossoming Rose

Ros oren
Ros merah
Ros kuning

A Blossoming Rose

Feeling full of immeasurable dreams
Desiring to burst forth with unfolding hues
Opening with the natural ease of sigh
Blessed with a spattering of morning dew.

Petals instinctively absorb rays of warmth
Releasing a heavenly fragrance so freely
Intoxicating all who inhale as they pass by
Holding a matchless moment...demurely.

Admiring eyes drink in your amazing beauty
As a stride slows and comes a standstill
Your charm prevents time from going forward
Attaching to a heart that is lastingly fulfilled.
(T A Moore)

Gambar ros merah dan kuning diambil di nursery bunga. Biasalah bila ke sana, bunga ros yang paling menyerlah dan menjadi tumpuan. Pasu-pasu bunga ini disusun dalam kelompok mengikut warna hingga rambang mata orang yang datang. Kekadang nak tergelak melihat mereka yang berdiri di keliling pokok-pokok ros. Memberi nasihat sesama sendiri tentang memilih pokok, serangan serangga, menjaga dan membaja sampai si penjual terdiam. Dia pun berundur ke belakang sambil tersenyum simpul. Lantaklah...yang penting orang beli, tak payah aku buka mulut kerana ada yang rajin tolong promsi.

Gamabr ros pink diambl dari pondok orkidku. The only rose plant I have in my garden. Aku letakkan di bawah pasu orkid yang bergantung. Dah dua tahun dalam pasu yang sama iaitu pasu kecil diameter inci atau 8 sm. Dari pemerhatianku pokok orkid lagi hardy dari pokok ros. Pokok orkid tak ada masaalah tak kena hujan atau disiram beberapa hari. Tetapi pokok ros akan layu daunnya dan jika dibiarkan terus daun akan luruh dan batang jadi kecut.

Kalau ros boleh berbangga kerana baunya wangi, orkid pun wangi juga. Cuma satu ros menang....selama ni aku belum jumpa orkid berduri.

Saturday, October 9, 2010

Rumah Lama Nenek

Seingat aku rumah nenek sederhana besarnya, bahagian hadapan yang dipanggil anjung berbentuk T besar terbalik, tengah rumah dan dapur. Anjung tempat menerima tetamu dan tengah rumah tempat kami gantung kelambu bila malam. Tengah rumah sama luas dengan bahagian hadapan, ada dinding pemisah serta pintu di antara keduanya. Di sini ada sebuah bilik namun di luar bilik lebih empat buah kelambu boleh digantung serentak. Ruang yang kosong menghala ke dapur dinamakan ambin dan dari ambin ada tangga untuk turun ke bahagian dapur kerana dapur berlantai simen.

Rumah ini beratap zink tapi sudah banyak yang berlubang. Di waktu siang cahaya matahari menembusi lubang dan membentuk bulatan cahaya di atas lantai, Aku pelik kenapa cahaya ini berlainan tempat ketika pagi dan petang. Tetapi masaalah tiba bila hujan iaitu air menitik dari bumbung dan kami terpaksa tadah dengan baldi, besen, mangkuk dan periuk. Kalau hujan malan malam lagi susah kerana ada lubang setentang dengan tengah kelambu jadi kami kena runtuhkan kelambu. Kata nenek zink berlubang kerana bekas paku, telah lama dan berkarat.

Simen dapur pun telah retak hingga kami terpaksa berjalan berhati-hati. Sebelum dibuat dapur tempat ini bekas perigi buta yang tidak digunakan lagi. Jadi orang kampung yang membantu membina rumah telah memasukkan banyak kayu getah dan tanah untuk meratakan tanah. Lama kelamaan kayu tersebut reput dan tanah mendap lalu simen di atasnya retak.

Halaman rumah ini luas dan kami ada dua perigi iaitu di kanan rumah dan di belakang rumah untuk membasuh dan mencuci. Air minuman dari air hujan yang ditadah dalam tempayan besar yang terletak di bawah cucur atap. Sebenarnya aku suka rumah nenek dengan tingkap panjang hingga ke lantai dan alang kayu berukir separas pinggang. Dari sini selepas hujan selalunya aku dan moyang berdiri sambil memerhati air bergenang di halaman dan berharap ada buah kuini gugur dari pokoknya berhampiran dengan tempat membuat getah keping.

Ini Bedak Sejuk

Dijemur dalam dulang
Bedak hampir kering
Tunggu dibungkus

Gambar diambil di rumah Tok Ngah, kebetulan ketika aku ziarah di beranda rumahnya ada sedulang bedak sejuk sedang dijemur. Umur beliau lebih 70 tahun, tidak nyanyuk walaupun ketika berjalan perlu dipimpin kalau jarak lebih 2-3 meter. Mukanya bersih tak ada parut jerawat dan badannya pun kecil sahaja. Yang aku tahu Tok Ngah suka puasa setiap hari Isnin dan Khamis selain makan ulam yang ditanam di sekeliling rumah.

Bila aku ke pasar malam mencari bedak sejuk rupanya ia ada juga dijual bersama jamu dan ubatan tradisional. Tetapi bedak sejuk sekarang sudah ada inovasi baru iaitu telah dicampur dengan gamat,. Harganya RM 4.00, dipek dalam bekas pill transpaent dan isinya seberat 250 gm. Sebelum ni ada juga blogger kata dia nak usahakan bedak sejuk secara kecil-kecilan. Aku sarankan agar campurkan non alcohol perfume, tak payah guna bunga tanjung, cempaka dan kenanga yang semakin sukar diperolehi.

Apapun kalau nak cantik ramuan asli juga yang dapat bertahan. Walau lambat nak melihat hasilnya tapi kesan berpanjangan. Oh ya......tak le macam pokok durian kawin, cepat berbuah cepat reput dahannya sementara pokok durian kampung hidup hingga cucu cicit malahan piut dapat merasa buahnya.