Saturday, March 28, 2015

Bahaya Banyak Berprasangka

Allah swt melarang hambaNya yang mukmin dari banyak berprasangka kerana ianya boleh menjadi tuduhan dan pengkhianatan terhadap keluarga dan orang lain. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa," (Al Hujurat: 12).

Mengenai hal ini, Rasulullah saw bersabda: Jauhilah prasangka kerana prasangka itu perkataan paling dusta. (Mutaffaq alaihi). Oleh itu jauhilah prasangka untuk memelihara diri dari berdosa kerana manusia sememangnya banyak kebimbangan dan keraguan yang bersarang dalam dirinya.

Al Khattabi berkata bahawa prasangka yang diharamkan ialah ada prasangka buruk yang diyakini adanya bersama bisikan-bisikan jahat lain sehingga ia tidak mampu dikuasai.

Rasulullah saw juga pernah menjadi mangsa prasangka ketika baginda pada satu malam berjalan pulang dari masjid bersama isateri baginda iaitu Saffiyah rha. Dalam perjalanan itu ada dua orang Ansar berjalan melepasi baginda dengan tergesa-gesa.

Lalu baginda menegur: Jangan tergesa-gesa. Ini adalah Saffiyah binti Huay. Keduanya menjawab: Maha Suci Allah, wahai Rasulullah! Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada diri manusia seperti aliran darah, dan sesungguhnya aku khuatir jika syaitan itu menyusupkan keburukan ke dalam hatimu. (Muttafaq alaihi).

Friday, March 27, 2015

Dari Kerana Mata

Mempunyai mata yang dapat melihat merupakan nikmat yang sangat besar bagi manusia. Namun begitu tanpa disedari ada mata yang bahagia dan ada yang celaka di akhirat kelak, bergantung bagaimana ia digunakan.

Mata yang bahagia ialah yang kenal Allah swt serta menagis kerana takut kepadaNya. Ia selalu merenung tanda-tanda kebesaran Allah swt sambil memikirkan tentang penciptaan segala makhlukNya di langit dan bumi.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Yang telah menciptkan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sesekali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang maha Pemurah sesutu yang tidak seimbang. Makam lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesutatu yang tidak seimbang. Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah." (Al Mulk: 3-4)

Adapun mata yang sengsara sentiasa melihat yang buruk, maksiat dan perkara yang dilarang. Mata ini akan menangis di akhirat iaitu ketika yang empunya mata berada di hadapan Allah swt.

Rasulullah menerangan mata yang khianat melalui sabda baginda: Pandangan mata adalah salah satu busur panah beracun dari beberapa busur panah yang dimiliki oleh iblis. Sesiapa yang meninggalkan kerana takut kepada Allah maka Allah akan memberinya keimanan yang dirasakan kenikmatannya dalam hati. (HR Al Hakim)

Antara Bisnis Dan Ibadah


1. Aku ingin untuk menghimpun antara perniagaan dan ibadah, tetapi keduanya tidak dapat berkumpul maka aku memilih ibadah dan meninggalkan perniagaan. (Abu Darda ra)

2. Sesungguhnya Allah swt menjadikan dunia terdiri dari tiga bahagian iaitu; sebahagian bagi orang mukmin, sebahagian bagi orang munafik dan sebahagian bagi orang kafir. Maka orang mukmin bagi menyiapkan bekalan, orang munafik menjadikannya hiasan dan orang kafir menjadikannya tempat bersenang-lenang. (Ibnu Abas)

3. Sebuah kenikmatan tidak akan bertahan lama kecuali dengan tiga perkara iaitu: bersyukur kepada Allah swt atas nikmat tersebut, memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya dan selalu berusaha untuk memperbaikinya. (M Al Siba'i)

Monday, March 23, 2015

Susahnya Jadi Ibu


Bunga melur
 Bunga susun  kelapa
 Bunga ros
 Bunga raya

Bunga putih

Selepas solat Isya' biasanya nenek akan mengasah pisau yang akan digunakan untuk menoreh getah pada waktu subuh esok. Dia akan duduk mengadap sebuah pelita minyak kecil, semangkuk air untuk membasahkan pisau dan sebungkah batu asah. Kata nenek dia sedang mengasah pensil, secara bersenda menggelar dirinya cikgu kepada murid yang bernama pokok getah. Aku setia menunggu nenek membuat kerjanya. Di malam seperti ini nenek suka membuka cerita tentang kisah silamnya.


