Monday, November 29, 2010

Berbaloi Lama Menunggu

Rumpun cattleya
Dua pesudobulb berbunga
Semuanya 5 kuntum
Besar dan cantik

Gambar orkid cattleya dari pondok orkidku. Pagi ahad aku bersemangat ke pasat tani kerana selain dari beli sayur dan ikan aku boleh melawat satu-satunya gerai menjual bunga orkid di sana. Biasanya sebelum beli yang lain mesti jamu mata dulu. Kalau ada yang berkenan dan bajet masih kukuh aku pun terus bargain. Aku beli pokok orkid ni kerana berniat nak hadiahkan diri dengan sepokok orkid 'mahal' kerana orang di rumah ada yang sudah beli handphone dan lap top. Dari RM 30.00 dapat le RM 25.00, rasa berbaloi kerana rumpun besar dan bunga pun cantik.

Ketika membeli ada bunga 2 kuntum bunga saja. Lepas itu pokok hidup subur dengan pertumbuhan dua pseudobulb setiap kali. Malangnya pseudobulb matang tapi kuntum tak pernah keluar. Ianya berulang sampai aku dapat enam pseudbulb dalam masa setahun setengah. Apa kena pulak dengan pokok orkid cattleya ni. Pi tanya penjual dan dia tunjuk baja berharga mahal untuk membantu pokok berbunga.

Aku pernah dengar dari pekerja asing yang jual orkid bila tanya kenapa pokok orkid yang dijual digerai bosnya berbunga sakan. Katanya bos guna baja vitamin yang sudah expired (imported). Ia ke? Balik ke rumah, kebetulan ada vitamin tak habis, jadi aku pun leburkan dua tablets lalu siram kat perdu pokok di atas. Hui.....tak disangka, inilah hasilnya.. Lima kuntum sekali gus. Tapi aku rasa ini hanya kebetulan kerana pokok orkid Ordontoglossum yang disembur dengan cairan yang sama tak keluar bunga pun.......

Sunday, November 28, 2010

My Spring Garden

Ros kuning dan mums
Gloxinia ungu dan merah
Mums merah dan kuning
Marigold kuning
Desert Rose

My Spring Garden

Here is my little garden
Some seeds I'm going to sow
Here is my rake to rake the ground
Here is my hardy hoe.

Here is the big, round yellow sun
The sun warms everything
Here are the rain clouds in the sky
The bird will start to sing.

Little plants will wake up soon
And lift their sleepy heads
Little plants will grow and grow
In their little warm earth beds.
(Anon)

Semua gambar diambil dari nursery bunga. Sebenarnya taman yang cantik pastinya dimiliki oleh orang-orang yang betul-betul berminat dan berusaha ke arah tersebut. Tak kiralah sama ada guna tulang empat kerat sendiri atau upah tukang kebun bagi yang berduit. Walau semua peralatan cukup dan cuaca nyaman macam di Cameron Highlands tapi jika tidak suka tanam menanam, pokok sepasu rasa berat untuk dijaga.

Duit pula bukan modal utama kerana baldi, tin minyak dan besen serta tayar buruk boleh dijadikan pasu. Jika tak ada benih pokok boleh saja minta keratan batang, anak dan biji benih dari jiran tetangga dan kekawan. Ramai yang baik hati nak memberi kerana tanah subur di negara ini membuatkan pokok bunga sekejap saja sudah jadi semak dan belukar. Ambillah banyak mana pun.

Tetapi orang yang suka bunga eksotik kenalah belanja lebih sedikit. Gloxoinia, chrysanthemums dan French marigolds mesti dari Camerons Highlands kerana anak pokok dari sana sahaja yang terbaik. Namun begitu bila sudah habis berbunga pokok akan meninggi dan kurus. Roses pula bergantung pada nasib, jika baik tahanlah pokok setahun tanpa dimakan ulat atau benah. Yang bagusnya pokok marigold kampung atau bunga tahi ayam boleh disemai sendiri jika ada biji benihnya.

Cuma pokok desert rose boleh tahan bertahun-tahun. Kalau pokok yang berbunga cantik seperti di atas sudah beberapa kali diganti namun desert rose ni semakin besar semakin mahal pula harganya.

Saturday, November 27, 2010

Di Masjid Putrajaya

Dari balkoni belakang
Di bawah kubah
Ruang solat muslimat
Lampu chandellier

Gambar diambil di Masjid Putrajaya pada akhir September 2010. Rasanya sudah berbelas kali lalu di bulatan di hadapan masjid untuk mesyurat di kementerian tapi aku tidak pernah singgah. Cuma panjangkan leher melihat orang ramai keluar masuk di pintu pagar dan berkeliaran di perkarangan masjid. Kekadang bulatan sesak dengan keenderaan persedirian dan bas-bas yang membawa pelancong. Beberapa kali terserempak dengan krew serta pelakon sedang membuat penggambaran.

