Ada dua perkara baru yang aku belajar dari jiran kami di estet. Jiran di sebelah kiri rumah suka membela ikan puyu, katanya untuk menghalau makhluk halus yang tidak diingini. Aku sangat tertarik melihat balang kaca ikan puyu yang besar dan cantik, dibuat dari kaca jernih kehijauan setinggi 30 cm. Khabarnya balang tersebut dibelinya dari seorang kawan. Air balang itu sentiasa bersih dan tumbuhan airnya segar kerana selalu ditukar dan dibersihkan.
Abah kata jiranku dan seorang kawannya hendak cuba membuat bekas serupa dari botol kaca besar yang berleher panjang. Ramai juga yang ingin melihat termasuk aku dan abah. Mula-mula botol itu diisi dengan air setinggi balang yang dikehendaki. Kain buruk yang dibasahi minyak tanah dililitkan dan diikat di sekeliling botol, sama tinggi dengan paras air. Kemudian kain buruk dibakar menyebabkan api menjulang tinggi. Malangnya experiment tidak berjaya kerana bahagian atas botol yang kosong jadi terlalu panas hingga pecah berderai manakala bahagian bawah botol terbelah dua.
Jiran di sebelah kanan pula suka memancing ikan haruan. Dia gunakan joran buluh yang slim, panjang dan melengkung cantik. Dia banyak simpan joran dan bila ada masa lapang dia buat joran baru. Dia akan hidupkan api di belakang rumahnya dan layurkan dua tiga batang buluh hijau yang baru ditebang. Sambil dilayur buluh disapu minyak kelapa sehingga batang buluh bertukar warna, dari hijau menjadi coklat berkilat. Katanya joran ini tidak mudah patah dan tidak dimakan bubuk.
0 comments:
Post a Comment