Suami nenek, iaitu bapa emakku meniggal dunia sewaktu anaknya yang sulung berumur empat belas tahun dan anak bungsu baru berumur 5 bulan. Dia meninggalkan lima orang anak iaitu emakku dan kembar lelakinya (yang sulung), dua orang anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan.

Kata nenek datuk bekerja sebagai pemandu kapal korek dan ada sebuah motorsikal. Hidup nenek susah selepas ditinggalkan datuk kerana terpaksa menyara lima orang anak yang masih kecil. Anak yang berumur lima bulan terpaksa dibawa ke kebun getah, sama ada diikat dengan kain batik di belakang badan atau dimasukkan ke dalam buaian kain yang digantung di antara pokok getah.

Walau pun sudah berkahwin nenek tetap tinggal dengan moyang dan juga setelah dia kehilangan suaminya. Nenek dan moyang tinggal di tanah seluas 3 ekar yang ditinggalkan oleh datuk dan menoreh getah di kebun tersebut. Namun begitu semua adik beradik emak dapat belajar ke sekolah walaupun hingga ke darjah enam sahaja.

Ketika aku baru masuk darjah tiga kami terpaksa pindah ke kampung lain kerana adik-adik arwah datuk ingin menjual tanah yang kami duduki itu. Aku melihat moyang, nenek dan mak menangis bila rumah yang telah dihuni sekian lama terpaksa dirobohkan.

Problem And It's Solution


1. Every problem has in it the seeds of its own solution. If you don't have any problems, you don't have any seeds. (N V Peale)

2. Worry often gives a small thing a big shadow. (Swedish proverb)

3. Nothing great was ever achieved without enthusiasm. (R W Emerson)

4. One who fears failure limits his activities. Failure is only the opportunity to more intelligently begin again. (H Ford)

5. In the middle of difficulty lies opportunity (A Einstein)

Memori Kebun Durian

 
 Pokok durian
 Ada sungai mengalir
Lebat berbuah
Longgok di porch
Jom makan durian

Impian nak ada kebun yang di bawahnya mengalir sungai (di dunia ni) terpaksa dilupakan. Kebun durian ni hanya dua kilometer dari kampung dan ada sungai. Dua tahun menunggu proses jual beli tanah tiba-tiba tak jadi. Sedihnya tapi itulah ketentuan Ilahi, dipendikkan cerita tak ada rezeki. Namun tuan tanah pinjamkan pada kami kebun tu selama menunggu. Kebetulan pula durian berbuah dua kali setahun. Setip hari ke kebun tak kira pagi dan petang, pungut dan angkut mana yang gugur. sambil tu fikir nak kasi siapa....BFF, jiran-jiran dan sesiap yang teringat.

Kebun ni memang terletak dalam kawasan dusun durian. Tak putus orang bermotorsikal dengan bakul penuh durian lalu lalang untuk dibawa keluar. Ada yang bawa dokong, pulasan dan rambutan. Di sepanjang jalan kenalan menyapa singgah untuk merasa durian mereka. Ketika ini pondok duiran yang ada penghuni ada unggun api di tepinya untuk menghalau nyamuk. Ramai yang bermalam tunggu durian gugur. Bestnya lepas kenyang durian dapat rendam kaki di sungai yang jernih dan dingin airnya.

Ulang alik kami jumpa lawyer. Nak ambil hati tuan tanah hantar  durian kerumahnya setiap kali musim durian gugur. Kami sabar dan  En K kata urusan jual beli tanah memang rumit. Sambil tu kami berangan nak buat kem dan dirikan rumah kecil untuk lepak. Seronok nak panggil saudara mara dan kekewan. Bawa anak-anak mandi sungai, buat rakit dan beli sampan. Nak bermalam kalau musim durian, nak tanam pokok durian musang king, nangka mastura, pulasan, cempedak dan ulam-ulaman.

Setahun selepas tak jadi ada orang lain tawarkan tanah yang di sebelah kebun pertama. Tapi En K dah patah hati dan duit pun sudah digunakan kelain. Apapun En K cari kebun yang buahnya perlu dikait baru gugur dan cuma ada parit kecil di penjuru kebunnya. Kami balik seperti asal, nak makan durian kena pergi membeli. Ataupun merasa durian yang orang bagi sekali sekala. Hati berdetik dan berbisik...... tak ngapa, dapat duit kelapa sawit boleh beli durian, syukur....syukur.