Hinggalah di hujung bulan September kami dijemut ke Putrajaya tetapi bukan kerana tugas resmi. Seronok juga perajalanan ni, pertamanya dengan kekawan rapat, naik bas yang disewa khas (Bas sekolah warna kuning) dan untuk bertemu dengan geng semalaya. Kami sampai di masjid selepas waktu zohor dan perjumpaan yang dirancang berlarutan hingga ke senja.

Sebelum balik sempat solat maghrib dan isya di sini......luas dewan solatnya, chandellier cantik menerangi ruang yang berkapet tebal. Bila berdiri di balkoni masjid kelihatan lampu yang bergemerlapan dari bangunan-bangunan dan jambatan di belakang Wisma Tani di seberang tasik sana. Hati berdetik....cantiknya. Hajat untuk meninjau apa yang ada di gerai cenderahati di sudut masjid terbatal kerana bas akan bertolak pulang segera.

Friday, November 26, 2010

Hati-hati Hak Orang

1. Rasulullah saw bersabda: Siapa yang mengambil hak seorang Muslim dengan sumpah palsunya, maka Allah kelak mewajibkan baginya neraka, dan mengharamkannya dari syurga. Seorang bertanya: Walaupun barang sedikit ya Rasulullah? Jawab Nabi: Walau sekecil batang kayu arok (berus kayu untuk bersugi). (HR, Bukhari, Muslim).

2. Rasulullah saw bersabda: Siapa yang kami serahkan tugas amal lalu menyembunyikan sekecil jarum atau lebih, maka akan berupa ghulul (pengkhianatan) yang akan dipikul di hari kiamat. Maka berdiri seorang hitam dari sahabat Anshar berkata: Ya Rasulullah terimalah kembali tugas yang telah Tuan serahkan kepadaku itu.

Nabi bertanya: Mengapakah? Jawabnya: Kerana saya telah mendengar Tuan begini dan begini. Bersabda Nabi: Dan kini aku berkata: Siapa yang kami serahkan tugas amal harus menyerahkan semuanya, sedikit atau banyak, maka apa yang diberikan kepadanya boleh diambil dan yang tidak, hendaklah ditinggalkan. (HR Muslim). *** tugas yang dimaksudkan ialah tugas memungut zakat cukai atau hasil bumi.

Ingat Hari Pembalasan

Ada beberapa kelebihan dalam mengingat syurga dan neraka kerana ia akan mengakibatkan seseorang merasa takut kepada Allah swt dan cemas menanti hukumanNya. Dengan itu hatinya tergerak untuk melakukan muhasabah terhadap diri sendiri lalu cepat melakukan amalan soleh. Dia juga sentiasa membersihkan hati agar segala amalan tersebut dilakukan hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah swt semata-mata.

Bnayak bezanya antara orang yang beriman dengan hari pembalasan dengan orang tidak yakin adanya hari tersebut. Bagi orang yang beriman segala perbuatan yang dilakukan ketika hidup di dunia ada balasannya terutama jika kejahatan. Sebaliknya perbuatan paling baik pada pandangan manusia belum tentu mendapat pahala kerana ia bergantung pada niat dan keadaan hati ketika melakukannya.


Mengingat hari pembalasan sangat perlu di zaman ini kerana nipisnya iman manusia dan kiamat pun sudah dekat. Rasulullah saw bersabda: Syurga lebih dekat kepada salah seorang kamu dari tali sandalnya, demikian pula neraka. (HR Bukhari). Oleh kerana sedikitnya manusia yang benar-benar beriman sehingga para malaikat kagum pada mereka yang sentiasa mengingat kepada Allah swt ketika di mana saja mereka berada. Iaitu dalam keadaan senang atau susah, ketika ramai atau bersendirian.

Dunia ini adalah permainan, senda gurau dan godaan maka seseorang perlu berhati-hati terhadapnya. Ianya boleh dilakukan dengan meningkatkan keimanan dan saling berpesan serta menasihati di antara satu dengan lain. Seandainya ada masaalah yang rumit dan sukar untuk diselesaikan maka hendaklah bertanya kepada orang-orang yang berilmu dan warak bukan mengikut akal sendiri atau pendapat orang tidak beriman.

