Saturday, July 3, 2010

Keinginan Yang Lurus

Sesungguhnya manusia pada setiap ketika diajak untuk bergegas menuju Allah swt iaitu untuk masuk ke taman yang indah dan damai yang telah dijanjikan olehNya. Rasulullah saw telah menunjukkan jalan yang paling dekat dan mudah tanpa berbelit-belit agar manusia boleh sampai dengan selamat. Akan tetapi manusia sentiasa dihambat pelbagai ujian kesenangan dunia dan masa terluang, hawa nafsu dan sebagainya hingga lupa tujuan hidup yang sebenarnya.

Hidup manusia berada di antara dua waktu iaitu umur yang telah berlalu dan umur yang tersisa. Umur yang hilang hanya boleh diperbaiki dengan taubat, penyesalan dan memohon ampun dari Allah swt. Semua ini adalah kerja hati dan tidak membebankan jika ada keikhlasan dan kesungguhan untuk kembali kepadaNya.

Ibnu Qayyim berkata: Keinginan yang lurus adalah keinginan yang tujuannya hanyalah untuk mencari keredhaan Allah swt. Ini bermakna bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah swt dan merasa sedih jika hidup tidak digunakan untuk mendapat redhaNya. Sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dengan ibadah khusus dan umum serta bermunajat kepadaNya. Sebenarnya tanda-tanda keinginan yang lurus adalah tiada keinginan samada di waktu pagi atau petang kecuali menuju kepadaNya.

0 comments:

Post a Comment