Kehormatan Dan Kemuliaan

Ramai orang mencari kehormatan dengan cara paksaan, berbohong dan ancaman. Benarkah kehormatan yang dicari dengan cara yang demikian boleh bertahan lama? Sejarah telah membuktikan bahawa para pemimpin yang zalim dan mempunyai kehormatan palsu hanya memerintah untuk waktu yang singkat.

Kemudian Allah swt membinasakan mereka dengan kematian yang dahsyat dan hina. Di akhirat Allah swt juga akan menghukum mereka seperti frimanNYa yang bermaksud, "Sesunguuhnya Kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala." (Al Insan: 4)


Kehormatan dan kemuliaan yang sebenar ialah yang berasaskan ketakwaan. Maka sesiapa sahaja yang benar takwanya nescaya akan diberi oleh Allah swt kurnia tersebut. Allah swt berfirman dengan maksud, "Sesungguhnya Aku memberi balasan kepada mereka (orang-orang mukmin) di hari ini kerana kesabaran mereka, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang menang." (Al Mu'minun: 11)


Sesungguhnya kehormatan, kemuliaan dan kewibawaan telah diberikanNya kepada para nabi dan rasul terutama Nabi Muhammad saw. Nama baginda tetap disebut dengan sebutan mulia, diseru dalam azan dan solat setiap waktu di seluruh dunia hingga hari kiamat. Begitu jug para sahabat, para tabiin, para ulama dan pemimpin yang adil yang sentias diingat dalam doa setiap orang mukmin.

Wangi Bunga Rampai



Mesti guna daun pandan
Bunga kertas
Bunga ros
Kasar.., siapa hiris daun?
Untuk majlis

Dulu-dulu, kalau ada majlis kenduri kawin tempat yang paling best bagi anak dara ialah di dalam bilik pengantin. Yang ada di situ cuma pengantin perempuan, dayang-dayang pengapit yang paling rapat dan mak andam. Selalunya pintu akan dikunci, makan minum dihidang dan apa saja yang diingini orang dalam semua pakai order. Akan ada orang yang melayan. Kalau tidak terpilih ke bilik pengantin dapat masuk team buat bunga rampai pun memadai. 

Sekurang-kurangnya tidak perlu bercucuran air mata mengupas bawang atau pijar tangan menghiris cili. Budak perempuan memang ramai yang mengerumun dan boleh di jadikan orang suruhan. Dayang tak dilantik ni akan diarah ambil ekstra daun pandan, bunga-bunga dan minyak wangi untuk dicapur dalam bunga rampai. Kalau disuruh ambil makanan dan minuman pun meeka sanggup.

Gadis yang membuat bunga rampai kenalah orang yang teliti dan matanya tak rabun. Pisau yang diguna mesti tajam dan pisau pencukur Gilette paling digemari. Hanya bahagian hujung daun pandan yang lembut dan nipis diamabil. Beberapa helai daun disusun dan dihiris nipis sekali gus. Malu beltul kalau hirisan setebal taugeh. Lepas tu barulah sejemput hirisan daun ini ditenyeh atas tapak tangan dengan minyak rambut untuk melembutkannya. Di zaman tu perfum sembur tak banyak jadi bau bunga rampa ni tak tahan lama.

Hanya tetamu istemewa yang dapat bunga rampai. Bahagia betul kalau dapat sebungkus sebab jarang ada pewangi. Sepanjang jalan mencium dan bungkusan ini akan diletak dalam almari baju atau dalam kelambu. Hati berdetik dan berbisik.....semua pemberian orang patut dihargai, disimpan dan disayang.