Thursday, November 25, 2010

Pokok Kemangi

Pokok kemangi
Bunga dan daun
Biji benih

Gambar diambil di Pusat Kesihatan Kecil di tempatku. Nama saintifik pokok ini Oncimum basilicum L dan dikenali juga dengan nama kemangi jantan, ruku hitam dan selasih hitam. Ia tumbuhan renek jenis semusim yang huidup subur di kawasan yang mempunyai cahaya matahari yang banyak. Batangnya tumbuh tegak dan bercabang banyak dengan daun yang merimbun. Daunnya berbentuk bujur dan lancip di hujung.

Daun ini
licin berbau, harum dan digunakan sebagai rencah, perasa juga sebagai ulam. Selasih hitam berbunga gelap dan berbau kuat sementara kemangi jantan mempunyai bunga berwarna cerah. Bunganya dalam bentuk karangan di hujung ranting yang tegak. Kelopak bunga yang tua mudah tumbuh meliar dan membiak melalui biji.

Daun pokok kemangi dapat mengubati batuk kerana bersifat narkotik ringan. Caranya dengan meramas daun dan menyapukannya pada leher atau mengunyah lima helai daun di waktu pagi dan petang. Air rebusan daun yang diminum mampu menyembuhkan selesema, resdung, asma dan membuang angin dalam badan.

Campuran kemangi, lada hitam, halia dan madu dipercayai boleh mengurangkan stress, tekanan darah tinggi, kolesterol dan menstabilkan kandungn gula dalam darah. Amalan mengunyah daun juga dapat menghilangkan bau nafas.

Bijinya apabila direndam ke dalam air akan mengeluarkan jeli yang bersifat diuretik, stimulan dan merangsang pengeluaran peluh. Selain itu biji kemangi jantan yang telah direndam boleh mengubati penyakit usus dan sakit buah pinggang dan merendahkan suhu badan.

Beratnya Bahu Memikul

Kalau ke Ulu Kuang sesekali aku singgah ke rumah Cik Normah yang sudah 5 tahun aku kenali. Cik Normah ni seorang yang peramah, lembut hati dan penyedih. Kalau ada perkara yang mengganggu fikirannya sekejap itu juga air matanya mengalir. Dia mempunyai seorang anak istimewa yang sudah berumur 15 tahun dan mungkin ini yang membuatkannya selalu hiba. Katanya dia tak miss menonton rancangan 'bersama Mu TV3' sambil menangis kerana terlalu simpati dengan nasib mereka yang malang.

Cik Normah sekeluarga sudah beberapa kali ke Mekah dan dia tetap membawa anak istimewanya bersama. Di sana anaknya tidak meragam dan mudah dibawa ke masjid serta melakukan ibadah yang lain. Demi kasih sayang dan belas kasihannya Cik Normah bersama suami telah membina sebuah pusat jagaan untuk anak-anak tersebut di sebelah rumahnya. Semoga Allah swt memberkati usaha keluarganya dan memberikan dia kesihatan yang baik agar dapat menabur bakti.

Hatiku berdetik dan berbisik; sungguh gigih dia berusaha sedangkan dia sendiri mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Katanya dia tak boleh berehat, banyak kerja nak menjaga anak-anak istimewa ni. Ada yang sudah berumur lebih 15 tahun tapi terpaksa di terima. Mereka datang dihantar oleh ibu bapa dan keluarga kerana di sini sahaja mereka dapat sedikit pelajaran dan tunjuk ajar. Sekurang-kurangnya cara untuk menguruskan diri sendiri bagi yang mampu.

Tidak ramai orang yang boleh beramal macam Cik Normah hatta yang kaya dan berpelajaran tinggi. Belas kasihan dan cinta pada anaknya membuatkan dia bersimpati pada keluarga yang mempunyai nasib yang sama. Dia berkorban wang ringgit, tenaga dan masa untuk memberikan mereka sedikit keceriaan dalam hidup. Aduhai berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.......

Wednesday, November 24, 2010

Dendrobium With Blush

Pink di hujung
Blush pada petal dan lipsCantik warnanya
Close up

Semua gambar dimbil di nurseri orkid. Kalau ke sana ada saja orkid jenis baru yang dipamirkan untuk menarik hati pengunjung dan pembeli. Seperti fesyen baju dan barangan lain orkid Dendrobium pun sering bertukar bentuk bunga dan warna. Kekadang keluar bunga jenis keriting, saiz mini atau maxi. Seperti biasa jenis baru ni lebih mahal harganya namun masih ramai yang membeli untuk tambah koleksi di taman.

