Terus dilupakan
Kalau aku tak silap dengar DA kata tak payah kita nak menulis-nulis sebab yang ada untuk dibaca dalam dunia ini pun sudah cukup banyak. Maksudnya kalau yang so so saja ceritanya itu cuma menambah sampah sarap yang sedia ada. Gitulah gamaknya pendapat cik puan ini. Sama ada dia nak perkena aku atau berkata secara am hanya dia sahaja yang tahu. Maklumlah nak mencorat coret sambil merapu memang senang tapi bila hendak menulis sesuatu yang siuman boleh beku otak jadinya. Kerana dah lama tak berhubung dengan DA jadi aku tak tahulah perkembangannya sekarang. Ada kah dia sudah punya blog atau muka buku macam orang zaman ni yang sangat rajin mengikuti setiap event orang lain. Atau mungkin dia masih dengan hobi lamanya iaitu melancong dan berkebun. Ataupun luahan hatinya nak buka kedai menjual cenderahati selepas DA, Cik Pah dan aku bersiar-siar di Pantai Kuta dan melihat lukisan di Ubud, Bali sudah terlaksana.
Kata orang bijak pandai banyak ciptaan Allah swt di sekeliling kita yang indah, hebat dan  luarbiasa tapi cumanya kita selalu terlepas pandang. Kalaupun perasan ada sesuatu yang indah kemudian dirakam namun untuk tengok sorang-sorang pun tak seronok mana. Nak juga share sambil membuat sedikit discription supaya orang yang menatap faham apa yang hendak disampaikan. Bagi yang sentimental dan banyak menyimpan catatan dan gambar-gambar lama lebih baik bahan tersebut   dikumpul. Tidak sedikit orang yang sudah jadi kaya raya kerana menulis cerita lama mereka.
Sebenarnya aku mula catat  mencatat semasa dalam tingkatan satu. Ketika itu kawan sekampung beri  satu autograf untuk diisi. Autograf abangnya yang sudah masuk universiti jadi kami budak kampung pakat-pakat tolong  jadikan dia popular. Aku ingat betul di muka pertama empunya autograf menulis prakata: Hari-hari yang berlalu hendaklah diabadikan sebagai bukti  eksistensi diri ....... Aku pulangkan autograph tersebut tanpa  mengisinya.  Sudahlah aku tak faham perkataan canggih bahasa orang U dah tu tak ada modal nak menulis. Tapi aku  terus teringat ayat itu. Ketika ku sedari  hakikat kehidupan ini hati berdetik dan berbisik........ sesungguhnya malaikat  sudah catat seluruh perjalanan hidupku tanpa meninggalkan sedikit jua  pun dan itulah bukti eksistensi diriku yang sebenar-benarnya.
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