Sederhana, Ikhlas dan Ujub


1. Makanlah barang yang baik tanpa boros, memakai tanpa berlebih-lebihan, menggunakan nikmat sebaiknya adalah satu ungakapan rasa syukur dan meningkatkan keinginan untuk berbuat baik serta menghalang nafsu dari suka membuang masa secara sia-sia dan berbuat zalim. (M Al Siba'i)

2. Ikhlas itu ialah orang yang tidak peduli akan hilangnya semua penilaian dirinya dari hati manusia kerana membetulkan hatinya; ia tidak suka orang tahu akan amal kebajikannya dan tidak marah jika orang lain tahu akan perbuatan jahatnya. (Al Harith Al Muhasibi)

3. Berapa banyak api lampu-lampu yang dipadam oleh angin ribut tapi banyak lagi ibadat yang telah dipadam oleh angin ujub. Segala amalan soleh mendapat nur dari Allah swt akan tetapi ibadat itu menjadi gelap sekiranya ribut ujub melanda walau pun dengan satu tiupan sahaja. (Pesanan Nabi Isa as)

Bilis-bilis Diitumis

Donat, lelagi donut
Buat mee goreng mamak
  Persediaan untuk
 pertandingan
Yang menang
Halwa/Jelly/Cup cakes??

Aku kagum orang yang suka dan pandai memasak. Rajin mencari dan bertanya resepi, mencuba dan kemudian menjamu sepenuh hati. Tapi ada dua orang yang aku kenal berkata, memasak not in my blood. Cakaplah masakan apa dan bagaimana sedapnya sesuatu juadah tapi mereka hanya tersenyum. Bila diajak makan mereka akur tapi tidak le menikmati sungguh-sungguh apa yang dihidangkan. Mereka makan pelan-pelan, kais taugeh dan asingkan fishball dan isi ayam, hirup kuah. Hampir sejam baru selesai makan mee sup. Jadi badan mereka langsing dan mereka cerita perkara lain selain periuk belanga dan rempah ratus. Puan Hajah buat duit jual beli emas dan Puan Jo memang orang kaya. Pendik kata tak masak pun tak apa.


Bila aku survey adik beradik dan keluarga rata-rata mereka kata nilai masakanku cuma sekadar 'boleh le makan'. Tak pernah ada yang kata tolong masak lagi atau membawa pen dan kertas minta resepi. Mereka sudah maklum memasak ni bukan termasuk dalam list yang aku suka buat. Kalau orang angkut buku resepi ke dapur aku kepit novel atau sekurang-kurangnya majalah lama. Dapat paper lama pembungkus belacan pun jadi untuk dibaca. Sambil tunggu menggoreng, merebus, dan memerap aku curi-curi membaca. Sebab itu juga masakanku tak improve, terpaksa masak sebab nak makan.

Bila nenek moyang dulu ajar panaskan minyak tumis bawang aku pula buat terbalik. Panaskan bawang dalam kuali dulu, baru tuang minyak. Reasons: Minyak tak merecik ketika menumis kerana bahan tak berair, permukaan dapur dan lantai clear tak perlu dilap dan dimop lepas memasak. Jimat tisu, kain buruk, masa dan tenaga dan dapat selamatkan bumi. Yang penting bagi aku, cepat masuk dapur cepat keluar dapur......merdeka.

Aku ngaku masakan ku kurang mendapat sambutan. Supku tawar, kari cair dan gulai tak lemak. Teringat ketika abah tinggal seminggu di rumahku, mula-mula dia mencari garam dan gula kerana semuanya tawar. Setelah balik kampung mak pula mengadu kata abah masakannya masin dan kopinya terlebih manis. Eloklah kataku beringat sebab abah ada darah tinggi dan mak pula kena kencing manis. Hati berdetik dan berbisik.........garam, gula dan perisa, sedap sekejap tapi mudaratnya berkekalan.



Kita Sedang Diperhatikan

Ada perbezaan rasa bila diri sedang diperhatikan orang misalnya tersipu malu, semakin menunjuk, wajah merah padam atau terus diam menikus. Namum setiap Muslim tahu dan yakin dengan sebenar-benarnya bahawa pemerhati yang tidak pernah tidur dan lalai adalah Allah swt. Allah swt sentiasa memantau setiap pergerakan dan perbuatan, segala yang nyata atau tersembunyi malahan yang terbenam di relung hati yang paling dalam sekalipun.Sikap merasa sentiasa diawasi ini membantu seorang Muslim ketika bertindak pada jalan yang lurus dan merasa selamat apabila ditimpa ujian serta bahaya. Setiap langkah yang diatur dan setiap helaan nafas yang dihela adalah izin Allah swt semata-mata. Dalam hal ini dan keadaan apapun juga Allah swt ada bersama hambaNya yang sentiasa bergantung kepadaNya kerana Dia sangat dekat dan Sebaik-baik Penolong.