Walaupun menanam Dendrobium nampak mudah tapi jangka hayat pokokku tak pernah lebih dari 3 tahun. Mesti ada slack... contohnya pokok dari rumpun yang subur mati kerana pucuknya layu atau akar reput. Lepas tu daun semua gugur hingga pokok gondol dan kering dalam masa dua minggu.

Dari pengalamanku pokok orkid Dendrobium paling subur dan elok ditanam dalam pasu tanah liat. Ini kerana pasu tanah terutama yang tidak diglaze tidak menakung air. Media tanaman jangan terlalu padat untuk mengelakkan pertumbuhan kulat dan lumut. Yang aku tak buat ialah penyembur racun kulat kerana pokok orkid kalah bila selalu sangat kena hujan.

Macamana pun nampaknya aku nak teruskan tanam Dendrobium walau percubaan terdahulu kurang berjaya.
Yelah....bila tengok bunga orkid Dendrobium dengan warna pink lembut dan sangat sweet seperti di atas, bukan setakat hati berdetik tetapi hati meronta-ronta.....

Tuesday, November 23, 2010

Puncak Segala Kebahagiaan

Sesungguhnya dunia ini tempat tidak sempurna kerana tiada siapa yang benar-benar bahagia dan terlepas dari musibah, ujian, sakit, putus asa dan gagal. Tidak kira dia orang kafir atau beriman, kaya atau miskin, tua atau muda pasti melalui liku-liku kehidupan yang telah ditentukan sejak azali. Namun Allah swt telah menjanjikan kediaman yang paling sempurna untuk para hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Hanya orang yang singkat akal ingin hidup di tempat yang penuh kekurangan ini. Nikmat dunia sebenarnya cepat hilang kadangkala dengan sekelip mata ketika datangnya penyakit, kemalangan pada diri dan malapetaka serta bencana alam. Sebaliknya orang yang bijaksana tidak akan tertipu dengan kenikmatan dunia yang bagaikan fatamorgana; rapuh dan pukauan semata.

Untuk orang beriman Rasulullah saw menganjurkan mereka mencari kebahagiaan yang abadi melalui sabda bahawa di syurga ada batu bata dari emas, ada batu bata dari perak, catnya minyak kasturi yang harum, kerikilnya mutiara dan yakut dan pasirnya safran. Siapa yang memasukinya akan merasa nikmat, tidak bersedih hati, kekal dan tidak mati, bajunya tidak basah dan keremajaannya tidak hilang. (HR At Termizi, Ahmad, Ibnu Hibban, Al Darimi dan Ibnu Mubarak).

Syurga adalah impian yang terbaik dan cita-cita paling hebat serta angan-angan yang paling indah. Ia merupakan kejayaan yang tiada tolok bandingnya sehingga orang yang beriman sanggup menukarnya dengan nyawa. Walaupun terpaksa menenpuh kesukaran di dunia ini namun mereka tetap gigih untuk berada di jalan yang lurus.

Jika kita merancang dengan sepenuh tenaga dan kepandaian yang ada untuk kehidupan yang sempurna di dunia mengapa kita tidak merancang untuk akhirat walhal di sanalah puncak segala kebahagiaan.

Yang Tinggal

Pondok kecil dalam kebun
Sungai yang jernih
Kebun getah

Kebun kelapa sawit
Kebun pisang


Yang Tinggal

Masih ada lagi, rumah lama tinggalan ayahanda
Bila aku pulang, masih lagi terbayang lagumu
Rasa wangi lagi, harumanmu ibu
Keringat ayah, di kamar yang tinggal.

Ibu......aku telah dimiliki
Jauh ku tinggalkan desa ini
Pusaramu ku siram, ku rasakan aku direstui
Apa yang ku berikan, aku kini rasa disayangi.

Ku mhon ampunanmu, pinta ibu tidak ku tunaikan
Ku tinggalkan jua desa, ibu yang sangat ku cinta
Harus ku ikuti, tempat ke berpegang
Selepas kau pergi, kami yang tertinggal.

Pulang abang, pulang saudaraku
Masih hijau, di desamu ini
Bayu masih, seperti dahulu
Hujan rintik, dihias pelangi

Saudarku dengarlah nyanyianku
Kalau boleh ulanglah selalu
(H Hassan)


Empat gambar di atas diambil di Gopeng, gambar kelima di Sungai Siput. Kampungku bukan macam ni; tepi bukit di tanah tinggi serta sungai dengan air jernih mengalir. Tetapi belukar, pokok sawit dan pokok getah memang banyak. Aku pernah tinggal tinggal kampung, di estet getah dan juga di kawasan perumahan dalam ladang kelapa sawit yang luas. Hingga sekarang rumah dalam ladang ini masih ada lagi, satu-satunya peninggalan arwah ayah, tempat kami ziarah dan beraya dengan mak yang masih tinggal di situ.

