Bunga jambu
Buahnya merah
Lebat berbuah
Seluruh pokok ada buah
Hilangkan dahaga
Gugur begitu saja
Di kampungku musim kemarau ada kisahnya sendiri. Mengikut perkiraan nenek musim tu ialah sebelum dan selepas hari Raya Cina setiap tahun (bulan Feb-Mac). Kerana tak ada paip air jadi untuk untuk mandi, basuh pinggan dan baju mesti menggunakan air telaga. Kemudian baru dibilas dengan air hujan yang disimpan dalam baldi dan diambil secara berjimat gunakan gayung kecil.
Air telaga di kampungku berwarna rootbeer dan kelat kerana semua telaga dikorek di tanah gambut. Air ni terasa melekit pada kulit jika tidak dibilas dan berbau sedikit kerana daun getah terendam. Oleh itu setiap rumah mesti ada beberapa tempayan besar untuk takong air hujan. Guna air kena jimat, yang paling bersih untuk diminum dan memasak, yang dah termasuk daun untuk kerja membilas.
Ketika air telaga semakin susut nak mandi atau membasuh kena pergi ke sungai yang jauhnya 200 meter dari rumah. Masaalah besar ialah nak cari air untuk minum dan memasak. Masa itu rumah di tepi jalan besar saja yang ada paip dan penduduk dalam kampong kena ambil air di sana. Kasihan orang yang tinggal jauh di dalam kampung kerana terpaksa menaiki basikal hingga 2 km kerana hendak mengangkut air bersih.
Masing-masing akan ikat satu atau dua tin besar (bekas biskut) di carrier basikal dan berulang alik untuk penuhkan satu tempayan. Dua hari sekali kena angkut air dari rumah datuk saudara di jalan besar. Ketika itu harga air sebanyak 3 tin biskut yang besar ialah 5 sen. Jenuh juga menunggu sampai hujan turun pada bulan Mac.
Yang seronok di musim kemarau ialah bila aku dan kekawan berkubang dan sauk ikan dalam telaga atau race basikal dalam parit besar yang sudah kering airnya.
0 comments:
Post a Comment