Oleh itu hati seorang Muslim menjadi tenang bila bersama Allah swt dan merasa puas mendampingiNya. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan siapakah yang lebih baik agamaya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan..." (An Nisa': 125).
Tidur dan jaga, makan minum, berehat dan bekerja juga merupakan ibadah bagi setiap Muslim. Lebih-lebih lagi ketika mengerjakan ibadah khusus dan Rasulullah saw memperingatkan dengan bersabda: Beribadahlah kamu seperti melihatnya, apabila kamu tidak melihat Allah sesungguhnya Dia melihatmu. (Muttafaq 'alaih)


Buah Sikap Dan Fikiran

1. Semua sikap yang utama menghasilkan buah darinya. Buah daripada iman adalah amal, buah rasa cinta adalah ketundukan dan ketaatan. Buah daripada ilmu ialah kekhyusukan sementara buah daripada persaudaraan adalah sikap saling menyangi. Manakala buah dari sikap ikhlas adalah sikap konsisten atau istiqamah dan buah dari jihad adalah sikap mudah berkorban.

Adapun buah daripada zuhud adalah kemuliaan dan buah daripada keyakinan adalah sikap berserah diri. Apabila sikap-sikap utama ini tidak menghasilkan sikap yang disebutkan tadi maka ianya hanya kata-kata kosong belaka. (M Al Siba'i)

2. Kebikan dan keburukan berasal dari fikiran kerana pemikiran adalah smber keinginan, zuhud, cinta dan benci. (Ibnu Qayyim)

Hajat Berpisang


  Pokok patah tengkok
 Ini pun patah juga
 Pangkas daun

 Ditongkat sebelum patah
Semoga tak tumbang


Tak sangka pulak pisang naik harga dengan tiba-tiba. kalau dulu harganya RM 2.50/kg sekarang dah jadi RM 4.50/kg. Di rumah ni pisang memang laris terutama bila dibuat cokodok, lempeng atau digoreng. Cokodok mesti pisang emas. Kalau nak goreng aku guna pisang tanduk, pisang raja, pisang nipah/abu atau pisang awak. Pisang nangka ada yang tak suka sebab masam dan pisang lilin (cuma ada di Batu Pahat Johor, kot?) susah nak dapat. Istimewa kerana rasa isinya manis, kental dan warna keemasan berkilat selepas digoreng.

Kata orang di Sungai Siput pisang naik harga sebab pokok pisang seMalaya sudah kena penyakit kulat aka mucor. Kata En K permintaan pisang jadi tinggi kerana ramai pengusaha IKS buat kerepek dan Malaysia sudah jadi pengeksport banana chips terbesar. Kata orang lain ramai beno pencuri yang kebas pisang sampai orang dah malas tanam. Hujahnya, buat apa menanam kalau pencuri bawa lori dan tuai pisang berbelas tandan satu malam. Nak tunggu pisang berbuah lebih setahun dan pokok pisang hanya berbuat sekali seumur hidup.

Aku dah lama ada pokok pisang di belakang rumah. Abah kata mesti ada pokok pisang, mudah dapat daun untuk buat pais, lepat, lempeng, lemang serta bakar ikan. Mula-mula ada pokok pisang tanduk, kemudian pisang lemak manis dan pisang emas. Bila pisang sendiri tak berbuah aku membeli dan kalau ada lebih aku pula boleh sedekah. Tapi malangnya lately pokok pisangku mudah patah pinggang atau tengkok sebelum buahnya matang. Sayang buahnya, nak buat sayur lemak terasa malas, nak peram tak akan masak elok.

Fikir punya fikir mungkin pokok top heavy. Dan angin kat belakang rumah ni agak kuat sebab tak dekat dengan bangunan. Lagipun semua daun pisang dari pokok matang habis daunnya koyak rabak. Faktor penyebab: angin. Apalagi ambil parang, pangkas semua daun dan letak tongkat pada pokok. Dapatlah pokok bertahan sebulan dua hingga buahnya matang. Hati berdetik dan berbisik.......... di mana ada kemahuan di situ ada jalan, hajat makan pisang tanam sendiri.