Sayangnya bila bertahun tinggal di asrama dan kemudian tinggal jauh dari kampung untuk mencari rezeki rasa ada sedikit kelainan bila balik ke rumah tersebut. Maklumlah semua sudah berubah, rumah diperbaiki, pokok besar di belakang rumah sudah ditebang dan kemudahan juga bertambah. Tambahan pula diri semakin tahu menilai bahawa masa lalu tidak akan berulang. Semuanya hanya tinggal kenangan manis. Adik beradik serta kawan bergurau dan berkelahi sudah membawa haluan masing-masing.

Hati semakin sayu melihat mak semakin tua dan ayah sudah pulang ke rahmatullah. Ramai yang kata bila ibu bapa sudah tiada, balik kampung semakin hilang indahnya. Tambah pula jika rumah lama yang telah kosong, hanya tempat singgah sebentar ketika musim buah atau dihuni setahun sekali. Walau masa telah merubah segalanya namun hati berdetik dan berbisik di sinilah aku memulakan penghidupan tetapi bukan di sini tempat perhentian.....

Sunday, November 21, 2010

Alahai Taman Orang

Bunga matahari
Yang tunduk malu
Ummm... comelnya
Close up
Kering dan layu

Gambar diambil di sudut sebuah taman perumahan. Aku sudah jarang lalu di jalan tersebut tapi terkejut bila melihat ada taman kecil di tepi padang bola. Hati berdetik dan berbisik, taman ini mesti kepunyaan orang yang rumahnya di seberang jalan. Pokok-pokok bunga memenuhi halaman rumah teres dua tingkat tersebut. Bahkan pasu-pasu bunga diletakkan pada balkoni, di atas tiang gate, tepi longkang dan di luar pagar. Tetapi semua tanamannya dijaga elok.

Kalau musim kering bunga kertasnya paling cantik kerana satu pokok yang ala-ala bonsai mesti ada tiga empat warna bunga. Tidak cukup agaknya dia buat taman di kawasan rumah, dia buat pula di seberang jalan. Bukan pokok bunga matahari saja tapi banyak lagi jenis bunga yang ditanam. Sayuran pun ada, empat pokok kacang bendi dan terung, dua tiga perdu kucai, kunyit dan halia.

Mungkin dia memerhati aku dari tingkap rumahnya semasa aku terbongkok- bongkok mengambil gambar. Empat gambar di atas diambil ketika aku dalam perjalanan ke jamuan hari Raya Aidilfitri. Banyak bunga matahari yang sedang mekar. Gambar terakhir diambil
dua minggu sebelum Raya Haji yang mana semua bunga sudah kering dan layu. Begini nasib kalau tak bertaman sendiri dan teringin ada gambar-gambar cantik jadi terpaksalah mengendeng taman orang....

Friday, November 19, 2010

Bunga Kenanga

Kuntum kenanga muda
Di hujung dahan
Close up
Matang, warna kuning

Gambar di ambil di rumah Acah dan Mak Andak. Kenanga atau nama saintifiknya Cananga odorata asalnya tumbuh liar dalam hutan dan belukar tetapi telah ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang harum. Pokok yang ditut tingginya kurang dari 2 meter, banyak cabang dan boleh hidup lama.

Bunganya berbentuk bulat dengan enam kelopak yang memanjang dan sedikit keriting. Kelopak bunga berwarna hijau ketika muda dan menjadi kuning bila matang. Bunga yang dipetik mudah layu dan berwarna coklat tetapi tetap harum. Pokok membiak melalui biji (biji tidak boleh dimakan), akar dan secara tut.

Air rebusan segengam bunga kenanga yang dicampur gula dan diminum mujarab dapat melegakan sesak nafas. Air rebusan tiga kuntum bunga ini dipercayai boleh mengubati lelah dan penyakit malaria. Dalam aromaterapi pati bunga kenanga pula digunakan untuk menghilangkan stress dan mengubati insomnia. Ia juga boleh menghilangkan kedut di muka, menggalakkan pertumbuhan sel baru kulit dan rambut, merawat jerawat, mengatasi kulit kasar dan berminyak serta menghilangkan kelemumur.


Akar pokok kenanga dikatakan beracun tetapi masih berguna untuk mengubati penyakit lumpuh, sakit sendi, panas dalam, nyeri, bengkak, kencing bernanah dan sukar bersalin. Caranya adalah dengan menumbuk atau merebus akar pokok kemudian ditampalkan atau disapu pada tempat yang sakit.

