Tuesday, May 18, 2010

Terok Kena Rotan

Di musim cuti sekolah aku dan adik tinggal di estet dan dapat ramai kawan, budak lelaki dan perempuan. Bila ibubapa kami menoreh, kami boleh bermain dari pagi hingga lewat tengahari.

Main masak-masak, pancing ikan dan panjat pokok jambu batu. Dapat buah yang mentah kami tumbuk, campur kicap dan gula. Satu pagi kami pergi ke perumahan kecil (estet) kira-kira 1 km dari rumah kami. Satu keluarga Cina di situ ada menanam beberapa pokok jambu batu.

Melihat buahnya yang lebat, kami pun panjat pagar dan petik buah yang besar-besar lalu lari ketakutan. Waktu tengahari kami pergi ke sungai kerana air pasang dan mandi manda. Di situ ada pelantar dari papan dan ramai kakak-kakak yang ikut mandi.

Kami guna kain batik basah diikat di pinggang dan masukkan udara hingga mengelembung. Dengannya kami boleh duduk timbul macam itik. Dalam riuh mandi manda abah datang panggil aku dan adik dan kami di seret ke rumah. Di tepi dapur aku di rotan.

Abah kata: Pertama, pandai-pandai ambil buah jambu orang. Kedua, mandi sungai. Bila air naik mencecah lantai pelantar, nasib tak baik asyik menyelam mungkin termasuk ke bawah pelantar. Tak boleh nak timbul macamana nak bernafas? Di kiri kanan pelantar dan kedua tebing sungai pun semak, kalau jadi apa-apa siapa pun tak nampak.

Ketiga, kenapa bawa adik merayau? Lama abah bersyarah dan aku disuruh duduk di tepi dapur hingga ke petang. Dekat senja baru mak pujuk suruh makan dan air mataku meleleh semasa suap nasi bukan kerana sakit dirotan tapi hiba bila diri dikasihani.

0 comments:

Post a Comment