Sumber Segala Kebaikan

Kebaikan yang orang lakukan selalunya dapat menggembirakan dan menyenangkan hati kita walaupun ianya hanya sedikit. Namun Allah swt adalah sumber segala kebaikan.

Tiada yang lebih baik dan pemurah dari Allah swt. Dia menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan, memberinya sebaik-baik rezeki serta membalas amalan solehnya dengan berlipat ganda.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sungguh Kami menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk." (At Tin:4). Orang yang menyedari hakikat ini akan bersyukur sebanyak-banyaknya atas segala kebaikan Allah swt dan memohon ampun atas kelalaian serta kekurangan dalam melaksanakan perintahNya.


Alangkah baiknya jika kita dapat menghayati kata-kata bijak pandai agar berbuat baik kepada orang lain sepertimana kita mahu mereka melakukannnya kepada kita. Orang yang berbuat baik akan sentiasa disukai orang lain walaupun dirinya seorang yang serba sederhana dalam kehidupan.

Ia yakin janji Allah swt iaitu Dia akan membalas semua amalan baik yang dilakukan oleh hambaNya yang ikhlas.

Sunday, March 22, 2015

Letihnya Melayan Hati

Plumeria di halaman Mi
Bunga berjambak
A.k.a bunga kemboja
Cikgu kata fragifani
Ada warna pink, maroon 
atau putih

 Mungkin terjadi pada aku saja, orang lain tak kot? Letih betul sesekali terkena hantu lalu melayan hati yang tidak sihat hingga fikiran jadi berserabut. Sebenarnya banyak fikiran kreatif dan idea bagus boleh dijana kalau hati sihat. Namun namanya manusia yang beremosi dan berperasaan, semua kebaikan hilang bila jiwa tertekan.

Bila diselidiki tentunya fasal hati terutama sekali bila tersentuh hati, terhentak hati, tercalar hati atau terguris hati. Maka mulalah jauh hati sehingga kalau dipanjang-panjangkan menyebabkan lebih sakit hati dan hilang pertimbangan. Fikiran berlegar macam mana nak bagi puas hati dan cari jalan 'to get even'.

Kalau hajat tidak sampai mula termenung makan hati. Mula hati berdetap dan tersentap menuduh orang lain hati batu dan hati kering atau busuk hati dan buta hati.

Bila banyak sangat yang tak baik bersarang dalam hati maka hati akan terbius dengan pelbagai sifat buruk tersebut. Rasa diri tak bersalah dan telah dianaiya. Untung kalau cepat sedar, beristigfar dan ingat kesalahan. Apa hal jika tak sedar, terus koma dan full stop? Malang sungguh malang.

Semoga aku cepat jadi baik dan ingat cakap orang tua-tua, jangan ikut kata nanti binasa, jangan ikut hati nanti mati. Tidak mengapa buta mata tapi jangan buta hati. Hati berdetik dan berbisik....... dan sekiranya hati mati bayangkan, diri jadi mayat yang berjalan a.k.a zombie.

Pilih Hati Bahagia

Sesungguhnya hati yang bahagia ialah hati yang mengenal Allah swt dan yang dipenuhi oleh la illaha illallah, yang mencintai Rasullah saw dan mengikuti baginda. Allah swt mengingatkan agar orang-orang mukmin selalu waspada dari mempunyai hati yang lalai melalui firmanNya yang bermaksud, "...dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Al Kahfi: 28).

Ramai manusia yang terperangkap dengan kesenangan dan keseronokan dunia akibat hendak memuaskan hawa nafsu dan memenuhi ajakan syaitan serta kuncu-kuncunya.

Adapun hati yang sengsara ialah hati yang berpaling dari mengenal Rabb, tidak membaca dan mengikut petunjuk Al Quran, tidak mengingat Allah swt dan mengingkari ajaran Rasulullah saw.

Hati ini tidak akan selamat kecuali pemiliknya kembali ke jalan yang lurus seperti yang diperintahkan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.Penting diingat bahawa untuk memiliki hati yang suci bersih yang tunduk kepada Allah swt semata-mata ianya mesti melalui proses yang panjang dan sukar.

Namun begitu Rasulullah saw menjelaskan salah satu cara untuk memelihara hati melalui sabda baginda: Sungguh beruntung orang yang (nanti) mendapat buku catatan amalnya penuh dengan istigfar. (HR Ibnu Majah, Ahmad, Abu Nu'aim).