Sejak Jadi DO

Masa berkerja dulu dan merasa berduit sedikit aku tak berapa kisah sangat tentang harga barang dapur. Bawang, minyak masak, garam dan kunyit lambat habis sebab lauk banyak yang dibeli dari dimasak sendiri. Standard nak monitor naik turun harga barang pun berbeza. Lebih mengikut harga handbeg dan kasut, foundation dan powder, kain ela dan tudung. Mendengar harga barang naik hanya sipi-sipi kerana orang lebih banyak speculate bonus selepas pembentangan bajet dan harga petrol.

Bila tidak bergaji dan jawatan hanya sebagai DO a.k.a dapur officer jadi terpaksalah peka dengan harga barang untuk menjana makanan di dapur. Aduh........semua barang dibeli mesti menggunakan duit kertas setidak-tidaknya yang kecil berwarna biru. Pendik kata bahan untuk lauk pauk termasuk sayur mahal belaka. Juga gas dan minyak masak, susu dan tepung gandum. Dan bila memasak tak dapat lari dari membasuh pinggan mangkuk, kuali dan periuk belanga.

Rupanya sabun pencuci pinggan juga turut naik harga. Dari RM 3.70 tiga tahun lepas dah jadi RM 5.50 sekarang ni. Kalau berbelanja di mana pun mesti terkejut dengan harga barang-barang hingga aku terpaksa adakan list harga termurah dalam kepala untuk buat perbandingan. Harga sesuatu barang di superstore murah hanya jika ada sale, harga barang di kedai ubat yang menjual keperluan harian didapati boleh tahan dan harga paling mahal di convenient store.

Tak sempat aku nak fikir export dan import, cukai minuman keras atau rokok, pasaran saham dan harga jongkong emas. Para DO macam aku cuma fikir berbelanja untuk memberi yang terbaik untuk keluarga. Walaupun duit tidak menjamin kebahagiaan namun ramai orang sengsara kerana tidak berduit. Sebolehnya duit yang ada biarlah berkat kerana lebih baik yang sedikit tapi mencukupi dari yang berlebih membawa padah.

Wednesday, November 17, 2010

Success And Being Wise

1. Many of life's failures are people who did not realize how close they were to success when they gave up. (T Edison)

2. Every day, in every way, I am getting better and better. (E Cove)

3. Champions in any field have made a habit of doing what others find boring or uncomfortable. (Anon)

4. A loving heart is the truest wisdom. (C Dickens)

5. Nothing happens unless first a dream. (C Sandburg)

6.The art of being wise is knowing what to overlook. (W James)

Cattleya amethystoglossa

Cattleya amethystoglossa
Jambak bunga
Cantik
Pink dan putih
Maroon spots


Gambar no. 2,3 diambil semasa Agrofest 2010 dan gambar no. 1,4,5 diambil di pondok orkidku. Orkid Cattleya amethystoglossa ialah sejenis Cattleya yang besar kerana pseudobulbnya boleh mencapai 1 meter tinggi. Ia berasal dari daerah Bahia, Brazil. Orkid sympodial ini hidup menumpang pada pokok-pokok yang tinggi untuk mendapatkan udara, cahaya serta kelebapan yang cukup.

Pokok orkid ini mempunyai dua helai daun pada setiap pseudobulb (bifoliate). Tangkai bunganya keluar menengak dari hujung setiap pseudobulb. Setiap tangkai bunga mengandungi 10 hingga 30 kuntum bunga yang berukuran 4 cm hingga 10 cm, bergantung pada kesuburan pokok. Petal dan sepal bunganya berwarna levender, pink lembut atau coklat muda serta mempunyai bintik maroon. Lips bunga pula berwarna lebih cerah.

Ketika Agrofest cuma ada sepokok C amethystoglossa itu pun di gerai jualan. Tertarik dengan
jambak bunga yang lebat, warna bunga pink serta pokok yang tinggi aku cepat bertanya pada si penjual.....saya tak tau nama pokok, ambil dari Johor. Yang ini harganya RM 100 tapi ada satu cutting anak pokok dia offer RM 35. Aku ambil bila rasa itu good bargain sebab ada empat pseudobulb dan salah satunya ada kuntum bunga.

Pokok yang aku beli tingginya 30 sm. Aku tanam dalam pasu berisi arang dan sedikit moss. Sekarang ia sudah mengeluarkan akar dan nampaknya tumbuh dengan baik. Cuma kena beri lebih banyak baja agar cepat bertunas baru dan berbunga......

Tuesday, November 16, 2010

Antara Kekayaan dan Qanaah

Kebanyakan orang ingin menjadi paling kaya kerana dengan kekayaan terdapat kuasa. Akan tetapi pada pandangan syariat kaya bermaksud kaya jiwa iaitu qanaah atau merasa cukup dengan apa yang telah diberi oleh Allah swt. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala urusan." (Luqman: 22)

Ramai manusia berjaya mengumpul harta hingga dia yakin bahawa usahanya lebih utama dan banyak dari apa yang ada di sisi Allah swt. Dia sangat bangga kerana merasa ilmu dan kebijaksanaan yang membolehkan dia memiliki harta dunia. Dia lupa bahawa rezeki tersebut adalah kurniaan Allah swt dan dipinjamkan dengan izinNya. Hal ini sama seperti Qarun yang sombong dengan kekayaannya hingga ia dihukum Allah swt dengan ditenggelamkan ke tanah bersama segala hartanya.

Sebaliknya seseorang itu mesti yakin bahawa apa yang ada di sisi Allah swt itu lebih luas dan melimpah daripada hasil yang telah diusahakannya. Dengan itu dia tidak akan bersifat bakhil malah menjadi pemurah dengan hartanya. Harta yang disimpan tidak membawa manfaat malahan menyebabkan dia susah ketika di akhirat kelak.

Untuk membezakan diantara kaya harta semata-mata dan kaya jiwa Rasulullah saw bersabada:
Bukanlah kekayaan itu semata emas dan harta, akan tetapi kekayaan adalah kaya hati. Peringatan ini untuk menyedarkan pentingnya bersifat qanaah dan bersyukur bahawa segala yang dimiliki seseorang bukan kerana usahanya semata-mata. Dia hendaklah selalu ingat yang harta kepunyaannya boleh musnah dalam sekelip mata jika itu yang dikehendaki Allah swt.

Friends

Siapa menyapa dulu?
Assalamulaikum...
Tak dilayan.... malu
Buat hal sendiri

Friends

As we walk our path of life
We meet people every day
Most are simply met by chance
But, some are sent our way.

These become special friends
Whose bond we can't explain
The one s who understand us
And share our joy and pain.

Their love contains no boundaries
So, even we are apart
Their presence enhances us
With a warmth felt in the heart.

This love becomes a passageway
When even the miles disappear
And so these friends,
God sends our way

Remain forever near.
(Anon)


Semua gambar diambil di hadapan satu deretan kedai di taman perumahan. Setiap orang kawan yang kita punyai, terutama sekali yang menjadi best friend ada sejarah tersendiri bagaimana boleh sedemikian rapat dan kamceng. Ada orang yang kita tak berapa berkenan dan sebulu meskipun baru berjumpa. Dari awal lagi sudah berat mulut hendak menyapa. Ada orang yang baru sekejap bertegur sapa tapi terus berbual seperti sudah bertahun kenal. Orang macam ni dikatakan orang yang sama wave length, ngam habis dan clique together.

Tanggapan awal memainkan peranan penting kerana manusia biasanya menilai apa yang dilihat dan didengar pada pertemuan pertama. Tidak ramai yang sanggup memberi seseorang 100 markah dan memberi peluang agar dia mempertahankan nilai tersebut. Selalunya hati banyak bersangka buruk dan membuat andaian yang tidak tepat. Dalam novel The Copper Beech oleh Merve Binchy: Kalau kita terlalu memperhalusi keadaan orang lain mungkin tiada orang yang sudi hendak bersama kita. Maksudnya orang lain juga akan melihat kekurangan dan kesalahan kita lalu pergi setelah mengetahui siapa kita.

Namun bila sudah berkawan rapat biasalah graf keakraban ada tinggi rendahnya. Oleh itu jangan terlalu mengharap yang terbaik dari orang lain dan belajarlah memaafkan serta tidak kedekut dengan perasaan. Teringat pada Noi dari Tanjung Gading yang suka puisi SZI katanya...perlukah aku melupakan bau dahlia.....

Monday, November 15, 2010

Berniaga Cara Kampung

 Limau kasturi
 Limau purut
 Kacang tanah
Pegaga dun bulat
 Pegaga kampung

Ketika kebun getah seluas 2.5 ekar ditebang Nenek dan Moyang tidak boleh menoreh lagi. Untuk tambah pendapatan mereka berniaga hasil petanian di bandar P. Setiap petang kalau tak ke sekolah aku bantu cabut ubi, keladi dan cari sayuran kampung yang ditanam di kebun tersebut.

Aku selalunya disuruh memetik cili api kerana kerjanya ringan tapi rumit. Aku akan bentang kain batik lusuh di bawah pokok dan gunting cili sebiji-sebiji. Bila dah banyak baru masukkan ke dalam raga. Pokok cili api atau burung ni dipetik ketika hijau ataupun hampir masak. yang berwarna merah dan matang hanya tinggal separuh kerana telah dimakan burung.

Kerja lain ialah petik terong belanda, pungut pucuk paku, daun meranti dan pegaga. Sayuran kena buat seikat-seikat dan mesti diletakkan di atas para di luar rumah pada waktu malam agar kena embun dan tetap segar hingga esok subuh. Setelah itu emuanya akan dimasukkan ke dalam guni bekas gula untuk di bawa ke pasar.
Kalau ada pisang aku akan susun setiap sisir ke dalam tempayan yang dialas kain buruk untuk diperam. Ketika tu kami gunakan karbaid agar pisang masak sekata. Setelah sehari semalam diperam pisang akan berwarna kuning keemasan.....cantik. Ubi dan keladi semuanya disusun ke dalam guni untuk menjimatkan raung dan agar ubi kayu tidak patah.

Nenek dan Moyang akan keluar rumah pada pukul 5 pagi dan bawa barang jualan dengan basikal ke jalan besar untuk menunggu teksi sewa (cuma Moyang yang ke bandar). Kadangkala kami jual jagung dan mempelam jika ada bekalan dari orang kampung.

Aku paling seronok bila Moyang balik lewat tengahari dan aku dapat ikut serta mengira duit hasil jualan pada hari itu.

Sunday, November 14, 2010

Kesempurnaan Orang Beriman

1. Orang-orang yang pintar, akalnya lebih kuat dari jiwanya, orang-orang yang bodoh badannya lebih kuat dari akalnya manakala orang-orang yang soleh jiwanya lebih kuat dari akalnya. Adapun orang-orang yang beriman ialah orang yang kuat akal dan jiwanya dalam satu masa. (M Al Siba'i)

2. Barangsiapa yang mengenal segala sesuatu akan tetapi tidak mengenal Allah swt seolah-olah tidak tahu apa-apa. (Iman Ghazali)

3. Seorang yang berakal sihat ialah yang menyelidik segala sesuatu, mencari yang lebih utama untuk dikerjakan dan didahulukan dari yang lain. Dan juga selalu mengikut petunjuk Allah swt dan Rasulullah saw dalam membezakan apa yang berguna atau mudharat bagi dunia dan akhiratnya. (Al Junaid Al Baghdadi)

Teringat Roses Kak Wan

Ros merah
Ros kuning
Sedikit kembang
Ros kuning

Gambar di ambil tempat-tempat yang ada bunga ros. Aku minat bunga ros walaupun tak menanam. Jadi bila terjumpa terus aje rakam gambar kerana bunga ros mengingatkan aku ketika tinggal bersama keluarga angkat di sebuah ladang terpencil di tepi hutan. Tempatnya sunyi di atas bukit. Kakak angkatku yang aku panggil Kak Wan ialah isteri pengurus ladang tersebut.

Hobi Kak Wan menanam pokok ros.....siap ada nama; hanya Maria Callas dan Rumba yang aku masih ingat. Katanya menanam bunga ros untuk hilangkan bosan. Oleh kerana suasana sejuk dan tiada pencemaran udara jadi semua pokok ros Kak Wan sihat dan berbunga lebat. Teman Kak Wan hanya suami dan anak-anak serta beberapa ekor kucing kerana jiran terdekat pun nun di bukit yang satu lagi.

Hiburannya setiap petang ialah melawat dan merawat pokok rosnya yang ditanam dalam pasu yang disusun di tepi beranda. Ada hampir 20 pasu semuanya. Suami Kak Wan minat muzik, lumba kuda dan kereta manakala 4 orang anak lelakinya yang ketika itu dalam sekolah rendah dan menengah suka memancing dan bola sepak. Sesekali ikut juga pergi memancing di sungai atau tasik yang ada di ladang tersebut.

Walaupun pemandangan indah tapi rasa miserable betul tinggal di ladang tu.....Untuk menenangkan perasaan dan mengambil hati keluarga angkatku aku mengekor puan rumah sambil melayan dia berbual. Di waktu petang ketika aku temankan Kak Wan membelai bunga rosnya selalunya
kami dihiburkan dengan suara suprano Maria Callas dari tape recorder suami nya menyanyikan Carmen Habanera...... dada..dum... dada... dum.....